Top

Twitter

29-03-2016 05:09

Pastikan isytihar aset berkesan

SETAKAT ini, hanya Ketua Menteri, Exco dan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang, dan sebahagian Exco Selangor, serta Ahli Parlimen (MP) Pandan Rafizi Ramli, merupakan ahli politik yang dengan sukarela membuat pengisytiharan asetnya dan maklumatnya dapat dilihat orang ramai di laman web kerajaan/peribadi yang berkaitan. 

Ini antara dapatan kajian oleh Shaza Onn, bertajuk Bagaimana memperbaiki Sistem Pengisytiharan Aset Malaysia bagi memerangi rasuah yang diterbitkan Institut Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) pada 2015.

Ia dikongsi oleh Ketua Pegawai Operasi Ideas Tricia Yeoh di Forum Pengisytiharan Aset yang dianjurkan dan dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh, di Shah Alam pada 3 Mac lalu. Ahli panel lain ialah Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh, Pengasas C4 Cynthia Gabrel, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Samat Kasah dan saya.

Dalam pembentangan saya, dengan merujuk, antaranya, OECD (2011) Asset Declarations for Public Officials: A tool to prevent corruption, dan pengalaman Georgia yang memenangi Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kategori

Mengelak dan Memerangi Rasuah dalam Perkhidmatan Awam pada 2013, saya telah mengemukakan 10 cadangan dasar bagi memperbaiki sistem pengisytiharan aset Malaysia.
10 cadangan itu ialah:

Objektif: Ia mesti bermula dengan objektif yang jelas, iaitu: meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam; membantu ketua-ketua institusi-institusi awam mengelakkan konflik peribadi di kalangan kakitangannya; dan mengawasi pemilikan aset ahli politik dan pegawai kerajaan bagi mengelakkan mereka daripada melakukan salah laku dan melindunginya daripada tuduhan palsu.

Perundangan: Hari ini, ahli politik tidak diwajibkan membuat pengisytiharan aset. Menteri dan timbalan menteri melaporkannya kepada SPRM setiap dua tahun. Bagi pegawai kerajaan, telah terdapat peraturan yang mewajibkan pengisytiharan dibuat kepada ketua-ketua jabatan. Apa yang diperlukan ialah diwujudkan undang-undang yang mewajibkan ahli politik tertentu mengisytiharkan aset dan memperkukuhkan sistem bagi perkhidmatan awam.

Badan bertanggungjawab: Perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan MP perlu mengisytiharkannya kepada Jawatankuasa Parlimen yang bebas. Menteri besar/ketua menteri, Exco dan Adun mengisytiharkannya kepada Jawatankuasa Dun yang bebas. Kakitangan kerajaan mengisytiharkannya kepada SPRM. Anggota kehakiman mengisytiharkannya kepada jawatankuasa khasnya.


Siapa mesti mengisytiharkan aset?: PM, TPM, menteri, timbalan menteri, menteri besar/ketua menteri, Exco, MP, Adun, Datuk Bandar/YDP PBT, ahli majlis PBT, anggota badan kehakiman, pendakwa raya, ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan pegawai-pegawai kepada menteri/timbalan menteri.   

Apakah aset perlu diisytiharkan?: Pendapatan tahunan, akaun bank, harta benda, harta benda boleh alih (kereta, barang kemas, dsb), perniagaan, kontrak, hadiah dan wang tunai.

Bagaimana pengisytiharan dibuat?: Dalam tempoh dua bulan selepas dilantik, dan pada setiap tahun.

Pengesahan: Pengisytiharan perlu disahkan oleh SPRM yang telah ditambah baik.

Hukuman: Keingkaran daripada membuat pengisytiharan mesti dihukum.

Perkongsian awam: Pengisytiharan mesti boleh diakses oleh khalayak, misalnya, melalui laman web.

Penilaian sistem: Sistem yang digunakan perlu dinilai dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya.

Menurut OECD, hanya masa yang akan menentukan sejauh mana pengisytiharan aset dapat mengurangkan rasuah dan meningkatkan keyakinan terhadap perkhidmatan awam.

Tetapi, ia telah menjadi standard dunia, termasuk dengan gesaan PBB, sejak 2003, untuk negara-negara anggotanya melaksanakannya.

Bagi kita, dengan pelbagai isu dan skandal rasuah mutakhir ini, kita mesti memperbaiki dan menjadikannya benar-benar berkesan.

