Ke arah institusi pendidikan holistik
Sekolah berasrama penuh lahirkan insan bersepadu, benar-benar unggul
 

MINGGU lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa ada kira-kira 93,000 permohonan untuk memasuki sekolah berasrama penuh (SBP), sedangkan tempat yang disediakan hanya 6,000. Angka ini membuktikan keyakinan masyarakat terhadap SBP.

SBP yang pertama ialah The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan pada 1905. Penubuhannya mencontohi Eton College (ditubuhkan pada 1440), iaitu sekolah berasrama terbaik di United Kingdom, yang melahirkan 19 Perdana Menteri.

Sebilangan Raja Melayu menuntut di MCKK. Ia juga melahirkan seorang Perdana Menteri dan ramai pemimpin serta profesional dalam pelbagai bidang.

Profesor Emeritus Datuk Khoo Kay Kim menyifatkan sejarah MCKK adalah umpama satu aspek daripada sejarah moden orang Melayu. Ramai keluarannya memainkan peranan kepemimpinan yang penting dalam pelbagai kapasiti di kalangan bukan saja orang Melayu, malah di kalangan masyarakat Malaysia secara amnya.

Prof Khoo berkata, MCKK adalah institusi “nasional”, tetapi sayangnya, ia tidak dipertahankan dengan sewajarnya. Beliau mempersoalkan mengapakah ada usaha untuk menurunkan taraf MCKK seperti sekolah lain.

Pada majlis perasmian sambutan ulangtahun MCKK ke-100 tahun lalu, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertitah, ”...Beta dan Raja Melayu sekalian memperkenankan dan memperakui bahawa Raja Melayu kekal sebagai Penaung Diraja kepada The Malay College Kuala Kangsar selagi ada peredaran matahari, bulan dan bintang”. Perisytiharan ini melegakan semua yang memahami kepentingan dan kecemerlangan MCKK.

Kecemerlangan MCKK disebabkan ia kaya dengan semangat dan tradisinya yang mengamalkan cara hidup yang holistik, sepadu dan seimbang. Ia ditandai, misalnya, oleh jadual harian, kod pakaian, etika makan, perlakuan dan disiplin, kepemimpinan pengawas, sistem rumah, semangat kesukanan, kokurikulum dan kegiatan keagamaan.

Semangat dan tradisi ini menyebabkan pelajarnya bersungguh-sungguh bukan saja untuk cemerlang dalam akademik, malah cemerlang dalam sekurang-kurangnya satu bidang lain. Bukan saja untuk diri sendiri, tetapi demi MCKK.

Khasnor Johan dalam dua bukunya mengenai MCKK, iaitu Educating the Malay Elite (1996) dan Leadership: But What’s Next? (2005), menjelaskan MCKK ialah sekolah premier yang sentiasa menekankan nilai kecemerlangan, kemasyhuran dan patriotisme; atau yang diungkapkan oleh pelajar tuanya lewat buku MCKK: Impressions (1905-2005) sebagai kebanggaan, kesungguhan dan tradisi.

Tradisi ini menjadi teras kepada SBP yang kedua, iaitu Maktab Perempuan Melayu (MGC) yang ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1947. Pada tahun 1963, selepas berpindah ke Seremban, namanya ditukar kepada Kolej Tunku Kurshiah (TKC). Hasnah Muhammad Ali, Nurzan Mohd Wahie dan Rashila Ramli (2000) dalam bukunya Warisan Puteri Melayu: Dari MGC ke TKC (1947-1997), menjelaskan TKC ditubuhkan untuk seiring dengan MCKK.

TKC juga melahirkan ramai tokoh dan profesional wanita yang berjaya. Antaranya ialah Datuk Seri Rosmah Mansur, Datuk Prof Dr Mazlan Othman, Datuk Rafiah Salim, Datuk Prof Dr Nik Safiah Karim, Datuk Dr Norlaily Abu Bakar, Datuk Paduka Marina Mahathir, Datuk Ilani Ishak, Noriah Kasnon dan Prof Dr Adibah Kamarulzaman.

Kedudukan TKC turut cuba direndahkan. Contohnya, tidak berapa lama lagi, TKC akan berpindah dari kampusnya sekarang ke tapak baru di Nilai. Rekabentuk kampusnya yang baru, yang disediakan pihak berkaitan adalah rekabentuk biasa sahaja dan tidak sesuai dengan TKC. Warga TKC menolak rekabentuk itu dan menyediakan rekabentuk yang lebih baik yang perlu diberikan pertimbangan positif.

Menteri Pelajaran pertama, Tun (ketika itu Datuk) Abdul Razak mencadangkan supaya dibina lebih banyak SBP. Ini bermula dengan pembukaan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, pada tahun 1957. Ia adalah untuk ditadbirkan seperti MCKK. Ia diikuti dengan penubuhan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) di Seremban dan Sekolah Tun Fatimah (STF) di Johor Bharu.

