KEPUTUSAN pilihanraya Majlis
Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2006/2007 di 17
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kelmarin
menunjukkan majoriti yang menang ialah calon
dilabelkan prokerajaan, yang diberikan gelaran
lebih lunak – proaspirasi. Majoriti yang
kalah, termasuk enggan bertanding ialah calon
yang dilabelkan propembangkang.
Keputusan ini sudah diduga. Ia
berikutan ada kampus yang semua kerusi dipertandingkan,
atau majoriti atau sebahagian daripadanya dimenangi
tanpa bertanding oleh calon dilabelkan proaspirasi
ketika penamaan calon.
Ini kali keenam semua universiti
itu mengadakan pilihanraya serentak. Kali pertama
ialah pada 29 November 2001, iaitu bagi Sesi
2001/2002. Menurut Kementerian Pendidikan (ketika
itu), penyeragaman ini penting dalam membantu
kementerian memantau kegiatan mahasiswa sepanjang
tempoh berkempen.
Pada pilihanraya kampus Sesi 2000/2001, dikatakan
ada mahasiswa dibantu pihak luar telah menggunakan
taktik berkempen dikatakan tidak sihat.
Frasa “dikatakan”
digunakan kerana premis keputusan itu tidak
dibincangkan dengan mendalam. Antaranya siapa
pihak luar dimaksudkan itu? Bagi yang memahami
politik kampus, lazimnya pihak luar itu ditujukan
kepada pembangkang. Bagaimana jika pihak luar
itu turut membabitkan orang kerajaan?
Serentak dengan penyeragaman
tarikh itu, beberapa peraturan pilihanraya mula
dilaksanakan hinggalah ke pilihanraya kali ini.
Tetapi, peraturan itu tidak pula seragam bagi
semua universiti. Namun persoalannya tetap sama
ada paradoks dalam pendekatan, konsep dan kandungan
sebahagian daripada peraturan itu.
Pilihanraya kampus memerlukan
peraturan. Tetapi, peraturan tidak perlulah
terlalu banyak. Kini, peraturan begitu banyak
hingga satu-satunya peraturan yang belum dilaksanakan
seperti calon dikenakan memakai pakaian seragam.
Jika peraturan ini diadakan, maka lengkaplah
percubaan pihak tertentu untuk menjadikan mahasiswa
saling tidak tumpah seperti pelajar sekolah
menengah.
Tidak paradoks. Kita ingin mahasiswa
dewasa, tetapi kita memperbudakkannya. Kita
ingin mahasiswa berfikir di luar kotak, tetapi
kita memperkotakkannya.
Kita ingin meningkatkan penyertaan
mahasiswa dalam pilihanraya kampus, tetapi kita
mengenakan syarat supaya calon mesti mempunyai
Purata Gred Kumulatif Terkumpul (CGPA) yang
tinggi. Syarat mempunyai CGPA tertentu adalah
wajar kerana mahasiswa gagal peperiksaan atau
lulus dengan markah rendah tidak sesuai menjadi
pemimpin, kerana pemimpin adalah model.
Soal calon lemah akademik akan
menanggung risiko jika menang MPP mungkin tidak
timbul. Jika mahu menjadi pemimpin perlu berani
menanggung risiko. Malah, calon yang tinggi
CGPA pun belum tentu tidak menanggung risiko.
Tetapi, tidak perlulah syarat
CGPA terlalu tinggi. Pilihanraya kampus bukannya
latihan akademik. Ia latihan kokurikulum, latihan
kepemimpinan. Ada mahasiswa CGPAnya tidak tinggi,
tetapi bakat kepemimpinannya tinggi.
Usahlah menafikan peluangnya cemerlang dalam
bidang difikirkan mampu boleh cemerlang. Ada
mahasiswa yang CGPAnya tinggi, tetapi bakat
kepemimpinannya rendah. Usahlah memaksanya untuk
berbuat perkara yang tidak diminatinya.
Adakalanya kita tidak mempunyai
premis kukuh dalam membuat penilaian dalam hubungan
antara prestasi akademik dan kokurikulum.
