Top

Twitter

15-08-2016 06:25

Anwar ikon perjuangan mahasiswa

10  Ogos lalu ialah hari lahir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-69. Kerana beliau tahanan politik, maka, ia disambut di penjara. Pada malamnya, saya menyertai isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, keluarganya dan kira-kira 500 penyokongnya meraikannya di depan penjara Sg Buloh. Kami berucap, berpuisi, menyanyi dan memotong kek hari jadi.

Sebelum giliran saya, aktivis mahasiswa Anis Syafikah (penganjur demonstrasi #TangkapMO1 di Dataran Merdeka pada 27 Ogos ini) berucap. Beliau menghujah tentang betapa zalimnya keadaan, di mana pejuang rakyat, Anwar, merengkok di penjara sedangkan perompak rakyat, Najib, berseronok di Putrajaya.

Memandangkan ramainya mahasiswa/belia pada malam itu, dan teruja dengan ucapan Anis, dan kerana dua hari kemudiannya (12 Ogos) adalah Hari Belia Antarabangsa, maka, saya memilih untuk berucap tentang Anwar sebagai bekas pejuang mahasiswa/belia.

Anwar diperkenalkan kepada saya oleh senior di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semasa Sudut Pidato pada 1975. Ketika itu Anwar Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan dipenjarakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana demonstrasi bersolidariti bersama petani-petani Baling yang menderita miskin, pada hujung 1974.

Beliau bekas pelajar MCKK. Pada 1968-1971, beliau menuntut di Universiti Malaya dan menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pada 1971, beliau mengasas-bersama Abim.

Anwar berperanan pivotal memberi nafas baru dan kepemimpinan unik terhadap gerakan mahasiswa/belia di kampus, dalam masyarakat, di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Beliau terkenal dengan kekentalan keyakinan dan tindakannya yang dipandu kekuatan idealisme, aktivisme dan intelektualisme. 

Suaranya tentang “memperkasa bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu”, “gelombang kebangkitan Islam”, “jurubicara umat”, “ejen perubahan”, “yang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin” dan “menegakkan kebenaran dan keadilan” disambut hangat para mahasiswa/belia dan rakyat.

Beliau memperjuangkan bahasa kebangsaan sebagai medium pengajaran di universiti, mendesak agar mahasiswa diizinkan berpolitik dan mengetuai NGO-NGO menentang cadangan kerajaan mengetatkan Akta Pertubuhan yang akan mengongkong suara rakyat.   

Anwar menjadi tokoh muda nasional. Di samping itu, beliau juga dihormati di pentas antarabangsa. Pada 1975-1982, beliau anggota pimpinan Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY). Pada 1970-1971, beliau anggota panel penasihat belia kepada Setiausaha Agung PBB.

Beliau telah menonjolkan ciri demokratnya dengan mengartikulasi prinsip-prinsip demokratik, perwakilan dan berdikari. Sebagai anggota pimpinan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), beliau dikenali sebagai pemimpin-intelek Muslim yang moderat dan progresif. Beliau juga terkenal kerana menganjurkan toleransi agama dan keharmonian hidup bersama antara pelbagai bangsa dan agama.  

Baginya, ilmu dan pendidikan adalah premium. Ketika mahasiswa, beliau menjalankan kempen kesedaran bagi meningkatkan taraf pendidikan pelajar-pelajar luar bandar dan miskin bandar. Sebaik bergraduasi, beliau menubuhkan Yayasan Anda Akademik, sekolah swasta-kebajikan bagi menyediakan peluang kedua bersekolah menengah untuk pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang kemampuan. Beliau menerbitkan majalah Potensi (SPM), Diskusi (STPM) dan Panji Masyarakat (sosio-politik). 

Beliau menjuarai sistem pendidikan Islam yang moden dan bersepadu. Maka, lahirlah Taski Abim, yang diikuti Seri dan Semi (sekolah rendah dan menengah), sehingga, kini, Dar al-Hikmah.

