Indeks Belia Malaysia bantu perkemas program
 
 

BARU-BARU ini Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan Indeks Belia Malaysia 2006 yang dihasilkan Institut Penyelidikan Pembanguan Belia Malaysia (IPPBM). Ini adalah pertama kali diadakan di negara ini. Ia juga pertama kali negara mempunyai data komprehensif mengenai kedudukan sebenar belianya.

Ia adalah indeks belia peringkat nasional yang pertama di dunia dilaksanakan oleh kerajaan. Tetapi malangnya, indeks itu tidak menerima reaksi sehangat laporan Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) mengenai pemilikan ekuiti korporat Bumiputera itu. Inilah antara masalah dihadapi pembangunan belia – sering diberikan layanan kelas kedua.

indeksberkenaan adalah satu kaedah untuk memantau dan mengukur kemajuan dasar dan program pembangunan belia negara ini, khususnya dari segi status kesejahteraan dan kualiti hidupnya. Ia dikeluarkan pada setiap tahun bagi kedudukan tahun semasa dan dapat dibandingkan dengan tahun sebelum dan selepasnya. Dengan cara ini, setiap perubahan dan perkembangan yang berlaku dapat dikesan.

indeks itu adalah ukuran komposit mengenai kualiti, gaya hidup dan kesejahteraan belia. Bagi tahun permulaan ini, ia mempunyai lapan domain dan 36 indikator.

Lapan domain itu ialah pembangunan kendiri, hubungan sosial, identiti, kesihatan, potensi diri, ketembusan media, waktu senggang dan tingkahlaku devian. Setiap satu domain mempunyai beberapa indikator, contohnya, domain pembangunan kendiri mempunyai penghargaan diri, efikasi diri, motivasi, emosi, asertif, stres dan kemurungan sebagai indikatornya.

Data untuk membentuk indeks 2006 diperolehi melalui penyelidikan yang telah dilakukan pada Mac dan April lalu, dengan menggunakan sampel nasional berjumlah 4,087 orang responden belia. Skor indeks yang diperolehi itu diberi nilai mengikut skala empat tahap iaitu: kurang baik (skor 0-24), sederhana baik (skor 25-49), baik (skor 50-74) dan sangat baik (skor 75-100).

Secara keseluruhannya indeks 2006 menunjukkan skor 68.7. Ia menunjukkan bahawa kualiti dan kesejahteraan belia kita berada pada tahap yang baik tetapi belum mencapai tahap sangat baik.

Domain yang menunjukkan skor paling tinggi ialah kesihatan (97.7). Ini diikuti dua lagi domain yang juga mencapai tahap sangat baik iaitu tingkahlaku devian (87.4) dan ketembusan media (84.8).

Tahap kesihatan belia yang sangat baik ini selaras dengan kemajuan perkhidmatan kesihatan awam serta penjagaan perubatan dan kesihatan yang wujud di negara ini. Tetapi, skor 95.0 bagi satu daripada indikator dalam domain ini, iaitu tiada lebihan berat badan atau obesiti yang tinggi, perlu diperhalusi.

Terdapat data daripada sumber lain yang menunjukkan obesiti di kalangan kanak-kanak semakin meningkat. Skor yang tinggi itu mungkin kerana kanak-kanak yang mengalami obesiti itu belum berumur 15 tahun, justeru tidak termasuk dalam responden, atau mungkin kebetulannya hanya segelintir sahaja responden yang mengalami masalah ini.

Tahap sangat baik dari segi tingkahlaku devian adalah melegakan. Ia mengesahkan pendirian sebahagian daripada kita yang sejak dulu lagi bimbang dengan fenomena yang menggambarkan seolah-olah majoriti belia hanyut dalam arus masalah sosial. Namun, skor yang di bawah tahap sangat baik dalam dua daripada indikatornya, iaitu tidak merokok (73.7) dan tidak melepak (73.2) masih membimbangkan.

Tambahan pula skor lelaki hanyalah 52.7 bagi tidak merokok dan 63.3 bagi tidak melepak. Kita juga tidak boleh lega dengan skor indikator paling tinggi dalam domain ini, iaitu tidak mengambil dadah (98.2). Lazimnya, pengedar dadah mencium bakal mangsanya di kalangan yang merokok dan melepak.

Walaupun tahap ketembusan media sangat baik tetapi indikatornya mengenai buku yang berskor 84.6 dan berada di bawah skor televisyen percuma (96.9), suratkhabar/majalah (95.2) dan radio (94.8) – dan telefon bimbit (93.1)! – mengesahkan kajian lain sebelum ini bahawa belia belum mempunyai tabiat membaca yang secukupnya.

Skor yang tinggi bagi TV percuma dan suratkhabar tidak semestinya menunjukkan segala maklumat daripada kerajaan sampai kepadanya kerana tidak semestinya rancangan seperti berita, forum dan penerangan ditontonnya.

Skor 73.5 saja, iaitu belum mencapai tahap sangat baik, bagi domain hubungan sosial, yang untuk kali ini hanya menggunakan indikator hubungan dengan ibu bapa sahaja, perlu diperhatikan.

Ada kaitan dengan kepercayaan kita bahawa peranan ibu bapa dan institusi keluarga adalah faktor terpenting dalam menangani masalah sosial belia. Apalagi apabila terdapat kajian lain yang menyatakan bahawa ibu bapa bukanlah orang pertama yang nasihatnya didapatkan belia apabila berhadapan dengan masalah.

Terdapat tiga domain yang berkait rapat dengan aspek dalaman diri belia itu sendiri. Skor pada tahap baik saja bagi ketiga-tiganya, iaitu 68.8 bagi pembentukan kendiri, 59.2 bagi potensi diri dan 57.2 bagi indentiti menunjukkan tumpuan perlu diberikan terhadapnya bagi membantu belia merealisasikan potensi dirinya. Ini penting bagi mencapai matlamat modal insan negara yang menekankan soal melahirkan minda kelas pertama.

Yang paling merisaukan ialah domain yang berskor paling rendah (21.0/tahap kurang baik), iaitu waktu senggang. Skor 28.8 untuk senaman dan 14.3 untuk sukan adalah mengejutkan kerana ia bertentangan dengan anggapan umum selama ini. Purata 21.6 bagi kedua-dua indikator itu, apabila dibandingkan dengan indikator kelab dan persatuan (19.9) juga adalah rapat jika dibandingkan dengan anggapan umum, walaupun skor yang rendah bagi kelab dan persatuan itu adalah dijangkakan.

Kurangnya pembabitan belia dalam domain ini menimbulkan beberapa tanda tanya terhadap kemajuan kokurikulum. Dari segi senaman dan sukan sejauhmanakah keberkesanan pendidikan jasmani dan aktiviti sukan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT)?.

Sejauhmana keberkesanan Dasar Sukan Negara yang terdiri daripada sukan berprestasi tinggi dan sukan untuk massa?

Dari segi kelab dan persatuan pula sejauhmanakah keberkesanan Dasar Pembangunan Belia Negara yang antara prinsipnya ialah partisipasi? Sejauhmanakah keberkesanan gerakan belia yang dipelopori Majlis Belia Malaysia (MBM)? Sejauhmanakah keberkesanan gerakan mahasiswa yang dinaungi Akta Universiti dan Kolej Universiti?

indeks 2006 tidak bertujuan menjawab semua persoalan pembangunan belia. Kajian lain diperlukan. Pokoknya, indeks 2006 adalah mercu tanda penting kerana ia meletakkan asas kukuh bagi meningkatkan penghayatan budaya ilmu dalam pembangunan belia di mana setiap keputusan dan tindakan dibuat berdasarkan ilmu.