Mendepani transformasi ketiga demokrasi

Posted on 7 July, 2011 04:35 by Saifuddin Abdullah in The Malaysian Insider

6 JULAI — Perkembangan politik mutakhir, sama ada di tanah air ataupun di seberang laut, menimbulkan beberapa persoalan tentang demokrasi. Ada yang mengungkapkan fenomena defisit demokrasi, iaitu perihal terhadnya partisipasi rakyat. Ada yang mengatakan dunia berada di zaman pasca-demokrasi, iaitu natijah daripada kecanggihan masyarakat moden. Manakala ada yang menyifatkannya sebagai krisis politik egalitarian.

Adakah zaman keemasan demokrasi telah berakhir, iaitu akibat arus globalisasi dan terhakisnya fungsi negara-bangsa?

Demokrasi masih sistem politik yang terbaik. Tetapi, untuk menambahkan kekuatannya dan mengurangkan kelemahannya, maka, kita perlu melakukan pemikiran-semula tentang demokrasi, iaitu cara kita berfikir dan berbuat atas nama demokrasi, malahan, tentang gagasan demokrasi itu sendiri.

Dalam konteks ini, saya telah menyarankan agar kita melakukan sesuatu untuk mematangkan demokrasi negara ini. Ia selaras dengan salah satu daripada cabaran Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat demokratik yang matang.

Saya telah mencadangkan pendekatan politik baru, yang antara lain, meliputi ‘kerangka governans baru’ dan ‘inovasi demokrasi’. Kedua-duanya merujuk kepentingan untuk meningkatkan partisipasi rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Pada masa yang sama, sebenarnya, kita sedang berhadapan dengan ‘transformasi ketiga demokrasi’, iaitu frasa yang digunakan Robert Dahl (1994), dalam tulisannya, “A Democratic Dilemma: Systems Effectiveness vs Citizen Participation”.

Menurut Dahl, ‘transformasi pertama demokrasi’ telah berlaku pada separuh pertama abad kelima sebelum Masehi, di Greece, di mana wilayah-wilayah yang tidak mengamalkan demokrasi, iaitu mengamalkan aristokrasi, oligarki, monarki, atau campuran antara ketiga-tiganya, telah berubah lalu mengamalkan demokrasi.

Demokrasi dilaksanakan dalam ruang lingkup negara-kota yang kecil. Institusi demokrasi yang utama ialah dewan perhimpunan di mana semua rakyat dapat berpartisipasi secara langsung. Ini dapat dilakukan kerana jumlah rakyatnya kecil sahaja.

Dalam ‘transformasi kedua demokrasi’, demokrasi telah bertukar daripada negara-kota yang kecil kepada peringkat negara-bangsa yang lebih besar. Partisipasi semua rakyat secara langsung tidak lagi praktikal kerana jumlahnya sudah besar. Apa yang menyebabkan transformasi kedua ini berjaya ialah idea dan amalan yang kini dianggap amat penting bagi demokrasi, iaitu perwakilan.

Akibat transformasi yang meliputi saiz dan bentuk demokrasi ini, maka, wujudlah institusi-institusi dan amalan-amalan demokrasi yang sedang kita laksanakan hari ini, seperti pilihan raya dan parlimen. Rakyat berpartisipasi dalam pilihan raya dengan memilih wakilnya untuk berhimpun di parlimen.

Kini, ‘transformasi ketiga demokrasi’ sedang berjalan. Modelnya belum begitu jelas. Tetapi, apa yang jelas ialah dua perkara. Pertama, rakyat, termasuk belia/mahasiswa dan wanita, mahu partisipasinya ditingkatkan dan diluaskan. Ini memerlukan inovasi demokrasi. Dan kedua, kerajaan tidak boleh lagi menggunakan kerangka lama, iaitu memerintah, tetapi perlu menggunakan kerangka baru, iaitu governans. Ini memerlukan kerangka governans baru.

Untuk membicarakan transformasi ketiga ini, Hubert Heinelt (2010) menulis buku Governing Modern Societies: Towards participatory governance. Ia menyorot keperluan diwujudkan sistem dan amalan demokrasi yang melampaui struktur kerajaan yang sedia ada. Ia menekankan soal governans yang bersifat partisipatori.