Anwar ikon perjuangan mahasiswa/belia. Sehingga hari ini, mahasiswa/belia sentiasa berada dalam pusat mindanya. Beliau amat memahami akan pentingnya pemimpin pelapis. Sebab itulah beliau melahirkan sekian ramai ahli politik muda Keadilan, termasuk sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Justeru, adalah bertepatan sekali untuk kita mendedikasikan Hari Belia Antarabangsa 2016 kepada Anwar.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/anwar-ikon-perjuangan-mahasiswa-1.552162

01-08-2016 10:32

Mengharap kejayaan Turki ketiga

SEBAIK mengetahui tentang kudeta tentera (15 Julai 2016), saya menghubungi pakar Turki, Prof Datuk Dr Muhamad Redzuan Othman. Supaya saya mempunyai pandangan terdidik tentang kudeta itu. Ini penting memandangkan wujudnya naratif anti gerakan Islam, demokrat Muslim dan Erdogan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan telah berjaya membangunkan-semula Islam dan ekonomi Turki. Beliau berusaha meletakkan Turki sebagai pemain global yang penting, seperti semasa Khulafa Uthmaniyah, iaitu sebelum era Kemal Artaturk. Menurut Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, sejak 2002, rakyat Turki memilih Erdogan dan AKP untuk membina Turki baharu yang stabil, makmur dan moderat – “Turki Ketiga” – yang berbeza daripada Turki Uthmani dan Turki Kemali.    

Ada yang membenci Erdogan kerana beliau berpendirian sendiri, tidak mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar dan kritikal terhadap Israel; membantu rakyat Arakan, Gaza, Somalia dan Syria; dan beliau/AKP menjadi model demokrat Muslim dan gerakan Islam progresif.

Ketika kudeta masih berlaku, pada 8 pagi, 16 Julai (waktu Malaysia) Ketua Pembangkang dan Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan Pakatan Harapan. Kenyataan itu mengutuk kudeta tentera, bersolidariti dengan Erdogan dan rakyat Turki, mendoakan keselamatan rakyat Turki dan mendesak kudeta dihentikan segera.

Pada 8.30 pagi, Awani menyiarkan liputan yang baik, termasuk temu bual telefon dengan Prof Redzuan, yang meramalkan kudeta akan berakhir dengan kegagalan ketika fajar menyingsing di Turki. Ramalannya ternyata tepat.

Pada 21 Julai, Prof Redzuan dan Ahmad Azam Ab Rahman, Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan NGO Dunia Islam (UNIW) yang beribu pejabat di Istanbul, memberikan penerangan terperinci tentang kudeta yang gagal itu dalam forum anjuran Unisel-Institut Darul Ehsan (IDE).

 Rakyat Turki telah menolak peranan tentera dalam politik, yang keutamaannya hanyalah untuk mempertahan sekularisme. Masalahnya, dan saya bersetuju dengan Ahmet T Kuru, sekularismenya bukannya “sekularisme pasif”, iaitu pemisahan negara dan agama, tetapi mengizinkan kehadiran agama dalam ruang awam, tetapi, ia “sekularisme asertif” (keras), iaitu doktrin Kemalisme yang anti-agama (Islam) dan mengharamkan kehadiran agama dalam ruang awam.

Imej ikonik Erdogan bercakap telefon adalah signifikan. Tetapi, sekiranya beliau tidak diterima sebagai pemimpin Islamik dan demokratik, mana mungkin masjid-masjid melaungkan azan mengajak rakyat ke jalan raya dan mereka, yang berjuta-juta itu, berani berhadapan dengan kereta kebal dan senapang.

Keadaan sebenar perlu difahami. Fethullah Gulen mempunyai strategi rahsia, yang bermula dengan pendidikan dan diakhiri dengan mendapatkan kuasa; menyelinapi kehakiman, akademia dan media; dan terlibat dalam percubaan-percubaan menggulingkan Erdogan sebelum ini.

Kawalan terhadap media sosial tertentu ialah kerana ia digunakan menyebar rahsia besar keselamatan negara. Perlu melihat 650,000 orang yang ditangkap junta tentera pada 1980 sebelum menyimpulkan bahawa tangkapan Erdogan adalah terbesar dalam sejarah.

Mengapa kini, kualiti pegawai-pegawai Turki di NATO dipersoalkan, sedangkan dahulu, ini tidak timbul? Mengapa perancang utama kudeta ialah jeneral Turki di pengkalan udara Incerlik yang digunakan US? Mengapa sebahagian pemimpin Barat lambat mengutuk kudeta dan memberikan sokongan hambar sahaja kepada Erdogan?

