Top

Twitter

18-01-2016 04:34

Perjanjian politik demi rakyat

GABUNGAN pembangkang yang baharu ditubuhkan – Pakatan Harapan – yang dianggotai Keadilan, DAP dan Amanah telah menandatangani satu perjanjian rasmi, iaitu “Perjanjian Pakatan Harapan” di Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam pada 9 Januari lalu.

 

Ia ditandatangani Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

 

Perjanjian ini bermatlamat memperkasa Pakatan Harapan. Ia mengandungi 7 Fasal yang meliputi perkara-perkara fundamental, iaitu keputusan bersama, kesatuan politik, penyelesaian konflik, dasar-dasar bersama, pilihan raya, pembentukan kerajaan dan peranan pembangkang, dan keabsahan gabungan.

 

Antara fasal terpenting ialah tentang membuat keputusan bersama antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan secara konsensus; dan Pakatan Harapan meletakkan seorang calon sahaja bagi mewakilinya dalam mana-mana pilihan raya.

 

Perjanjian ini bukan dokumen undang-undang atau perjanjian persefahaman. Ia adalah dokumen politik untuk membentuk kesatuan politik yang mampan.

 

Tetapi, apa yang lebih penting ialah bahawa perjanjian ini bukanlah sekadar tentang parti politik sahaja. Ia adalah perjanjian yang bertujuan meningkatkan bakti terhadap rakyat. Ini dicatat dengan jelas dalam mukadimahnya:

 

Matlamat tertinggi sesuatu kerajaan adalah menyejahterakan rakyatnya dengan seadil mungkin merentas batasan bangsa dan ras, menembus sempadan agama dan budaya, melintas ruang dan zaman. Makanya suatu kerajaan yang adil adalah bertuankan rakyat dan memelihara rakyat; fungsinya meluaskan rahmat kepada rakyat yang merangkumi segala matlamat syariat (maqasid al-syariah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahat (kepentingan) kemanusiaan.

 

Ini selaras dengan firman ALLAH dalam Ayat 107 Surah Al-Anbiya’ mafhumnya “Dan tidaklah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada alam seisinya” iaitu satu penyataan tegas bahawa teras syariat Islam adalah rahmat dan kasih sayang Tuhan yang inklusif meliputi seluruh warga alam.

 

Seruan yang sama ke arah menyuburkan kasih kepada seluruh warga alam, membina persaudaraan manusiawi, menegakkan keadilan merentasi batasan, meletakkan yang hak dan menentang kezaliman adalah nilai-nilai sejagat yang dikongsi oleh semua agama, peradaban dan budaya yang membentuk rencam rakyat Malaysia yang pelbagai.

 

Kontrasnya gagasan rahmat ini (yang sewajarnya menjadi matlamat setiap kerajaan) dengan kebejatan yang berlaku sekarang di dalam masyarakat. Pemimpin menjadi bahan cemuhan rakyat, tindakan bukan dipaksikan kepada kebajikan rakyat tetapi kerakusan mengumpul harta sementara masa mengizinkan.

 

Rakyat lemas di tengah-tengah kebejatan ini. Rakyat berhak untuk diberi pilihan mengangkat sebuah kerajaan yang bertuankan rakyat dan memelihara rakyat dalam semua aspek kehidupan individu dan bermasyarakat.

 

Tuntutan rakyat yang mahukan sebuah kerangka persefahaman politik yang kukuh dan jelas telah dihadam oleh Keadilan, DAP dan Amanah yang membentuk Pakatan Harapan.

 

Kami sedar tuntutan ini datang daripada keyakinan rakyat bahawa gagasan dasar-dasar yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan melalui Dasar Bersama Pakatan Harapan hanya boleh dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan bila terbinanya kesatuan politik yang utuh di antara Keadilan, DAP dan Amanah.

 

Bahawa kesatuan politik itu adalah pra-syarat kepada sebuah pakatan politik yang bersatu padu, progresif dan kuat yang boleh membangun dan membela rakyat.

 

Perjanjian ini bukanlah tongkat sakti. Tetapi, ia menjawab kebanyakan persoalan tentang masa depan politik negara.




Source: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/perjanjian-politik-demi-rakyat-1.473740

 

04-01-2016 15:12

Bukan masa untuk putus asa

SEKIRANYA kedua-dua pembentangan Belanjawan 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan barometer meramalkan keadaan tahun ini, maka, rakyat Malaysia akan kelihatan tinggal di dua dunia yang berbeza.

