Mahasiswa tempatan, keterbukaan

Posted on 20 January, 2012 11:52 by Saifuddin Abdullah in Sinar Harian

Pada hujung Januari, saya akan singgah ke kota London dalam rangka lawatan kerja ke Eropah, untuk memenuhi undangan menjadi ahli panel di forum tahunan anjuran Himpunan Mahasiswa UK dan Ireland atau lebih dikenali sebagai UKEC. Projek Amanat Negara merupakan inisiatif tahunan UKEC di London, di mana mereka akan menjemput panel dari Kuala Lumpur untuk berbicara soal politik, ekonomi dan sosial yang sedang hangat di Malaysia.

Sudah saban tahun saya menyertai pelbagai forum anjuran UKEC- baik di Kuala Lumpur mahupun London, dan jika berkesempatan saya pasti akan memenuhi jemputan untuk ke medan diskusi bersama generasi pelapis pimpinan negara. Ternyata saya merupakan ‘peminat setia’ dengan keterbukaan perbincangan ilmiah anjuran badan mahasiswa ini. Tambahan lagi, dengan kontroversi di Malaysia berkaitan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku). Sama seperti pendirian saya menentang pelbagai kawalan terhadap media, saya juga tidak pernah bersetuju dengan sekatan mahasiswa untuk berkecimpung dalam arena politik tanahair.

Sesungguhnya universiti merupakan platform pendidikan holistik- bukan sahaja pusat ilmu teori, tetapi penting untuk menyediakan penuntutnya untuk lebih berjaya dalam hidup, dan mempersiapkan mereka menjadi warganegara yang mampu berbakti kepada negara. Bagaimanakah penuntut (dan juga ahli akademik) dapat melunaskan objektif ini jika mereka dihalang dan sering kali dihukum apabila berfikir dan bertindak secara independen.

Sememangnya saya berharap yang terbaik untuk UKEC, tetapi pada masa sama turut berasa sedih kerana mahasiswa di Malaysia tidak diberi peluang sama. Boleh dikatakan mustahil bagi penuntut kita di Malaysia untuk mengadakan forum dengan panel seperti Marina Mahathir, Pang Kee Teik dari Seksualiti Merdeka, YB Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli dari PKR untuk berbincang soal dasar kerajaan, hak asasi manusia dan tren sosiopolitik, tanpa sebarang sekatan oleh pihak universiti.

Sudah banyak contoh memperlihatkan penuntut mahu anjur forum intelektual dihalang oleh pihak universiti- yang takut akan keterbukaan ini. Ternyata, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga menjadi mangsa pentadbir universiti apabila beliau tidak diberi peluang menyertai forum di sebuah universiti tempatan.

Saya tidak faham mengapa mahasiswa di universiti tempatan tidak diberi peluang berada dalam ruang umum- di isolasi, hanya kerana mereka masih di menara gading. Bukankah ini menidakkan hak mereka sebagai warganegara?

Dari sisi sosioekonomi, negara kita juga yang akan kerugian dengan tindakan ini. Dalam ruang intelektual yang terbuka- mahasiswa diberi peluang untuk menguji hujah dan pandangan. Justeru, kebolehan berfikir mereka dapat ditajamkan, ilmu diperkaya dan keyakinan dipupuk. Ini bukan sahaja dapat membantu mereka berfikir secara kritis, tetapi mempersiapkan diri untuk berjaya dalam kerjaya pada masa hadapan. Kita pula dapat meningkatkan nilai modal insan negara. Ini kerana kita akan ada tenaga kerja berfikiran kritis, terbuka, dinamik dan pintar. Modal insan tempatan ini mampu bersaing di pasaran global dan akan meningkatkan nilai tambah ekonomi kita.

Tetapi, jika Auku tidak dipinda atau lebih baik dimansuhkan- bukan sahaja mahasiswa kerugian, tetapi juga negara dan bangsa.

Oleh itu, ironik sekali, jika kita sering mendengar keluhan syarikat-syarikat di Malaysia yang menyatakan penuntut lepasan universiti tempatan tidak mampu memenuhi kriteria untuk bekerja berbanding lulusan universiti luar.

Apa yang anda harapkan apabila sistem universiti di Malaysia tertutup dan mahasiswa dianggap seperti penjenayah apabila mereka menuntut hak bersuara dengan lantang? Justeru, tiada yang menghairankan apabila universiti kita menghasilkan lulusan tidak cemerlang dan tidak memberangsangkan.

Tidak menghairankan juga jika masalah ‘ketandusan otak’ berleluasa kalau mereka yang menuntut di luar mahu kekal di sana, kerana tidak cocok dengan sistem pemikiran tertutup kita.

Secara jujurnya: kita tidak mampu memiliki modal insan bertaraf dunia dan produktif dalam dunia tanpa sempadan ini selagi universiti dan mahasiswa kita dikongkong undang-undang yang ketinggalan zaman.

Sememangnya, langkah kerajaan untuk meminda Akta ini adalah tepat - dan penting untuk meletakkan negara atas landasan tepat untuk memacu kemajuan tanahair tercinta.


MyKasih bantu hampir 10,000 keluarga miskin

Posted on 16 January, 2012 12:06 by Saifuddin Abdullah in Sinar Harian

TEMERLOH MyKasih Foundation yang diasaskan tiga tahun lalu kini telah membantu hampir 10,000 keluarga miskin di seluruh negara termasuk 650 di Pahang dalam menjamin kehidupan lebih balk dari se gi bantuan pendidikan dan makanan.

Pengasasnya, Ngau Boon Keat berkata, MyKasih Foundation yang menggunakan teknologi Mykad menjamin setiap sumbangan sampai kepada penerima sepenuhnya sekali gus member keyakinan kepada penderma untuk menyokong program tersebut.

Menurutnya MyKasih bukan sahaja memberi bantuan makanan malah keluarga penerima juga akan terlibat dalam latihan seperti kemahiran dan kelas tambahan disediakan.

"Ia bertujuan memberi peluang pekerjaan dan mendorong anak-anak keluarga penerima untuk tents belajar walaupun dalam keadaan keluarga mereka susah,' katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian program MyKasih 'Love My Neighbourhood' di Sekolah Jenis Kebangsaan Khee Chee, di sini, kelmarin.

Program dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,  Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyKasih Foundation, Datuk Barilisham Ghazali dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tunas Manja, Datuk Chan Chin Swee.

Boon Keat yang keluarganya juga berasal dari Temerloh berkata, beliau dan keluarga sendiri menyumbang kepada 1,800 keluarga daripada keseluruhan 10,000 keluarga penerima sejak ditubuhkan tiga tahun lepas.

Beliau berkata, dengan menggunakan teknologi Mykad beliau amat berbangga dengan inovasi yang diperkenalkan dalam pengurusan bantuan kebajikan kerana semua bantuan daripada penderma dijamin sampai sepenuhnya kepada penerima.

"Bantuan ini diberikan dengan setiap keluarga menerima bantuan kewangan RM40 setiap dua minggu selama dua tahun.

"'Kriteria mereka yang layak menerima bantuan dipilih dan dicadangkan banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak sekolah yang akhirnya ditapis kelab Lion dan Rotary sebelum diluluskan permohonan mereka,' katanya.


Mahasiswa tetap sokong PM

Posted on 22 December, 2011 12:11 by Saifuddin Abdullah in Sinar Harian

PUTRAJAYA - Seramai 500 mahasiswa yang mewakili pelbagai institut pengajian tinggi (IPT) berhimpun di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Presiden Persatuan Alum­ni Pemimpin Maha­siswa Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah berkata, selain melahirkan sokongan kepada Najib, perhimpunan itu turut mengutuk tindakan mahasiswa Adam Adli, yang turunkan bendera Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, tindakan Adam Adli bukan mewakili seluruh pelajar IPT di negara ini dan ia bertindak bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Aka­demik (Bebas).

“Tujuan kami berkumpul di sini bagi menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri dan mengutuk tindakan yang dilakukan oleh Adam Adli, SMM dan Bebas.

“Golongan ini tidak mewakili kami seperti yang didakwa mereka, ini kerana perjuangannya amat berbeza sama sekali, yang mana kami menghormati pemimpin serta menggunakan saluran betul bagi menyuarakan pendapat dan pandangan,” katanya.

