|
Akhirnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) akan dipinda. Khamis lalu (17 Julai 2008),
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled
Nordin telah membentangkan cadangan meminda akta ini
di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama dan bakal
dibahaskan dalam sidang Ogos ini.
Ini
bermakna bahawa perjuangan meminda akta ini yang
digerakkan, misalnya, oleh Persatuan Kebangsaan
Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu organisasi
paling konsisten dalam hal ini, hampir berhasil.
Saya
turut terlibat dalam perjuangan meminda akta ini
sejak menjadi aktivis mahasiswa di Universiti Malaya
pada 1981. Saya juga pernah menjadi mangsanya pada
1984. Saya berasa lega kerana ketika berada dalam
pentadbiran kerajaan BN hari ini, ia bersetuju
memindanya.
Kali
terakhir saya mencadangkan pindaan akta ini ialah
dalam kolum saya (“Perspektif”) di akhbar ini iaitu
ketika mengulas perjalanan pilihan raya kampus
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi
2007/2008 pada Oktober tahun lalu. Saya telah
menyoal kewujudan pengundi hantu dan tempoh penamaan
calon terpaksa dilanjutkan di dua buah IPTA.
Isu-isu
itu menambah rungutan terhadap pilihan raya kampus
seperti pengaruh parti dan ahli politik tertentu,
Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah serta
peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan
mahasiswa. Pokoknya, AUKU tidak menjadikan pilihan
raya kampus lebih baik.
AUKU
tidak meningkatkan partisipasi politik kampus. Dalam
pilihan raya kampus itu, peratusan membuang undi
merosot di tujuh buah IPTA manakala langkah IPTA
tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada
mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu
penghinaan terhadap keilmuan di samping
mengembangkan politik wang.
AUKU
juga tidak menjana kepemimpinan. Dalam pilihan raya
kampus itu, lebih seratus kerusi dimenangi tanpa
bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan
pengundian kerana semua kerusi menang tanpa
bertanding.
Sebelum
cadangan pindaan ini, terdapat tiga pendirian
tentang AUKU. Pendirian pertama, ialah AUKU baik
bagi mahasiswa. Pendirian kedua, ialah AUKU perlu
dihapuskan dan diganti dengan akta baru. Dan
pendirian ketiga, ialah peruntukan-peruntukan
tertentu AUKU perlu dipinda. Saya berpegang kepada
pendirian ketiga ini.
Mereka
yang berpegang pada pendirian pertama menganggap
AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa. Mereka
menggunakan data tentang banyaknya program yang
dilaksanakan mahasiswa sebagai bukti. Kelemahan
hujah ini ialah bahawa banyaknya jumlah program
tidak semestinya menggambarkan gerakan mahasiswa
yang sebenar.
Ini
kerana program terdiri dari tiga jenis, iaitu
“aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”. “Advokasi”
adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang
membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia
dihalang AUKU. Justeru, banyaknya program jenis
“aktiviti” dan “bakti, tetapi tiada atau sedikitnya
jenis “advokasi” tidak melambangkan gerakan
mahasiswa yang sihat dan segar.
Mereka
juga mengatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa
daripada berpolitik. Alasannya kerana tugas
mahasiswa adalah belajar. Kalau hendak berpolitik,
tunggulah selepas tamat belajar. Hujah ini
berlandaskan faham politik yang sempit dan tidak
memahami bahawa politik itu luas, iaitu termasuk
pendidikan politik, isu politik, politik
non-partisan dan sebagainya.
Alasan
lain ialah mahasiswa menggunakan duit rakyat, iaitu
biasiswa, untuk belajar. Kalau begitu, mengapakah
yang tiada biasiswa juga dilarang berpolitik? Hujah
ini juga double standard kerana ada mahasiswa
kita di luar negara yang mendapat biasiswa yang
lebih besar, iaitu menggunakan lebih banyak duit
rakyat, tetapi dibenarkan pula berpolitik.
Ada pula
yang menyatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa
daripada menentang kerajaan. Persoalannya,
mengapakah tidak ditanya mengapakah mereka menentang
kerajaan? Di samping itu, bukankah pendirian politik
seseorang mahasiswa tidak semestinya kekal dan
mungkin berubah selepas meninggalkan kampus? Jadi,
apa masalahnya?
Di
samping itu, perlu dibezakan antara memegang jawatan
parti politik, yang ada kewajarannya untuk dilarang,
dengan menjadi anggota parti politik, yang
larangannya bertentangan dengan semangat
Perlembagaan negara dan pilihan raya umum.