15-02-2016 05:45

Menanti debat Asri-Zamihan

PADA 17 Februari ini, akan berlangsung debat tentang ekstremisme agama antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Zamihan Mat Zin.

Ia dianjurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ini status ketika rencana ini ditulis. Ia menamatkan ketidaktentuan tentang debat tersebut yang bermula dengan Zamihan mencabar Asri berdebat secara terbuka. Sebelum ini, Shahidan mengumumkan debat diadakan pada 10 Februari. Asri bersetuju. Tetapi, Zamihan berkata beliau tidak menyatakan persetujuan untuk berdebat seperti yang dinyatakan Shahidan kerana ada tugasan lain. Beliau juga menyebut tentang nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya debat dibuat secara tertutup.

Umum mengetahui yang Asri dan Zamihan punya pendapat berbeza dalam beberapa isu Islam atau isu-isu yang dilihat daripada perspektif Islam. Semasa sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, saya pernah mempertahankan Asri dan 19 orang lain (termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang) yang dituduh Wahabi oleh Zamihan dalam satu taklimat sebelum itu.

Tajuk debat ini tepat. Ini kerana Islam menegakkan wasatiyyah (kesederhanaan). Menurut al-Quran: “Kami telah jadikan kamu satu umat yang adil supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu.” (al-Baqarah:143). Wasatiyyah bermakna 'umat yang adil'.

Menurut Mohammad Hashim Kamali, wasatiyyah amat rapat dengan keadilan, dan cenderung memilih jalan tengah di antara dua ekstrem, dan sering digunakan bersilih ganti dengan istilah-istilah purata, asas, standard, pusat, berkecuali, pilihan terbaik dan seimbang.

Lawan kepada wasatiyyah ialah tataruf, iaitu cenderung terhadap kepenghujungan, ekstrem (termasuk keganasan), radikalisme dan pembaziran (dan lawannya: ketidakcukupan).

Justeru, Islam menolak semua bentuk keganasan, termasuk yang dilakukan atas nama Islam, seperti Negara Islam (IS).

Tetapi, wujud juga ekstremisme agama bentuk lain. Contohnya, takfir, iaitu mengkafirkan sesama Muslim.

Untuk menangani gejala ini, sebuah dokumen penting – The Amman Message (Deklarasi Amman) – telah diterima pakai oleh 230 sarjana Islam terkemuka dari 50 negara pada 2006. Ia inisiatif Raja Abdullah II bin al-Hussein dari Jordan. Malaysia menandatanganinya melalui Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dokumen tersebut memutuskan tiga perkara fundamental:

Mengiktiraf sebagai sah semua 8 Mazhab Sunni, Syiah dan Ibadhi; pemikiran Ash’ari; Sufi, dan pemikiran Salafi yang sebenar, dan memberi definisi kemas tentang siapa itu seorang Muslim.

Berdasarkan definisi tersebut, mereka melarang takfir sesama Muslim.

Berdasarkan mazhab tersebut, mereka menetapkan pra-syarat subjektif dan objektif dalam mengeluarkan fatwa, lantas mendedahkan fatwa yang jahil dan tidak sah. 

Saya berharap debat ini tidak mengulangi nasib debat Umno-Pas (pada 1990-an) yang dibatalkan pada saat akhir kerana arahan pihak atasan.

Debat sebahagian daripada tradisi Islam. Menurut al-Quran, “Dan serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan pengajaran yang baik; dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (an-Nahl:125). Namun, perdana menteri hari ini menganggap debat bukan budaya kita.

Saya juga berharap ia disiar secara langsung di TV. Rakyat, termasuk bukan-Islam, tidak sebodoh yang dianggap sesetengah pihak, yang sebenarnya, mahu meneruskan status quo, iaitu semuanya dibuat secara tertutup dan rahsia (rasmi), serta memonopoli maklumat.

Sekiranya kita benar-benar mengamalkan budaya ilmu, k-masyarakat, Islam rahmat untuk semua dan wasatiyyah, kita dapat mengelakkan daripada kontroversi-kontroversi seperti penggunaan kalimah ALLAH, rampasan Injil, sentimen anti-Syiah dan kes anak-anak Izwan-Deepa.

 

Link: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/menanti-debat-asri-zamihan-1.485179

18-01-2016 04:34

Perjanjian politik demi rakyat

GABUNGAN pembangkang yang baharu ditubuhkan – Pakatan Harapan – yang dianggotai Keadilan, DAP dan Amanah telah menandatangani satu perjanjian rasmi, iaitu “Perjanjian Pakatan Harapan” di Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam pada 9 Januari lalu.