Ini kerana kedua-dua belanjawan tersebut menggunakan kerangka yang sangat berbeza. Belanjawan BN melukiskan ‘keadaan seperti biasa’, kerajaan mampu menangani segalanya, dan rakyat tidak perlu risau. Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan melihat dengan serius kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dan kewangan, dan langkah-langkah ‘mengelakkan krisis’.  

Bagi kebanyakan rakyat biasa, tahun ini, mereka terpaksa berhadapan dengan krisis pendapatan peribadi dan isi rumah.

Lebih ramai belia akan menganggur. Sebahagian daripada graduan universiti atau kolej kemahiran akan, sama ada menganggur, atau mendapat pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakannya. Mereka sedih melihat bertambahnya kebanjiran pekerja asing, termasuk 1.5 juta dari Bangladesh. Mereka kesal apabila seorang timbalan menteri menyarankan supaya melakukan dua kerja.  

Oleh kerana gaji rendah dan bekerja jauh dari rumah ibu bapa, ada yang tidak mampu menyewa rumah lalu menyewa bilik sahaja. Sekiranya belum berkeluarga, dikira bernasib baik. Kerana sudah ada kes-kes di mana dua atau tiga keluarga terpaksa berkongsi menyewa sebuah rumah. 

Mereka tidak faham makna rumah mampu milik. Mereka tidak terfikir pun untuk membuat pinjaman membelinya. Pinjaman PTPTN pun belum langsai. Mereka perlu membuat pinjaman kenderaan untuk pergi bekerja, dan berhadapan dengan kenaikan tol. Mereka terkilan apabila ada menteri mencadangkan bangun awal dan gunakan jalan lain ke tempat kerja.

Ada yang terpaksa makan hanya sekali sehari, atau makan selang sehari, atau berbaris mengambil makanan di tempat-tempat penyediaan makanan untuk gelandangan di Lembah Kelang.

Bagaimana pula dengan mereka yang diberhentikan kerja? Bagaimana dengan perniagaan yang gulung tikar?

Bagaimana dengan ibu bapa yang tidak kecukupan wang untuk menyediakan pakaian, peralatan dan kenderaan sekolah yang sewajarnya untuk anak-anaknya? 

Ilustrasi di atas adalah benar. Kita belum mengetahui datanya. Tetapi, ada kalanya angka-angka kurang penting berbanding kes-kes sebenar. Ada kalanya kita terlalu mementingkan angka-angka sehingga lupa bahawa mereka adalah manusia, dan bukannya sekadar angka. Pokoknya, pengangguran, kurang pendapatan, kos hidup yang tinggi dan ketidakmampuan perumahan akan menghantui sebahagian daripada rakyat pada tahun ini. 

Skandal 1MDB dan RM2.6 bilion mungkin diselesaikan tahun ini. Tetapi, siapa saja yang akan mempercayai laporan rasminya? Kebanyakan orang telah pun membuat keputusannya sendiri. 

Dalam politik, Umno dan Pas mungkin semakin akrab. Manakala Pakatan Harapan bakal menandatangani Perjanjian Pakatan Harapan pada 9 Januari dan melancarkan Dasar-dasar Bersamanya pada pertengahan tahun.

Tetapi, kebanyakan rakyat biasa adalah mereka yang paling tidak politikal tetapi paling terkesan dengan krisis ekonomi dan kewangan. Justeru, perasaan kesal, tertekan, sinikal, marah dan pasrah akan meningkat.

Namun, ini bukan masanya untuk berputus asa. Ini adalah masa untuk kebijaksanaan rakyat. Iaitu tentang mengorganisasikan diri dan kebijaksanaan bersama. Rakyat biasa mampu membangunkan kebijaksanaan rakyat. Ini telah pun berlaku melalui media sosial.

Rakyat biasa bersuara, menulis, berfoto, menerbit dan berkongsi. Mereka menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sesama sendiri, termasuk yang kompleks, contohnya, sekolah di rumah untuk anak-anak. Mereka mampu menyelesaikan sendiri masalah-masalah yang dihadapi secara sukarela. 

 Kita mungkin jarang mengetahui aktiviti-aktivitinya. Ini kerana mereka tidak mencari publisiti. 

2016 mungkin menjadi tahun di mana rakyat biasa mula menentukan sendiri destininya.