Heinelt mengemukakan lima perspektif. Pertama, governans bersifat partisipatori beroperasi dalam satu model yang terdiri daripada dunia-dunia demokrasi yang berbeza-beza, iaitu yang pelbagai norma governans dan makna demokrasinya.

Kedua, governans beroperasi di tengah-tengah sektor-sektor kepentingan yang berbeza-beza dan saling lengkap melengkapi, yang memerlukan legitimasi yang berbeza-beza juga, iaitu mengikut keperluan masing-masing sektor.

Ketiga, perlu digalakkan banyak diskusi dan debat tentang reformasi, inovasi dan transformasi demokrasi dan governans, iaitu berhubung soal legitimasi, keberkesanan, akauntabiliti dan sebagainya. Kita tidak sepatutnya menonjolkan perbezaan-perbezaan dalam perbincangan dan pendekatan tersebut atau menolaknya semata-mata kerana ketiadaan kata sepakat. Sebaliknya, kita patut menggunakan apa-apa yang baik dalam setiap perbincangan dan pendekatan tersebut sebagai saling lengkap melengkapi.

Keempat, perlu diwujudkan model baru geometri politik yang anjal. Mengikut model ini, struktur governans yang vertikal diapit oleh peranan masyarakat sivil yang diiktiraf. Ini menambahkan peluang yang luas untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan dan meningkatkan partisipasi rakyat di pelbagai peringkat melalui pelbagai amalan demokrasi.

Dan kelima, walaupun untuk mencapai matlamat bermasyarakat, beberapa peraturan dan norma diperlukan, tetapi, kewujudan kepelbagaian dan perbezaan perlu diraikan dan keseragaman politik dalam semua hal perlu dipersoalkan. Ini kerana matlamat dan keberhasilan politik ditentukan sendiri oleh mereka yang berpartisipasi dalamnya dan oleh orang lain yang menerima kesan daripadanya, manakala keputusan boleh berubah mengikut ruang dan masa yang bergantung pada konteksnya yang khusus.

Kesimpulannya, sistem-sistem demokrasi perlu dilihat sebagai bentuk-bentuk artikulasi, intermediasi dan pembuatan keputusan yang kompleks dan pelbagai.

Untuk menilai sejauhmana sesebuah kerajaan mengamalkan governans bersifat partisipatori, lima elemen perlu diambil kira, iaitu: keterbukaan dan mudah akses; mutu perbincangan yang diadakan; keberkesanan mencapai objektif yang dibincang bersama; saluran dengan ruang awam; dan kebersamaan dalam membuat dan melaksanakan keputusan dan tindakan.

Proses pembentukan model demokrasi terkini hasil daripada transformasi ketiga ini kelihatan bergerak dengan pantas. Sebahagian daripada kepantasannya itu disebabkan oleh faktor yang berada di luar domain demokrasi, tetapi memberikan dampak besar yang saling lengkap melengkapi, iaitu teknologi media baru.

Menurut Leah A. Lierouw (2011) dalam bukunya, Alternative and Activist New Media, media baru ditandai oleh tiga komponen utama, iaitu ‘artifak’ atau peralatan yang membolehkan dan memanjangkan kapasiti rakyat untuk berkomunikasi dan berkongsi; ‘amalan’ dan aktiviti komunikasi yang dilakukan rakyat dengan menggunakan artifak itu; dan ‘aturan’ sosial dan organisasi yang lebih luas yang bentuk oleh rakyat dengan mengoptimumkan artifak dan amalan tersebut.

Apabila aktivis demokrasi menggunakan media baru, terutamanya dengan mengintegrasikan artifak, amalan dan aturan itu hingga menjadi ‘gelanggang’ baru, seperti e-demokrasi, maka kepantasan transformasi ini menjadi semakin memuncak.

