Diari MECD
 
 
Dato’ Saifuddin Abdullah
26 Mac 2008
 
TANGGUNGJAWAB SAYA DI MECD
 
Hari ini saya menghadiri Mesyuarat Pasca-Kabinet saya yang pertama. Dalam perutusannya, Menteri MECD, Dato’ Noh Omar menyatakan bahawa kementerian akan meneruskan halatuju, strategi dan program pembangunan usahawan dan koperasi sedia ada. Walau bagaimanapun, beberapa perubahan dan penambahbaikan akan dilaksanakan untuk memantapkan lagi pelaksanaan dan pemantauan program-program pembangunan dan koperasi di bawah MECD.

Menurut Dato’ Noh, misi dan objektif kementerian ditambah dengan memasukkan elemen berkaitan koperasi bagi memastikan tumpuan MECD turut melibatkan usaha-usaha terhadap pembangunan koperasi.

Buat masa ini, menurut beliau, antara perkara utama yang akan diberikan tumpuan ialah:

• Meningkatkan budaya keusahawanan di kalangan umat Islam, iaitu selaras dengan hadis Rasulullah saw, “Berniagalah kamu kerana 9/10 sumber rezeki adalah daripada perniagaan”.

• Memantapkan perhubungan kementerian dengan negeri dan daerah serta memastikan dasar yang diputuskan di peringkat pusat sampai ke peringkat akar umbi.

• Membangunkan kapasiti modal insan.

• Meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam pembangunan koridor.

• Mengadakan banyak sesi dialog dengan YB Menteri bagi mendapatkan maklumbalas daripada pelanggan atau kumpulan sasar di peringkat akar umbi.

• Polisi tajaan kementerian dan agensi kepada syarikat-syaraikat yang menyertai pameran akan dimantapkan supaya hanya yang layak dan berpotensi tinggi sahaja diberi tajaan.

• Subsidi sewaan premis perniagaan di bawah kementerian dan agensi yang diberikan kepada syarikat/koperasi perlu dikemaskini supaya tidak berterusan tanpa kawalan serta hendaklah mengikut perancangan perniagaan sehingga suatu tempoh apabila syarikat/koperasi tersebut mendapat keuntungan.

Beliau juga menyenaraikan antara tanggungjawab saya dalam membantunya, iaitu:

• Pemantauan projek-projek pembangunan, terutamanya yang lewat/bermasalah.
• Program-program yang melibatkan belia dan siswazah.

• Memantapkan penggunaan ICT di MECD.

• Mempengerusikan Majlis Pembudayaan Keusahawanan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

• Memantapkan Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD).

• Meningkatkan kapasiti modal insan pelanggan dan warga MECD.

• Merangka program pembangunan usahawan dan koperasi dalam industri buku.

 
 
 
 
   
 
s