Tujuh Orang Asli lanjut pengajian ke luar negara

Posted on 2 August, 2010 19:59 by Saifuddin Abdullah in Utusan Malaysia


Penuhi permintaan orang muda, menyelami minda mereka

Posted on 27 July, 2010 05:42 by Saifuddin Abdullah in Utusan Malaysia


Kerajaan nafi 4 tokoh terlibat JI

Posted on 25 June, 2010 07:34 by Saifuddin Abdullah in Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Jun - Kerajaan menafikan bahawa empat tokoh di negara ini terlibat dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaitkan empat tokoh tersebut dalam satu sesi taklimat baru-baru ini adalah tidak berasas.

Empat tokoh yang dimaksudkan itu ialah bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut beliau, tuduhan berkenaan sebenarnya dibuat oleh pihak lain dalam sesi taklimat berasingan.

"Sebenarnya pada 21 Jun lalu ada dua taklimat. Satu diberikan oleh pihak Bukit Aman, saya fikir taklimat ini adalah tepat serta tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

"Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan ahli Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mahfuz meminta kementerian berkenaan memberi penjelasan berhubung satu dakwaan ketika sesi taklimat kepada naib-naib canselor bahawa keempat-empat mereka terlibat dengan kumpulan pengganas.

Pada sesi taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman yang turut dihadiri oleh menteri dan timbalan menteri; penceramah, Zamihan Mat Zain daripada Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dikatakan mendakwa empat tokoh berkenaan terbabit dengan fahaman Wahabi dan JI.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, beliau telah meneliti hujah yang diberikan oleh penyampai taklimat itu dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.

"Terdapat hujah-hujah yang diberikan adalah tidak betul termasuk mengaitkan pengasas Wahabi, Muhammad Abdul Wahab dengan pengasas Arab Saudi, Muhammad Ibn Saud.

"Saya juga berpendapat adalah tidak betul untuk individu berkenaan mengaitkan balas dendam yang terdapat dalam tradisi Arab dengan kegiatan pengganas kerana ia adalah dua perkara berbeza," katanya.

Jelasnya, tindakan mengaitkan fahaman Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah perbuatan yang melampau.

"Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat itu mempunyai masalah dengan bekas Mufti Perlis. Jadi bagaimana masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara," ujarnya.

Tambah beliau, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala fobia Islam yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.


Pemuda UMNO Tebrau digesa turun padang dekati rakyat

Posted on 22 June, 2010 05:57 by Saifuddin Abdullah in Utusan Malaysia



JOHOR BAHRU 20 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau digesa lebih kerap turun padang bagi mendekatkan diri dengan masyarakat sekali gus mencari ahli baru.

Ketuanya, Syahrin Md. Jamaluddin berkata, usaha tersebut bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan antara masyarakat dengan pergerakan tersebut malah dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk menjadi ahli baru pergerakan itu.

Selain masyarakat setempat katanya, pergerakan itu juga disaran untuk meluaskan peranannya termasuk mendekati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan golongan muda.

"Kita berharap dengan pendekatan ini, sasaran untuk mendapatkan 1,000 ahli baru pada tahun ini akan tercapai.

"Bagaimanapun saya tetap mengingatkan Pemuda UMNO agar tidak leka dan sentiasa bekerja keras bagi membuktikan pergerakan ini sama penting peranannya dengan sayap pergerakan UMNO yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Pemuda  UMNO  Bahagian Tebrau  di padang  Kampung Maju Jaya di sini hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan timbalannya, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Dalam pada itu Md. Syahrin berkata, sebuah kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dibuka pada persidangan tersebut bagi membolehkan ahli-ahlinya memeriksa status pendaftaran masing-masing.

Menurut beliau, Pemuda UMNO bahagian itu mengenal pasti seramai 1,806 ahlinya yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Md. Syahrin yang juga Pengerusi Belia 4B Johor berkata, pihaknya kini turut memberikan perhatian kepada golongan belia kerana mereka bakal menjadi pelapis kepimpinan Pemuda pada masa akan datang.

Selain persidangan tersebut, turut berlangsung majlis Sambutan Hari Belia dan Program Juara Rakyat yang bermula sejak kelmarin dan berakhir hari ini.