Kita mahu Erdogan/AKP berjaya. Dukungan ini bukannya emosional atau tak-rasional. Erdogan tidak sempurna. Kita kritikal, tetapi tidak berat sebelah atau begitu cepat melabelnya diktator. Ada beza antara kritik destruktif dengan kritik konstruktif.

Sebab itu, pada 18 Julai, delegasi Pakatan Harapan bertemu Duta Turki ke Malaysia. Mereka menyampaikan kebimbangan-kebimbangan kita dan menyarankan supaya Erdogan meneruskan pendemokrasian serta menegakkan undang-undang dan kebebasan.

Kita terus mengikuti perkembangan Turki, contohnya, perpaduan antara AKP dan tiga parti pembangkang terbesar (CHP, MHP dan HDP).

18-07-2016 05:47

Mendepani persempadanan semula

MENURUT Bersih 2.0, 118,774 pengundi telah dipindahkan kawasan Dun mereka. Daripada jumlah tersebut, lebih 40,000 melibatkan pemindahan kawasan Parlimen. Tetapi, alamat mereka tidak berubah.

Ini berlaku akibat 'pembetulan lokaliti' yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

Memandangkan kes ini serius, maka, pada 1 Julai 2016, saya menyertai pimpinan Pakatan Harapan, Pas dan PSM serta aktivis-aktivis NGO yang diketuai Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah ke ibu pejabat SPR di Putrajaya menghantar memorandum mendesak SPR memberi penjelasan mengapa ini berlaku.  

Jumlah pengundi yang dipindahkan itu besar dan boleh memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.

Contoh pemindahan dari Dun ke Dun ialah: dari N13 Sungai Abong (P145 Bakri) ke N12 Bentayan (P145 Bakri): 6,322 pengundi; dari N07 Batang Kali (P94 Hulu Selangor) ke N06 Kuala Kubu Baharu (P94 Hulu Selangor): 5,590 pengundi; dan dari N03 Pemanis (P141 Sekijang) ke N02 Jementah (P140 Segamat): 2,448 pengundi.

Contoh pemindahan dari Parlimen ke Parlimen ialah: dari P191 Kalabakan ke P190 Tawau: 2,742 pengundi; dari P141 Sekijang ke P140 Segamat: 2,694 pengundi; dan dari P107 Subang ke P108 Shah Alam: 1,937 pengundi.

Pembetulan lokaliti ini telah merubah jumlah pengundi dan sempadan kawasan-kawasan Dun/Parlimen. Tindakan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kerana ia umpama melakukan persempadanan-semula yang memerlukan kelulusan Parlimen.

Ia akan menyebabkan pengundi yang terlibat keliru pada hari mengundi kerana daerah mengundinya telah berubah. Ia menyusahkan wakil-wakil rakyat dan ahli-ahli majlis PBT dalam menjalankan tugasannya.

Memorandum kami itu mendesak SPR: menjelaskan alasan-alasan spesifik mengenai pemindahan tersebut, supaya pengundi dapat menilainya; dan memindahkan-semula pengundi yang terlibat ke kawasan-kawasan Dun/Parlimen mereka yang asal.

Hari berikutnya, saya menghadiri Seminar Persiapan Persempadanan semula yang dianjur bersama oleh Majlis Peguam dan Tindak Malaysia.

Seminar itu menjadikan persempadanan semula Sarawak pada 2015 sebagai kajian kes. Persempadanan semula itu telah menambah jumlah kawasan Dun daripada 71 kepada 82. Satu saman telah dibuat terhadap SPR di mahkamah tinggi oleh sekumpulan pengundi yang tidak berpuas hati dengan cara persempadanan semula itu dilaksanakan. Malangnya, saman itu ditolak Mahkamah Persekutuan. Persempadanan semula itu akhirnya diluluskan oleh Parlimen yang dikuasai BN.

Menurut Ahli Jawatankuasa Majlis Peguam, Roger Chan Weng Keng, matlamat seminar itu ialah untuk menyediakan rakyat/pengundi dalam menghadapi proses persempadanan semula yang akan datang, iaitu, dengan belajar daripada kes Sarawak, supaya sekiranya perlu dibuat bantahan atau saman, maka, kali ini, ia akan berjaya.

