SEKIRANYA kita
percaya kepada matlamat melahirkan insan yang
sepadu dan seimbang, paradigma yang sepatutnya
digunakan ialah memberikan penekanan seimbang
terhadap kedua-dua komponen-akademik dan kokurikulum-dalam
sistem pendidikan kita hari ini.
Keseimbangan ini
tidak semestinya sama dari segi masa, tenaga dan
dana diperuntukkan. Jika kita mempunyai alasan
kukuh untuk membahagikan masa, tenaga dan dana
yang lebih kepada akademik, maka, ia adalah wajar.
Maksud seimbang di sini ialah kedua-dua komponen
itu perlu diberikan perhatian sewajarnya, yang
bersesuaian dengan kepentingannya dan tidak ada
komponen dipinggirkan. Malangnya, sistem pendidikan
kita terlalu menekankan akademik malah kita terlalu
berorientasi peperiksaan.
Justeru, apabila
pada Januari lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan langkah mengkaji
semula sistem peperiksaan hari ini bagi mengurangkan
sistem pendidikan daripada terlalu berorientasi
peperiksaan, maka kita berasa lega.
Namun, masih ada
tanda tanya. Tidak terlalu berorientasi peperiksaan
tidak secara automatis bermakna tidak hanya menekankan
akademik semata-mata. Orientasi peperiksaan mungkin
dikurangkan. Tetapi, sekiranya perhatian terhadap
kokurikulum masih juga kurang, maka matlamat kesepaduan
dan keseimbangan itu masih juga tidak dipenuhi.
Pada kemasukan
ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi
Julai 2006/2007 lalu, buat pertama kali Kementerian
Pengajian Tinggi mengambil kira markah kokurikulum
sebagai 10 peratus daripada keseluruhan markah
yang dimiliki calon. Langkah ini baik dan dialu-alukan.
Tetapi, ia dibuat dengan kaedah pengiraan mereka
sendiri, dan dengan tiba-tiba – tanpa perancangan
bersama warga sekolah menengah – maka ia
menimbulkan kekeliruan.
Isnin lalu, Hishammuddin
mengumumkan mulai tahun depan, kementeriannya
akan mula menilai dan memberi markah kepada kegiatan
kokurikulum di sekolah rendah dan menengah. Pembabit\tan
pelajar sama ada dalam kegiatan sukan, pakaian
seragam atau kelab/persatuan akan diberi merit
mengikut peringkat diwakili (sekolah, daerah,
negeri, negara), jawatan (presiden, setiausaha,
bendahari, jawatankuasa) dan tempoh masa penglibatan
dan kehadiran.
Markah kokurikulum dicatatkan pada sijil peperiksaan,
misalnya SPM, iaitu sama seperti kelulusan ujian
lisan dicatatkan. Jika diteliti Panduan Penilaian
Aktiviti Kokurikulum yang akan digunakan, jelas
bahawa untuk pertama kali dalam sejarah pendidikan
kita, satu skim kokurikulum yang komprehensif
diwujudkan.
Lebih 90 peratus
warga sekolah diberi taklimat mengenai panduan
penilaian itu. Perincian mengenainya akan diumumkan
selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa
Mohamed bersetuju dengan panduan penilaian itu.
Seperti tahun lalu,
markah kokurikulum 10 peratus diambil kira bagi
kemasukan ke IPTA mulai sesi 2007/2008. Bezanya
kali ini, ia dilaksanakan dengan lebih sistematik.
Sebenarnya, pengumuman
terbaru Menteri Pelajaran itu adalah satu mercu
tanda amat signifikan. Dengan mengambil kira pelbagai
aspek tidak dibicarakan dalam tulisan ini, misalnya
aspek spiritual, ini bermakna sistem pendidikan
di sekolah akan menggunakan nisbah 90:10, iaitu
90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum.
Ia bermakna kokurikulum mula mendapat tempat lebih
wajar. Ia juga bermakna sebahagian daripada persoalan
kesepaduan dan kesimbangan itu mula kelihatan
penyelesaiannya.