Debat perkaya pendidikan, demokrasi

Posted on 3 June, 2010 14:37 by Saifuddin Abdullah in Utusan Malaysia

PADA 1 hingga 4 Jun ini, Sekolah Menengah Sains Pasir Putih, Kelantan menjadi tuan rumah dua program tradisi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) peringkat kebangsaan iaitu Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri (PPM) bahasa Melayu dan Inggeris serta Pertandingan Bola Keranjang Piala Hamdan Tahir (lelaki) dan Piala Hajah Zainab (perempuan).

Debat PPM yang dimulakan pada 1974 di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah pertandingan debat sekolah menengah yang tertua dan terulung. Tetapi, sayang nasibnya tidaklah sepadan dengan statusnya itu.

Kali ini, Debat PPM peringkat kebangsaan tidak menghimpunkan semua 54 buah SBP seperti biasa. Sebaliknya, ia hanya mengumpulkan johan dan naib johan setiap kategori dalam pertandingan peringkat lima zon yang telah diadakan sebelum ini.

Ini berlaku akibat kekangan bajet yang luar biasa pada tahun ini. Namun, di samping faktor kewangan, jika dibandingkan dengan zaman awal penganjurannya, ia kurang mendapat perhatian yang sewajarnya. Dahulu, pertandingan akhir disiarkan secara langsung oleh RTM. Kini, ia sekadar ditonton peserta sahaja.

Dari segi pembangunan budaya debat pula iaitu yang melibatkan sistem, kehakiman dan perdebatan serta minat di kalangan warga SBP, ia tidak menunjukkan kemajuan yang sepadan dengan sejarahnya.

Kekangan bajet juga hampir menamatkan riwayat Pertandingan Debat Sekolah-Sekolah anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pertandingan yang dimulakan sejak 2002 ini adalah satu-satunya pertandingan debat bahasa Melayu, Inggeris dan Arab yang menemukan semua jenis sekolah menengah iaitu SBP, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah menengah harian, vokasional, teknik, agama dan swasta. Mujurlah terdapat aktivis debat yang bertungkus lumus memastikan kesinambungannya pada tahun ini.

Masalah yang sama juga menghambat Pertandingan Debat Keamanan Jemputan Universiti Dunia (WUPID) anjuran H&G yang dimulakan pada 2007. Pertandingan debat bahasa Inggeris ini disertai pasukan-pasukan terbaik dari seluruh dunia dan menjadi gelanggang terpenting sebelum berlangsungnya Debat Dunia. WUPID telah berjaya meletakkan Malaysia di peta debat antarabangsa. Tahun ini, kalau tidak kerana ada mereka yang gila debat, maka ia mungkin telah mati sebelum ajal.

Namun, di sebalik segala tribulasi itu, debat tetap subur. Pada 28 Mei hingga 1 Jun lalu, berlangsung Pesta Intelektual dan Hujah (PETAH) anjuran Alumni Debat IPT (ADI) sempena Youth10 di PWTC. Kemuncaknya adalah pertandingan debat lima bahasa (Melayu, Inggeris, Arab, Tamil dan Mandarin) tanpa henti selama 111 jam. Ia satu rekod baru Malaysia.

Menurut Kamus Dewan, debat adalah bertukar fikiran (biasanya yang bertentangan) atau berbantahan berkenaan sesuatu perkara, pendapat dan pendirian, dengan masing-masing pihak mengeluarkan pendapat, alasan dan sebagainya.

Umum mengakui akan kepentingan debat. Kalaupun bukan dalam bentuknya yang lazim dilihat dalam pertandingan, debat juga muncul dalam bentuk lain, misalnya forum (pelbagai tajuk/bidang) dan debat politik.

Asas utama debat adalah pemikiran kritis dan penghujahan. Pemikiran kritis adalah satu daripada tujuh Kemahiran Insaniah (KI) yang diukur dalam kalangan mahasiswa IPT kita mulai tahun ini. Ia digabungkan dengan satu lagi KI iaitu kemahiran berkomunikasi yang antara lain, meliputi kebolehan menyampaikan idea dengan jelas, berkesan dan penuh keyakinan, secara lisan dan bertulis; mengamalkan kemahiran mendengar yang aktif dan memberi maklum balas; serta membuat pembentangan secara jelas dan bersesuaian dengan tahap pendengar.

Menurut Richard Andrews (2010) dalam bukunya, Argumentation in Higher Education,penghujahan ialah 'urutan idea-idea yang logikal atau kuasa-logikal yang disokong oleh bukti'. Ia melibatkan aspek kritikal iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain.