Mengapakah rakyat/pengundi perlu bersedia dan berpartisipasi dalam proses persempadanan-semula? Kerana kita ingin memastikan yang ia berjalan dengan betul.

Masalahnya ialah kerana BN telah beberapa kali meminda peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan persempadanan semula yang menyebabkan berlakunya salah pembahagian (malapportionment) dan gerimander (gerrymandering) secara berleluasa dan memihak kepada BN.

Satu lagi masalah ialah kerana keyakinan rakyat terhadap SPR semakin merosot. Menurut Merdeka Center, pada 2008, 77 peratus rakyat berpuas hati dengan kerja SPR. Pada 2012, ia 51 peratus sahaja. Dari segi penyelewengan dalam pilihan raya pula, pada 2008, 36 peratus rakyat menganggap penyelewengan berlaku. Pada 2012, ia meningkat kepada 49 peratus.

Oleh itu, adalah amat mustahak untuk kita memainkan peranan aktif dalam proses persempadanan semula. Dan sekiranya persempadanan semula tidak berlaku menjelang PRU14, maka, kita harus sedar bahawa “pembetulan lokaliti” oleh SPR adalah sebenarnya persempadanan semula melalui pintu belakang yang akan menjejaskan keputusan PRU14. 

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/mendepani-persempadanan-semula-1.542298

20-06-2016 05:42

Pastikan urbanisasi mampan

DARI semasa ke semasa, masyarakat antarabangsa menggubal dasar yang bernas bagi menjadikan dunia ini lebih baik. Kerajaan Persekutuan mendakwa bahawa Malaysia memainkan peranan aktif. Satu masa dulu, peranan kita diiktiraf. Tetapi, hari ini ia berkurangan.

Peranan kita tidak terhad pada penglibatan menteri-menteri atau pegawai-pegawai di mesyuarat-mesyuarat inter-kerajaan sahaja. Dunia semakin menuntut partisipasi semua pihak, termasuk sektor perniagaan dan masyarakat sivil. Tetapi kerajaan kurang mengalu-alukan partisipasi pihak lain. Ini mesti diubah.

Saya menyatakan perkara ini berdasarkan pengalaman dan dalam konteks Sustainable Development Goals 2030– SDG (Matlamat Pembangunan Mampan 2030) yang diluluskan PBB pada 2015. SDG menggantikan Millennium Development Goals 2015– MDG (Matlamat Pembangunan Milenium 2015).

SDG meminta semua negara supaya melaksanakan 17 Objektif, yang menurut Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon, “adalah visi bersama buat kemanusiaan… satu senarai perkara yang perlu dilakukan untuk manusia dan planet, dan satu pelan untuk kejayaan.''

Pengalaman melaksanakan MDG menunjukkan bahawa kejayaannya bergantung pada kerjasama semua pihak, dengan peranan penting penggerak-penggerak yang terdekat dengan rakyat, iaitu bandar/bandar raya dan kerajaan tempatan.

Menurut World Cities Report 2016 (UN Habitat), 54% penduduk dunia (70% pada 2050) dan 80% KDNK global adalah di bandar/bandar raya.

Tetapi, pertumbuhan bandar/bandar raya hari ini diliputi budaya keuntungan jangka pendek dan amalan-amalan penggunaan dan pengeluaran yang tidak mampan. Akibatnya, 75% bandar/bandar raya dunia berhadapan masalah kesenjangan pendapatan yang lebih lebar daripada dua dekad lalu.

Sebab itulah SDG mendedikasikan Objektif 11 buat bandar/bandar raya, iaitu “menjadikan bandar/bandar raya inklusif, selamat, kuat dan mampan.''

Bandar/bandar raya dan kerajaan tempatan mampu mencipta kekayaan, pekerjaan dan kemajuan. Justeru, ia berpotensi menjayakan SDG, iaitu melalui tindakan, kepimpinan dan kerjasama tempatan.  

Inilah latar belakang 'Forum Antarabangsa tentang Dasar Urban untuk SDG' anjuran Kerajaan Metropolitan Seoul, CityNet dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik PBB (ESCAP), di Seoul, pada 8-10 Jun 2016.