Transformasi ketiga demokrasi bergerak umpama sebuah keretapi laju. Kita ada empat pilihan. Pilihan pertama, ialah segera menaikinya dan mengemudinya ke arah dan dengan kelajuan yang kita ingini. Pilihan kedua, ialah lambat menaikinya lalu hanya sempat sekadar menjadi penumpang sahaja. Pilihan ketiga, ialah terlalu lambat menaikinya hingga ditinggalkannya. Dan pilihan keempat, ialah menghalangnya lalu mati dilanggarnya.

* Datuk Saifuddin Abdullah is deputy minister for higher education and Umno supreme council member.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/mendepani-transformasi-ketiga-demokrasi-saifuddin-abdullah/


Umno perlu pemikiran politik progresif

Posted on 11 May, 2011 17:55 by Saifuddin Abdullah in The Malaysian Insider

Oleh Saifuddin Abdullah
May 11, 2011

ANALISIS, 11 Mei — Dalam menyambut ulang tahunnya yang ke-65, fokus Umno tentulah menghadapi pilihan raya umum ke-13. Dalam konteks ini, tentulah jenteranya perlu dipersiapkan dengan selengkap-lengkapnya dan semantap-mantapnya. Namun demikian, pengalaman politik mutakhir memberi kita iktibar bahawa di samping persiapan bentuk konvensional, kita juga perlu melakukan persiapan bentuk kontemporarial.

Di tengah-tengah realiti politik kontemporari yang serba memungkinkan ini, antara lain, Umno perlu melihat dengan serius faktor yang melibatkan sesetengah rakyat, terutamanya golongan berpendidikan, intelektual dan orang muda yang menolak Umno kerana melihatnya sebagai parti yang ketinggalan dari segi pemikiran politiknya.

Memang Umno bukan parti yang punya ideologi. Dan, saya tidak menyarankan agar Umno dengan tiba-tiba sahaja menggubal satu ideologi. Tetapi, ini tidak bermakna sampai Umno tidak mempunyai pemikiran politik tentang demokrasi, konsep penghakupayaan, maksud partisipasi, cara-cara menjadi kerajaan, kesaksamaan gender, pembangunan lestari dan sebagainya.

Kita perlu menerima hakikat bahawa landskap politik telah berubah. Perubahan ini berlaku bukan kerana pilihan raya umum ke-12 atau semasa pilihan raya umum ke-12. Sebenarnya, perubahan ini telah berlaku sejak terbitnya milenium baru ini. Faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan ini banyak. Antaranya ialah globalisasi, liberalisasi, k-ekonomi, kemajuan ICT, kemunculan generasi Y, pengembangan idea tentang alam sekitar dan lain-lain lagi.

Ini menyebabkan peranan dan fungsi negara-bangsa dan kerajaan telah berubah. Ini juga menyebabkan corak, cara dan citra politik dan demokrasi turut berubah. Kerana itu, beberapa bentuk pemikiran politik yang baru telah mula muncul.

Antara pemikir politik kontemporari yang penting ialah pensyarah London School of Economics, Anthony Giddens, yang terkenal dengan bukunya, The Third Way (1998) dan The Third Way and its Critics (2000). Pemikirannya telah mempengaruhi banyak perdebatan tentang amalan demokrasi hari ini.

Giddens dianggap guru politik kepada Perdana Menteri Tony Blair dan mempunyai impak besar terhadap kelahiran “New Labour” di UK. Apa yang kurang diketahui ialah bahawa Giddens juga mempengaruhi pemikiran Presiden Bill Clinton iaitu tokoh “New Democrat” yang paling terkenal dari Amerika Syarikat. Di samping itu, Giddens turut diminati pemimpin-pemimpin seperti Gerhard Schroder, Wim Kok dan Massimo D’Alema.

Dalam kata sambutan terhadap buku Giddens (2000), Presiden Brazil, Fernando Henrique Cardoso menyatakan bahawa debat The Third Way telah sampai ke peringkat dunia dari segi penyatuan idea-idea dan kepelbagaian dasar-dasar. Presiden Suruhanjaya Eropah, Romano Prodi pula menyatakan bahawa Giddens telah menyediakan petunjuk penting dalam mencapai pemikiran baru tentang demokrasi dan pembangunan ekonomi yang diperlukan oleh Kesatuan Eropah.

