Forum
 
   
Surat 1   |  Surat 2
SURAT TEMERLOH
Dato’ Saifuddin Abdullah
(Sabtu, 14 Jun 2008)
 
MESYUARAT MAJLIS PERUNDINGAN PARLIMEN TEMERLOH (MPPT)
 
GOVERNANS BARU
Ke Arah Demokrasi Lebih Matang
 

GOVERNANS BARU

Dunia hari ini memerlukan model governans yang baru, bersepadu dan holistik, yang mengikutsertakan semua sektor sebagai rakan pembangunan yang saksama. Matlamatnya ialah semata-mata untuk mendapatkan kualiti kehidupan yang lebih baik dan kebahagiaan untuk semua.

Di samping ICT, faktor-faktor kontemporari yang lain, misalnya perkembangan dunia tanpa sempadan, globalisasi dan liberalisasi turut menuntut agar kerajaan/politik menilai semula kedudukan, peranan dan fungsinya. Malah, politik sebagai institusi terpenting bagi kerajaan juga mulai berubah. Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi aplikasi internet dan SMS sebagai pentas baru politik, yang sedang merubah peraturan dan cara gaya berpolitik, termasuk di negara ini, khususnya dalam pilihan raya umum yang lalu.

Lebih dari itu, hatta konsep negara juga sudah mula berubah. Banyak penganalisis politik memperkatakannya. Antaranya ialah Christopher Person (2004), dalam bukunya The Modern State, yang menyatakan bahawa negara hari ini adalah tertakluk kepada proses perubahan yang berterusan dari segi aktiviti dan fungsinya serta berhadapan dengan kemungkinan diganti oleh kuasa-kuasa yang lain.

Pokoknya, zaman hari ini memerlukan model governans yang baru, iaitu yang mengikutsertakan semua sektor sebagai rakan pembangunan.

United Nations Development Programme – UNDP (1997) menakrifkan governans sebagai:

           “The exercise of economic, political and administrative authority to manage a country’s affairs at all levels. It comprises the              mechanisms, processes and institutions through which citizens and groups articulate their interest, exercise their legal rights, meet              their obligations and mediate their differences.”

Antara nilai-nilainya ialah accountable, efisien, efektif, telus, amanah, responsif dan equitable.

Manakala World Conference on Governance di Manila (1999) mendefinisikan governans sebagai:

            “A system that is transparent, accountable, just, fair, democratic, participatory and responsive to people’s needs”.

Dalam konteks negara ini, bagi penulis, Governans Baru ialah:

            “Transformasi daripada keadaan kini di mana wujud hubungan tiga segi yang tidak seimbang antara ketiga-tiga sektor (kerajaan/politik,              perniagaan dan masyarakat sivil), kepada keadaan baru di mana wujud hubungan sinergi antara ketiga-tiga sektor itu yang              bekerjasama pada kedudukan yang saksama”.

Pada masa ini, sektor perniagaan dan masyarakat sivil hanya terlibat dalam proses membuat keputusan pada beberapa peringkat yang amat terbatas. Model kerangka governans baru yang sempurna sukar didapati. Di peringkat kebangsaan, antara model yang agak baik ialah Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang ditubuhkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 1972, iaitu atas idea dan cadangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Ketua Pengarahnya.

MPBN dipengerusikan oleh Menteri KBS. Anggotanya melibatkan terutamanya sektor kerajaan/politik, iaitu wakil KBS dan semua kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan dan sektor belia/masyarakat sivil, iaitu wakil Majlis Belia Malaysia (MBM) dan persatuan-persatuan belia, mahasiswa, media, akademia, profesional dan sebagainya. Sektor perniagaan turut diwakili, walaupun perwakilannya masih boleh diperbaiki. MPBN berperanan sebagai penasihat tertinggi kepada Menteri dalam semua dasar dan program pembangunan belia. Ia mempunyai perlembagaannya sendiri, sekretariat, agenda tetap, jadual persidangan (iaitu sekurang-kurangnya dua kali setahun) dan peruntukan pengurusan. Kini, MPBN telah diperluaskan sehingga ke peringkat negeri dan daerah.

Selain KBS, antara kementerian yang turut mempunyai kerangka governans baru yang baik ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), iaitu melalui Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD).

Di samping itu, apabila majlis-majlis perundingan tertentu diwujudkan kerajaan dari semasa ke semasa, misalnya Majlis Perundingan Akta Pendidikan 1990, Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), perwakilan perniagaan dan masyarakat sivil diundang menyertainya. Tetapi, dalam keadaan tertentu, perwakilannya tidak menyeluruh atau pemilihannya tidak telus.

Memanglah keadaan ini adalah lebih baik dari dahulu atau dari sesetengah negara lain. Tetapi, ia masih belum mencukupi. Yang diperlukan ialah wakil sektor perniagaan dan masyarakat sivil berada dalam semua bidang dan pada setiap peringkat.

Ini penting kerana dalam keadaan kehidupan yang semakin kompleks dan canggih, kebahagiaan tidak lagi terhad kepada hanya menerima nikmat dan manfaat pembangunan sahaja, tetapi kebahagiaan termasuk juga keterlibatan aktif dalam proses bagaimana pembangunan dirancang, dilaksanakan dan dinilai.