Perlembagaan menjamin hak berorganisasi, termasuk
menganggotai parti. Dalam pilihan raya umum,
mahasiswa digalakkan mengundi. Mengundi parti
politik boleh, tetapi menjadi anggota parti politik
tak boleh. Bukankah ini peraturan yang pelik?
Hakikatnya ialah AUKU melesukan gerakan mahasiswa.
Pada pertengahan tahun 70-an, ramai aktivis
mahasiswa ditahan yang menyebabkan sebahagian
gerakan mahasiswa lumpuh seketika. Persatuan
Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) terkubur. PKPIM
dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
tinggal anggota bukan mahasiswa. Majlis Belia
Malaysia (MBM) terputus jembatannya dengan kampus.
Banyak
tulisan, misalnya oleh Baharudin Ali Masrom dan
Zainah Anwar, telah membincangkan kesan-kesan buruk
AUKU, seperti meluasnya “budaya takut” dan sikap
“tidak apa” di kampus. Manakala Idris Ahmad dan
Ahmad Fadzil Yusof menyorot ketidakadilan layanan
terhadap kehadiran parti-parti politik di kampus dan
tindakan keterlaluan terhadap beberapa orang
mahasiswa yang kononnya didapati bersalah.
Kerana
itulah wujudnya pendirian yang kedua dan ketiga itu.
Walaupun kedua-duanya berbeza dari segi
pendekatannya, tetapi, kedua-duanya mempunyai premis
yang hampir sama dari segi penentangan terhadap
AUKU.
Dalam
hal ini, antara peruntukan AUKU yang perlu dipinda
ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5),
15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2),
16B(3) dan 16C(1).
Ini
kerana ia mengongkong mahasiswa, misalnya, mahasiswa
disekat berhimpun, mengguna pembesar suara, bendera,
sepanduk, pelekat dan poster; menjalankan aktiviti
di luar kampus, berniaga atau bekerja; menjadi ahli
atau menyokong mana-mana persatuan, parti politik
dan kesatuan sekerja; serta memungut wang dan
membuat kenyataan media.
Adakah
dengan pindaan ini maka dengan tiba-tiba sahaja
kampus akan kembali ke zaman kegemilangan gerakan
mahasiswa, iaitu seperti yang berlaku sebelum zaman
AUKU?
Tiada
siapa yang tahu jawapannya. Ini kerana setelah
sekian lama kelesuan, maka, untuk menyegarkannya
semula, walaupun tidak semestinya sampai menjadi
“mahasiswa menggugat”, iaitu slogan yang menjadi
judul buku Muhamad Abu Bakar (1973), bukanlah mudah.
Tetapi,
sekurang-kurangnya, langkah meminda akta ini dan
memberikan mahasiswa lebih kebebasan adalah jauh
lebih baik daripada mempertahankan
peruntukan-peruntukan yang drakonian. Ia mungkin
dapat mengubat luka beberapa generasi bekas aktivis
mahasiswa yang semakin ramai tidak menyokong BN
mutakhir ini, di mana AUKU adalah satu daripada
faktornya.
Namun,
AUKU bukan sekadar melibatkan mahasiswa sahaja. Ia
turut melibatkan pensyarah. AUKU juga bukan sekadar
hal ehwal politik kampus sahaja. Sebaliknya, ia
adalah antara dasar utama tentang menjadikan
universiti sebagai gedung ilmu dalam erti kata yang
sebenar.
Satu
daripada cabang ilmu yang perlu dimajukan
seluas-luasnya di kampus ialah demokrasi. Demokrasi
tidak hanya melibatkan bidang politik. Sebaliknya,
demokrasi melibatkan hampir seluruh spektrum
kehidupan. Sebagai institusi pendidikan formal
paling tinggi, maka, universiti perlu membenarkan
demokrasi diamalkan pada kadar yang paling tinggi
juga.
Universiti mesti mengelak, seperti kata Noam Chomsky
dalam bukunya Chomsky on MisEducation (2000),
daripada tersilap-didik (miseducate)
mahasiswa sehingga demokrasi diberi makna songsang,
iaitu keputusan dibuat oleh pihak atasan dan
mahasiswa hanya mengangguk sahaja, kerana universiti
memaksa ketaatan, menghalang pemikiran bebas dan
terlalu mengawal. END
|