Ekonomi terpisah undang masalah
12 gagasan Pak Lah kemuka langkah strategik untuk semua golongan
 

LAZIMNYA, Perhimpunan Agung UMNO yang tidak membabitkan pemilihan Majlis Tertinggi (MT), seperti yang diadakan pada 13 hingga 17 November lalu, tidak lagi diperkatakan selepas seminggu berlalu. Kali ini berbeza kerana ia masih menjadi buah mulut.

Ada dua isu yang menarik perhatian, iaitu pertama, kenyataan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir mengenai ucapan dasar Presiden dan kedua, sebahagian kecil daripada perbahasan yang disiarkan secara langsung itu mengundang rasa tidak senang beberapa pihak.

Mukhriz menyatakan bahawa ucapan dasar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mengandungi apa-apa yang baru. Ini menimbulkan reaksi daripada pelbagai lapisan kepemimpinan UMNO, terutamanya daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Semuanya menyatakan Mukhriz tidak patut berkata begitu. Keadaan reda sedikit apabila beberapa hari lalu, beliau menyatakan kekesalan atas kenyataannya itu.

Sama ada isu ini akan selesai begitu sahaja atau ada sambungannya atau Mukhriz akan tersisih dari arus perdana parti, hanya masa akan menentukan.

Kebanyakan reaksi tidak senang terhadap kenyataan Mukhriz itu berhujah atas ketidakwajaran pendapatnya. Tetapi, bukan atas hujah yang dilontarkannya. Selepas reaksi terhadap kenyataan Mukhriz disiarkan media, di kalangan pembahas usul, perwakilan Pemuda UMNO, Shamsul Najmi Shamsuddin mungkin satu-satunya yang mempertahankan Ucapan Dasar Presiden membidas hujah Mukhriz.

Shamsul Najmi menafikan yang Ucapan Dasar Presiden tidak mengandungi apa-apa yang baru. Beliau juga menyatakan kalaupun ada perkara lama dalam ucapan itu, misalnya hal perjuangan agama dan bangsa, maka ia bukanlah pula satu kesalahan, malahan adalah sesuatu yang baik kerana Presiden meneruskan serta memberikan tafsiran baru kepada perjuangan UMNOmengenai perkara itu.

Sebenarnya, ramai belum memahami pemikiran baru yang dibawa Perdana Menteri. Justeru, tidak dapat mengapresiasi kekuatan ucapan beliau. Memang ucapan ini tidak sarat dengan retorik, tapi ia sarat dengan langkah strategik.

Dari satu segi, ucapan ini mengandungi tiga elemen yang disatukan, iaitu sebagai Presiden UMNO, sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri. Peranan bagi ketiga-tiga jawatan itu tidak dapat dipisahkan. Ia adalah peranan yang perlu dipikul oleh bahu sama dan pada masa sama.

Mungkin ini faktor yang menyebabkan ucapan ini dibentuk di sekitar 12 gagasan yang pertama kali diungkapkan Abdullah melalui ucap utamanya yang ulung sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat, tiga tahun lalu.

Dua belas gagasan itu beliau jadikan landasan dalam usahanya membina masa depan negara dan rakyat untuk mencapai tahap kejayaan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Ucapan itu juga umpama satu scorecard atau Key Performance Index (KPI). Ia mengandungi perenggan yang menjelaskan setiap satu dari 12 gagasan itu dan ini disertakan dengan dasar dan program yang sudah dan sedang dilaksanakan serta perkara baru yang hendak dilaksanakannya.

Di sini, Pak Lah membuka dirinya untuk dinilai prestasinya oleh semua. Ini adalah satu keterbukaan dan keberanian yang luar biasa.

Dari segi lain pula, jarang ada pemimpin yang secara konsisten mengulangi idea besar dalam banyak ucapannya. Mereka jarang mengulanginya kerana beberapa sebab. Kerana tidak mempunyai idea besar. Apa yang diungkapkan adalah sekadar ucapan yang disediakan pembantunya sahaja. Atau, mereka mungkin punya satu dua idea besar, tetapi kerana tidak komited terhadapnya, maka ia hanya diungkapkan sekali dua sahaja.

Ucapan Abdullah mengandungi idea besar yang beliau komited padanya. Satu daripadanya ialah frasa “bekerja bersama saya, bukannya bekerja untuk saya”. Ia pertama kali diungkapkannya dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada majlis sambutan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 1 November 2003, iaitu kira-kira 24 jam selepas mewarisi kepemimpinan Tun Dr. Mahathir. Frasa ini menjadi mercu tanda kepada pendekatan Pak Lah dalam governans baru.