Ketika Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri pertama kali dianjurkan pada 1974, ada sembilan SBP. Mereka dianggap sebagai SBP premier. Hari ini, ada 54 SBP. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), angka ini akan bertambah.

Dari segi akademik, pencapaian SBP dalam Penilaian Menengah Rendah(PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah yang terbaik berbanding sekolah bukan SBP.

Ada yang menyoal mengapakah tidak ada pelajar SBP yang mendapat 17A1 dalam SPM? Jawapannya ialah SBP mempunyai kriteria kecemerlangan akademik yang bersesuaian dan praktikal dengan tahap pengembangan psikologikal yang sedang dilalui oleh peringkat umur pelajarnya. Kerana itu, majoriti pelajar SBP mengambil 10 kertas SPM saja. Apabila dilihat keputusan bagi 10 kertas berkenaan, maka pencapaian SBP adalah yang terbaik.

Wawasan SBP tidak boleh hanya terhad kepada akademik semata-mata. Malangnya, bagi sebahagian daripadanya, inilah yang berlaku. Bukan saja terlalu akademik, malah terlalu menekankan peperiksaan. Contohnya, menjelang bulan Jun atau Julai, calon-calon PMR dan SPM tidak lagi dibenarkan mewakili sekolah dalam kokurikulum. Adakalanya, aktiviti antara rumahpun tidak lagi membabitkan mereka.

Justeru, perlu diadakan muhasabah supaya SBP meningkatkan prestasi menjadi institusi cemerlang dalam pengertiannya yang sebenar, iaitu sebagai institusi pendidikan yang holistik, yang menjalankan program akademik dan kokurikulum dengan seimbang serta melahirkan insan sepadu dan total yang benar-benar unggul.

Peranan paling penting terletak di bahu pengetua. Sebahagian besarnya amat memberangsangkan. Ada sebahagian kecil yang perlu lebih kerap turun padang untuk lebih rapat dengan anggota kepemimpinan, guru dan pelajarnya. Ada yang perlu mengadakan pembangunan sumber manusia yang lebih mantap untuk gurunya. Ada yang perlu lebih memahami bahawa dunia pekerjaan tidak mengukur keluaran SBP hanya pada akademiknya sahaja. Malangnya ramai yang belum membudayakan sistem rumah.

Ibu bapa tidak patut memberi tekanan kepada pengetua. Yakinlah kepada sekolah, terutama dari segi pengajaran dan pembelajaran. Ibu bapa perlu memberikan sokongan kepada anaknya, seperti selalu melawat, membantu sekiranya prestasi akademik tidak baik dan menggalakkan pembabitan kokurikulum.

Pengetua dan persatuan pelajar tua perlu mempunyai hubungan baik. Pengetua datang dan pergi, tetapi persatuan kekal lama. Tugas utama persatuan pelajar tua ialah menjamin agar tradisi sekolah diteruskan dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Bersama dengan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), ia perlu mengumpul lebih banyak dana serta menyediakan jurulatih untuk pasukan sekolah.

Teras muhasabah ini ialah dasar tentang SBP. Perlu ada keazaman politik dan ketulusan pengurusan untuk menjadikan SBP benar-benar SBP, dan menepis tekanan yang ingin menjadikan SBP sebaliknya. Elakkan paradoks, iaitu dari satu segi, kita mahu SBP, terutamanya SBP premier, menjadi yang terbaik, hatta yang ulung, tetapi dari segi yang lain, kita seolah-olah menghalangnya daripada menjadi yang terbaik, jauh sekali menjadi yang ulung.

SBP perlu mempunyai tanda aras, iaitu dengan sebuah dua yang paling premier di kalangannya dijadikan model. Jika kita mahu SBP menjadi yang terbaik, ia perlu mendapat bukan sahaja pelajar terbaik, tapi pengetua, guru dan peruntukan yang terbaik.

 
INTI PATI
 
Sekolah berasrama penuh
 
  • Masyarakat semakin yakin dengan kewibawaan sekolah berasrama penuh (SBP).
  • Maktab Melayu Kuala Kangsar, Maktab Perempuan Melayu antara SBP yang banyak melahirkan tokoh pemimpin negara.
  • Pencapaian akademik SBP adalah yang terbaik berbanding sekolah bukan SBP.
  • Usaha untuk menurunkan taraf MCKK seperti sekolah lain adalah suatu yang tidak wajar.
  • Prestasi SBP perlu dipertingkat menjadi institusi cemerlang iaitu sebagai institusi pendidikan yang holistik, yang menjalankan program akademik dan kokurikulum dengan seimbang.