Tengah malam esok, kita akan melangkah ke tahun baru 2007. Melangkah
ke tahun baru bukanlah perkara luar biasa. Tetapi kali ini, ia bukan
tahun biasa. Kali ini, Malaysia genap 50 tahun sebagai bangsa dan negara
merdeka. Ia bermakna kita melangkah menuju ke tahap baru – 50
tahun kedua. Kerana itu, kali ini, kita tidak boleh melangkah dengan
langkah biasa.
Sebaliknya, kita perlu melangkah dengan jiwa merdeka yang diperkukuhkan.
Terdapat beberapa kaedah bagi memperkukuhkan jiwa merdeka. Satu daripadanya
ialah dengan penghayatan satu gagasan – satu idealisme –
iaitu patriotisme.
Pada 1998, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut ulang tahunnya
yang ke-50. Selaras dengan itu, MBM memikirkan haluan perjuangannya
untuk tahap 50 tahun keduanya. Tahun yang sama adalah juga detik mencabar.
Pada masa sama dua krisis besar berlaku, iaitu krisis ekonomi akibat spekulasi mata wang dan krisis politik akibat
pemecatan Timbalan Perdana Menteri.
Dalam keadaan demikian dan dengan Wawasan 2020 di papan agenda, MBM memutuskan betapa perlunya patriotisme diberikan penekanan semula
terutamanya di kalangan belia.
MBM lantas menyambut tahun baru 1999 dengan mengadakan Pidato Patriotisme
pada 1 Januari. Di sinilah gagasannya yang digelar “Patriotisme
Alaf Baru” mula dikemukakan. Ia diikuti dengan beberapa program
susulan seperti seminar, forum dan ceramah yang bertujuan mematangkan
gagasan berkenaan.
Kemuncaknya ialah pada 18 Februari 2001, apabila dengan 17,000 belia
di seluruh negara, MBM menganjurkan Perhimpunan Patriotisme Alaf Baru yang
disiarkan secara langsung di RTM1. Ini disusuli lebih 50 program
di setiap negeri dalam pelbagai bentuk seperti perhimpunan, seminar,
forum, ceramah, perkhemahan, perbarisan, ekspedisi dan lain-lain.
Dari 24 hingga 26 Oktober 2002, Biro Tatanegara dan Universiti Utara Malaysia (UUM)
menganjurkan Kongres Patriotisme Negara apabila gagasan Patriotisme
Alaf Baru turut dibentangkan. Tidak berapa lama selepas itu, kerajaan
mengumumkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimulakan pada
2004.
Kini, sambutan dan program patriotisme amat menggalakkan. Antaranya
ialah Bulan Merdeka, kurikulum baru mata pelajaran Sejarah di sekolah,
nyanyian lagu dan deklamasi puisi patriotik di televisyen, nyanyian lagu patriotik
di sekolah dan program belia serta Perhimpunan Patriotisme sebagai acara
tahunan Kementerian Pelajaran sejak 2001.
Namun demikian, persoalannya ialah sejauh manakah semua ini benar-benar
berkesan? Kerana itu, kita perlu sentiasa muhasabah, memperbaharui dan
meningkatkan pemahaman dan penghayatan yang tepat bagi memperkasa patriotisme.
Makna patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal
terhadap bangsa dan negara Malaysia. Tetapi, fokus atau bentuk patriotisme
mungkin berubah mengikut masa dan keadaan.
Bagi generasi yang melalui
pengalaman yang berbeza, fokus patriotismenya mungkin juga berbeza,
walaupun pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama. Bagi generasi zaman penjajahan, fokus patriotismenya ialah memperjuangkan
kemerdekaan. Selepas itu, fokus patriotisme ialah mengisi kemerdekaan.
Bagi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan
Malaysia yang baru dibentuk. Bagi yang mengalami 13 Mei, fokusnya ialah
meningkatkan perpaduan rakyat manakala pada masa kegawatan ekonomi,
fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
Apakah pula fokus patriotisme kita hari ini? Sejauh manakah ia dihayati?
Bagaimanakah ia dipupuk? Adakah ia muncul sebagai reaksi kepada masalah
yang dihadapi negara? Adakah ia semarak pada tarikh tertentu sahaja?
