Politik non-partisan matangkan belia
Pengalaman berpersatuan boleh dimanfaatkan untuk pertubuhan sahsiah
 

SEJAK Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa UMNO melanjutkan tempoh pemilihan pucuk pimpinan parti itu kepada 18 bulan dari September tahun depan, pelbagai komentar telah diutarakan termasuk tanda awal pilihanraya semakin dekat.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah ada sebahagian daripada kita terlalu banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk berpolitik – tetapi tidak semestinya dengan cara tepat dan bermanfaat. Keasyikan berpolitik itu ada ketikanya terbawa-bawa hingga menerjah ke dunia bukan-politik seperti persatuan belia.

Tidak salah untuk menghubungkan dunia belia dengan politik, malah kedua-duanya wajar dihubungkan. Belia perlu dibimbing dengan pendidikan politik – politik ilmu, bukannya politik ampu; politik bakti, bukannya politik undi; politik hikmah, bukannya politik murah.

Yang salah ialah apabila berpolitik mengganggu kemurnian persatuan belia. Prof. Azimi Hamzah, Turiman Suandi dan Ezhar Tamam (2002) dalam buku Persatuan Belia di Malaysia, ketika menyorot campur tangan politik mendapati ada persatuan belia sering dipolitikkan untuk kepentingan orang tertentu.

Manakala Prof. Hussain Mohamed (2004) dalam Syarahan Perdana bertajuk “Gerakan Belia dalam Politik Malaysia”, ketika menganalisis proses berpolitik di kalangan belia menyatakan, "ia... dikira cukup bermanfaat untuk memenuhi keperluan rekrutmen politik atau proses pengkaderan politik, tetapi pada masa sama, ia dikatakan menyebabkan aktiviti belia yang lazim menjadi terganggu dan bahkan kelihatan melesukan gerakan berkenaan sehingga segala-galanya diwarnai kepentingan politik kepartian...”

Terdahulu daripada itu, pada 1998, Majlis Belia Malaysia membuat kajian mengenai bagaimana untuk memperkasa persatuan belia. Kajian berkenaan mendapati wujud unsur politik atau kepolitikan yang mengganggu perjalanan sesetengah persatuan belia. Kajian itu memperakukan: “Mungkin sukar bagi sebahagian persatuan belia untuk mengelakkan dirinya secara seratus peratus daripada terbabit dengan unsur politik. Tetapi, perlu digarispisahkan, misalnya, antara politik partisan (kepartian) dengan isu belia yang berkaitan dengan politik”.

Kita memerlukan pendekatan baru dalam politik, terutama dalam hubungan dengan belia. Sesetengah parti politik mempunyai kebijaksanaan ini sejak dulu lagi. Kerana itu, ia mempunyai sayap Pemuda. Dan apabila muncul apa yang digelar ahli sains politik sebagai “politik baru”, iaitu pada musim Pilihan Raya Umum Kesepuluh pada 1999, muncullah sayap baru seperti Puteri dalam parti tertentu.

Namun, sayap itu berada di dalam kerangka politik. Sedangkan di luar kerangka politik,ada belia yang tidak berminat dengan politik, tetapi mereka tidak pula apolitikal. Mereka berminat dengan isu politik, tetapi tidak berminat menjadi ahli parti politik. Mereka juga berpengaruh dan mempengaruhi, iaitu melalui proses advokasi dan pembuatan pendapat khalayak.

Dalam konteks ini, parti politik perlu menggunakan pendekatan baru, iaitu meningkatkan penyertaan belia melalui perkongsian bijak bersama mereka. Struktur dan proses perundingan dengan belia perlu dipertingkatkan dalam semua bidang dan pada semua peringkat. Termasuk dalam isu yang punya kaitan dengan politik. Kerana belia mempunyai tiga permintaan utama, iaitu mereka mahu suaranya didengar, isunya dibincangkan dan peranannya diiktiraf.

Tetapi, harus diingat, ini tidak pula bermaksud dunia politik harus memasuki dunia belia, atau sebaliknya. Kedua-duanya adalah dunia berbeza. Politik berada dalam sektor kerajaan, manakala belia berada dalam sektor masyarakat sivil. Kedua-duanya mempunyai identiti, tradisi dan budaya yang berbeza.

Mencampuradukkan kedua-duanya akan hanya menimbulkan kekeliruan identiti dan fungsi yang memungkinkan satu-satunya hasil yang dilahirkan ialah anarki. Antara anarki yang lahir ialah sindrom “politik-ing”, yang imej dan kesannya tidak pernah positif. Manakala sindrom “belia-ing” jarang pula lahir, walaupun jika lahir, imej dan kesannya belum tentu positif.

