Isnin
lalu (24 Mac 2008), Menteri Pengajian Tinggi yang
baru, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata
kerajaan akan meminda Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU) bagi memberi pelajar dan universiti
lebih kebebasan. Sebelum ini, mantan menteri di
kementerian ini, Dato’ Mustapha Mohamad
juga pernah menyatakan perkara yang hampir sama.
Apakah pindaan yang
akan dibuat dan bilakah ia akan menjadi kenyataan
belum diumumkan. Namun demikian, ini adalah satu
langkah yang tepat oleh kerajaan, walaupun sudah
agak terlambat. Sepatutnya, pindaan telah dibuat
jauh lebih awal lagi. Malahan, beberapa seksyen
yang sepatutnya dipinda itu tidakpun sepatutnya
diadakan.
Saya menyokong penuh
pengumuman Dato’ Seri Mohamed Khaled itu
dan ada akhbar yang memetik kenyataan saya tentangnya.
Ini bukan kali pertama saya membincangkan pindaan
terhadap AUKU. Sejak dari tahun 1981, iaitu ketika
menjejakkan kaki sebagai mahasiswa Universiti
Malaya, saya telah secara konsisten membincangkan
dan mencadangkan pindaan ke atasnya.
Perkara pokoknya
ialah terdapat kira-kira 13 peruntukan dalam AUKU
yang mengongkong gerakan mahasiswa. Kerana itulah
ia harus disemak dan dipinda atau dimansuhkan.
Antara peruntukan
itu, yang utama ialah Seksyen 15 (1), (2), (3)
dan (4) yang melarang mahasiswa menganggotai organisasi
luar kampus; melarang persatuan mahasiswa bergabung
atau bekerjasama dengan organisasi luar; dan melarang
mahasiswa atau persatuan mahasiswa menyatakan
sokongan, simpati atau bangkangan terhadap organisasi
luar.
Semua peruntukan
ini perlu dimansuhkan. Masakan mahasiswa tidak
boleh menganggotai organisasi luar yang sah, contohnya
persatuan dan koperasi belia, alumni sekolahnya,
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampungnya,
Khairat Kematian Kampungnya, pertubuhan profesional
yang berkaitan dengan pengajiannya dan sebagainya.
Ini mahasiswa, bukannya murid sekolah. Peruntukan
ini tidak logik, malah bertentangan dengan hak
asasi manusia untuk berorganisasi yang dijamin
Perlembagaan.
Adalah tidak wajar
melarang persatuan mahasiswa bergabung sesama
mereka atau bekerjasama di peringkat yang lebih
luas, seperti di peringkat nasional atau antarabangsa
sedangkan jaringan tersebut amat penting. Apa
salahnya persatuan mahasiswa bergabung atau bekerjasama
dengan organisasi bukan pelajar di luar kampus,
asalkan ia adalah organisasi yang sah.
Begitu juga dengan
sokongan kepada organisasi luar. Dengan sekatan
ini, mahasiswa tidak boleh mengundi dalam pilihanraya
umum, tidak boleh menyokong kerajaan, tidak boleh
menghentam Soros, tidak boleh mengkritik Amerika
Syarikat, tidak boleh membantu Palestin dan sebagainya.
Memanglah terdapat
peruntukan bahawa semua larangan ini boleh dikecualikan
sekiranya mahasiswa atau persatuan mahasiswa mendapat
kebenaran bertulis daripada Naib Canselor. Tetapi,
peraturan ini tidak logik. Naib Canselor punya
setimbun perkara lain yang lebih penting untuk
dilakukan.
Kita perlu menerima
hakikat bahawa kehidupan mahasiswa tidak terhad
hanya kepada dewan kuliah, bilik tutorial, makmal
dan perpustakaan. Sebaliknya, ia melibatkan seluruh
kehidupan universiti, termasuk aktiviti ko-kurikulum,
politik kampus, kebajikan, hak dan keadilan mahasiswa,
dan sebagainya.
Kehidupan mahasiswa
tidak terhad dalam batasan pagar universiti sahaja.
Mahasiswa adalah sebahagian daripada masyarakatnya.
Mahasiswa perlu bersama dengan masyarakatnya,
mendengar denyut nadi masyarakatnya, menjadi jurubicara
masyarakatnya dan menjadi agen perubahan dalam
masyarakatnya. Ini termasuk semua perkara yang
melibatkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara
seperti sosial, ekonomi dan politik.
Kehidupan mahasiswa
tidak terhad dalam sempadan masyarakat di negaranya
sahaja. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan
warga dunia. Apa lagi dalam zaman globalisasi
hari ini. Dalam zaman teknologi maklumat (IT)
hari ini, mahasiswa punya peluang untuk menjadi
lebih intim dengan masyarakat di luar kampusnya
dan dengan warga dunia antarabangsa.