Link: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/bukan-masa-untuk-putus-asa-1.468389

03-12-2015 08:55

Saifuddin Abdullah : 'Di sana tegang, di sini tenang'

23-11-2015 11:39

Perang belanjawan

PADA 16 November lalu, Ahli-ahli Parlimen mengundi, pada peringkat dasar, Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2015. Seperti dijangka, kerana BN majoriti, ia diluluskan dengan 128 Ahli Parlimen (AP) mengundi setuju berbanding 74 tidak setuju.

Namun, perang belanjawan kali ini lebih panas. Ia bermula dengan pembentangan Belanjawan Alternatif oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 21 Oktober 2015.

Ia dibentang bagi pihak Pakatan Harapan yang baru sahaja dilancarkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat. Pakatan yang baharu ini, terdiri daripada Keadilan, DAP dan Amanah, tanpa parti pembangkang lain, khususnya Pas. Tetapi, Pakatan berusaha mendapatkan sokongan semua AP pembangkang supaya menolak bajet BN.

Tetapi, Presiden Pas Datuk Seri Haji Hadi Awang mengumumkan yang Pas akan berkecuali. Sebagai reaksi, Majlis Presiden Pakatan mengeluarkan kenyataan bersama bahawa Pakatan tetap menolak bajet BN dan meneruskan Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM. Bagi Pakatan, adalah tanggungjawab moral para AP untuk melakukan kedua-dua perkara tersebut bagi pihak rakyat jelata. Kenyataan itu, yang tidak membidas Haji Hadi, menunjukkan yang Pakatan masih membujuk AP bukan-Pakatan.

Pada 16 November itu, 74 undi tidak setuju itu adalah daripada kepaduan AP Pakatan, termasuk 3 AP Pas. AP Pas yang lain berkecuali, manakala 4 orang, termasuk Haji Hadi, tidak hadir.

Keputusan pengundian itu menunjukkan bahawa Pakatan Harapan berkesan. Namun perang belanjawan belum berakhir. Ini kerana, sekarang, Dewan Rakyat mengundi belanjawan pada peringkat jawatankuasa (kementerian-kementerian), dan ada satu lagi undian keseluruhan yang dijadualkan pada hujung bulan ini.

Istilah “perang belanjawan” saya pinjam daripada salah satu tajuk bab dalam buku pemenang anugerah Nobel Joseph Stiglitz (2012), The Price of Inequality. Bab itu membincangkan betapa, ketika ekonomi US sedang berhadapan dengan kegawatan, terdapat cadangan supaya dikurangkan defisit belanjawan melalui pemotongan perbelanjaan dan menaikkan cukai.

Menurut Stiglitz, pendekatan tersebut tidak menyelesaikan masalah sebenar, iaitu pengangguran yang tinggi, jurang antara input dan output ekonomi, dan kesenjangan yang semakin melebar. Pendekatan itu lari daripada persoalan mengapa defisit itu berlaku pada peringkat asalnya.

Dalam konteks ini, terdapat perbezaan antara kerangka bajet BN dengan Pakatan. BN mengelak daripada persoalan kemungkinan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi, tetapi Pakatan mendepaninya. Tajuk belanjawan Pakatan ialah “Mengelakkan krisis”. Tajuk BN ialah “Mensejahterakan rakyat”.

Tetapi, perbezaan utamanya ialah dalam menangani masalah kesenjangan. Belanjawan Pakatan mengambil kira cadangan-cadangan Malaysia Human Development Report 2013 (MHDR) yang disediakan pasukan diketuai Tan Sri Dr Kamal Salih.

Menurut MHDR, golongan super-kaya (1%) memiliki kuasa beli 22 kali lebih daripada golongan miskin, dan 18 kali lebih daripada golongan pertengahan. Dalam kalangan golongan pertengahan, yang di bandar memiliki kuasa beli 43% lebih daripada yang di luar bandar. Manakala wanita memiliki kuasa beli 33% lebih rendah daripada lelaki.

Sebab itulah belanjawan Pakatan mencadangkan supaya GST disifarkan. Kerana cukai 6% yang dilaksanakan kini membebankan rakyat. Tetapi, BN menganggap GST penyelamat ekonomi!

Sebab itu, persediaan belanjawan mesti menepati persoalan utama, bukannya mengelakkannya. Contohnya, adakah lojik untuk memotong perbelanjaan universiti awam tetapi menambah peruntukan Jabatan Perdana Menteri? Adakah lojik, secara purata, rakyat ditambah 14 sen sehari melalui BR1M tetapi terpaksa membayar RM19 sehari untuk GST?