Begitu juga idea besarnya mengenai kaedah berpolitik. Antara masalah utama politik kita ialah ia terlalu adversarial. Politik tidak boleh terlalu adversarial. Dalam hal ini, Pak Lah tidak terlalu adversarial terhadap kritikan Tun Dr. Mahathir.

Ada ketikanya politik perlu kurang partisan atau dengan kata lain, ia perlu bipartisan. Dalam hal ini, Pak Lah tidak menunggu sehingga BN menawan Kelantan untuk meluluskan sebuah universiti di negeri itu.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) melambangkan idea besar Abdullah mengenai ekonomi. RMK9 berubah daripada paradigma lama yang meletakkan pembangunan ekonomi di atas dan kemajuannya akan melimpah kepada pembangunan sosial.

Di sini, pembangunan sosial menjadi penerima manfaat daripada pembangunan ekonomi. Sebaliknya, RMK9 menggunakan paradigma baru yang meletakkan peranan pembangunan sosial pada tahap yang lebih jelas dan penting terhadap pembangunan negara.

RMK9 juga memberikan perhatian yang lebih terhadap agenda Melayu. Contohnya, penekanannya terhadap pertanian. Ini amat penting, kerana ada 1.3 juta orang Melayu yang terbabit dalam sektor pertanian dan asas tani yang masih miskin.

Malangnya, perkara pokok seperti ini kurang mendapat sambutan di kalangan pembahas usul. Dalam konteks agenda ekonomi orang Melayu yang banyak diungkapkan pembahas ialah keperluan untuk melindungi kepentingan orang Melayu.

Perkara ini memanglah penting, tetapi yang juga penting dan hampir tidak dibahaskan, ialah bagaimanakah kaedah untuk meningkatkan kapasiti orang Melayu supaya mampu berdikari dan berlari dalam arena ekonomi.

Perbahasan mengenai melindungi kepentingan orang Melayu pula adakalanya dibuat secara keterlaluan, yang menimbulkan rasa tidak senang orang lain. Inilah yang menyebabkan kini ada pertimbangan sama ada perlunya siaran langsung pada perhimpunan akan datang.

Menyiarkan perhimpunan UMNO secara langsung ada banyak meritnya. Membatalkannya biarlah dengan merit juga. Yang dirisaukan ialah jika pembatalan dibuat berdasarkan tekanan pihak luar yang memang dari dulu tidak senang dengan agenda Melayu, yang sengaja mengambil kesempatan daripada sedikit kesilapan dalam perhimpunan kali ini. Kesilapan boleh diperbaiki.

Pokoknya, perjuangan agenda Melayu mesti diteruskan. Mana-mana rakyat majoriti, kalau ia lebih berjaya dalam ekonomi, contohnya, orang lain akan turut menerima manfaatnya. Sebaliknya, jika yang majoriti tertinggal dan jurang ekonomi semakin melebar, ia akan menimbulkan banyak masalah.

Ini yang dikritik Jeff Gates (1999) dalam bukunya The Ownership Solution sebagai “dehumanised capitalism” iaitu pertumbuhan ekonomi yang terpisah daripada rakyat majoriti.

Ia banyak berlaku di banyak negara, termasuk di mana rakyatnya terdiri dari satu bangsa sahaja. Inikan pula Malaysia yang berbilang kaum dan orang Melayu sebagai majoriti.

Justeru, penentang agenda Melayu perlu membaca World on Fire tulisan Amy Chua (2003) yang menceritakan banyak masalah timbul apabila rakyat majoriti ketinggalan ekonominya di tangan golongan minoriti yang menguasai pasaran, hingga berlaku rasa tidak puas hati yang menjurus kepada keganasan dan pembunuhan seperti di Bolivia, Brazil, Mexico, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Indonesia.

 
INTI PATI
 
  • RMK-9 mengubah paradigma lama dengan meletakkan peranan pembangunan sosial pada tahap yang lebih jelas dan penting terhadap pembangunan negara.
  • Perjuangan terhadap agenda ekonomi Melayu diberi tumpuan dalam RMK-9 dengan mengangkat pertanian sebagai sektor penting negara.
  • Usaha perlu diambil bagi memastikan orang Melayu mampu berdikari dan berlari dalam arena ekonomi. Perjuangan menjaga kepentingan Melayu mesti seiring perjuangan melindungi kepentingan Melayu.
  • Ketidakseimbangan jurang ekonomi antara kaum akan menimbulkan banyak masalah yang mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati antara kaum.