 

Ia ditandatangani Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

 

Perjanjian ini bermatlamat memperkasa Pakatan Harapan. Ia mengandungi 7 Fasal yang meliputi perkara-perkara fundamental, iaitu keputusan bersama, kesatuan politik, penyelesaian konflik, dasar-dasar bersama, pilihan raya, pembentukan kerajaan dan peranan pembangkang, dan keabsahan gabungan.

 

Antara fasal terpenting ialah tentang membuat keputusan bersama antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan secara konsensus; dan Pakatan Harapan meletakkan seorang calon sahaja bagi mewakilinya dalam mana-mana pilihan raya.

 

Perjanjian ini bukan dokumen undang-undang atau perjanjian persefahaman. Ia adalah dokumen politik untuk membentuk kesatuan politik yang mampan.

 

Tetapi, apa yang lebih penting ialah bahawa perjanjian ini bukanlah sekadar tentang parti politik sahaja. Ia adalah perjanjian yang bertujuan meningkatkan bakti terhadap rakyat. Ini dicatat dengan jelas dalam mukadimahnya:

 

Matlamat tertinggi sesuatu kerajaan adalah menyejahterakan rakyatnya dengan seadil mungkin merentas batasan bangsa dan ras, menembus sempadan agama dan budaya, melintas ruang dan zaman. Makanya suatu kerajaan yang adil adalah bertuankan rakyat dan memelihara rakyat; fungsinya meluaskan rahmat kepada rakyat yang merangkumi segala matlamat syariat (maqasid al-syariah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahat (kepentingan) kemanusiaan.

 

Ini selaras dengan firman ALLAH dalam Ayat 107 Surah Al-Anbiya’ mafhumnya “Dan tidaklah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada alam seisinya” iaitu satu penyataan tegas bahawa teras syariat Islam adalah rahmat dan kasih sayang Tuhan yang inklusif meliputi seluruh warga alam.

 

Seruan yang sama ke arah menyuburkan kasih kepada seluruh warga alam, membina persaudaraan manusiawi, menegakkan keadilan merentasi batasan, meletakkan yang hak dan menentang kezaliman adalah nilai-nilai sejagat yang dikongsi oleh semua agama, peradaban dan budaya yang membentuk rencam rakyat Malaysia yang pelbagai.

 

Kontrasnya gagasan rahmat ini (yang sewajarnya menjadi matlamat setiap kerajaan) dengan kebejatan yang berlaku sekarang di dalam masyarakat. Pemimpin menjadi bahan cemuhan rakyat, tindakan bukan dipaksikan kepada kebajikan rakyat tetapi kerakusan mengumpul harta sementara masa mengizinkan.

 

Rakyat lemas di tengah-tengah kebejatan ini. Rakyat berhak untuk diberi pilihan mengangkat sebuah kerajaan yang bertuankan rakyat dan memelihara rakyat dalam semua aspek kehidupan individu dan bermasyarakat.

 

Tuntutan rakyat yang mahukan sebuah kerangka persefahaman politik yang kukuh dan jelas telah dihadam oleh Keadilan, DAP dan Amanah yang membentuk Pakatan Harapan.

 

Kami sedar tuntutan ini datang daripada keyakinan rakyat bahawa gagasan dasar-dasar yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan melalui Dasar Bersama Pakatan Harapan hanya boleh dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan bila terbinanya kesatuan politik yang utuh di antara Keadilan, DAP dan Amanah.

 

Bahawa kesatuan politik itu adalah pra-syarat kepada sebuah pakatan politik yang bersatu padu, progresif dan kuat yang boleh membangun dan membela rakyat.

 

Perjanjian ini bukanlah tongkat sakti. Tetapi, ia menjawab kebanyakan persoalan tentang masa depan politik negara.




Source: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/perjanjian-politik-demi-rakyat-1.473740

 

04-01-2016 15:12

Bukan masa untuk putus asa

SEKIRANYA kedua-dua pembentangan Belanjawan 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan barometer meramalkan keadaan tahun ini, maka, rakyat Malaysia akan kelihatan tinggal di dua dunia yang berbeza.

Ini kerana kedua-dua belanjawan tersebut menggunakan kerangka yang sangat berbeza. Belanjawan BN melukiskan ‘keadaan seperti biasa’, kerajaan mampu menangani segalanya, dan rakyat tidak perlu risau. Manakala Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan melihat dengan serius kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dan kewangan, dan langkah-langkah ‘mengelakkan krisis’.  