Saya tidak menganjurkan agar Umno menggunakan pemikiran Giddens. Tetapi, Umno perlu cakna akan pemikiran-pemikiran politik kontemporari yang berpengaruh, tidak kiralah oleh Giddens atau oleh pemikir yang lain.

Saya mencuba dengan mengetengahkan gagasan Politik Baru.

Di samping dua komponennya iaitu integriti politik dan kerangka 'governans' baru, Politik Baru juga meliputi dua elemen lain iaitu inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif. Pada saya, apa yang penting ialah Umno perlu membina, mengembang dan menyebarkan pemikiran politiknya yang tersendiri tentang apa-apa yang berlaku dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Kita perlu memberikan tafsiran kita tentang mengapa sesuatu itu terjadi. Kita perlu memberikan kupasan tentang mengapa sesuatu tindakan dan keputusan kita lakukan sama ada sebagai parti atau sebagai kerajaan.

Kenyataan biasa, misalnya, “ini adalah bukti kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat”, tidak lagi menarik imaginasi sebahagian daripada rakyat. Penerangan biasa, misalnya, “keadaan di negara kita adalah lebih baik daripada negara lain” tidak lagi menarik aspirasi sebahagian daripada rakyat. Malahan, ayat-ayat yang biasa, misalnya “rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan”, kini telah diketawakan oleh sebahagian rakyat.

Prinsip perjuangan Umno iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah suci dan perlu diteruskan. Tetapi, dalam suasana landskap politik yang telah berubah ini, ia perlu disampaikan, diterangkan dan dipopularkan dengan pendekatan yang sesuai dengan suasana yang baru ini. Prinsip perjuangan ini perlu didefinisikan semula dan diposisikan semula agar Umno sentiasa kelihatan segar dan mekar di tengah-tengah landskap politik yang baru dan sentiasa berubah ini.

Apa yang saya maksudkan dengan pemikiran politik progresif ialah, contohnya Umno perlu memberi pengisian terhadap gagasan 1 Malaysia sebagai mencerna idea masyarakat baik. Masyarakat baik perlu punya terasnya. Antara terasnya ialah budaya ilmu, pembinaan tamadun, partisipasi demokratik, perkongsian ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar. Pemikiran ini perlu dilakukan untuk pembangunan di pelbagai peringkat iaitu kebangsaan, negeri dan tempatan. Satu contoh pemikiran politik progresif yang praktikal ialah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ini berlaku di peringkat kebangsaan. Di peringkat tempatan, sebagai Ahli Parlimen Temerloh, saya menggerakkan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA).

Dalam konteks Model Baru Ekonomi, antara lain, Umno perlu mencadangkan kepada kerajaan apakah langkah afirmatif baru yang perlu dilaksanakan untuk membantu 40 peratus daripada rakyat yang terendah pendapatannya. Dalam konteks ini, keusahawanan sosial adalah pendekatan yang sesuai. Satu daripada kelemahan utama kerajaan hari ini ialah di peringkat kerajaan tempatan. Justeru, masanya telah tiba untuk Umno mempelopori pemikiran politik progresif dari segi “pembangunan komuniti tempatan”. Ia adalah dasar dan program pembangunan yang dihasilkan sendiri oleh komuniti tempatan. Matlamatnya ialah dengan menghakupayakan komuniti tempatan untuk merancang, melaksana dan menilai pembangunan yang penting dan sesuai untuk kepentingannya, yang bersesuaian dengan dasar dan program pembangunan negeri dan kebangsaan.

Pembangunan komuniti tempatan dapat dilaksanakan dengan penghayatan “ciri-ciri komuniti mikro”: keprihatinan, kesukarelaan, ikatan kepercayaan, perkongsian nilai-nilai, tanggungjawab bersama dan kerjasama ikhlas.

Kini, pengharapan rakyat semakin kompleks. Inisiatif Putrajaya sahaja tidak memadai. Perlu ada inisiatif Umno yang lahir daripada ibu pejabat Umno. Justeru, Umno perlu mempunyai pemikiran politik progresifnya untuk diperlihatkan melalui manifestonya dalam pilihan raya umum ke-13.