Ia telah membincangkan peranan bandar/bandar raya dan kerajaan tempatan dalam urbanisasi yang mampan selaras dengan Objektif 11 dan objektif-objektif SDG yang lain.

Forum ini telah meluluskan 'Resolusi Seoul tentang Dasar Urban untuk SDG,' yang mengandungi lima prinsip pelaksanaan dasar-dasar pembangunan mampan untuk bandar/bandar raya, iaitu: kepimpinan kerajaan tempatan dan perancangan bersepadu; partisipasi rakyat sebagai nadi pembangunan mampan; perancangan bernas untuk pembangunan mampan dan inklusif; rakan kongsi pelbagai peringkat; dan perkongsian ilmu sesama bandar/bandar raya.

Resolusi ini akan dipanjangkan kepada Persidangan Perumahan dan Pembangunan Urban yang Mampan PBB (Habitat III) di Quito, Ecuador, pada Oktober 2016.

Habitat III dijangka meluluskan 'Agenda Baru Urban' dengan satu anjakan paradigma. Antara lain, ia dijangka menyentuh soal-soal akses saksama terhadap frasarana fizikal dan sosial, kebudayaan dan keselamatan, memperkasa partisipasi rakyat, ekonomi inklusif dan mampan, berdaya perniagaan dan pekerjaan, dan menangani bencana dan alam sekitar.

Di peringkat nasional, sementara Unit Perancang Ekonomi mengetuai pelaksanaan SDG di peringkat kerajaan, Pakatan Harapan akan memainkan peranan dalam memastikan dan memperkasa partisipasi rakyat dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaiannya.

Antaranya ialah penubuhan Kaukus Ahli Parlimen tentang SDG. Di Pulau Pinang dan Selangor, kami akan mengetuai pelaksanaannya di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Elemen-elemennya telah pun dimulakan.

Contohnya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggalakkan Majlis Perbandaran Seberang Jaya melaksanakan Belanjawan Partisipatif, manakala Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Azmin Ali mahu kerajaan-kerajaan tempatan membangunkan smart city. Institut Darul Ehsan (badan pemikir kerajaan negeri Selangor) pula telah menyiapkan rancangan Reformasi Kerajaan Tempatan.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/saifuddin-abdullah/pastikan-urbanisasi-mampan-1.534105#.V2dr4GU13ho.whatsapp

07-06-2016 12:39

Pendekatan maqasid al-syariah

MAQASID al-syariah bermakna matlamat tinggi syariah. Ia meliputi keseluruhan kehidupan dan tidak terhad kepada hukuman jenayah semata-mata.

Hari ini, apa yang diperlukan ialah membangun kerangka bagaimana kita dapat bekerjasama dengan harmoni membina Malaysia yang lebih baik. Kerangka yang telah dipilih ialah demokrasi, yang integral dalam Islam. Kita mesti menjayakannya.

Inilah tanggapan saya menyertai “Seminar Kebangsaan Maqasid al-Shari’ah dan Fiqh Demokrasi” anjuran Institut Darul Ehsan (IDE), pada 28 Mei lalu. Ia dirasmikan Naib Canselor Universiti Selangor Prof Datuk Dr Muhamad Redzuan Othman.

Perbincangannya dimulakan dengan ucaptama Prof Dr ‘Abdul Rahman al-Kailani, antara tokoh maqasid al-syariah kontemporari. Beliau membentangkan lima elemen utama maqasid al-syariah: perubahan, tamadun, prioriti, shura dan rahmat buat semua.

Penggulungannya dilakukan Pengerusi IDE Datuk Dr Siddiq Fadzil. Dengan pendekatannya – manhaj malazi (pendekatan Malaysia), beliau mengutarakan, antaranya, kepentingan, nilai, kepentingan awam, kebebasan dan keadilan dalam maqasid al-syariah, yang saya rujuki untuk sebahagian besar rencana ini.

Maqasid al-syariah amat penting bagi menangani pelbagai isu dengan menyediakan jawapan yang sesuai dengan Realiti Baru. Perlu ijtihad dan cara berfikir baru. Sambil berpegang pada akar tradisi, ia perlu melakukan anjakan paradigma daripada teori kepada aplikasi dalam seluruh spektrum kehidupan.

