SEBUAH syarikat
multinasional akan menganjurkan forum pertanggungjawaban
sosial korporat di Pulau Pinang, Isnin ini.. Ia
bertujuan memberikan kefahaman mengenai konteks
dan fundamental serta kaitan perniagaan dengan
tanggungjawab sosial, reputasi dan kerjasama sektor
korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam
melaksanakan aktiviti berkenaan. Pesertanya terdiri
daripada pengurus kanan korporat, agensi kerajaan,
media dan NGO.
Tanggungjawab sosial
bukanlah perkara baru. Tetapi, mutakhir ini, ia
mendapat perhatian baru. Sejak akhir abad ke-20,
akibat kehidupan yang semakin kompetitif, kesan
globalisasi dan liberalisasi, kegawatan ekonomi
dan masalah sosial, yang semuanya menghambat kesejahteraan
dan kebahagiaan manusiawi berlaku dua perkembangan
sosioekonomi yang sihat.
Pada satu pihak,
ada kesedaran di kalangan masyarakat sivil dan
kerajaan mengenai perlunya kesukarelaan diberikan
nafas baru. Masyarakat sivil berpendapat di sebalik
kerjasama antara kerajaan dan korporat, masih
wujud golongan yang terpinggir.
Kerajaan pula berpandangan bahawa tanggungjawab
sosial ini perlu ditampung sama oleh pihak korporat.
Inilah latar belakang mengapa Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) mengisytiharkan 2001 sebagai Tahun
Sukarelawan Antarabangsa.
Pada satu pihak
lagi, sektor korporat semakin menyedari bahawa
kejayaan syarikat tidak hanya boleh dicapai melalui
strategi perniagaan konvensional saja. Ada perkara
lain, misalnya nilai, makna dan kebahagiaan, yang
amat penting dalam mempengaruhi prestasi syarikat.
Justeru, banyak syarikat mula menganjurkan program
bakti masyarakat. Memandangkan ini bukanlah bidang
pengkhususannya, sesetengah syarikat menganjurkannya
dengan kerjasama NGO yang berkaitan bagi mengoptimumkan
keberkesanannya.
Di Malaysia, kerjasama
demikian telah wujud, contohnya antara Yayasan
Salam, yang sejak penubuhannya pada tahun 1997
mempelopori konsep kesukarelaan korporat dengan
beberapa syarikat yang mengamalkan pertanggungjawaban
sosial seperti sebuah syarikat penerbangan yang
menyumbangkan wang tunai, tiket dan perkhidmatan
kargo bagi membantu tragedi di Aceh, Sri Lanka,
Yogyakarta dan sebagainya.
Sebuah syarikat binaan lebuh raya pula menaja
program dan menghantar kakitangannya termasuk
jurutera dan arkitek dalam misi pembangunan semula
Aceh; syarikat minyak antarabangsa di Malaysia
menghantar makanan kepada mangsa tsunami di Kuala
Muda, Kedah dan membina dewan komuniti di penempatan
orang asli di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan sebuah
syarikat perisian multinasional Malaysia menyumbangkan
wang tunai, perisian dan membina 10 pusat IT di
seluruh negara. Ramai pengurus kanan korporat
adalah graduan sekolah perniagaan. Sejak tahun
1995, Harvard Business School menganjurkan kursus
eksekutif “Perspektif Bukan-Keuntungan”.
Selepas beberapa
skandal korporat yang besar, terutama kes Enron,
sekolah perniagaan terkemuka mula melakukan pembaharuan
terhadap kurikulum Sarjana Pentadbiran Perniagaan
(MBA) mereka. Contohnya, Yale mula mengajar memahami
pengguna melalui psikologi dan sosiologi; Insead
di Fontainebleau, Perancis, mengadakan dialog
mengenai budaya tempatan; dan IMD di Lausanne,
Switzerland, menghantar pelajarnya melawat Bosnia
dan Afghanistan.
Hampir semua sekolah perniagaan mula mengajar
subjek yang sebelum ini dianggap tidak relevan,
iaitu etika. Semua ini dibuat atas kesedaran bahawa
sebelum ini, terdapat kekurangan dalam kurikulum
masing-masing. Perkara yang kurang itu ialah sentuhan
insan.
Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sering berbicara
mengenai persoalan ini. Adalah tidak menghairankan
apabila ucapan Bajet 2007 yang dibentangkannya
baru-baru ini menyentuh panjang lebar mengenai
pertanggungjawaban sosial korporat.
Untuk menyemai
budaya berkenaan, syarikat awam tersenarai (PLC)
perlu menzahirkan pencapaian pertanggungjawaban
sosial korporat dari segi menyediakan peluang
perniagaan kepada pengusaha tempatan, termasuk
pemberian kontrak kepada Bumiputera; komposisi
guna tenaga syarikat berasaskan kaum; pembangunan
modal insan serta sumbangan kepada kesejahteraan
rakyat, terutamanya terhadap golongan kurang bernasib
baik.