Di samping itu, ada pandangan bahawa dalam keadaan tertentu, mungkin ada baiknya jika dunia politik memasuki dunia belia. Niatnya baik, iaitu untuk membantu belia. Tetapi, pandangan ini termasuk dalam pendekatan memberikan ikan kepada nelayan. Sedangkan pengalaman membuktikan pendekatan yang lebih baik ialah membimbing nelayan itu menangkap ikan.

Dalam konteks ini, sebagai contohnya, ada kes seorang yang berjawatan tinggi dalam politik dan kerajaan, ketika berkempen untuk menjadi pemimpin sebuah persatuan belia, menyatakan tujuannya ialah untuk menyelesaikan hutang persatuan itu. Tetapi, apabila tempoh masa beliau menjadi pemimpin tamat, hutang persatuan belia itu adalah lebih besar daripada ketika ditinggalkan pemimpin sebelumnya yang bukan orang politik.

Dunia belia mempunyai had umur, manakala dunia politik tidak mempunyai had umur. Dunia belia mempunyai kerangka yang terbatas, manakala dunia politik berkuasa mencipta batas itu. Dalam sejarah negara, dunia belia dianggap tapak latihan kepada dunia politik (dan juga dunia lain seperti perniagaan, kerajaan dan sebagainya).

Apabila pemimpin belia menjadi graduan dari dunia belia, ia bebas memilih dunia baru, termasuk dunia politik, untuk diwargainya. Ini dianggap satu perkembangan biasa. Tetapi, apabila pemimpin politik (terutamanya yang berjawatan tinggi dalam parti atau kerajaan) menjadi migran ke dalam dunia belia, maka ia merupakan satu keganjilan.

Memang ada perbezaan di antara dunia belia yang dijadikan tapak latihan atau yang dijadikan batu loncatan. Yang membezakannya ialah masa, minda dan tenaga. Seseorang yang secara jelas menggunakan masa, minda dan tenaganya dengan signifikan untuk persatuan belia, bolehlah dianggap menggunakan dunia belia sebagai tapak latihan. Sebaliknya, seseorang yang secara jelas tidak menggunakan masa, minda dan tenaganya dengan signifikan untuk persatuan belia, bolehlah dianggap menggunakan dunia belia sebagai batu loncatan saja.

Sejauhmana wujudnya elemen berpolitik di kalangan persatuan belia? Jawapannya bergantung pada jenis dan orientasi persatuan belia serta bentuk pembabitannya.

Umumnya ada tiga kategori persatuan belia. Kategori pertama ialah persatuan belia yang boleh dikatakan langsung tidak terbabit dengan politik, sama ada isu atau parti politik, walaupun ia adakala dipimpin oleh orang politik.

Kategori kedua ialah persatuan belia yang ramai ahlinya aktif, malahan memegang jawatan, termasuk jawatan tinggi dalam politik, dan ia juga menerima pemimpin politik untuk memegang jawatan tinggi dalam persatuan.

Manakala kategori ketiga ialah persatuan belia yang terbabit dengan isu politik, tetapi tidak terbabit dengan mana-mana parti politik, walaupun tidak melarang ahlinya menjadi ahli mana-mana parti politik. Sesetengahnya mensyaratkan jika ahlinya yang berjawatan hendak memegang jawatan politik, beliau dikehendaki meletakkan jawatannya dalam persatuan itu, walaupun kedudukannya sebagai ahli biasa dalam persatuan masih boleh diteruskan.

Pendekatan politik persatuan belia dalam kategori ketiga ini dikenali sebagai politik non-partisan. Ia pendekatan terbaik untuk persatuan belia. Ia menyediakan ruang dan peluang yang sesuai untuk ahlinya meneroka dan mempelajari makna dan cara politik yang tepat dan bermanfaat. Lebih penting lagi, mereka disediakan kesempatan bukan sahaja untuk berlatih menjadi ahli politik yang cemerlang, tetapi juga menjadi ahli politik yang cemerlang yang punya roh.

Hakikatnya ialah, ada persatuan belia yang tidak berpolitik dan tidak dipimpin oleh orang politik, tetapi berjaya menjadi persatuan belia yang cemerlang dan adakala lebih cemerlang daripada persatuan belia berbaur berpolitik yang dipimpin orang politik.