Forum
 
 
   
SURAT MINGGU
Dato’ Saifuddin Abdullah
(Bil. 1, 17 Mac 2008)
 
SEMINGGU SEBAGAI AHLI PARLIMEN
 
Saya amat bersyukur kehadrat Allah swt dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO dan BN, khususnya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Dato’ Sri Adnan Yaakob yang mencalonkan saya, kepada jentera pilihan raya UMNO dan BN Temerloh, serta kepada semua yang mengundi dan menyokong saya sehingga memberikan saya peluang menjadi Ahli Parlimen Temerloh. Special mention ialah kepada mentor saya, Dato’ Mohd Sarit Yusoh, iaitu Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan bekas Ahli Parlimen Temerloh. Terima kasih istimewa ditujukan kepada isteri saya, Norlin dan anak saya, Madihah, yang memahami dan menyokong saya pada setiap ketika dan keadaan. Terima kasih juga kepada ayah dan ibu yang merestui saya.

Saya mengucapkan tahniah kepada YB Dato’ Mohd Sharkar Shamsudin yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Lanchang dan dilantik semula sebagai Exco Negeri Pahang serta YB Sdr Chuah Boon Seong yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Mentakab.

Saya berjanji akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya. Saya juga berharap akan ditegur dan dibetulkan sekiranya saya melakukan kesilapan, terutamanya jika saya berubah dan lupa diri.

“Manifesto” peribadi

Saya bertekad untuk memenuhi “manifesto” peribadi saya, iaitu: (1) mengamalkan integriti politik yang berasaskan idealisme perjuangan dengan menghayati politik ilmu, bukannya politik ampu; politik hikmah, bukannya politik fitnah; dan politik bakti, bukannya politik undi. (2) menggunakan pendekatan-pendekatan baru seperti mewujudkan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) bagi memberikan peluang kepada rakyat untuk bersuara melalui perwakilannya. (3) memenuhi keperluan enam bidang pembangunan kawasan Temerloh, iaitu: kesihatan dan kebajikan, pendidikan dan latihan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosio-budaya, partisipasi dan masyarakat sivil serta frasarana dan kemudahan asas. (4) rapat dan sering bertemu rakyat, seperti mengadakan hari bertemu rakyat (setiap Jumaat, dan telah bermula pada 14 Mac lalu); March Walk pada setiap tahun (berjalan pintu ke pintu); siri dialog dengan rakyat dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO); dan mengurangkan protokol (contohnya tiada hidangan yang berlainan untuk saya ketika jamuan).

BN perlu Muhasabah Diri dan Bangkit Kembali

Bagaimanapun, saya amat sedih dengan keputusan pilihan raya ini yang menyebabkan BN kehilangan banyak kerusi di seluruh negara, termasuk DUN Kuala Semantan. Calon kita, Khairuddin Manan telah bekerja keras, tetapi nasib tidak menyebelahinya. Sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Temerloh, saya telah mengadakan post mortem dan akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kekalahan ini.

Pada keseluruhannya, keputusan yang kurang memuaskan BN ini adalah akibat gelombang undi protes. BN mesti menerima dan menghormati keputusan ini. Kecuali rakyat yang memang secara “langkah aksi” menyokong pembangkang, rata-ratanya yang lain (dan saya yakin jumlahnya adalah lebih besar) telah secara “langkah reaksi” (ini bukan emosi, ini adalah realiti demokrasi dan tidak salah) tidak mengundi BN untuk menegur dan membetulkan BN.

Kerana itu, BN perlu melakukan dua perkara utama, iaitu, pertama, muhasabah diri dan kedua, bangkit kembali dengan corak, cara dan citra baru.

Sebahagian dari perkara ini telah saya bincangkan sejak dulu, contohnya ketika sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia, dalam ucapan sulung saya di Perhimpunan Agung UMNO Malaysia 2002 (menyokong Usul Terima Kasih Kepada Ucapan Dasar Presiden) dan dalam tulisan-tulisan saya. Selepas pilihan raya ini, ia telah saya ungkapkan di diskusi analisis pilihan raya rancangan Astro Awani pada 10 Mac lalu dan petang tadi, dalam diskusi di UUM yang melibatkan juga YB Dato’ Dr Fuad Zarkashi (Ahli Parlimen BN, Johor), YB Dr Ramasamy (DAP, bakal Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang) dan YB Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen PAS, Pulau Pinang).

Saya akan menumpukan topik ini secara lebih khusus dalam ruangan akan datang. Buat masa ini, secara ringkasnya, dari segi muhasah diri, BN perlu melihat, mengambil tindakan dan menerangkan isu-isu nasional dengan lebih artikulatif dan efektif; menyelesaikan masalah-masalah dalaman parti; tidak lagi bersikap denial apabila berhadapan dengan isu tertentu; lebih memahami pengundi muda; menggunakan media baru (seperti internet dan SMS) dengan lebih berkesan; dan tidak lagi menggunakan strategi-strategi pilihan raya yang tidak menguntungkan.

Dari segi kebangkitan semula pula, BN perlu menghayati politik baru, yang antara lain, menggabungkan dua komponen utama, iaitu pertama, demokrasi yang lebih matang (termasuk soal participatory democracy, 3P – penghakupayaan, perwakilan dan perundingan, dan kerangka “governans baru” yang melibatkan sektor kerajaan dan politik, serta perniagaan dan masyarakat sivil dalam membuat keputusan); dan kedua, integriti politik (seperti dalam “manifesto” peribadi saya di atas tadi).

Kesimpulannya, tidak ada yang salah dengan BN yang tidak dapat dibaiki dengan apa yang betul untuk BN.

Salam perjuangan!

 
 
   
 
 
 
   
 
s