AHAD lalu Menteri
Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan
bahawa tempoh latihan amali mahasiswa universiti
awam akan dilanjutkan sehingga enam bulan bagi
membolehkan mereka mendapat pendedahan dan menimba
lebih banyak pengalaman bekerja.
Ia adalah tambahan kepada tempoh latihan amali
sekarang yang diadakan antara satu hingga empat
bulan yang didapati tidak memadai.
Dalam pelbagai
langkah yang diambil kerajaan bagi meningkatkan
kualiti siswazah dari segi peluang mendapatkan
pekerjaan dan mengatasi masalah siswazah menganggur,
langkah terbaru ini adalah antara yang paling
tepat.
Ia memberikan penekanan terhadap proses meningkatkan
kualiti bakal siswazah, iaitu ketika mereka masih
mahasiswa dan bukannya memperbaiki kualiti setelah
mereka menjadi siswazah menganggur.
Walaupun langkah
memperbaiki kualiti setelah mereka menjadi siswazah
menganggur, contohnya Skim Latihan Siswazah Menganggur,
adalah penting dan membantu tetapi ia adalah terlambat.
Malah, langkah ini tidak sepatutnya timbul.
Tugas dan tanggungjawab
utama universiti ialah mendidik siswazah dengan
ilmu, bukannya menjamin peluang pekerjaan. Namun,
sekiranya universiti ingin menyediakan bakal siswazah
dengan bekalan untuk membolehkannya mendapatkan
pekerjaan yang sesuai,ini juga tidak salah.
Tetapi, apa yang perlu dilakukan itu hendaklah
diselesaikan ketika masih di universiti dan bukannya
disambung sehingga mereka meninggalkan universiti.
Latihan amali penting
bagi menyediakan bakal siswazah dengan kemahiran-kerja.
Tempoh latihan amali yang akan ditambah ini menuntut
kerjasama dan komitmen daripada majikan.
Masalahnya, sebelum
ini pun, iaitu ketika tempoh latihan amali tidak
melebihi empat bulan, ada majikan kurang serius.
Maka, bagaimana pula keadaannya apabila tempoh
ini ditambah?
Majikan yang tidak
serius itu tidak menyediakan latihan yang bersesuaian
dengan pelatih. Pelatih disuruh melakukan kerja
yang remeh-temeh. Tidak mengapa sekiranya kerja
remeh-temeh itu disuruh sebagai persediaan budaya
mula bekerja dari bawah.
Tetapi, adakalanya majikan sengaja melakukan demikian
kerana menganggap tempoh latihan amali adalah
peluang baginya mendapatkan khidmat pekerja murah
atau percuma. Ini tidak sepatutnya berlaku.
Pada masa sama,
latihan amali tidak wajar dilihat sebagai jambatan
yang menghubungkan universiti dengan majikan atau
industri yang dilalui bakal siswazah. Sebaliknya,
latihan amali perlu menjadi tahap akhir jambatan
berkenaan.
Jambatan itu perlu dimulakan dengan hubungan yang
lebih akrab antara universiti dengan industri,
yang berlaku dari peringkat awal mahasiswa menjejaki
universiti.
Sekali lagi, walaupun
konsep sebenar universiti ialah sebagai gedung
ilmu dan bukannya kilang mengeluarkan pekerja,
tidak salah bagi jambatan antara universiti dan
industri diperbaiki termasuk dalam konteks menyediakan
peluang pekerjaan bagi siswazah.
Sekiranya wujud hubungan yang lebih rapat antara
universiti dan industri, maka kursus yang ditawarkan
universiti boleh jadi lebih sesuai dengan pasaran
pekerjaan yang disediakan industri.
Model hubungan
universiti-industri yang terbaik terdapat dalam
tradisi Jerman yang melaksanakan dwisistem yang
mempunyai universiti berasaskan kemahiran yang
menekankan aspek perantisan yang memerlukan pembabitan
besar daripada industri.
Model ini cuba diikuti di sini terutama dengan
kerajaan menubuhkan beberapa kolej universiti
kejuruteraan, teknikal dan teknologi.
Bagaimanapun, pelaksanaan
model berkenaan di sebahagian kolej universiti
itu boleh dipersoalkan. Sejauh mana kurikulumnya
benar-benar berasaskan kemahiran? Dari segi pengajaran
dan pembelajaran, adakah semua pensyarahnya berlatar
belakang kemahiran?
Adakah penubuhan pusat pengajian lanjutan dalam
masa yang cepat menepati tujuan sebenar penubuhannya?