Bagi kebanyakan rakyat biasa, tahun ini, mereka terpaksa berhadapan dengan krisis pendapatan peribadi dan isi rumah.

Lebih ramai belia akan menganggur. Sebahagian daripada graduan universiti atau kolej kemahiran akan, sama ada menganggur, atau mendapat pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakannya. Mereka sedih melihat bertambahnya kebanjiran pekerja asing, termasuk 1.5 juta dari Bangladesh. Mereka kesal apabila seorang timbalan menteri menyarankan supaya melakukan dua kerja.  

Oleh kerana gaji rendah dan bekerja jauh dari rumah ibu bapa, ada yang tidak mampu menyewa rumah lalu menyewa bilik sahaja. Sekiranya belum berkeluarga, dikira bernasib baik. Kerana sudah ada kes-kes di mana dua atau tiga keluarga terpaksa berkongsi menyewa sebuah rumah. 

Mereka tidak faham makna rumah mampu milik. Mereka tidak terfikir pun untuk membuat pinjaman membelinya. Pinjaman PTPTN pun belum langsai. Mereka perlu membuat pinjaman kenderaan untuk pergi bekerja, dan berhadapan dengan kenaikan tol. Mereka terkilan apabila ada menteri mencadangkan bangun awal dan gunakan jalan lain ke tempat kerja.

Ada yang terpaksa makan hanya sekali sehari, atau makan selang sehari, atau berbaris mengambil makanan di tempat-tempat penyediaan makanan untuk gelandangan di Lembah Kelang.

Bagaimana pula dengan mereka yang diberhentikan kerja? Bagaimana dengan perniagaan yang gulung tikar?

Bagaimana dengan ibu bapa yang tidak kecukupan wang untuk menyediakan pakaian, peralatan dan kenderaan sekolah yang sewajarnya untuk anak-anaknya? 

Ilustrasi di atas adalah benar. Kita belum mengetahui datanya. Tetapi, ada kalanya angka-angka kurang penting berbanding kes-kes sebenar. Ada kalanya kita terlalu mementingkan angka-angka sehingga lupa bahawa mereka adalah manusia, dan bukannya sekadar angka. Pokoknya, pengangguran, kurang pendapatan, kos hidup yang tinggi dan ketidakmampuan perumahan akan menghantui sebahagian daripada rakyat pada tahun ini. 

Skandal 1MDB dan RM2.6 bilion mungkin diselesaikan tahun ini. Tetapi, siapa saja yang akan mempercayai laporan rasminya? Kebanyakan orang telah pun membuat keputusannya sendiri. 

Dalam politik, Umno dan Pas mungkin semakin akrab. Manakala Pakatan Harapan bakal menandatangani Perjanjian Pakatan Harapan pada 9 Januari dan melancarkan Dasar-dasar Bersamanya pada pertengahan tahun.

Tetapi, kebanyakan rakyat biasa adalah mereka yang paling tidak politikal tetapi paling terkesan dengan krisis ekonomi dan kewangan. Justeru, perasaan kesal, tertekan, sinikal, marah dan pasrah akan meningkat.

Namun, ini bukan masanya untuk berputus asa. Ini adalah masa untuk kebijaksanaan rakyat. Iaitu tentang mengorganisasikan diri dan kebijaksanaan bersama. Rakyat biasa mampu membangunkan kebijaksanaan rakyat. Ini telah pun berlaku melalui media sosial.

Rakyat biasa bersuara, menulis, berfoto, menerbit dan berkongsi. Mereka menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sesama sendiri, termasuk yang kompleks, contohnya, sekolah di rumah untuk anak-anak. Mereka mampu menyelesaikan sendiri masalah-masalah yang dihadapi secara sukarela. 

 Kita mungkin jarang mengetahui aktiviti-aktivitinya. Ini kerana mereka tidak mencari publisiti. 

2016 mungkin menjadi tahun di mana rakyat biasa mula menentukan sendiri destininya.

Link: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/bukan-masa-untuk-putus-asa-1.468389

23-11-2015 11:39

Perang belanjawan

PADA 16 November lalu, Ahli-ahli Parlimen mengundi, pada peringkat dasar, Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2015. Seperti dijangka, kerana BN majoriti, ia diluluskan dengan 128 Ahli Parlimen (AP) mengundi setuju berbanding 74 tidak setuju.

Namun, perang belanjawan kali ini lebih panas. Ia bermula dengan pembentangan Belanjawan Alternatif oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 21 Oktober 2015.