Profesor Universiti Harvard
Harry R. Lewis (2006) dalam bukunya Excellence
Without Soul mengatakan, apabila keputusan
akademik mahasiswa kurang memuaskan, lazimnya
fokus diberikan terhadap kelemahan mahasiswa
dan bukan terhadap kerendahan kualiti pendidikan
ditawarkan universiti. Kajian menunjukkan bahawa
aktiviti kokurikulum tidak menjejaskan keputusan
akademik mahasiswa. Sebaliknya, ia jelas meningkatkan
sikap mereka.
Jika mahasiswa tidak seronok
dengan pelajarannya, adalah menjadi tanggungjawab
universiti memperbaikinya, bukan dengan cara
menghadkan kehidupan kokurikulumnya. Menyekat
perkara yang diminati mahasiswa bukanlah cara
untuk membuat mereka lebih meminati perkara
yang lain.
Yang menjadi persoalan ialah
kita ingin mahasiswa bersuara, tetapi kita hadkan
tempoh masa berkempen. Menghadkannya kepada
seminggu adalah wajar kerana kampus dan jumlah
pemilih tidak terlalu besar. Tetapi menghadkannya
kepada tiga hari adalah keterlaluan.
Kita ingin mahasiswa kreatif,
tetapi ada universiti menghadkan poster pilihanraya
kepada warna hitam dan putih. Alasannya bimbang
digunakan warna tertentu yang dianggap meniru
warna parti politik tertentu. Usahlah sampai
alergik dengan warna tertentu.
Ada ketikanya kita tidak adil
dalam membuat peraturan. Contohnya, mahasiswa
kampus tempatan tidak boleh didekati parti politik.
Tetapi, mereka memahami politik kampus, termasuk
pilihanraya kampus tahu apa sebenarnya berlaku.
Malah, mereka menyoal mengapa pula mahasiswa
di luar negara digalakkan menyertai parti politik
tertentu dan diundang berucap di mesyuarat agung
tahunan parti tersebut?
Sebahagian peraturan dikenakan ini membayangkan
seolah-olah ada pihak tertentu yang seperti
takut berhadapan dengan pilihanraya kampus.
Adakah kerana takut ada mahasiswa yang propembangkang?
Hakikatnya ialah tidak mungkin semua mahasiswa
menyokong kerajaan. Jika ada tidak menyokong
kerajaan, ini tidak semestinya bermakna menyokong
pembangkang. Kalaupun ada menyokong pembangkang,
ini adat politik. Inikan pula politik kampus.
Ramai mahasiswa menyokong pembangkang apabila
meninggalkan kampus dan ramai juga menyokong
kerajaan.
Ada Ahli Parlimen parti pemerintah
hari ini yang tidak menyokong kerajaan ketika
di kampus dulu. Malah, ada sebelum ini pernah
menjadi menteri, kemudian menjadi pembangkang
tetapi menjadi menteri semula.
Pada masa sama, adakah jaminan
bahawa semua dilabelkan proaspirasi itu benar-benar
proaspirasi? Apakah tidak mungkin ada yang menyamar?
Atau universiti tertentu mengatakan sebahagiannya
proaspirasi semata-mata untuk mengelakkan banyak
sangat soalan daripada pihak tertentu? Sekiranya
ingin memancing sokongan mahasiswa, mesti bijaksana
berhadapan dengan mereka. Mesti rajin mendampingi
mereka dengan ikhlas dan tulen. Mesti berbahas
dengan artikulatif dan persuasif. Menteri yang
berani berdebat di kampus cuma segelintir, contohnya
Datuk Seri Mohd Nazri Abd Aziz.
Kita bimbang, jika terlalu mengongkong,
ada mahasiswa mengambil keputusan untuk aktif
di kampus, tetapi menerusi persatuan lain dan
bukannya MPP. Apabila ini berlaku, yang rugi
ialah kita semua.
Pilihanraya kampus adalah gelanggang
latihan kepemimpinan. Berilah mereka ruang untuk
menyuarakan idealisme mahasiswa. Sekiranya ada
melampaui batas, ambillah tindakan perundangan
berasaskan kebenaran dan keadilan. Tetapi, sebelum
kesalahan berlaku, berilah kebebasan.
Yang penting bukannya keputusan
pilihanraya kampus kali ini, sebaliknya memastikan
pilihanraya dan politik kampus berperanan secara
efektif dalam mencapai salah satu cabaran Wawasan
2020 iaitu mempunyai demokrasi matang. Pilihanraya
dan politik kampus adalah proses pendidikan
demokrasi.