5P pendekatan atasi masalah belia
Isu semakin parah, kerangka pemikiran tak diletakkan di tempat betul
 

DUA calon angkasawan - Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 34, dan Kapten Dr. Faiz Khaleed, 26, berlepas ke Rusia, Selasa lalu bagi latihan setahun sebagai persediaan menyertai misi angkasa lepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dijadualkan pada 2 September tahun depan.

Seorang daripada mereka akan mencipta sejarah sebagai angkasawan pertama negara. Ini sejarah amat penting – malah, antara yang paling penting – bagi kita.

Tetapi, mereka tidak dihantar ramai peminat atau dihebohkan sangat seperti pemergian penyanyi membuat persembahan di bandaraya asing atau atlit ke temasya antarabangsa. Mereka tidak dipopularkan seperti selebriti yang diundi melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Pemimpin projek ini, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Prof. Datuk Dr Mazlan Othman juga tidak dipopularkan seperti pengetua rancangan realiti TV.

Inilah persoalan masyarakat kita, terutama dalam pembangunan belia, apalagi dalam menangani masalah sosialnya. Persoalannya ialah kita sering tidak meletakkan sesuatu itu di tempat yang betul. Tidak salah mempopularkan tokoh hiburan dan sukan.

Tidak salah menjadikan belia yang berjaya sebagai wira. Malah, ia perlu digalakkan. Kerana belia yang cemerlang wajar dijadikan model. Mewujudkan model adalah salah satu strategi yang diiktiraf dalam proses pembangunan belia.

Yang menjadi persoalan ialah apabila terdapat belia sehebat Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz, tetapi kita tidak mengikuti perkembangan mereka sehebat kita mengikuti perkembangan tokoh belia dalam hiburan dan sukan.

Jika ini melambangkan cara kita berfikir, iaitu kita sering meletakkan sesuatu tidak di tempatnya yang betul, maka tidak hairanlah jika masalah sosial belia semakin hari semakin parah. Kerana kerangka pemikiran kita dalam menanganinya tidak berada di tempat yang betul.

Pemikiran asas yang sepatutnya ada apabila berhadapan dengan masalah sosial belia ialah mendapatkan maklumat tepat mengenai kedudukannya yang sebenar. Sebahagian daripada masalah ini berlaku sejak kita baru merdeka lagi.

Tetapi, amat sedikit penyelidikan dibuat untuk mengetahui kedudukannya yang sebenar. Namun, kita asyik merancang dan melaksanakan pelbagai program dengan dana yang besar untuk menanganinya. Keberkesannya tidak diketahui, kerana jarang dilakukan pemantauan dan penilaian.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pernah melakukan penyelidikan serius ketika Datuk Abd Ghani Othman menjadi menterinya pada 1994, melalui kajian lepak di kalangan belia. Kini, dengan Datuk Azalina Othman Said sebagai menterinya, KBS telah menubuhkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM).

Akibat masalah sosial (tidak terhad di kalangan belia saja) semakin membesar, Laporan Isu-Isu Sosial Masa Kini Dan Cadangan Penyelesaian yang dikeluarkan pada Mac 1997 oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (ketika itu) dibentangkan di Kabinet pada tahun itu. Maka lahirlah Dasar Sosial Negara dan Majlis Sosial Negara pada 2003.

Masalah sosial boleh dibahagikan kepada dua, iaitu mengikut kumpulan utama dan mengikut isu utama. Dari segi kumpulan utama, ia dibahagikan kepada empat, iaitu isu kanak-kanak (penganiaan, pembuangan bayi, rogol, perkosaan, sumbang mahram dan jenayah kanak-kanak); isu remaja (jenayah remaja, kehamilan remaja, lari dari rumah, bohsia dan lepak); isu wanita (pelacuran, ibu tunggal dan masalah pekerja muda); dan isu keluarga (kebahagiaan keluarga dan perceraian). Manakala dari segi isu utama pula ialah penagihan dadah; HIV/AIDS; pendatang asing; dan jenayah.

Persoalan berikutnya ialah pelaksanaan. Dalam konteks masalah sosial belia, beberapa persoalan perlu diberikan perhatian. Antaranya, ialah apakah keadaan sebenar masalah sosial belia? Adakah masalah sosial belia Melayu begitu buruk? Jika benar begitu buruk, mengapakah ia jadi begitu? Adakah semua data yang ada kini betul dan tepat?