Maqasid al-syariah terumus dalam memelihara “lima kepentingan” kehidupan: agama, nyawa/jiwa, akal, keturunan dan harta. Hakikatnya, ia adalah nilai-nilai universal yang diakui semua agama dan kebudayaan. Nilai-nilai yang dikongsi ini dapat menjadi katalis kerjasama kemanusiaan yang inklusif dan sejagat.

Premis maqasid al-syariah adalah kepentingan rakyat. Politik Islam mestilah berorientasi-rakyat. Ia tidak terhad kepada umat Islam sahaja. Kerana Islam rahmat untuk semua (Muslim dan bukan-Muslim). Pimpinan Islam mesti berbakti buat semua dan tidak diskriminatif. Islam mementingkan hidup-bersama, persefahaman dan kerjasama. Piagam Madinah adalah contoh terbaik bagaimana politik Islam dipraktikkan atas landasan persamaan hak dan tanggungjawab semua rakyat (Muslim dan bukan Muslim).

Kepentingan rakyat perlu dikenal pasti dengan kaedah tertentu. Tidak boleh secara unilateral oleh sesiapapun. Ia mesti berdasarkan kebebasan, termasuk kebebasan bersuara dan membuat keputusan. Kerana Islam meraikan kebebasan, termasuk dalam hal beragama.

Justeru, undang-undang dan dasar-dasar mesti ditentukan oleh rakyat secara demokratik. Pentadbiran autokratik, kronisme, nepotisme, rasisme, dan kepentingan politik atau individu adalah bertentangan dengan kepentingan rakyat. Pimpinan Islam seharusnya menjuarai perjuangan kebebasan, perubahan, pendemokrasian dan reformasi.

Keadilan adalah premium. Ia mesti ditegakkan semua. Bagi mereka yang diamanahkan kuasa, maka, tanggungjawabnya adalah lebih. Dan ia mesti ditegakkan setiap masa.

Bagi syariah secara khusus, menurut Jasser Auda, maqasid al-syariah menyediakan jawapan-jawapan bagi persoalan-persoalan seperti mengapakah zakat termasuk dalam Rukun Islam? Apakah manfaat puasa Ramadan? Apakah hubungan hak asasi manusia dengan syariah? Bagaimana syariah membantu pembangunan dan tamadun?

Matlamat syariah adalah keadilan. Ia tidak terhad hanya kepada teks/akta semata-mata. Ia meliputi keseluruhan pelaksanaannya: draf, pentadbiran, siasatan, pengadilan, keputusan, hukuman dan bagaimana hukuman dijalankan. Ia mengambil kira persediaan dan kepentingan rakyat, prioriti dan tahap-tahap pelaksanaan.

Bagi Auda, pendekatan maqasid membawa isu-isu perundangan ke peringkat falsafah yang lebih tinggi, lalu mengatasi perbezaan-perbezaan politik dan mazhab-mazhab, dan menggalakkan rekonsilisasi dan wujud-bersama yang harmoni, dan (saya tambah): melihat undang-undang sivil dan syariah Malaysia dengan cara yang lebih baik.

“Syariah adalah berdasarkan kebijaksanaan dan pencapaian kebajikan manusia di dunia dan akhirat. Syariah adalah tentang keadilan, rahmat, kebijaksanaan dan kebaikan. Justeru, apa-apa yang menggantikan keadilan dengan ketidakadilan, rahmat dengan sebaliknya, kebaikan dengan kejahatan, atau kebijaksanaan dengan kebodohan, ia bukannya syariah, walaupun didakwa demikian oleh sesetengah tafsiran” – ibn al-Qayyim.

25-04-2016 17:26

Integriti masih ada harapan

DATUK Seri Nazir Razak kini sedang bercuti sukarela daripada jawatannya sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Bhd dan Pengarah Bank CIMB Bhd, iaitu sehingga selesai penilaian aktiviti-aktiviti perbankan yang melibatkan akaun peribadinya. Ini ekoran penglibatannya membantu abangnya Perdana Menteri Najib Razak mengagihkan dana politik berjumlah RM27.5 juta semasa PRU 2013.

Nazir menganggap dana tersebut tidak melibatkan apa-apa yang bersalahan dengan undang-undang, dan penglibatannya tidak menyalahgunakan jawatannya sebagai CEO CIMB pada masa itu, atau menyalahgunakan sumber-sumber CIMB. Bagaimanapun, beliau menyesali akan penglibatannya itu.  

Beliau telah menjelaskan segala-galanya kepada lembaga CIMB. Lembaga itu melantik Ernst & Young sebagai auditor luar. Menurut Nazir, tindakannya bercuti adalah sebagai langkah tambahan bagi memastikan integriti sepenuhnya dalam proses penilaian tersebut, yang dijangka selesai dalam beberapa minggu ini.

Apa yang menarik ialah, di sebalik kes ini, dalam Mesyuarat Agung CIMB pada 18 April lalu, beliau dipilih semula sebagai Pengerusi oleh para pemegang saham. Pada saya, ini melambangkan keyakinan mereka terhadapnya. Kerana beliau sentiasa menjunjung integriti dan berusaha mengaplikasi standard urus tadbir korporat yang paling tinggi dalam kerja-kerjanya.

Tetapi, Nazir dihormati bukan sahaja dalam dunia perniagaan, tetapi juga dalam kalangan masyarakat yang lebih luas. Komentar-komentarnya yang kritikal diikuti ramai. Termasuklah pendapatnya tentang 4I – integriti, inklusif, (reformasi) institusi dan inovasi.

Apabila beritanya bercuti ini menjadi viral, beliau dianggap bikin serupa cakap. Dalam suasana Malaysia sedang dihantui dua maha skandal – 1MDB dan 2.6 bilion – langkah Nazir ini memberi harapan buat integriti. Bahawa integriti belum mati.

Integriti mesti diamalkan bukan sahaja oleh ahli perniagaan, tetapi oleh semua, terutamanya ahli politik. Ini kerana politik sering dikotori oleh kronisme, nepotisme, politik wang dan rasuah.

Menurut Pelan Integriti Nasional, integriti politik ialah amalan politik yang beretika dan berasaskan prinsip-prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik.

Musuh utama integriti ialah rasuah. Dalam bukunya yang terkenal, Corruption: its Nature, Causes and Functions, Dr Syed Hussein Alatas menggariskan sembilan ciri rasuah: mengkhianati kepercayaan, menyelewengkan organisasi, menenggelamkan kepentingan awam, kerahsiaan dalam kalangan pihak berkuasa, siapa yang terlibat, obligasi dan manfaat, pengaruh, justifikasi undang-undang mengaburi perbuatan rasuah dan fungsi-fungsi bertindih mereka yang terlibat.

Pada hari ini, nilai-nilai tersebut telah diterjemahkan menjadi teknologi dan peralatan yang sedia untuk digunakan. Contohnya, Rakan Kerajaan Terbuka yang meliputi sistem urus tadbir yang komprehensif berdasarkan prinsip-prinsip partisipasi, ketelusan dan kebertanggungjawaban; dan Teknologi Pengurusan Perbelanjaan yang terdiri daripada sistem e-perolehan dan e-bidaan.

Walaupun Laporan PAC tentang 1MDB telah dibentangkan di Parlimen, tetapi, masih amat sukar untuk menyatakan yang Perdana Menteri telah menegakkan integriti dan, tanpa sebarang keraguan, bebas daripada rasuah.   

Meskipun 1MDB bercerita separuh-benar, tidak mengongsi maklumat penting dan tidak menyerahkan dokumen tertentu, namun, laporan tersebut telah dapat membuktikan 1MDB melakukan kesalahan-kesalahan besar pengurusan dan bertentangan dengan prinsip-prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik. Ia mengesahkan akan kebenaran kritik-kritik terhadap 1MDB. Ia tidak mengatakan Perdana Menteri tidak bersalah.

Pada 19 April lalu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC telah mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan – bahawa Pengerusi PAC mengedit versi akhir laporan tersebut tanpa pengetahuan mereka, dan bahawa kandungan laporan yang diterbitkan itu ada perbezaan dengan apa yang diluluskan dalam mesyuarat PAC.

Dalam keadaan demikian, maka, ada yang membuat perbandingan di antara dua orang anak Tun Razak – Nazir vs Najib.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in