Ia dibentang bagi pihak Pakatan Harapan yang baru sahaja dilancarkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat. Pakatan yang baharu ini, terdiri daripada Keadilan, DAP dan Amanah, tanpa parti pembangkang lain, khususnya Pas. Tetapi, Pakatan berusaha mendapatkan sokongan semua AP pembangkang supaya menolak bajet BN.

Tetapi, Presiden Pas Datuk Seri Haji Hadi Awang mengumumkan yang Pas akan berkecuali. Sebagai reaksi, Majlis Presiden Pakatan mengeluarkan kenyataan bersama bahawa Pakatan tetap menolak bajet BN dan meneruskan Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM. Bagi Pakatan, adalah tanggungjawab moral para AP untuk melakukan kedua-dua perkara tersebut bagi pihak rakyat jelata. Kenyataan itu, yang tidak membidas Haji Hadi, menunjukkan yang Pakatan masih membujuk AP bukan-Pakatan.

Pada 16 November itu, 74 undi tidak setuju itu adalah daripada kepaduan AP Pakatan, termasuk 3 AP Pas. AP Pas yang lain berkecuali, manakala 4 orang, termasuk Haji Hadi, tidak hadir.

Keputusan pengundian itu menunjukkan bahawa Pakatan Harapan berkesan. Namun perang belanjawan belum berakhir. Ini kerana, sekarang, Dewan Rakyat mengundi belanjawan pada peringkat jawatankuasa (kementerian-kementerian), dan ada satu lagi undian keseluruhan yang dijadualkan pada hujung bulan ini.

Istilah “perang belanjawan” saya pinjam daripada salah satu tajuk bab dalam buku pemenang anugerah Nobel Joseph Stiglitz (2012), The Price of Inequality. Bab itu membincangkan betapa, ketika ekonomi US sedang berhadapan dengan kegawatan, terdapat cadangan supaya dikurangkan defisit belanjawan melalui pemotongan perbelanjaan dan menaikkan cukai.

Menurut Stiglitz, pendekatan tersebut tidak menyelesaikan masalah sebenar, iaitu pengangguran yang tinggi, jurang antara input dan output ekonomi, dan kesenjangan yang semakin melebar. Pendekatan itu lari daripada persoalan mengapa defisit itu berlaku pada peringkat asalnya.

Dalam konteks ini, terdapat perbezaan antara kerangka bajet BN dengan Pakatan. BN mengelak daripada persoalan kemungkinan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi, tetapi Pakatan mendepaninya. Tajuk belanjawan Pakatan ialah “Mengelakkan krisis”. Tajuk BN ialah “Mensejahterakan rakyat”.

Tetapi, perbezaan utamanya ialah dalam menangani masalah kesenjangan. Belanjawan Pakatan mengambil kira cadangan-cadangan Malaysia Human Development Report 2013 (MHDR) yang disediakan pasukan diketuai Tan Sri Dr Kamal Salih.

Menurut MHDR, golongan super-kaya (1%) memiliki kuasa beli 22 kali lebih daripada golongan miskin, dan 18 kali lebih daripada golongan pertengahan. Dalam kalangan golongan pertengahan, yang di bandar memiliki kuasa beli 43% lebih daripada yang di luar bandar. Manakala wanita memiliki kuasa beli 33% lebih rendah daripada lelaki.

Sebab itulah belanjawan Pakatan mencadangkan supaya GST disifarkan. Kerana cukai 6% yang dilaksanakan kini membebankan rakyat. Tetapi, BN menganggap GST penyelamat ekonomi!

Sebab itu, persediaan belanjawan mesti menepati persoalan utama, bukannya mengelakkannya. Contohnya, adakah lojik untuk memotong perbelanjaan universiti awam tetapi menambah peruntukan Jabatan Perdana Menteri? Adakah lojik, secara purata, rakyat ditambah 14 sen sehari melalui BR1M tetapi terpaksa membayar RM19 sehari untuk GST?

Akhirnya, para AP hanya berperang belanjawan sekali dalam setahun, tetapi, rakyat bawahan terpaksa berperang dengan masalah sebenar belanjawan pada setiap hari.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Rakyat. Beliau aktif di twitter: @saifuddinad

26-10-2015 06:31

Negara ulung yang bahagia

SEMPENA Maal Hijrah baru-baru ini, saya menarik perhatian rakyat agar menyertai suatu “gabungan minda” untuk membina Malaysia sebagai negara ulung yang makmur dan bahagia.