(disiarkan di www.themalaysianinsider.com)


Berpijak pada bumi nyata

Posted on 1 May, 2011 05:50 by Saifuddin Abdullah in The Malaysian Insider

1 MEI — Bagi rakan-rakan seperjuangan yang mengenali pemimpin politik berikut, beliau bukanlah calang-calang pemimpin politik biasa. Riak wajahnya yang sentiasa tenang dan sempat mengukir senyuman walaupun dalam keadaan panas, merupakan kelebihannya.

Keberanian serta kemampuan beliau untuk melontarkan pandangan dan berdiskusi secara rasional walaupun ada kalanya tidak seiring dengan pandangan kerajaan, menjadikan pemimpin ini sasaran mudah pihak-pihak berkepentingan.

Sepanjang kerjaya politik beliau, pelbagai label telah diberikan kepada pemimpin tersebut. Jelas, ia bukan sesuatu yang asing kerana sebagai seorang individu bergelar politikus, ia adalah lumrah kehidupan yang perlu dilalui.

Ada yang memanggil beliau sebagai seorang menteri Kabinet yang promahasiswa. Tak kurang juga yang mengenangkan beliau sebagai seorang pemimpin kerajaan yang tidak mahu Akta Kolej dan Universiti (AUKU) diteruskan bagi memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.

Dan disebabkan keberanian beliau untuk bersuara dan menyatakan kebenaran berpaksikan kepada hujah-hujah yang rasional, pemimpin terbabit turut dilabel sebagai seorang berfahaman liberal.

Keupayaan dan keberanian Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi melontarkan pandangan dalam isu-isu membabitkan mahasiswa universiti dan politik semasa yang agak berbeda berbanding pandangan arus perdana, menjadikan beliau seorang politikus yang lain daripada yang lain.

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk mengangkat bakul Datuk Saifuddin semata-mata tetapi keberanian beliau untuk melontar pandangan sedemikian meskipun ada yang akan melatah, apatah membantah, membuktikan bahawa masih ada pemimpin kerajaan yang dapat melihat sesuatu isu berbangkit dari perspektif yang sederhana. Kerana itulah, penulis percaya Malaysia perlukan lebih ramai pemimpin sedemikian!

Dalam satu kenyataan media hujung minggu lalu, beliau menyeru rakan-rakan seperjuangannya dalam BN untuk tidak menyalahkan pengundi-pengundi yang tidak menyokong BN sebagai tidak bersyukur kepada kerajaan. Kenyataan itu turut memetik Saifuddin sebagai berkata – sebagai pemain demokrasi, parti-parti politik harus menghormati hak pengundi untuk memilih mana-mana parti yang disukai. Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengundang kesukaran buat BN berhadapan dengan pengundi pada PRU nanti.

Beberapa hujah yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Temerloh itu sememangnya kena pada tempat dan masanya. Siapalah mereka itu untuk mengkritik pengundi-pengundi yang tidak mahu mengundi kepada BN? Apakah yang akan diperolehi sekiranya pendekatan tersebut dipraktikkan?

Maaf cakap, pendekatan yang bersifat konfrontasi ini hanya akan membuatkan lebih ramai pengundi terus menjauhi mahupun menyokong parti yang dimaksudkan. Dalam konteks hubungan pengundi-pemimpin, perlu ada perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Bermakna, pemimpin politik harus menghormati pengundi sebagai individu yang menyerahkan kepercayaan kuasa mentadbir negara kepada mereka. Mandat kepada pemimpin-pemimpin politik wajar dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Begitulah juga sebaliknya dengan pengundi terhadap pemimpin mereka.

Dalam usaha meraih sokongan pengundi, parti-parti politik wajar mengikis sikap talam dua muka mereka. Jangan sesekali hanya menampilkan muka semasa musim pilihan raya walhal sepanjang tempoh lima tahun tidak kelihatan langsung di mata pengundi.