Akhirnya, para AP hanya berperang belanjawan sekali dalam setahun, tetapi, rakyat bawahan terpaksa berperang dengan masalah sebenar belanjawan pada setiap hari.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Rakyat. Beliau aktif di twitter: @saifuddinad

26-10-2015 06:31

Negara ulung yang bahagia

SEMPENA Maal Hijrah baru-baru ini, saya menarik perhatian rakyat agar menyertai suatu “gabungan minda” untuk membina Malaysia sebagai negara ulung yang makmur dan bahagia.

Saya menggariskan empat faktor pembinaan negara ulung: berdasarkan teras-teras utama, berasaskan nilai, interaksi rakyat-kerajaan yang lebih akrab dan bebas skandal. Ini memerlukan perubahan yang sebenar. Dua perubahan utama yang diperlukan ialah perubahan politik dan reformasi institusional.

Pada masa sama, masalah-masalah besar yang dihadapi rakyat, seperti kos kehidupan, pekerjaan, perumahan, kenaikan tol, wabak demam kepialu dan jerebu, mesti diselesaikan segera.

Menjadikan kebahagiaan sebagai matlamat nasional bukanlah idea baru. Menurut Derek Bok, pendekatan ini mencapai minat yang tinggi sejak abad ke-18. Ramai sarjana, seperti Cesare Beccaria, Claude-Adrien Helvetius dan Francis Hutcheson, menyarankan supaya mempromosi kebahagiaan dan mengelakkan kesengsaraan menjadi matlamat moral dasar awam.

“Kebahagiaan” sukar didefinisikan. Dalam dunia penyelidikan, ada masanya, ia digunakan silih berganti dengan istilah-istilah lain, contohnya, “kesejahteraan”.

Tokoh utama bidang kebahagiaan Amerika, Ed Diener, berusaha memberikan definisi yang komprehensif: “seseorang dikatakan memiliki kebahagiaan yang tinggi sekiranya ia mengalami kepuasan hidup dan sering berasa seronok, dan hanya jarang-jarang melalui emosi tidak senang seperti sedih atau marah. Sebaliknya, seseorang dikatakan memiliki kebahagiaan yang rendah sekiranya dia tidak puas hati dengan kehidupan, jarang berasa seronok, dan sering melalui emosi tidak senang seperti marah dan resah.

Pada 1972, Bhutan menjadi negara pertama yang secara rasmi menggunakan kebahagiaan rakyat sebagai matlamat pembangunan negara, iaitu dengan menggunakan “Kadar Kebahagiaan Negara” menggantikan “Keluaran Negara Kasar”. Kadar kebahagiaan itu meliputi empat teras: governans baik dan pendemokrasian, pembangunan sosioekonomi stabil dan saksama, perlindungan alam sekitar dan pemerkasaan budaya.

Di Malaysia, “Indeks Kesejahteraan Malaysia” mula digarap pada 1999. Menurut laporannya pada 2013, ia meliputi 14 komponen: pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan, alam pekerjaan, perumahan, aktiviti waktu senggang, governans, keselamatan awam, partisipasi sosial, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

Hari ini, lebih banyak negara telah menggunakan indeks kebahagiaan. Wujud beberapa bentuk penarafan kebahagiaan peringkat global. Antaranya ialah “Laporan Kebahagiaan Dunia” yang dimulakan pada 2012, diterbitkan Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari dan diedit oleh John Helliwell, Richard Layard and Jeffrey Sachs.

Menurut laporannya pada 2015, 10 negara yang berada di tangga teratas ialah Switzerland, Iceland, Denmark, Norway, Canada, Finland, Netherlands, Sweden, New Zealand dan Australia. Malaysia berada di tangga 61.  

Satu mercu tanda kemanusiaan tercapai baru-baru ini, apabila pada 25 September lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meluluskan “Matlamat-matlamat Pembangunan Lestari 2030” (SDG) bagi menggantikan “Matlamat-matlamat Pembangunan Milenium” yang tamat tempohnya tahun ini.

Matlamat SDG adalah lebih tinggi, iaitu, contohnya, bukan sahaja mengurangkan, tetapi menghapuskan kemiskinan; dan memasukkan tuntutan-tuntutan baru seperti kesaksamaan gender, dan keamanan serta keadilan untuk semua.