Saya menggariskan empat faktor pembinaan negara ulung: berdasarkan teras-teras utama, berasaskan nilai, interaksi rakyat-kerajaan yang lebih akrab dan bebas skandal. Ini memerlukan perubahan yang sebenar. Dua perubahan utama yang diperlukan ialah perubahan politik dan reformasi institusional.

Pada masa sama, masalah-masalah besar yang dihadapi rakyat, seperti kos kehidupan, pekerjaan, perumahan, kenaikan tol, wabak demam kepialu dan jerebu, mesti diselesaikan segera.

Menjadikan kebahagiaan sebagai matlamat nasional bukanlah idea baru. Menurut Derek Bok, pendekatan ini mencapai minat yang tinggi sejak abad ke-18. Ramai sarjana, seperti Cesare Beccaria, Claude-Adrien Helvetius dan Francis Hutcheson, menyarankan supaya mempromosi kebahagiaan dan mengelakkan kesengsaraan menjadi matlamat moral dasar awam.

“Kebahagiaan” sukar didefinisikan. Dalam dunia penyelidikan, ada masanya, ia digunakan silih berganti dengan istilah-istilah lain, contohnya, “kesejahteraan”.

Tokoh utama bidang kebahagiaan Amerika, Ed Diener, berusaha memberikan definisi yang komprehensif: “seseorang dikatakan memiliki kebahagiaan yang tinggi sekiranya ia mengalami kepuasan hidup dan sering berasa seronok, dan hanya jarang-jarang melalui emosi tidak senang seperti sedih atau marah. Sebaliknya, seseorang dikatakan memiliki kebahagiaan yang rendah sekiranya dia tidak puas hati dengan kehidupan, jarang berasa seronok, dan sering melalui emosi tidak senang seperti marah dan resah.

Pada 1972, Bhutan menjadi negara pertama yang secara rasmi menggunakan kebahagiaan rakyat sebagai matlamat pembangunan negara, iaitu dengan menggunakan “Kadar Kebahagiaan Negara” menggantikan “Keluaran Negara Kasar”. Kadar kebahagiaan itu meliputi empat teras: governans baik dan pendemokrasian, pembangunan sosioekonomi stabil dan saksama, perlindungan alam sekitar dan pemerkasaan budaya.

Di Malaysia, “Indeks Kesejahteraan Malaysia” mula digarap pada 1999. Menurut laporannya pada 2013, ia meliputi 14 komponen: pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan, alam pekerjaan, perumahan, aktiviti waktu senggang, governans, keselamatan awam, partisipasi sosial, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

Hari ini, lebih banyak negara telah menggunakan indeks kebahagiaan. Wujud beberapa bentuk penarafan kebahagiaan peringkat global. Antaranya ialah “Laporan Kebahagiaan Dunia” yang dimulakan pada 2012, diterbitkan Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari dan diedit oleh John Helliwell, Richard Layard and Jeffrey Sachs.

Menurut laporannya pada 2015, 10 negara yang berada di tangga teratas ialah Switzerland, Iceland, Denmark, Norway, Canada, Finland, Netherlands, Sweden, New Zealand dan Australia. Malaysia berada di tangga 61.  

Satu mercu tanda kemanusiaan tercapai baru-baru ini, apabila pada 25 September lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meluluskan “Matlamat-matlamat Pembangunan Lestari 2030” (SDG) bagi menggantikan “Matlamat-matlamat Pembangunan Milenium” yang tamat tempohnya tahun ini.

Matlamat SDG adalah lebih tinggi, iaitu, contohnya, bukan sahaja mengurangkan, tetapi menghapuskan kemiskinan; dan memasukkan tuntutan-tuntutan baru seperti kesaksamaan gender, dan keamanan serta keadilan untuk semua.

Dalam MDG, kecuali satu atau dua sasaran yang prestasi Malaysia tidak begitu baik, tetapi, pada majoriti sasarannya, prestasi kita amat baik. Kini, cabarannya ialah sebaik manakah prestasi Malaysia dalam mencapai sasaran-sasaran SDG yang lebih kompleks itu?

Kerajaan suka menggunakan angka-angka tertentu untuk menunjukkan bahawa negara berada di landasan betul. Tetapi, soalnya ialah, adakah rakyat bahagia?

Justeru, masanya telah tiba untuk rakyat mendefinisi dan beraksi menuju negara yang bahagia buat semua. Dan apabila politisi bertanya, “adakah anda bahagia?”, maka, rakyat telah bersedia dengan jawapannya.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in