Kedua-dua pemikiran kritis dan penghujahan berada di tengah-tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran rasional. Dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) pula, ia adalah penghubung antara tiga komponen utama pendidikan iaitu guru/pensyarah, pelajar dan disiplin ilmu.

Justeru, kita hairan mengapa debat kurang disokong oleh sesetengah pihak terutama mereka yang berkuasa. Malah Sudut Pidato iaitu pentas debat terbuka di IPT juga seperti sengaja tidak dimajukan oleh sesetengah pihak. Manakala perbezaan pendapat bukan sahaja tidak dirayakan iaitu seperti yang sepatutnya, malah sesiapa yang mengeluarkan pendapat yang berbeza berkemungkinan dilabel sebagai pembangkang kalaupun tidak dihukum.

Dalam demokrasi, debat elemen amat penting. Debat politik memberi peluang kepada rakyat untuk menilai kepemimpinan, perjuangan dan haluan individu atau parti.

Kita juga pernah menyaksikan beberapa debat politik di sini. Contohnya, debat Sekolah Agama Rakyat antara Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Salahuddin Ayub; debat harga minyak antara Datuk Ahmad Shabery Chek dan Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan debat pembangunan Pulau Pinang antara Tan Sri Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng. Di samping itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Allahyarham Mohd Fadzil Noor pernah berdebat mengenai isu Palestin.

Saya sering berforum di kampus dengan tokoh-tokoh pembangkang seperti Dr. Ramasamy, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Yusmadi Yusoff. Terakhir, pada April lalu, saya berforum di Universiti Malaya tentang demokrasi dan mahasiswa bersama Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook.

Ketika bertanding Majlis Tertinggi UMNO yang lalu, saya antara yang mencadangkan diadakan debat antara calon-calon yang bertanding. Tetapi, ia tidak menjadi kenyataan.

Hakikatnya, debat memperkaya dunia pendidikan dan demokrasi. Soalnya, mungkinkah kegemilangan Debat PPM akan dikembalikan? Mungkinkah akan ada debat politik dalam pilihan raya umum akan datang?

 


TPM II politik murahan Anwar

Posted on 31 May, 2010 06:43 by Saifuddin Abdullah in Utusan Malaysia

TEMERLOH 30 Mei - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) membidas mainan politik murahan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurutnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sengaja mencipta gimik politik bagi menagih undi simpati kaum Cina khususnya kalangan penyokong DAP walaupun ia sukar untuk ditunaikan.

"Hakikatnya Malaysia yang hanya mempunyai penduduk kira-kira 27 juta, tidak memerlukan Timbalan Perdana Menteri II kerana negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) pun tidak mempunyai jawatan itu.

"Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan sekarang sangat sesuai dan diterima rakyat pelbagai kaum tanpa masalah kerana memerintah secara adil dan saksama,'' katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Moh Desa Perwira' anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kampung Bangau Parit di sini hari ini.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi diminta mengulas laporan akhbar semalam mengenai janji Anwar untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Anwar membuat janji tersebut dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, Anwar mempunyai kerangka pemikiran yang lama dan bersifat perkauman kerana sanggup mewujudkan satu jawatan khas untuk penyokong Cina.

Sambil menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat berhati-hati dengan janji Anwar itu, beliau menambah, tindakan Penasihat PKR kelak akan mendorong kaum-kaum lain menuntut jawatan serupa bagi kaum mereka dan natijahnya boleh menyebabkan berlakunya pergeseran kaum yang berpanjangan.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah dengan mengamalkan sistem sedia ada telah membuktikan keberkesanannya dengan cemerlang tanpa perlu mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua.

"Rakyat perlu mempertahankan sistem pemerintahan sedia ada tanpa terpengaruh dengan gimik Anwar yang cuba mengalih perhatian dan sokongan rakyat terhadap parti pembangkang," katanya.

Saifuddin menegaskan, walaupun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terdiri daripada orang Melayu selama ini, terbukti mereka berkhidmat dengan penuh adil untuk semua rakyat Malaysia.

Justeru katanya, sistem yang diterima baik itu cuba diubah oleh Anwar yang terkenal sebagai individu yang suka berjanji dan menabur retorik kepada penyokongnya, walaupun tindakannya itu memberi kesan kepada perpaduan kaum di negara ini.