Adakah data itu mewakili masalah sebenar; atau, ia hanya mewakili sindrom kepada masalah? Adakah masalah ini dibesar-besarkan? Bukankah setiap generasi belia melakukan perkara yang dikatakan masalah sosial? Adakah berlaku “youth bashing”? Adakah berlaku proses “menuding jari”? Adakah belia diminta pandangan mereka? Adakah dasar dan program yang sedia ada berkesan? Adakah wujud kesinambungan, kesungguhan, pemantauan dan penilaian terhadap program itu? Adakah pendekatan baru dilaksanakan? Jika dianalisis dengan betul, maka jawapan kepada soalan ini tidaklah memberangsangkan.

Pendekatan menangani masalah sosial hendaklah dibuat secara holistik. Ia perlu mengandungi komponen-komponen “5P”, iaitu: pendidikan, pencegahan (termasuk penguatkuasaan dan perundangan), pencelahan, pemulihan dan penerimaan-semula (dalam keluarga dan masyarakat).

Malangnya, sebahagian besar daripada program menangani masalah sosial ternyata kurang berkesan, contohnya, menangani penyalahgunaan dadah. Masalah ini timbul kerana dua faktor utama. Pertama, kita tidak melaksanakannya secara holistik. Dan kedua, dalam setiap komponen itu wujud masalah tersendiri.

Dari segi pendidikan, terdapat begitu banyak agensi yang melaksanakan kempen dan penerangan hingga berlaku pertindihan atau perlumbaan program, manakala program tidak sesuai, tidak berkesinambungan, dan kumpulan sasar sebenar tidak didekati.

Dari segi pencegahan, pengedar dadah tidak takut dengan hukuman mati mandatori kerana pulangan besar daripada pasaran menyebabkan mereka sanggup menanggung risiko. Sistem pencegahan pula tidak secanggih sistem pengedaran.

Pencelahan adalah komponen yang paling lemah. Majoriti pemimpin masyarakat dan belia tidak mempunyai kemahiran pencelahan. Majoritinya tidak berminat dengan komponen ini. Mungkin kerana kerja pencelahan tidak glamour.

Dari segi pemulihan, adalah menghairankan apabila penghuni pusat serenti boleh mendapatkan bekalan dadah. 90 peratus bekas penghuni menjadi penagih berulang dan 48 peratus daripadanya dimasukkan semula. Ia menunjukkan kelemahan pengurusan pusat dan kurikulumnya.

Dari segi penerimaan-semula, kebanyakan keluarga tidak dibekalkan kemahiran yang diperlukan untuk menerima-semula bekas penagih dengan cara sesuai. Akibatnya, bekas penagih jadi tersisih. Kita memerlukan pemikiran baru untuk meningkatkan keberkesanan strategi menangani masalah sosial belia.

Pertama, perlu dibuat penilaian terhadap dasar dan program sedia ada. Perlu ditentukan agensi manakah sepatutnya terbabit dengan dasar mana dan program mana, untuk mengelakkan pertindihan dan pembaziran. Program pula perlu dinilai keberkesanannya dari segala aspek.

Kedua, perlu diadakan penyelidikan tentang dasar dan program baru. Dana dan pasukan profesional perlu disediakan untuk mencipta dasar dan program yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Ketiga, perlu pendekatan holistik yang strategik dan segar. Ini termasuk konsep “5P” itu. Wujudkan satu agenda nasional yang dihayati semua, yang komprehensif, seimbang dan antara-bidang.

Keempat, gunakan konsep bekerja “bersama” belia, terutama dari segi membuat keputusan. Kini, kebanyakan keputusan dibuat tanpa penglibatan belia. Kerana itu, kebanyakannya gagal. Untuk berpeluang menjadi lebih berkesan, belia perlu dilibatkan dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Akhirnya, bidang yang diminati belia, seperti hiburan dan sukan, perlukan tafsiran baru. Supaya menyokong, atau sekurang-kurangnya tidak berlawanan, dengan matlamat menangani masalah sosial belia. Barulah tokohnya akan menjadi wira yang berkesan. Dan mereka tidak akan diletakkan di tempat lebih hebat daripada Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz.