Keterbukaan kekuatan Pak Lah
Kita harus terima hakikat fokus, matlamat RMK-9 berbeza daripada sebelum ini
 

PADA Selasa lalu, genap tiga tahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Beliau menyatakan azamnya untuk bekerja lebih kuat bagi membalas sokongan rakyat kepadanya dalam suasana politik hari ini.

Ada yang sinikal dengan sokongan itu. Mereka percaya ramai tidak puas hati dengan prestasi Abdullah. Memang ada yang tidak puas hati. Tidak mungkin semua orang berpuas hati. Ini hakikat kehidupan. Apalagi dalam dunia politik. Tetapi, politik adalah dunia realiti. Ia bukan dunia fantasi atau yang boleh diandaikan.

Realiti politik negara ini ialah golongan yang membangkang kerajaan lazimnya lebih vokal dan menampakkan dirinya daripada yang menyokong. Entah mengapa ia jadi begini. Tetapi inilah realitinya.

Contohnya, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan menghadapi bangkangan yang memuncak selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir yakin dan realiti membuktikan yang keyakinannya itu benar, bahawa sebenarnya jumlah yang menyokong kerajaan adalah lebih ramai daripada yang membangkang.

Golongan yang tidak vokal dan tidak menampakkan dirinya, tetapi menyokong kerajaan ini digelar majoriti senyap.

Ada pula yang mempersoalkan sejauhmanakah sokongan itu padu, iaitu adakah setiap satu sokongan yang disuarakan itu adalah seratus peratus. Sekali lagi, politik adalah dunia realiti. Dalam mengundi, yang dikira ialah jumlah sokongan. Ia seperti kes mengandung.

Persoalannya ialah sama ada seseorang wanita itu mengandung atau tidak. Kalau mengandung, maknanya mengandunglah. Tidak kiralah sama ada beliau mengandung tiga bulan atau enam bulan. Pokoknya beliau mengandung. Begitulah juga dengan sokongan – pokok pangkalnya ialah sokongan.

Dalam konteks ini, yang wajar dipersoalkan ialah kualiti sokongan itu. Adakah ia dibuat untuk mengampu atau bersandarkan ilmu? Jika dianalogikan dengan mengandung, di sini, yang dipersoalkan ialah tahap kesihatan ibu dan kandungannya. Jika kualiti sokongan dipersoalkan, maka kualiti bangkangan juga boleh dipersoalkan. Adakah ia dibuat dengan melulu atau bersandarkan syak?

Yang pentingnya ialah kita tidak menjadi pahlawan kuda kepang – mengangguk apabila ditunggang orang atau mengikut perangai ayam Belanda – berketuk sekampung apabila seekor terkejut.

Di sinilah relevannya persoalan politik ilmu dan bukannya politik ampu serta politik hikmah dan bukannya politik fitnah.

Sokongan rakyat terhadap Abdullah adalah satu realiti. Malah, masih ada sokongan yang belum disiarkan, misalnya, oleh media utama. Antaranya ialah kenyataan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Shamsul Anuar Nasarah. Mungkin kerana kenyataannya tidak seperti pahlawan kuda kepang.

Di samping itu, ada yang menyoal, apakah kita tidak boleh mengkritik Abdullah? Jawapannya diberikan oleh Abdullah sendiri – bahawa beliau amat terbuka.

Keterbukaan adalah kekuatannya. Beliau terbuka hatta terhadap mereka yang jauh lebih muda daripadanya. Contohnya, pada 1972, iaitu ketika sebagai pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, beliau menubuhkan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) untuk mendengar suara belia.

Ketika sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau menubuhkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk mendengar suara mahasiswa.

Dalam hal ini, bukan sahaja suara belia diraikan, tetapi keterbukaannya turut mendatangkan hasil luar jangka. Contohnya, dalam suasana bangkangan meninggi terhadap Tun Dr Mahathir dahulu, ada sebuah persatuan belia yang vokal terhadap kerajaan. Abdullah mengadakan perbincangan dengan pemimpinnya. Hasilnya, persatuan berkenaan menyokong kerajaan.

Ukuran kekuatan seseorang panglima bukanlah semata-mata bergantung pada jumlah musuh yang dapat dihapuskannya. Sebaliknya, kekuatan sebenar seseorang panglima ialah jumlah musuh yang dapat diubah menjadi penyokongnya.

Ukuran atau kriteria amat penting dalam menilai sesuatu. Begitu juga dalam menilai prestasi Abdullah. Ada di antara kita yang menggunakan kayu ukur yang tidak betul atau tidak tepat. Maka hasilnya ialah penilaian yang tidak adil.

Sekiranya kita ingin mencari kesilapan Abdullah, maka kita tentu akan berjumpa dengannya, kerana beliau manusia biasa yang bukan maksum. Sekiranya kita memperbesarkan kesilapannya itu, sehingga menenggelamkan segala kebaikannya, maka tenggelamlah segala kebaikannya. Sekiranya beliau melakukan kebaikan yang mengatasi tahap lulus tetapi kita mengubah tahap lulus itu ke tahap yang lebih tinggi pula, maka, gagallah beliau.

Sekiranya Perdana Menteri bertanggungjawab melakukan 10 perkara, tetapi kita mengharapkan 20 perkara, maka, sampai bila pun beliau tidak mungkin dapat memenuhi harapan kita.

Walaupun beliau genap tiga tahun menjadi Perdana Menteri, dasar dan program pembangunan negara yang benar-benar datang daripada beliau baru sahaja berusia setengah tahun – iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Sebelum RMK9 dilancarkan, beliau hanya meneruskan RMK8 yang merupakan dasar dan program Tun Dr Mahathir.

Masalahnya ialah sebahagian daripada kita menilai falsafah dan matlamat RMK9 dengan menggunakan ukuran yang tidak tepat.

Ada yang masih tidak dapat melihat bahawa secara keseluruhannya, RMK9 adalah berbeza daripada rancangan lima tahun sebelum ini.

Rancangan sebelum ini adalah rancangan pembangunan ekonomi semata-mata. Walaupun ia turut meliputi program pembangunan sosial tetapi paradigma yang digunakan ialah sekiranya pembangunan ekonomi adalah kukuh, maka ia akan membawa kesan terhadap pembangunan sosial yang baik.

Peranan pembangunan sosial terhadap pembangunan ekonomi dan seterusnya pembangunan negara tidak dinyatakan dengan jelas. Pembangunan sosial dianggap penerima manfaat daripada pembangunan ekonomi dan negara.

Ada yang belum menerima bahawa sebagai dasar ekonomi, RMK9 memberikan fokus berbeza. Contohnya, pertanian diberikan penekanan besar, manakala zon pembangunan tidak lagi tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Untuk membina menara berkembar, kita hanya memerlukan tiga tahun untuk menyiapkannya. Tetapi, untuk membina personaliti unggul, tiga tahun adalah terlalu awal untuk melihat hasilnya.