Pendapat Mufti Perlis 'kontemporari'
Isu khalwat dibincang secara konservatif, tak penuhi keperluan zaman
 

Dalam akhbar New Straits Times 15 Disember lalu, Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan bahawa jabatan agama Islam negeri perlu menghentikan perbuatan mengintip, mengintai dan mencari pasangan untuk ditahan atas kesalahan berkhalwat.

Mohd Asri berkata, perbuatan itu bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan menyerupai perbuatan menceroboh. Perbuatan pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam pergi ke hotel dan meminta senarai nama penginap adalah memalukan Islam.

Menurutnya lagi, prinsip amar makruf nahi mungkar hanya boleh dilaksanakan apabila kesalahan dan jenayah dilakukan secara terbuka, tetapi menceroboh hak individu adalah bertentangan dengan Islam. Beliau mempersoalkan kebiasaan pegawai penguat kuasa membawa bersama wartawan ketika mengadakan operasi menangkap pasangan khalwat kerana ia mengaibkan pasangan berkenaan.

Dengan kelulusan Doktor Falsafah (PhD), iaitu dalam Pengajian Hadis, Dr. Mohd Asri antara mufti dan ketua agensi dan jabatan agama Islam negara ini yang paling tinggi kelayakan akademiknya. Pada usia 35 tahun, beliau mufti paling muda di negara ini.

Perlantikannya sebagai mufti adalah satu pengiktirafan signifikan terhadap belia negara. Ia mengingatkan kita akan pengiktirafan Rasulullah terhadap belia, misalnya dengan memilih Saidina Ali dan Saidatina Asma’ membantunya dalam peristiwa Hijrah, iaitu satu sejarah amat signifikan dalam Islam.

Pendapat Dr. Mohd Asri ini menyegarkan berbanding pihak berkuasa agama Islam yang ada kala mempunyai keutamaan yang salah. Contohnya, ramai wanita Islam diceraikan masih belum mendapat keputusan Mahkamah Syariah berhubung tuntutan mereka; kebanyakan pejabat agama Islam daerah belum mempunyai kaunselor bertauliah dan persatuan pengguna Islam lebih proaktif dalam memantau penggunaan logo halal.

Tetapi, malangnya, pendapat yang segar ini disanggah tokoh Islam berusia lebih 40 tahun. Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz mengatakan bahawa pemeriksaan mengejut terhadap bilik hotel bertujuan mencegah maksiat yang semakin berleluasa.

Masalahnya, pemeriksaan sudah lama diadakan, tetapi maksiat yang sama terus juga berlaku. Tidakkah ini bermakna yang tujuan pemeriksaan itu tidak dipenuhi?

Ia tidak bermakna kerana itu maka pemeriksaan perlu dihentikan. Apa yang dipersoalkan ialah kaedah pemeriksaan. Apalagi kerana pernah terjadi tangkapan yang salah, misalnya yang melibatkan pasangan bukan Islam.

Menurut Datuk Abu Hassan, pembabitan media adalah penting kerana dengan tersiarnya berita berkenaan, maka secara tidak langsung ia menimbulkan kesedaran dan membuatkan umat Islam tidak berani melakukan maksiat.

Masalahnya ialah pegawai penguat kuasa membawa bersama media ketika pemeriksaan dibuat. Pada masa itu, pasangan diperiksa itu belum pasti bersalah atau tidak. Apa yang pasti ialah pasangan itu sudah diaibkan sedangkan Islam tidak mengajar begitu.

Dalam konteks ini, kajian Philip Kotler dan Eduardo L. Roberto (1989) dalam bukunya Social Marketing menyatakan kebanyakan kempen mengubah perlakuan masyarakat dilakukan menerusi media tidak berjaya. Ia menunjukkan bahawa dalam keadaan media digunakan secara langsung pun ia tidak berjaya, inikan pula mengharapkan masyarakat berubah hanya menerusi media digunakan secara tidak langsung.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata tindakan pasangan Islam berdua-duaan di dalam bilik tidak boleh disifatkan sebagai hak persendirian tetapi bersifat bersembunyi dengan tujuan membuat dosa.

Pandangan ini tidak menghairankan memandangkan beliau memang terkenal dengan pandangannya yang keras mengenai Islam, manakala Ahli Kehormat Utama Persatuan Ulama Malaysia, Ahmad Awang secara sinis menyatakan jangan terlalu terpengaruh dengan pendapat pejuang hak asasi manusia yang mahu kebebasan sepenuhnya. Beliau seolah-olah menyatakan bahawa Islam tidak mempunyai prinsip hak asasi manusia atau menuduh Dr. Mohd Asri terpengaruh dengan pemikiran barat.

Timbalan Mufti Sarawak, Dr. Juanda Jaya, 34, dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad, 32, adalah antara tokoh Islam yang menyokong pendapat Dr. Mohd Asri. Menariknya, seperti Dr. Mohd Asri, kedua-dua Dr. Juanda dan Yusri adalah juga belia.