Datuk Saifuddin juga tepat untuk mengatakan bahawa dalam sistem demokrasi, adalah hak pengundi untuk memilih parti politik yang disukainya. Ini kerana dalam kerangka demokrasi, tidak ada hukum-hakamnya yang mewajibkan seseorang pengundi untuk menyokong parti A atau B.

Sesebuah parti politik tak kiralah kerajaan ataupun pembangkang tidak boleh untuk menyuruh pengundi menyokong mereka secara membuta-tuli tanpa mengambil kira faktor-faktor tertentu. Sokongan yang diperlukan itu wajar diraih, bukannya diberi secara percuma.

Di masa yang sama, parti-parti politik haruslah menerima hakikat bahawa senario sebenar di luar sana sudah pun berubah. Ledakan informasi dan teknologi maklumat yang kian canggih telah menjadikan pengundi sekarang lebih peka dan kritis dalam menilai sesuatu berita yang disajikan.  50 tahun lalu, keadaan sedemikian masih boleh diguna pakai tetapi kini pendekatan berbeza diperlukan untuk mendekati pengundi.

Keengganan pengundi Tionghoa sebagai contohnya untuk menyokong BN dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, sudah pasti mempunyai sebab-musababnya. Walaupun jumlah pengundi Tionghoa yang kembali ke pangkuan BN masih perlahan, itu tidak bermakna mereka harus cepat melatah dan melupakan terus sokongan masyarakat Tionghoa. Perlu diingat bahawa masyarakat Tionghoa merupakan penyokong kuat kepada kerajaan seperti yang berlaku pada pilihan raya umum 1995, 1999 dan 2004.

Secara mendalamnya, keadaan ini boleh disamakan dengan seorang jurujual yang ingin memasarkan produknya agar ia dibeli oleh pengguna. Dari perspektif perniagaan, jurujual wajar mengetengahkan kebaikan atau keistimewaan yang ada pada produk tersebut sehingga ia patut dibeli oleh pengguna. Tetapi jika jurujual gagal memujuk pengguna berbuat demikian, maka macam mana mereka boleh pasarkan produk mereka (parti politik serta manifesto) kepada pengundi?

Sesungguhnya, kenyataan berani oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tidaklah wajar dilihat dari konteks yang sempit.  Gagal atau jayanya meraih sokongan pengundi adalah resam persaingan. Seharusnya keadaan ini diterima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

Situasi yang tidak memihak ini tidak wajar diratapi sebaliknya diubah menjadi satu kelebihan sekiranya parti-parti politik benar-benar tahu untuk mencanang dan mempraktikkan strategi mereka dengan sebaik mungkin.

Adalah penting untuk membentuk satu perasaan saling percaya-mempercayai dengan pengundi jika parti-parti politik inginkan sokongan. Lagipun, pengundi adalah “kingmakers” yang sebenarnya dalam PRU bukannya politikus.  Undi mereka mampu menentukan jatuh bangunnya seseorang politikus atau parti politik.

Natijahnya, mereka tidak berhak untuk marah seandainya tidak disokong. Ini kerana berkemungkinan besar pihak-pihak tadi mempunyai kepincangan yang pada pandangan pengundi perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Itulah indahnya demokrasi. Pengundi tidak terikat dengan sebarang perjanjian untuk menyokong mana-mana pihak.

Percayalah pemimpin dan parti politik yang jujur, ikhlas dan komited kepada perjuangan akan senantiasa disokong rakyat manakala mereka yang bongkak dan bersikap talam dua muka akan ditolak.

Lihatlah situasi semasa ini dari perspektif jangka panjang. Jangan sesebuah parti politik itu menang pertempuran tetapi kalah dalam perang yang besar nanti.

*Pandangan yang diberikan di atas adalah luahan peribadi penulis.

 


UPM tarik balik keputusan, kekal kemenangan calon Pro Mahasiswa

Posted on 23 February, 2011 12:23 by Saifuddin Abdullah in The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Dalam perkembangan terbaru tidak sampai 24 jam, Universiti Putra Malaysia (UPM) tunduk desakan pelajar dan memutuskan untuk menarik balik arahan pembatalan status 33 calon termasuk kemenangan 10 pelajar yang dilabelkan sebagai kumpulan Pro Mahasiswa.