Bagaimanapun, nilai
10 peratus bagi kokurikulum adalah masih rendah
dan peruntukan lebih wajar ialah 25 peratus.
Dalam konteks syarat
kemasukan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia,
Prof. Datuk Dzulkifli Abd Razak menyatakan bahawa
universiti ternama di luar negara memberikan pemberatan
lebih besar terhadap kokurikulum dan cirii disebut
Profesor Universiti Harvard, Henry Rosovsky (1990)
dalam bukunya The University: An Owner’s
Manual sebagai subjektif, qualitatif dan
tak-kuantitatif.
Menurut Richard
Bradley (2005) dalam bukunya Harvard Rules
untuk memasuki Universiti Harvard, iaitu universiti
terbaik di dunia, kelulusan akademik sahaja tidak
memadai. Calon juga perlu mempunyai ciri seperti
ahli muzik, saintis, usahawan, ahli sukan dan
sebagainya – yang bertaraf dunia.
Berbalik kepada
nisbah 90:10 tadi, persoalannya, bagaimana dengan
sistem pendidikan di IPTA? Adakah nisbah 90:10
ini hanya digunakan untuk syarat kemasukan sahaja?
Atau, adakah seluruh sistem pendidikan IPTA akan
juga menggunakan nisbah sama, sehingga apabila
mahasiswa menerima ijazah atau diplomanya, maka
manuskripnya akan menunjukkan markah pada nisbah
itu?
Bagaimana pula
halnya dengan institusi pengajian tinggi swasta
(IPTS)? Sekiranya nisbah 90:10 ini hanya digunakan
sebagai syarat kemasukan ke IPTA sahaja, maka
calon yang kurang markah kokurikulumnya akan bertumpu
ke IPTS.
Kita tidak mahu kokurikulum hanya digunakan untuk
memenuhi syarat kemasukan ke IPT semata-mata;
atau, dalam konteks mahasiswa, hanya memenuhi
syarat mendapatkan pekerjaan semata-mata. Jika
ini paradigmanya, maka persoalan insan yang sepadu
dan seimbang itu masih belum dijawab.
Ada yang menolak
kepentingan kokurikulum kerana mereka gagal dalam
akademik akibat kokurikulum. Premis ini tidak
betul. Memang ada yang gagal akademik, tetapi
bukan akibat kokurikulum. Ia akibat faktor pengajaran
dan pembelajaran dan sebagainya, yang langsung
tiada kaitannya dengan kokurikulum. Maknanya,
kalau ia tidak terbabit dengan kokurikulum sekalipun,
ia akan gagal juga.
Sekiranya ada yang
gagal akademik kerana terlalu banyak menghabiskan
masa dalam kokurikulum, maka ini bukan masalah
kokurikulum. Ia masalah pengurusan masa. Janganlah
kokurikulum pula dipersalahkan.
Sekiranya ada yang
gagal akademik walaupun masa digunakan untuk akademik
dan kokurikulum adalah seimbang, maka, seperti
dinyatakan seorang lagi Profesor Universiti Harvard,
Harry R. Lewis (2006) dalam bukunya Excellence
Without A Soul, kajian membuktikan bahawa
penglibatan dalam kokurikulum yang seimbang tidak
menggugat prestasi akademik.
Masalah kita ialah
apabila pelajar merosot akademiknya, fokus kita
ialah kokurikulum. Sepatutnya, fokus kita ialah
kualiti akademik ditawarkan kepadanya. Jika masalah
pelajar itu ialah akademiknya, maka perbaikilah
akademiknya, bukannya menyekat kokurikulumnya.
Menyekat pelajar terhadap kokurikulum diminatinya
bukanlah caranya untuk meningkatkan minatnya terhadap
akademiknya.
Kokurikulum mesti
dilihat dengan paradigma bahawa ia mempunyai kepentingan
seimbang dengan akademik. Kokurikulum mesti dilihat
sebagai pelengkap kepada akademik. dan sebagai
sebahagian daripada cara hidup.
Justeru, kokurikulum
mesti diberikan ruang lebih luas dari sekolah
rendah hinggalah ke universiti.
|