Sabtu lalu, Adam Adli bertindak menurunkan bendera Najib di Ibu Pejabat Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas menyerah­kan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk diserahkan kepada Perdana Menteri

Mohd Shahar berkata, pi­hak­­nya turut menghantar memorandum kepada Saifuddin berhubung tindakan beliau menerima memorandum daripada Bebas dan SMM.

“Saifuddin perlu bertanggungjawab dalam kes berkenaan kerana beliau sanggup menerima memorandum itu. Sepatutnya sebagai timbalan menteri, beliau harus menasihati agar mahasiswa tidak mengadakan demonstrasi jalanan serta menurunkan bendera Najib.

“Kami mahu beliau memberikan penjelasan berhubung tindakan menerima memorandum, membuat permohonan maaf secara terbuka dan meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri ke­rana tindakannya menggalakkan golongan itu melakukan perkara tidak bermoral,” katanya.

Mohd Shahar berkata, pihaknya memberikan tempoh 14 hari untuk Saifuddin memberikan maklum balas berhubung memorandum yang diserahkan kepadanya.

Memorandum diserah­kan kepada Setiausaha Sulit Kanan, Mohd Nazri Noh.

Sementara itu Mohd Nazri berkata, Saifuddin tiada di pejabat kerana mempunyai program rasmi di ibu kota.

“Datuk (Saifuddin) ada memaklumkan kepada saya mengenai perhimpunan ini, dan meminta saya memaklumkan kepada mereka bahawa dia mempunyai uru­san rasmi di luar.

“Beliau turut meminta penganjur perhimpunan berjumpa dengannya di Parlimen pada Khamis ini (hari ini),” katanya.


Sikap Bebas, SMM tidak bertanggungjawab

Posted on 20 December, 2011 08:40 by Saifuddin Abdullah in Sinar Harian

SHAH ALAM - Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) perlu mohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tindakan menurunkan bendera Najib di pekarangan Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan dilakukan kumpulan terbabit menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab.

“Mereka harus memohon maaf, walaupun saya menyokong perjua-ngan dan percaya dengan mereka, tetapi tindakan menurunkan bendera itu adalah perbuatan tidak wajar.

“Saya menyokong kebebasan bersuara dan penegak demokrasi, tetapi apa dilakukan kumpulan terbabit bukan sebahagian daripada yang ingin dicapai melalui pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku),” katanya.

Saifuddin berkata, kehadiran beliau di tempat berkenaan, bertujuan menerima memorandum yang ingin diserahkan kumpulan terbabit kepada Perdana Menteri, dan hanya mengetahui perbuatan menurunkan bendera kira-kira sejam kemudian.

Menurutnya, insiden itu tidak mengganggu komitmen kerajaan dalam meminda Auku dan dalam perbincangan meja bulat baru-baru ini.

“Pindaan Auku akan dibentangkan di persidangan pertama Parlimen pada tahun hadapan dan pindaan itu akan membenarkan mahasiswa terlibat politik,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kumpulan terbabit merendahkan bendera Najib yang terletak sebaris dengan semua bekas presiden Umno di PWTC.

Mereka bertindak menggantikan kain rentang pro kebebasan akademik dalam tempoh beberapa minit, sebelum menaikkan semula bendera tersebut.

Perbuatan kumpulan tersebut turut menimbulkan kemarahan pe-mimpin Umno termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.


Elak Auku senasib Akta Perhimpunan Aman

Posted on 19 December, 2011 11:15 by Saifuddin Abdullah in Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Perbincangan Meja Bulat Pindaan Auku yang diadakan kelmarin atas inisiatif Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dilihat sebagai satu usaha terbaik agar pandangan rakyat terutamanya pihak berkepentingan yang terlibat diam­bil kira oleh kerajaan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, pada mesyuarat pertamanya tahun depan.

Inisiatif bagi mendapatkan maklum balas semua pihak termasuk penuntut, parti politik pertubuhan belia, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain yang dilakukan secara terbuka serta diambil kira bagi memastikan pindaan tersebut dibuat secara progresif dan komprehensif, bukannya secara regresif dan restriktif.

Saifuddin berkata, perbincangan meja bulat itu dilakukan secara terbuka bagi me­ngelak persepsi negatif kerana hanya beberapa orang sahaja yang terlibat, dilakukan secara tertutup dan rakyat tidak tahu apakah yang dibincangkan.

Untuk memastikan matlamat ini tercapai, Meja Bulat Pindaan Auku disertai semua pihak yang berkepentingan iaitu perwakilan dari Majlis Profesor Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Majlis Peguam, Majlis Belia Negara, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), institusi pengajian tinggi awam/swasta, badan gabungan mahasiswa, kakitangan akademi, wakil parti politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, walaupun ada jawatankuasa khas ditubuhkan untuk Auku tetapi perbincangan ini penting bagi mengelakkan kerajaan me­ngulangi kesilapan ketika menyediakan rang undang-undang Perhimpunan Aman dan tidak mahu Akta Univer-siti Kolej Universiti (Auku) menerima nasib sama.

“Apa yang penting, saya hendak mengelak kerajaan mengulangi kesilapan ketika menyediakan Rang Undang-Undang Akta Perhimpunan Aman 2011 yang mana saya kira pada masa itu saya sendiri mengatakan ia satu akta yang baik dan radikal, selari dengan transformasi politik yang diperjuangkan dan itu juga ayat-ayat yang saya dengar daripada mereka yang tidak setuju dengan akta ini.

“Tetapi oleh kerana kita tidak mengadakan rundingan meluas dan terbuka, maka kerajaan telah terlepas peluang menyediakan akta yang benar-benar terbaik. Kalau de­ngar handsard dalam Parlimen dan kenyataan diberikan pelbagai pihak, itulah nada yang mereka katakan,” katanya.

Menurutnya, Meja Bulat Pindaan Auku ini bermatlamat membincangkan perkara yang perlu diambil kira dalam meminda Seksyen 15 dan supaya konsisten, selain Auku, beberapa akta berkaitan perlu dipinda bersama.


Siswa enggan mohon maaf

Posted on 19 December, 2011 08:48 by Saifuddin Abdullah in Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berpendirian tidak akan memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas insiden menurunkan bendera wajah Perdana Menteri di Perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu.

Pengerusi SMM, Abdul Syukri Abdul Razab berkata, pihaknya tidak nampak keperluan memohon maaf terhadap insiden tersebut walaupun didesak pelbagai pihak.

“Kami tidak akan meminta maaf. Kita tak perlu meminta maaf.

“Tindakan menurunkan bendera Datuk Seri Najib selama lima minit dan kemudian dinaikkan semula seharusnya dilihat sebagai mesej jelas mahasiswa bahawa perdana menteri perlu serius mendengar suara kami, suara rakyat” katanya.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan sepatutnya menumpukan tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang dikemukakan kumpulan mahasiswa itu, berbanding isu menurunkan bendera wajah Perdana Menteri.

“Isu cuba digembar-gembur ini dianggap kecil dan tidak perlu diberi perhatian berlebihan.

“Perkara menjadi keutamaan adalah tuntutan mereka berbanding tindakan yang dilakukan ketika perhimpunan mahasiswa yang disertai lebih dari 300 orang,” katanya.

Katanya, tindakan menurunkan bendera tersebut juga sebagai satu gambaran tentang kita sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara yang dilihat gagal menangani isu-isu utama negara.

“Kita tidak mahu terlibat dalam retorik politik, sebaliknya kerajaan perlu melihat semula tuntutan yang kita perjuangkan sekarang,” katanya.

Abdul Syukri berkata, sekiranya tiada tindakan dilaksanakan, pihaknya akan terus mendesak perubahan sehingga melibatkan saluran demokrasi yang ada.

Katanya, kejadian penurunan bendera tersebut adalah tindakan spontan mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan.

Menurutnya, tiada tindakan agresif dilakukan mahasiswa dan hanya kurang dari lima minit bendera tersebut diturunkan sebelum kembali ke tempat asal semula selepas itu.

Ketika ditanya apakah tindakan mereka enggan memohon maaf bertentangan dengan pendirian sederhana diperlihatkan oleh Saifuddin yang sanggup menerima memorandum mereka kelmarin, Ahmad Syukri berkata, pihaknya tidak melihat ia akan menjejaskan imej timbalan menteri itu.

“Sebaliknya kami berharap Datuk Saifuddin akan lebih berani memperjuangkan keterbukaan dan kepentingan generasi muda,” katanya.