Sebenarnya, inilah masanya di mana peranan sektor perniagaan dan masyarakat sivil dalam governans amat diperlukan, iaitu dalam keadaan di mana seluruh dunia berhadapan dengan impak besar daripada pelbagai masalah global seperti kemerosotan alam sekitar, kemiskinan, penyalahgunaan dadah, HIV/AIDS, kenaikan harga minyak dan barangan, kekurangan bahan makanan dan lain-lain lagi. Inilah masanya di mana idealisme dan altruisme serta semangat kesukarelaan untuk fastabiqul khairat (berlumba-lumba berbuat baik) melalui badan-badan perniagaan dan masyarakat sivil (CSO) amat diperlukan, iaitu untuk mengetengahkan kembali perkara-perkara yang terpinggir dan tersingkir oleh putaran ganas dunia yang tidak tergapai oleh sebahagian rakyat.

Isu-isu Governans Baru (Perspektif Perniagaan dan Masyarakat Sivil)

Persoalan governans baru adalah luas. Sementara perbincangan yang lebih komprehensif masih diperlukan, terdapat beberapa isu governans baru di negara ini yang perlu diketengahkan, yang dilihat dari perspektif perniagaan, dan terutamanya oleh masyarakat sivil, yang perlu diperbaiki. Di antaranya ialah:

            (1) Di antara ketiga-tiga sektor dalam sistem bernegara itu, terdapat keadaan hubungan kerjasama (dalam pengertian rakan                    pembangunan) yang tidak seimbang. Pertama, hubungan di antara kerajaan/politik dan perniagaan adalah agak kuat. Ini ditandai                    oleh keazaman politik (political will) yang menaungi, misalnya, majlis-majlis perundingan yang berkaitan dengan hal-hal ekonomi                    dan kewangan. Kedua, hubungan di antara kerajaan/politik dengan masyarakat sivil tidak sekuat hubungan antara kerajaan/politik                    dengan perniagaan. Dalam keadaan tertentu, hubungan ini dimendungi oleh sikap kerajaan/politik yang patronising. Manakala                    ketiga, hubungan di antara masyarakat sivil dengan perniagaan adalah longgar. Dalam banyak keadaan, ia tidak lebih daripada                    hubungan antara penganjur dengan penaja atau antara peminta dan pemberi.

            (2) Terdapat keadaan tanda tanya, iaitu siapakah yang sebenarnya inginkan konsep rakan pembangunan yang tulin – masyarakat sivil                   dan perniagaan atau kerajaan/politik? Kelihatannya, yang lebih selalu ingin menjadi rakan ialah masyarakat sivil dan perniagaan.

           (3) Apabila terjadi keadaan berlaku kelemahan yang ketara dalam mana-mana sektor, terdapat kecenderongan sektor atau                   sektor-sektor yang lain untuk menyalahkan dan mengutuk sektor berkenaan. Sepatutnya, berlaku semangat kebersamaan,                   kekitaan dan kekeluargaan untuk membantu sektor yang mengalami kelemahan itu.

            (4) Perlu diinsafi bahawa terdapat unsur “takut” (fear) yang selanjutnya terjelma dalam bentuk terlalu menjaga sempadan atau                    wilayah kuasa atau defensive oleh sesuatu sektor, terutamanya oleh kerajaan/politik. Unsur takut ini muncul mungkin akibat                    masalah individu atau kekurangan ilmu. Masalah kekurangan ilmu adalah nyata dalam hal-hal yang melibatkan isu-isu yang                    kompleks di mana para pemimpin perniagaan dan masyarakat sivil biasanya lebih profesional daripada kerajaan/politik (akibat tidak                    mengkhusus kerana berpindah-pindah di antara organisasi-oganisasi kerajaan/politik).

            (5) Keengganan atau kelemahan kerajaan/politik memenuhi secara tulin konsep rakan pembangunan menyebabkan anggota                    perniagaan dan terutamanya masyarakat sivil merasa shut out atau shut up, sama ada dalam keadaan alienated atau frustrated.                    Ia mungkin membawa kepada perasaan marginalised dan under-served. Manifestasi terakhirnya mungkin menjelma dalam bentuk                    penentangan dan pembangkangan atau anti-establishment.

            (6) Dasar-dasar dan program-progam kerajaan/politik perlu dipastikan supaya benar-benar berorientasi-rakyat dan mesra-rakyat,                    termasuk dari segi kebertanggungjawabannya, dan tidak menjadi lebih merupakan berorientasi-kerajaan/politik/perniagaan dan                    mesra-kerajaan/politik/perniagaan.

            (7) Sejauhmanakah legitimacy mekanisme penyampaian (delivery system) kerajaan/politik kepada anggota masyarakat sivil dan                    perniagaan, misalnya dalam kes PBT yang dilantik dan tidak dipilih oleh masyarakat tempatan, seperti pernah berlaku dahulu di                    negara ini dan sedang berlaku di banyak negara lain? Kalaupun pilihan raya PBT tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,                    perwakilan masyarakat sivil dan perniagaan dalam PBT perlu direalisasikan dengan segera.

             (8) Peranan kerajaan/politik sebagai provider perlu diubah kepada facilitator.

           (9) Beberapa provisi dalam beberapa undang-undang, statut dan enakmen yang lapuk dan yang mengekang peranan                    belia/masyarakat sivil dan juga kecekapan dan keberkesanan kerajaan perlu dipinda.

 
 
Back  
 
 
 
   
 
s