Dalam MDG, kecuali satu atau dua sasaran yang prestasi Malaysia tidak begitu baik, tetapi, pada majoriti sasarannya, prestasi kita amat baik. Kini, cabarannya ialah sebaik manakah prestasi Malaysia dalam mencapai sasaran-sasaran SDG yang lebih kompleks itu?

Kerajaan suka menggunakan angka-angka tertentu untuk menunjukkan bahawa negara berada di landasan betul. Tetapi, soalnya ialah, adakah rakyat bahagia?

Justeru, masanya telah tiba untuk rakyat mendefinisi dan beraksi menuju negara yang bahagia buat semua. Dan apabila politisi bertanya, “adakah anda bahagia?”, maka, rakyat telah bersedia dengan jawapannya.

16-10-2015 03:11

NIAT & IDEALISME PERJUANGAN UNTUK PERUBAHAN SEBENAR

Saifuddin Abdullah

Saya menceburi politik dengan niat dan idealisme perjuangan yang jelas, iaitu untuk mencapai objektif politik yang lebih tinggi, iaitu membina Malaysia yang lebih baik buat semua rakyat – Negara Ulung (Great Nation) yang makmur dan bahagia.

Maksud Negara Ulung ialah: (1) berlandaskan teras-teras utama: wawasan para pengasasnya, keluhuran Perlembagaan, pemikiran politik dan pembangunan yang demokratik dan progresif, berpijak atas Realiti Baru hari ini, dan mendepani zaman; (2) berasaskan nilai-nilai murni seperti yang terkandung dalam Rukunegara, kebenaran dan keadilan, budaya ilmu, lunas undang-undang, integriti dan inklusiviti; (3) dekat dengan denyut nadi rakyat, mendengar rintihan dan suara rakyat, menghakupaya potensi dan bakat rakyat, menyelesaikan masalah-masalah rakyat, dan yang rakyat-pemimpin bekerjasama sebagai rakan-kongsi bina-ibu pertiwi; (4) bebas daripada skandal besar (1MDB, derma 2.6 bilion).

Ini memerlukan perubahan sebenar yang melibatkan pandangan alam, pemikiran dan kerangka baru. Untuk merealisasikannya, ia memerlukan dua perubahan utama: perubahan politik dan reformasi institusi.

Perubahan politik: Antaranya, (1) meningkatkan proses pendemokrasian yang komprehensif; (2) berubah daripada politik lama kepada Politik Baru; (3) berubah daripada konfigurasi “consociationalism” (politik tawar-menawar dan pembahagian kerja antara kaum model BN) kepada konfigurasi baru – “centripetalism” (pemikiran politik kesederhanaan dan centrist pelbagai-kaum yang sebenar dan berpijak di bumi nyata, yang dibangunkan PKR/PH).

Reformasi institusi: Antaranya, (1) mengembalikan kedudukan ketiga-tiga institusi utama negara (legislatif, eksekutif dan judiciary) ke tempat dan peranannya yang sebenar; (2) memperbaiki dasar-dasar awam (contohnya migrasi daripada “dasar-dasar berasaskan-ras” kepada “dasar-dasar berasaskan-keperluan”, penghayatan integriti dan meritokrasi); (3) mengembalikan dan melonjakkan kecemerlangan institusi-institusi awam (contohnya perkhidmatan awam, pendidikan, agama dan budaya, hubungan antarabangsa).

Perkara-perkara ini dibincangkan dengan bernas dan cerdas di kalangan rakyat. Ia diperjuangkan oleh parti-parti pembangkang, seperti Keadilan, dan masyarakat sivil (CSO). Saya mempunyai idealisme dan memperjuangkan perkara fundamental yang sama sejak muda.

Tetapi, saya tidak melihatnya dibincangkan secara substantif atau komprehensif oleh UMNO/BN (walaupun ramai ahli UMNO/BN, sebenarnya, jauh di lubuk hatinya, punya aspirasi yang hampir sama).

Untuk mencapai perubahan sebenar, kita perlu kepada “gabungan minda” (coalition of minds) antara parti-parti pembangkang, masyarakat sivil (CSO), semua pihak berkepentingan dan seluruh rakyat (termasuk ahli-ahli UMNO/BN).

Justeru, dengan niat dan idealisme perjuangan yang jelas untuk mencapai objektif politik yang lebih tinggi, maka, saya membuat keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in