PERSATUAN Kebangsaan
Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebuah
badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), menganjurkan
Forum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU),
hari ini. Ini bukan kali pertama PKPIM menganjurkannya.
Sejak AUKU dikuatkuasakan pada 1971 (Akta 30)
dan sejak pindaannya pada 1975 (Akta A295), PKPIM
adalah antara paling konsisten membincangkannya.
Kali ini, dua kertas
kerja dibentangkan iaitu “Sejarah Gerakan
Mahasiswa Malaysia 60-an Sehingga Kini: Penglibatan
Mencorak Lanskap Sosio-Politik Negara” oleh
Prof. Emiretus Datuk Khoo Kay Kim dan “Kesan
AUKU kepada Corak Politik dan Ekonomi Tanahair”
oleh Azuan Effendi Zaira. Ini diikuti diskusi
bertajuk “Sejauh mana relevannya AUKU pada
masa ini”.
Perkara pokok ialah
ada 13 peruntukan dalam AUKU yang mengongkong
gerakan mahasiswa. Kerana itulah ia harus disemak,
dipinda atau dimansuhkan.
Antara peruntukan
itu, yang utama ialah Seksyen 15 (1), (2), (3)
dan (4) yang melarang mahasiswa menganggotai organisasi
luar kampus, melarang persatuan mahasiswa bergabung
atau bekerjasama dengan organisasi luar dan melarang
mahasiswa atau persatuan mahasiswa menyatakan
sokongan, simpati atau bangkangan terhadap organisasi
luar.
Semua peruntukan
ini perlu dimansuhkan. Masakan mahasiswa tidak
boleh menganggotai organisasi luar yang sah, contohnya
persatuan dan koperasi belia, alumni sekolahnya,
jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampungnya,
khairat kematian kampungnya, pertubuhan profesional
yang berkaitan pengajiannya dan sebagainya. Ini
mahasiswa, bukannya murid sekolah. Peruntukan
ini tidak logik, malah bertentangan hak asasi
manusia untuk berorganisasi yang dijamin oleh
Perlembagaan.
Adalah tidak wajar
melarang persatuan mahasiswa bergabung sesama
mereka atau bekerjasama pada peringkat yang lebih
luas, seperti peringkat nasional atau antarabangsa
sedangkan jaringan itu amat penting.
Apa salahnya persatuan mahasiswa bergabung atau
bekerjasama dengan organisasi bukan pelajar di
luar kampus, asalkan ia adalah organisasi yang
sah.
Begitu juga dengan
sokongan kepada organisasi luar. Dengan sekatan
ini, mahasiswa tidak boleh mengundi dalam pilihanraya
umum, tidak boleh menyokong kerajaan, tidak boleh
menghentam Soros, tidak boleh mengkritik Amerika
Syarikat, tidak boleh membantu Palestin dan sebagainya.
Memanglah ada peruntukan
bahawa semua larangan ini boleh dikecualikan sekiranya
mahasiswa atau persatuan mahasiswa mendapat kebenaran
bertulis daripada Naib Canselor. Tetapi, peraturan
ini tidak logik. Naib Canselor ada banyak perkara
lain yang lebih penting untuk dilakukan.
Kita perlu menerima
hakikat bahawa kehidupan mahasiswa tidak terhad
hanya kepada dewan kuliah, bilik tutorial, makmal
dan perpustakaan. Sebaliknya, ia membabitkan seluruh
kehidupan universiti, termasuk aktiviti kokurikulum,
politik kampus, kebajikan, hak dan keadilan mahasiswa,
dan sebagainya.
Kehidupan mahasiswa
tidak terhad dalam batasan pagar universiti saja.
Mahasiswa adalah sebahagian daripada masyarakat
yang perlu mendengar denyut nadi mereka, menjadi
jurubicara dan agen perubahan dalam masyarakat.