Kehidupan mahasiswa
bukan kehidupan berseorangan. Ia adalah kehidupan
berkumpulan dan berorganisasi. Apabila berkumpulan
dan berorganisasi, ia menjadi berstruktur, berprinsip
dan punya hala tuju yang kemas, lalu menjadi satu
gerakan yang dipanggil gerakan mahasiswa. Apabila
wujud gerakan mahasiswa, ia lazimnya mempunyai
rukunnya sendiri, iaitu idealisme, aktivisme dan
intelektualisme.
Tahun-tahun dari
1965 (atau menurut pendapat lain, dari 1966 atau
1967) hingga 1974 dianggap para pengkaji sebagai
zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara ini. Yang
menjadikan 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak
gerakan mahasiswa ialah kerana setelah peristiwa
demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan
telah dibuat terhadap AUKU pada awal tahun 1975,
dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan
yang besar dari segi bermulanya kelembapan gerakan
mahasiswa. Manakala demonstrasi Baling kekal sebagai
suara gerakan mahasiswa yang paling besar impaknya
dalam sejarah mahasiswa dan masyarakat.
Mereka yang menganggap
AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa lazimnya
menggunakan data tentang banyaknya aktiviti yang
dilaksanakan mahasiswa. Tetapi, jumlah aktiviti
tidak semestinya menunjukkan gambaran sebenar
gerakan mahasiswa.
Ada aktiviti yang
sekadar aktiviti. Ada aktiviti yang bersifat bakti.
Ada aktiviti yang bersifat bakti dan advokasi.
Manakala, ada aktiviti yang bersifat advokasi
sahaja. Gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat
advokasi. Kerana itu, data mentah yang tidak diklasifikasi
dan kalau digunakan secara sembrono untuk mengatakan
AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa tidak dapat
diterima.
Ada hujah yang mengatakan
AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa kerana terdapatnya
data yang menunjukkan ramai mahasiswa menyertai
aktiviti yang dijalankan. Sekali lagi, jika data
itu mentah dan tidak diklasifikasi mengikut aktiviti,
bakti dan advokasi, maka ia tidak dapat diterima.
Ada pula yang berhujah
bahawa AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada
berpolitik, kerana zaman mahasiswa adalah zaman
belajar dan bukannya zaman memimpin. Selepas tamat
belajar nanti, barulah berperanan sebagai pemimpin.
Mereka mempunyai paradigma yang salah tentang
konsep kepemimpinan. Mereka terpengaruh dengan
ayat yang tidak lengkap, iaitu: “mahasiswa
adalah pemimpin masa depan”. Jadi, wahai
mahasiswa, tunggu! Ayat itu perlu dilengkapkan
seperti berikut: Mahasiswa adalah pemimpin hari
ini, iaitu pemimpin kepada yang lebih muda daripadanya;
pemimpin kepada yang seangkatan dengannya; dan
rakan kepemimpinan dalam pembangunan.
Ada yang berpendapat
bahawa AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada
berpolitik kerana bimbang mahasiswa menentang
kerajaan. Persoalannya, mengapakah tidak ditanya
mengapa kerajaan ditentang mahasiswa? Tetapi,
bukankah ada waktunya yang sebahagian kalaupun
tidak seluruh gerakan mahasiswa menyokong kerajaan?
Di samping itu, bukankah sejarah menunjukkan bahawa
pendirian politik mahasiswa mungkin berubah apabila
meninggalkan kampus? Jadi, apa masalahnya?
Di samping itu,
ada juga yang berhujah secara double standard
dengan mengatakan bahawa tugas sebenar mahasiswa
ialah belajar kerana mahasiswa bertanggungjawab
terhadap biasiswa atau bantuan kewangan yang disediakan
kerajaan melalui wang rakyat. Anehnya, orang yang
sama menyokong pula kelab parti tertentu ditubuhkan
mahasiswa di luar negara yang menggunakan biasiswa
dan bantuan kewangan yang jauh lebih besar jumlahnya.
Mereka yang memahami
gerakan mahasiswa dan bersikap terbuka maklum
bahawa AUKU mengongkong. Kes-kes tentangnya banyak.
Mungkin tidak terlalu banyak. Tetapi hakikatnya
ia wujud. Dan kewujudannya telah cukup untuk mewujudkan
budaya takut di kalangan mahasiswa. Cukup untuk
melembabkan gerakan mahasiswa jika dibandingkan
dengan zaman sebelumnya.
Pinda dan
mansuhkanlah peruntukan-peruntukan yang drakonian
itu. Benarkanlah mahasiswa menjadi mahasiswa.
|