Lebih penting lagi, bagaimanakah dan sejauh manakah patriotisme diterjemahkan
sebagai asas bagi meningkatkan kecemerlangan?Pada setiap zaman, muncul cabaran baru yang menggugat patriotisme.
Pada hari ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga cabaran baru yang utama,
iaitu individualisme, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta
globalisasi dan liberalisasi.
Kepantasan kemajuan ICT memungkinkan berlakunya pertembungan antara
“negara maya” dengan “negara nyata”. Contoh
negara maya ialah negara tanpa sempadan dalam internet di mana komuniti
dapat dibentuk tanpa memerlukan kerakyatan, kad pengenalan dan ketua
yang sah. Sebaliknya, negara nyata mempunyai kerakyatan, kad pengenalan
dan ketua yang sah. Rakyat, terutama belia, perlu memahami makna
mempunyai dan mencintai negara nyata.
Globalisasi dan liberalisasi memungkinkan kemerdekaan tergugat
oleh penjajahan bentuk baru. Contohnya ialah penjajahan budaya dan ekonomi.
Dari satu segi, ia ditandai oleh proses makanan segera yang sudah menyerap
ke dalam keluarga di negara ini.
Dari segi lain,
ia ditandai oleh kegawatan ekonomi yang menyebabkan ada negara terpaksa
tunduk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Oleh itu, sesuai dengan dunia hari ini, di samping nilai patriotisme
yang bersifat lintas-zaman, seperti berbangga sebagai rakyat Malaysia,
bersemangat setia negara, bersemangat kekitaan, berdisiplin, serta berusaha
dan produktif; kita juga memerlukan beberapa set nilai yang baru.
Pertama, ialah prinsip budaya ilmu iaitu ilmu dan ilmuwan diletakkan
di tempat yang paling tinggi; setiap individu sentiasa menuntut ilmu
dan menyumbang terhadap pengembangan dan kemajuan ilmu dan setiap keputusan
dan tindakan adalah berasaskan ilmu.
Kedua, ialah ciri-ciri masyarakat berbudaya ilmu, iaitu: keinginan
merenung – bertanya mengapa sesuatu itu berlaku dan apa yang terdapat
di sebalik setiap yang tidak kelihatan di depannya; keinginan meneroka
– berani pergi ke tempat yang tidak pernah dijejak manusia;
keinginan mempelajari – sedia memperolehi ilmu baru dan keinginan
membina – menggunakan ilmu baru untuk mencipta sesuatu yang berbeza.
Ketiga ialah jati diri budaya kebangsaan yang kukuh iaitu jiwa
warisan, wajah wawasan dan langkah wiraan. Ia penting bagi menjadikan
belia, khususnya, kaya (dari segi kefahaman dan penghayatan), perkasa
(dari segi kreativiti dan ketrampilan) dan bangga dengan jati diri budayanya
(dari segi literasi dan amalan); sebagai akar kehidupan zaman siber
dan global serta sebagai pagar apabila berhadapan dengan pengaruh asing
dan negatif.
Bagi tahap 50 tahun kedua kemerdekaan ini, kita perlu mencapai mercu
tanda yang lebih ulung daripada tahap 50 tahun pertama. Pada masa
sama, kita juga perlu menentukan supaya setiap yang dilakukan atas nama
patriotisme itu benar-benar bermakna.
Mengharumkan nama negara, contohnya,
biarlah atas perkara yang sarat nilai dan membuahkan hasil yang berganda.
Apalah maknanya jika ada rakyat kita memenangi hadiah 'paling kuat makan
di dunia'. Sebaliknya, tentulah besar sekali maknanya, jika profesor
kita memenangi Hadiah Nobel kerana kajiannya mengenai pemakanan yang
dilakukan di universiti tempatan yang berkedudukan 10 teratas di kalangan
universiti terbaik di dunia sementara persatuan bahas mahasiswanya menyaingi
Oxford Union, ketika kita menjadi pengeksport sayur-sayuran organik
terbesar di dunia dan tiada lagi petani kita yang miskin. |