Dari segi pembabitan
industri, ia masih jauh daripada diharapkan. Akibatnya,
perantisan, iaitu elemen terpenting model dwisistem
berkenaan tidak dapat dijalankan dengan secukupnya.
Namun, latihan
amali dan hubungan akrab universiti-industri bukanlah
segala-galanya dalam konteks peluang siswazah
mendapatkan pekerjaan. Kedua-dua perkara ini penting
dari segi menyediakan bakal siswazah dengan kemahiran
kerja. Tetapi, kemahiran kerja bukanlah segala-galanya.
Di samping kemahiran
kerja, ada beberapa ciri lain yang dicari oleh
bakal majikan dalam diri siswazah. Ciri-ciri berkenaan
adalah seperti berinisiatif, proaktif, positif,
kreatif, pantas belajar, penyelesai masalah, ahli
pasukan, mahir berkomunikasi dan sebagainya. Pokoknya,
siswazah perlu mempunyai pakej lengkap ilmu kemahiran
sikap yang mantap.
Pakej ini bergantung
kepada keseluruhan sistem pendidikan yang disediakan
universiti. Antara yang paling utama ialah kurikulum
asas dan kokurikulum. Kurikulum asas yang kukuh
akan memberikan pendidikan yang holistik dan mampu
melahirkan siswazah berperibadi sepadu dan seimbang,
yang mampu bukan saja mendapatkan pekerjaan yang
sesuai, malah mampu berdikari dengan menjana pekerjaan
sendiri, misalnya dengan menjadi usahawan.
Dalam konteks ini,
bekas Presiden Universiti Harvard yang kini Pemangku
Presiden universiti itu, Derek Bok (2005), dalam
bukunya Our Underachieving Colleges,
menyatakan bahawa walaupun kebanyakan siswazah
mencapai kemajuan dalam banyak aspek, mereka tidak
mencapai tahap yang sepatutnya dalam bidang penting
seperti penulisan, pemikiran kritikal, kemahiran
kuantitatif dan penghujahan.
Sekiranya kita
risau mengenai kemampuan siswazah kita bersaing
di pentas global, Bok juga mempunyai kerisauan
yang sama terhadap siswazah Amerika. Dalam rencananya
(2006) bertajuk “Are Colleges Failing?”
dalam The Boston Globe, beliau mengingatkan
kini siswazah Amerika bukan saja bertanding sesama
mereka tetapi juga dengan mereka dari negara seperti
India dan China. Yang menariknya, kedua-dua negara
itu jugalah yang menyaingi siswazah kita.
Universiti pula
tidak boleh terlalu taksub dengan masalah siswazah
menganggur sehingga semua kursus perlu ditawarkan
mengikut kehendak pasaran pekerjaan, sehingga
ada kursus yang ditutup kerana dikira tiada prospek
pekerjaan.
Ini bertentangan fundamental universiti yang perlu
menyediakan pendidikan am. Sebab itu, universiti
ternama di luar negara, walaupun peka dengan peluang
pekerjaan bagi siswazahnya, masih mempunyai kursus
seperti bahasa Sanskrit, iaitu kursus yang jarang
diberikan perhatian majikan dan industri.
Universiti juga
tidak boleh digunakan sebagai nama sesebuah institusi
semata-mata untuk menunjukkan ketinggian sesuatu
kemahiran yang diajar kepada sekumpulan pelajar.
Inilah yang dimaksudkan bekas Naib Canselor Universiti
Malaya (2004) dalam bukunya Universiti dan
Tradisi Kecemerlangan sebagai fenomena “kolej
panjat pokok kelapa”.
Masalah siswazah
menganggur tidak boleh dilihat dan ditangani dalam
hampagas atau dalam isolasi. Sebaliknya, ia perlu
dilihat dan ditangani dalam kerangka yang lebih
luas.
Ia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada masalah
belia menganggur kerana siswazah adalah sebahagian
daripada belia.
Di samping itu, kita juga perlu mempunyai dasar
dan pelan tindakan yang khusus mengenai pekerjaan
bagi belia, termasuk siswazah.
Klasifikasi pekerjaan
yang digunakan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari
ini, terutama bagi kategori pekerja profesional,
teknikal dan berkaitan perlu dikemas kini supaya
sesuai dengan perkembangan semasa pekerja berasaskan
keilmuan (k-pekerja).
Faktor tawaran pasaran, seperti gaji minimum,
peraturan dan perundangan yang kondusif juga perlu
diperbaiki.
|