Usah sisih kokurikulum

Posted on 30 December, 2010 17:44 by Saifuddin Abdullah in Harian Metro

PETALING JAYA: Penaja biasiswa pendidikan diminta menjadikan pencapaian kokurikulum pelajar sebagai kriteria penting sebelum meluluskan biasiswa pendidikan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sudah tiba masanya kokurikulum dinilai sebagai sebahagian daripada kecemerlangan pelajar dan bukan bergantung kepada keputusan akademik semata-mata.

Katanya, perubahan itu bakal membudayakan set minda baru terhadap kokurikulum dan menggalakkan pelajar aktif di sekolah.

“Antara cara untuk meningkatkan pencapaian kokurikulum pelajar adalah dengan memberi pengiktirafan kepada pencapaian mereka, terutama dengan pemberian biasiswa.

“Jika dilihat pada masa ini kebanyakan penaja menilai dari aspek pencapaian akademik pelajar terlebih dulu sebelum memberi biasiswa dan kita berharap mereka akan memberi perhatian kepada pencapaian kokurikulum,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penganugerahan Tabung Pinjaman Pendidikan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Angkasa, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum dan timbalannya, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Beliau berkata penaja biasiswa juga digalakkan untuk mewujudkan biasiswa kokurikulum bagi memberi peluang kepada pelajar berbakat melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan.

“Setakat ini, hanya bidang sukan saja yang ada biasiswa dan ia juga hanya ditawarkan oleh Majlis Sukan Negara. Namun, untuk bidang kokurikulum yang lain seperti pidato, debat dan kebudayaan serta beberapa lagi belum mempunyai biasiswa khusus,” katanya.

Katanya, jika perkara itu dapat direalisasikan, ia membuka ruang bagi pelajar menetapkan matlamat mereka untuk mencapai kejayaan dalam bidang kokurikulum.


Galak berdebat

Posted on 21 December, 2010 04:40 by Saifuddin Abdullah in Harian Metro

KUALA LUMPUR: Debat secara sederhana dan ilmiah perlu digalakkan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) kerana ia satu daripada kaedah menghasilkan golongan intelektual yang diperlukan untuk memajukan negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti debat berupaya melatih cara berpolitik yang sihat dan beretika ketika mengemukakan pendapat.

Menurutnya, pendebat yang unggul, bijak serta beradab memiliki potensi mengganti Ahli Parlimen pada masa depan dan, sekali gus terbabit penggubalan dasar negara untuk kesejahteraan rakyat.

“Walaupun mempunyai perbezaan pandangan dan idea ketika berdebat, tetapi tidak berlaku penghinaan terhadap pihak bertentangan atau kepada Speaker.

“Idea pendebat di kalangan mahasiswa banyak boleh diketengahkan dan ini yang negara mahukan iaitu golongan intelektual yang berupaya menyuarakan idea bernas secara beretika,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Akhir Debat Antara Universiti Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) 2010 di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut meluahkan kekesalan dengan peristiwa kecoh kelmarin di Sidang Dewan Rakyat terakhir bagi penggal tahun ini.

“Kerajaan hormati keperluan dan peranan adanya pihak pembangkang. Bagaimanapun, sangat menyedihkan apabila Sidang Dewan Rakyat dijadikan gelanggang kata-kata kesat termasuk menghina Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia),” katanya.

Menurutnya, di dalam Parlimen ada peraturan dan kaedah lebih baik untuk menyuarakan bantahan seperti membawa usul persendirian berbanding terjerit-jerit tidak tentu hala.

Katanya, walaupun Dewan Rakyat mengamalkan demokratik, tetapi setiap Ahli Parlimen perlu mengikuti peraturan, bukan sewenang-wenangnya membawa budaya jalanan.

Sementara itu, tuan rumah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpuas hati sekadar naib juara dalam pertandingan berkenaan apabila tumpas dengan kehebatan pendebat dari Institut Pentadbiran Perniagaan, Universiti Dhaka, Bangladesh.


USM sudah penuhi 20 KPI

Posted on 15 December, 2010 17:38 by Saifuddin Abdullah in Harian Metro

TIMBALAN Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Universiti Sains Malaysia (USM) yang diberikan status Universiti Apex dua tahun lalu sudah berjaya memenuhi 20 Indeks Prestasi Utama (KPI) yang dipersetujui bersama antara universiti dan kementerian.

Menurutnya, pemantauan Pasukan Penilaian Keserakanan kementerian ke universiti terbabit, 2 Disember lalu menunjukkan USM berjaya kerana keupayaannya menjana pendapatan hasil pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) iaitu antara 20 kriteria ditetapkan.

“Sebagai universiti penyelidikan dan universiti Apex, USM menjana pendapatan RM1.5 juta, iaitu paling tinggi berbanding universiti penyelidikan lain.

“Malah, penilaian dikhususkan untuk memantau pencapaian unversiti penyelidikan termasuk universiti Apex mendapati pencapaian mereka memenuhi 20 KPI yang dipersetujui bersama,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution (PKR-Machang) di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau inginkan penjelasan mengenai kekangan kewangan dihadapi universiti akibat tidak mendapat peruntukan sepatutnya untuk melaksanakan perancangan diusahakan.

Menjelaskan itu, Saifuddin berkata, atas pengiktirafan USM sebagai universiti Apex, ia diberikan peruntukan RM160 juta tahun depan dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk tujuan R&D. Beliau turut menjelaskan USM akan terus memainkan peranannya dalam melahirkan kajian dan penyelidikan terkini yang mampu memberi kesan langsung kepada masyarakat selaras statusnya sebagai universiti Apex pertama.

“Kalau USM boleh melahirkan beberapa program utama negara dari segi konsepnya seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun, maka yakinilah USM sentiasa ada kesinambungan dari segi idea dan pelaksanaan kerja-kerja yang mempunyai impak sosial,” katanya.


Saintis perlu bantu bangun produk kesihatan

Posted on 30 November, 2010 09:29 by Saifuddin Abdullah in Harian Metro

GEORGETOWN: Dalam usaha mengurangkan bilangan pengguna yang kecewa atau kerugian akibat produk kesihatan dan kesejahteraan, lebih ramai pensyarah, penyelidik dan saintis perlu membabitkan diri dalam bidang terbabit.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kini ada banyak pusat kesihatan yang memberi fokus kepada kesejahteraan termasuk spa, pusat kecantikan dan menguruskan badan tetapi kebanyakan pengusahanya tidak mempunyai kemahiran atau pengetahuan dalam bidang kesihatan kesejahteraan.

Menurutnya, disebabkan faktor itu, ramai pengguna kecewa dan mengalami kecederaan selepas mendapatkan rawatan dari pusat itu.

“Kini, kita mempunyai masyarakat yang berkemampuan mendapatkan perkhidmatan kesejahteraan tetapi tidak banyak pusat kesihatan kesejahteraan dibuka pakar perubatan, oleh itu, saya berharap lebih banyak kajian atau pakar membabitkan diri dalam bidang ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kemajuan Perubatan Lanjutan dan Institut Pergigian (AMDI) Sains Biokesihatan Antarabangsa (IBSC) di Universiti Sains Malaysia, di sini, semalam.


Jangan kaitkan empat tokoh sebagai militan

Posted on 25 June, 2010 07:16 by Saifuddin Abdullah in Harian Metro


Sudut pidato nilai idea golongan muda

Posted on 31 January, 2010 12:30 by Saifuddin Abdullah in Harian Metro