Forum
 
   
Surat 1   |  Surat 2
SURAT TEMERLOH
Dato’ Saifuddin Abdullah
(Sabtu, 14 Jun 2008)
 
MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN PARLIMEN TEMERLOH (MPPT)
 
GOVERNANS BARU
Ke Arah Demokrasi Lebih Matang
 

Gerakan belia/masyarakat sivil

Gerakan belia/masyarakat sivil mempunyai enam objektif yang generik sifatnya yang dikongsi bersama. Lain persatuan belia/masyarakat sivil mungkin lain kombinasi objektif yang dilaksanakan, iaitu mengikuti prioriti atau fokus masing-masing.

Objektif generik tersebut ialah:

            (1) Membantu mengadakan situasi dan kondisi yang mendatangkan kesan-kesan positif.

            (2) Membantu mengadakan situasi dan kondisi yang menghalang dan memperbaiki kesan-kesan negatif.

            (3) Membantu semasa bencana dan kecemasan.

            (4) Memperjuangkan perkongsian nasib dan keberuntungan sosio-ekonomi yang saksama.

            (5) Memperjuangkan hak asasi manusia.

            (6) Menyediakan pemimpin pewaris. Ini terutamanya oleh gerakan belia.

Gerakan belia/masyarakat sivil telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam pelbagai bidang pembangunan negara. Sumbangan tersebut dapat dilihat, misalnya, dari perspektif “bakti” yang dicurahkan kepada negara, iaitu sumbangan dalam pelbagai bidang melalui kesukarelaan. Antara sumbangan tersebut ialah:

            (1) Memberikan bantuan ketika berlaku kecemasan dan bencana.

           (2) Meningkatkan mutu pendidikan dan latihan melalui kumpulan pengajian, kelas bimbingan, sekolah swasta-kebajikan, taman didikan                  kanak-kanak dan latihan kemahiran.

          (3) Menjalankan usaha kesedaran dan pendidikan komuniti dalam pelbagai bidang seperti pembangunan belia, alam sekitar,                  kepenggunaan, memerangi dadah, rokok, HIV/AIDS dan lain-lain.

            (4) Melaksanakan program pendidikan agama.

            (5) Menganjurkan pelbagai aktiviti mengisi masa lapang untuk pelbagai golongan.

            (6) Meningkatkan kesedaran masyarakat dan membantu mengatasi masalah seperti kemiskinan, rasuah dan ketidakadilan sosial.

           (7) Berusaha mempengaruhi keputusan yang melibatkan anggota-anggota masyarakat sivil, seperti hak bersuara, gaji, cuti, dan                   sebagainya.

            (8) Mengadakan latihan kepemimpinan.

            (9) Membantu menjayakan pelbagai program utama negara.

            (10) Menjayakan pelbagai program sukan.

           (11) Menggerakkan bantuan kemanusiaan terhadap masyarakat luar negara seperti di Palestin, Selatan Thailand, Selatan Filipina,                     Myanmar, Vietnam, Bosnia, Kosova, Timor Timur dan Iraq.

Manakala, dari segi “advokasi” pula, gerakan belia/masyarakat sivil punya saham yang tidak sedikit dalam mencetuskan idea, menggerakkan gagasan dan mempelopori kelahiran dan pelaksanaan beberapa buah dasar, institusi dan program pembangunan negara, seperti:

           (1) Institusi pendidikan seperti Taman Asuhan/Bimbingan Kanak-Kanak Islam, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam,                   Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.

            (2) Penggunaan Bahasa Melayu sebagai pengantar di universiti.

            (3) Bank Islam.

            (4) Kedudukan guru Melayu.

            (5) Biasiswa pelajar Melayu.

            (6) Program membasmi kemiskinan.

            (7) Gerakan pengguna.

            (8) Gerakan alam sekitar.

           (9) Dasar negara seperti Dasar Pembangunan Belia Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Negara, Akta Pembangunan Belia dan                   Pertubuhan Belia dan gagasan “Patriotisme Alaf Baru”.

Rakan Pembangunan

Sebenarnya, kedua-dua sektor perniagaan dan masyarakat sivil (termasuk belia) mampu menjadi “rakan pembangunan” yang berkesan. Tetapi, sektor perniagaan, dan terutamanya masyarakat sivil (apalagi belia), selalunya dilihat lebih sebagai “penerima manfaat pembangunan” (beneficiaries of development) sahaja. Sektor perniagaan dan masyarakat sivil (terutamanya belia), amat jarang diberi peluang dan hakupaya untuk terlibat secara aktif sebagai “rakan tulin” pembangunan, terutamanya dalam struktur dan proses membuat keputusan. Frasa “rakan pembangunan” dan “penghakupayaan (empowerment)” tercatat dalam dasar-dasar negara, contohnya Dasar Pembangunan Belia Negara, tetapi sejauhmana ia dihayati dan diamali masih belum dapat dipastikan.

Ketiga-tiga sektor penggerak negara ini mempunyai latar belakang, kaedah dan budaya kerja yang berbeza. Untuk menjadi rakan, ketiga-tiganya perlu memahami bahawa setiap satu daripadanya mempunyai keunikan dan keistimewaan masing-masing. Kerana itu, ketiga-tiganya perlu mempunyai “kesediaan tanpa syarat” dan bersetuju dengan peraturan (ground rules) tertentu untuk berakan bagi membolehkan konsep dan pendekatan ini diamalkan. Jika kesediaan wujud, dan kerakanan itu dapat dilaksanakan dalam suasana harmoni, maka akan terjelma sinergi yang akan membuahkan hasil manfaat yang amat ranum buat pembangunan negara dan rakyat.

Dalam hal ini, harus diingati bahawa demokrasi bukan bermakna sekadar mengundi lima tahun sekali. Ia melibatkan partisipasi yang lebih menyeluruh dan meluas. Ini termasuk, antaranya, keluarga yang demokratik, partisipasi tempatan (local participation), partisipasi setiap kumpulan umur, partisipasi yang sensitif gender dan kerjasama atau perkongsian antara kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil.

Ini adalah pendirian sederhana yang berhikmah, yang bertitik tolak daripada makna syura dan musyawarah, yang mengetengahkan peningkatan peranan sektor perniagaan dan masyarakat sivil, konsep partisipasi, konsep rakan pembangunan dan penghakupayaan untuk mewujudkan kerangka governans baru pada alaf baru, iaitu suatu ruang yang lebih besar dan segar daripada sekadar kerajaan dengan K huruf besar (government with capital G) dalam kerangkanya pada masa ini.

Pada waktu yang sama, internet dan SMS telah menjadi katalis dalam pendemokrasian maklumat dan ilmu di seluruh dunia. Ia juga menyediakan rakyat dengan saluran komunikasi dan penyiaran bagi membolehkan suara mereka didengar dalam proses-proses membuat keputusan yang berkaitan dengan kehidupan mereka dan orang lain. Kerana itu, rakyat yang terhakupaya oleh capaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta oleh maklumat dan ilmu yang relevan, semakin hari semakin mendesak supaya struktur, keadaan dan proses governans yang diamalkan kini diubah.

 
 
Back  
 
 
 
   
 
s