Dalam menjawab sanggahan itu, Dr. Mohd Asri menyatakan terdapat isu lebih besar daripada menangkap pasangan berkhalwat di dalam bilik, iaitu mencegah perlakuan berdosa dilakukan secara terbuka seperti rasuah, mencuri, rompakan, dadah dan meminum arak yang mendatangkan masalah kepada orang lain, iaitu berbanding dosa berkhalwat yang hanya membabitkan antara mereka yang berkenaan dengan Tuhan.

Jika isu seperti khalwat menjadi keutamaan pihak berkuasa dengan melakukan serbuan, maka perkara mungkar yang lain juga wajar diambil tindakan sama. Dalam polemik ini, Dr. Mohd Asri kelihatan mampu berhujah dengan baik, dengan nas al-Qur’an dan Sunnah, berfakta dan rasional.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abd Rahman tidak mengalu-alukan pendapat Dr. Mohd Asri tetapi, dalam perbincangan antara kedua-duanya Isnin lalu, menurut Ketua Pengarah Jakim, persetujuan dicapai supaya sebarang serbuan berhubung kes khalwat hanya boleh dilakukan selepas menerima aduan orang ramai.

Kini, tidak lagi timbul soal mengintai atau mengintip, melainkan penelitian atau siasatan untuk memastikan kesahihan aduan.

Pada hari sama, di Dewan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md Zin mengakui bahawa penguatkuasaan undang-undang khalwat masih kurang mantap dan perlu diperkemaskan. Pihaknya sedang berusaha mengelakkan pertikaian mengenai operasi ini dengan memperkenalkan Piawaian Prosedur Operasi (SOP).

Dengan kata lain, sehingga hari ini, SOP operasi khalwat masih belum wujud. Jadi, jelaslah bahawa Dr Mohd Asri mempunyai alasan dan hujah kukuh bagi pendapatnya itu, manakala persetujuan Jakim dan pengakuan Menteri berkenaan mengelakkan berlakunya pertembungan antara pemikiran dinamik dan progresif serta pendekatan sederhana pada satu pihak dengan pemikiran jumud dan konservatif serta pendekatan keras pada pihak satu lagi.

Sebenarnya, Dr Mohd Asri mempunyai pemikiran lain yang lebih penting daripada isu khalwat. Beliau menyuarakan kebimbangannya kerana jawatan mufti lebih terkenal sebagai orang yang membaca doa pada majlis rasmi. Banyak tugas mufti dialihkan kepada tugas lain, bukan tugas asalnya. Ia boleh menjadikan mufti tidak berfungsi dan gagal merumuskan permasalahan umat Islam.

Katanya, mufti juga gagal kerana berfikiran kolot, terkebelakang dan tidak memenuhi tuntutan zaman. Sesetengah golongan agama terlalu konservatif dan terikat dengan buku yang ditulis beratusratus tahun lalu sedangkan umat Islam kini berdepan dengan masalah baru yang memerlukan pendekatan dan penyelesaian baru.

"Pada zaman kegemilangan Islam dulu, kebanyakan ulama menulis banyak buku. Tetapi hari ini, amat sedikit ulama kita, termasuk mufti yang menulis. "

"Malah, profesor kita pun ramai tidak menulis. Sebab itu kita amat kekurangan rujukan yang ditulis daripada perspektif Islam dan kontemporari mengenai banyak bidang kehidupan," katanya

Dalam konteks ini, Dr. Mohd Asri ternyata prolifik. Beliau sudah menghasilkan lapan judul buku dengan sebuah daripadanya menjadi rujukan pelajar di Lubnan. Buku berkenaan membicarakan pelbagai perkara seperti kefahaman Sunnah, menilai tarikat dan kesufian, menangkis pencemaran terhadap agama dan tokoh Imam Syafie, kegemilangan ilmu dan pemikiran, tafsiran agama yang kian terpesong dan tanggunggjawab membela Islam.

 
INTI PATI
 
Pandangan Mohd Asri
 
  • Mengatakan jabatan agama Islam negeri perlu menghentikan perbuatan mengintip, mengintai dan mencari pasangan untuk ditahan atas kesalahan berkhalwat.
  • Perbuatan iti bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan menyerupai perbuatan menceroboh.
  • Ada isu lebih besar daripada menangkap pasangan berkhalwat di dalam bilik, iaitu mencegah perlakuan berdosa dilakukan secara terbuka seperti rasuah, mencuri, rompakan, dadah dan minum arak yang mendatangkan masalah kepada orang lain.
  • Mempunyai pemikiran lain lebih penting daripada isu khalwat dengan menyuarakan kebimbangannya kerana jawatan mufti lebih terkenal sebagai orang yang membaca doa pada majlis rasmi.