Kehidupan mahasiswa
tidak terhad dalam sempadan masyarakat di negaranya
sahaja. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan
warga dunia. Apa lagi pada zaman globalisasi hari
ini. Pada zaman teknologi maklumat (IT) hari ini,
mahasiswa punya peluang untuk menjadi lebih intim
dengan masyarakat di luar kampusnya dan dengan
warga dunia antarabangsa.
Kehidupan mahasiswa
bukan kehidupan berseorangan. Ia adalah kehidupan
berkumpulan dan berorganisasi. Apabila berkumpulan
dan berorganisasi, ia menjadi berstruktur, berprinsip
dan punya hala tuju yang kemas, lalu menjadi satu
gerakan yang dipanggil gerakan mahasiswa. Apabila
wujud gerakan mahasiswa, ia lazimnya mempunyai
rukunnya sendiri, iaitu idealisme, aktivisme dan
intelektualisme.
Tahun 1965 (atau
menurut pendapat lain, dari 1966 atau 1967) hingga
1974 dianggap pengkaji sebagai zaman kemuncak
gerakan mahasiswa negara ini. 1974 menjadi tahun
akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa berikutan
peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974.
Pindaan dibuat terhadap AUKU pada awal 1975, dan
selepas itu, jelas kelihatan berlaku kelembapan
gerakan mahasiswa.
Mereka yang menganggap
AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa lazimnya
menggunakan data tentang banyaknya aktiviti yang
dilaksanakan mahasiswa. Tetapi, jumlah aktiviti
tidak semestinya menunjukkan gambaran sebenar
gerakan mahasiswa.
Ada aktiviti yang
sekadar aktiviti. Ada aktiviti yang bersifat bakti.
Ada aktiviti yang bersifat bakti dan advokasi.
Manakala, ada aktiviti yang bersifat advokasi
saja. Gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat advokasi.
Kerana itu, data mentah yang tidak diklasifikasi
dan kalau digunakan secara sembrono untuk menyatakan
AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa tidak dapat
diterima.
Ada hujah yang
menyatakan AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa
kerana ada data menunjukkan ramai mahasiswa menyertai
aktiviti yang dijalankan. Sekali lagi, jika data
itu dangkal dan tidak diklasifikasi mengikut aktiviti,
bakti dan advokasi, maka ia tidak dapat diterima.
Ada pula yang berhujah
AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik,
kerana zaman mahasiswa adalah zaman belajar dan
bukannya zaman memimpin. Selepas tamat belajar
nanti, barulah berperanan sebagai pemimpin. Mereka
mempunyai paradigma yang salah tentang konsep
kepemimpinan. Mereka terpengaruh dengan ayat yang
tidak lengkap, iaitu: “Mahasiswa adalah
pemimpin masa depan”.
Jadi, wahai mahasiswa, tunggu! Ayat itu perlu
dilengkapkan seperti berikut: Mahasiswa adalah
pemimpin hari ini, iaitu pemimpin kepada yang
lebih muda daripadanya; pemimpin kepada yang seangkatan
dengannya; dan rakan kepemimpinan dalam pembangunan.
Ada yang berpendapat
AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik
kerana bimbang mahasiswa menentang kerajaan. Persoalannya,
apa sebab tidak ditanya mengapa kerajaan ditentang
mahasiswa? Tetapi, bukankah ada waktunya yang
sebahagian kalaupun tidak seluruh gerakan mahasiswa
menyokong kerajaan? Di samping itu, bukankah sejarah
menunjukkan bahawa pendirian politik mahasiswa
mungkin berubah apabila meninggalkan kampus? Jadi,
apa masalahnya?
Di samping itu,
ada juga yang berhujah secara double standard
dengan menyatakan bahawa tugas sebenar mahasiswa
ialah belajar kerana mahasiswa bertanggungjawab
terhadap biasiswa atau bantuan kewangan yang disediakan
kerajaan melalui wang rakyat. Anehnya, orang yang
sama menyokong pula kelab parti tertentu ditubuhkan
mahasiswa di luar negara yang menggunakan biasiswa
dan bantuan kewangan yang jauh lebih besar jumlahnya.
|