PLC yang mengamalkan pertanggungjawaban sosial
korporat akan dapat menarik lebih banyak pelaburan
terutama pelabur institusi besar seperti Dana
Pencen dalam dan luar negara. Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen
(KWAP) akan memberi pertimbangan positif untuk
melabur dalam PLC yang mematuhi pertanggungjawaban
sosial korporat.
Perdana Menteri
turut menyenaraikan beberapa program pertanggungjawaban
sosial korporat dalam pembangunan modal insan
seperti sekolah angkat, latihan siswazah menganggur,
biasiswa, pembiayaan tusyen dan sumbangan kepada
persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Manakala untuk
kebajikan masyarakat pula ialah membantu rumah
kebajikan, anak yatim, warga emas dan perlindungan
serta pusat dialisis dan serenti.
Untuk menggalakkan
syarikat menyertai pertanggungjawaban sosial korporat,
potongan cukai ke atas sumbangan korporat kepada
pertubuhan kebajikan dinaikkan daripada lima kepada
tujuh peratus dan ia kini diperluaskan kepada
aktiviti sukan.
Selepas itu, pada
5 September lalu, Menteri Kewangan Kedua, Tan
Sri Nor Mohamed Yakcop melancarkan rangka kerja
pertanggungjawaban sosial korporat Bursa Malaysia.
Beliau menyatakan bahawa pertanggungjawaban sosial
korporat terbukti menjadi alat yang berkuasa dalam
memacu kejayaan banyak syarikat di seluruh dunia
dan menjadi pemangkin untuk mengenalpasti dan
mengembangkan peluang pemasaran baru, mengurangkan
kos, meningkatkan daya saing dan menambahkan keuntungan.
Ketua Eksekutif
Bursa Malaysia Yusli Mohamed Yusoff pula menyeru
PLC mengintegrasikan elemen pertanggungjawaban
sosial korporat dalam amalan pengurusan strategi
perniagaan mereka. Rangka kerja pertanggungjawaban
sosial korporat Bursa Malaysia untuk PLC ialah
satu set panduan yang sukarela dan anjal yang
menggariskan bidang utama dan inisiatif berkenaan
yang meliputi alam sekitar, komuniti, tempat kerja
dan pasaran. Syarikat digalakkan mempunyai misi,
prioriti dan agenda pertanggungjawaban sosial
korporat itu sendiri.
Sehari sebelum
itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang dengan
tekunnya mempopularkan pertanggungjawaban sosial
korporat dan telah mencadangkan idea Anugerah
Pertanggungjawaban Sosial Korporat Perdana Menteri
yang akan diadakan mulai tahun depan, menyarankan
supaya pihak korporat tidak mengehadkan program
berkenaan hanya dengan memberikan derma saja.
Beliau mencadangkan
supaya mereka berbuat lebih daripada itu, iaitu
dengan menggalakkan kakitangan terbabit secara
langsung dalam khidmat kemasyarakatan, misalnya,
dengan menyediakan satu hari pada setiap tahun
untuk aktiviti berkenaan. Beliau berkata demikian
ketika merasmikan Hari Komuniti KPMG, yang dilaksanakan
dengan kerjasama Yayasan Salam di mana 800 kakitangan
KPMG membabitkan diri dalam 12 jenis aktiviti
khidmat masyarakat di sekitar Lembah Klang.
Banyak keuntungan
dapat diraih oleh pihak korporat dengan mengamalkan
pertanggungjawaban sosial korporat. Bagi syarikat, ia dapat meningkatkan dari
segi kestabilan perniagaan dalam jangka masa panjang,
daya saing, memenuhi kehendak pemegang saham dan
pelabur, moral kakitangan dan imej positif. Manakala
bagi kakitangan, mereka mendapat suntikan dari
segi nilai, sikap, kemahiran, rekreasi, persahabatan
dan kepuasan.
Kaedah terbaik
melaksanakan pertanggungjawaban sosial korporat
ialah dengan syarikat bekerjasama dengan NGO.
Ini kerana kerja kemasyarakatan bukan bidang pihak
syarikat. Ia bidang pihak NGO. NGO mengenalpasti
program atau syarikat mencadangkan program yang
diingini. Malah, NGO boleh merekacipta program
yang khusus dan unik untuk syarikat. Syarikat
menyediakan dana dan kakitangan. NGO menyalurkan
dana serta melatih dan menempatkan kakitangan
berkenaan. Terdapat juga segelintir syarikat yang
ingin melaksanakannya sendiri, malah menubuhkan
NGO sendiri. Tetapi, biasanya, perkhidmatan yang
ditawarkan itu tidaklah seberapa manakala NGO
yang ditubuhkan itu tidak bertahan lama.
Dalam semua sektor
pekerjaan pada 2005, guna tenaga belia ialah seramai
6.67 juta orang, iaitu 61.2 peratus daripada 10.89
juta pekerja keseluruhannya. Dalam sektor korporat,
peratusannya lebih kurang sama. Oleh itu, pertanggungjawaban
sosial korporat bukan sahaja persoalan hari ini
tetapi juga persoalan masa depan.
|