Beberapa jam sebelum keputusan itu diumumkan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menggesa UPM agar menarik balik keputusan itu.

Keputusan itu disahkan Timbalan Naib Canselor (TNC) UPM Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar 12.30 tengah hari tadi.

Dengan keputusan itu, Pro Mahasiswa mendapat semula kedudukan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Ia sudah selesai, kita ikut keputusan pada 21 Februari lalu.

“Kita memang terima bantahan tapi dalam mesyuarat hari ini kita tolak semua bantahan itu, ia sudah selesai,” kata Dr Mohd Fauzi.

Difahamkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa induk UPM pagi tadi.

Justeru Mohd Fauzi meminta supaya kumpulan Pro Mahasiswa tidak membuat bantahan memandangkan perkara itu sudah selesai.

Kesemua 33 calon Pro Mahasiswa, yang didakwa beraliran condong kepada politik pembangkang, dibatalkan kelayakan bertanding kerusi MPP atas alasan berkempen secara berkumpulan.

Laporan The Malaysian Insider pagi tadi menyebut pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.

Di UPM kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.


UPM diarah kekalkan status calon MPP, jangan sampai dilabel 'macam Burma'

Posted on 23 February, 2011 12:21 by Saifuddin Abdullah in The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 23 Feb — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengarahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan status 33 calon dan menarik balik keputusan membatalkan kemenangan 10 pelajar — yang kesemuanya sebelum ini dilabel sebagai barisan Pro Mahasiswa.

Kesemua 33 calon Pro Mahasiswa, yang didakwa beraliran condong kepada politik pembangkang, dibatalkan kelayakan bertanding kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atas alasan berkempen secara berkumpulan.

Keputusan itu termasuklah mereka yang menang pilihan raya kampus itu.

Justeru, Saifuddin mahu pentadbiran UPM agar mengekalkan keputusan pilihan raya kampus seperti yang diumumkan kelmarin.

Pro Mahasiswa juga mencatatkan keputusan baik kali ini di beberapa universiti lain.

“Pendirian saya sangat jelas dalam perkara ini, saya tida bersetuju dan saya cadangkan supaya kekalkan keputusan seperti keputusan pengundian.

“Jangan nanti orang anggap kita seperti Burma yang tak iktiraf Aung San Suu Kyi, jangan orang anggap kita seperti Palestin yang tak iktiraf kemenangan Hamas,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata tidak wajar pengurusan UPM membatalkan kelayakan Pro Mahasiswa kerana kumpulan itu tidak dapat membela diri ketika bantahan dibuat oleh kumpulan Pro Aspirasi.

“Pada saya perkara ini mudah sahaja, yang pertama siapa yang buat bantahan, apa alasan untuk bantahan dan adakah Pro Mahasiswa diberi keadilan untuk mempertahankan diri?

“Setahu saya (Pro) Aspirasi yang buat bantahan, alasan tanding berkumpulan dan Pro Mahasiswa tak diberi peluang untuk membela diri.

“UPM suruh mereka (Pro Mahasiswa) buat rayuan, tapi nak buat rayuan apa kalau nak pertahankan diri juga tidak boleh, macam mana nak buat rayuan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, jadi mengapa hanya Pro Mahasiswa yang dikenakan tindakan.

“Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, katakan kepada saya dan dunia adakah Pro Aspirasi bukan sebuah kumpulan,” kata Saifuddin.

Laporan The Malaysian Insider pagi tadi menyebut pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.

Di UPM kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.

Usaha The Malaysian Insider mendapatkan pengesahan pengurusan UPM belum berhasil.

Dalam pada itu, kira-kira 40 ahli Pro Mahasiswa UPM mengambil langkah drastik dengan mengepung pusat pentadbiran universiti sebagai membantah tindakan membatalkan status mereka.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman, pihaknya mahukan penjelasan dari pentadbiran UPM berhubung pembatalan calon Pro Mahasiswa itu.

“Sekarang kami sedang mengepung pentadbiran UPM dan memohon menjelas dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berhubung pembatalan status calon Pro Mahasiswa yang bertanding.

“Kita hanya mahukan penjelasan dalam perkara ini, kenapa status kami dibatalkan? Apa yang saya tahu bantahan di buat oleh seorang ahli Aspirasi yang tewa (dalam pilihan raya kampus),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar pukul 11 pagi tadi.


Saifuddin gesa IPT terima inovasi demokrasi, buang karenah birokrasi

Posted on 22 December, 2010 08:50 by Saifuddin Abdullah in The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu segera menerapkan budaya “inovasi demokrasi”, antara lain membuang amalan karenah birokrasi yang masih mengekang kebebasan para pelajar, kata Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini berkata, budaya inovasi perlu bermula dari usia muda, contohnya di kalangan pelajar IPT.

Kata beliau, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dipinda dan banyak pelan transformasi telah dilancarkan, malangnya pelajar masih dikekang oleh karenah birokrasi.

“Contoh karenah birokrasi yang mengekang inovasi pelajar IPT yang perlu dihapuskan segera ialah pelajar dikehendaki menyediakan kertas kerja tebal untuk menganjurkan aktiviti mudah seperti ceramah dan forum.

“Sepatutnya surat dan borang ringkas memadai,” kata beliau pada kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Malah kata beliau, pelajar terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan aktiviti kerana pegawai bercuti dan sebagainya.

“Sepatutnya kelulusan disegerakan kerana hayat keaktifan pelajar adalah mengikut sesuatu semester sahaja, justeru mereka tidak mempunyai tempoh masa yang panjang untuk sesuatu aktiviti,” katanya.

Selain itu kata Saifuddin, pelajar juga dilarang menganjurkan sesuatu aktiviti kerana ia tidak selari dengan minat pegawai. “Sepatutnya pelajar diberi kebebasan untuk menganjurkan aktiviti mengikut minat mereka, kerana yang menyertainya ialah pelajar, bukannya pegawai,” kata beliau lagi.

Malah menurut Ahli Parlimen Temerloh ini, aktiviti pelajar dikekang oleh kekurangan atau ketiadaan peruntukan, tetapi apabila untuk aktiviti lain, maka ada pula peruntukannya. “Sepatutnya seboleh-bolehnya dijimatkan peruntukan supaya pelajar dapat menganjurkan sebanyak mungkin aktiviti,” katanya.

“Apabila pelajar mencari dana sendiri, mereka disukarkan pula untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan urusan pembayaran aktiviti. Ada kes saya dahulukan duit saya, bukan kerana pelajar minta, tapi kerana IPT lambat keluarkan dana yang dicari pelajar sedangkan pelajar sedang dalam peperiksaan dan dikejar pembekal untuk pembayaran.

“Sepatutnya semakin pelajar bijak mencari dana sendiri, semakin dipermudahkan urusan mereka,” tambah timbalan menteri.

Di samping itu beliau juga mendedahkan bahawa pelajar dimarahi kerana menghubungi menteri atau timbalan menteri, yang terbuka dan suka merapati pelajar, secara langsung secara terus melalui media sosial. “Sepatutnya pelajar digalakkan untuk merapati menteri atau timbalan menteri secara terus,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, budaya inovasi adalah satu daripada nilai aspirasi dalam gagasan 1 Malaysia.

Katanya, budaya inovasi merujuk kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam kehidupan.

“Dari segi konsep, budaya inovasi merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada pertumbuhan dalam setiap bidang.

“Kreativiti melibatkan pemikiran, idea dan gagasan baru manakala inovasi meliputi penambahbaikan dan penyesuaian kepada kreativiti yang sedia ada hingga memberi nilai tambah yang boleh digunakan termasuk dalam bentuk barangan dan perkhidmatan dengan bermanfaat, termasuk boleh dikomersialkan.

“Inovasi tidak boleh dikhususkan atau dihadkan dalam bidang sains dan teknologi semata-mata. Sebaliknya, ia perlu diamalkan dalam setiap bidang, termasuk dalam politik, iaitu dengan melakukan inovasi politik atau inovasi demokrasi,” katanya.