Pada 30 Mac lalu, Menteri Pelajaran, Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan
30 buah sekolah pertama dalam pelaksanaan
Sekolah Kluster yang membolehkan sekolah berkenaan
mempunyai kuasa autonomi.
Sekolah autonomi kita ini, yang merupakan
idea Hishammuddin, ialah sekolah kerajaan
atau bantuan kerajaan di bawah program sekolah
kluster yang diberikan ruang, kuasa, pengupayaan
atau fleksibiliti untuk merancang, melaksana
dan memantau program dan kegiatan dalam bidang-bidang
yang ditetapkan bagi meningkatkan input, proses
dan output pendidikan selaras dengan misi,
visi dan objektif sekolah tersebut.
Bidang diberikan kuasa autonomi itu mencakupi
5 perkara, iaitu pengurusan sumber manusia,
dana dan tabungan sekolah, pengambilan pelajar,
pengajaran dan pembelajaran serta penilaian
dan peperiksaan.
Autonomi diberikan tertakluk kepada pematuhan
sekolah terhadap piawai yang ditetapkan oleh
Kementerian Pelajaran dan pencapaian sekolah
berdasarkan indikator prestasi utama (KPI)
program dan kegiatan yang dilaksanakan itu.
Sekolah autonomi mula dilaksanakan sebagai
dasar kerajaan di negara-negara maju, seperti
di Amerika Utara, Eropah, Jepun dan Australia
sejak dekad 1980an.
Falsafah di sebalik pelaksanaannya ialah
desentralisasi, iaitu kepercayaan bahawa memberikan
sekolah peluang dan ruang yang secukupnya
untuk menentukan sasaran yang ingin dan mampu
dicapainya adalah strategi kecemerlangan yang
jauh lebih baik daripada segala-galanya ditentukan
oleh kerajaan pusat. Ini bersesuaian pula
dengan prinsip partisipasi ibu bapa dan komuniti
yang semakin popular mutakhir ini.
Dalam pelaksanaannya, sekolah autonomi berbeza-beza
dari segi matlamat dan bentuknya. Mengikut
kajian Lakerveld (1997), di Eropah, sekolah
diberikan autonomi dalam kombinasi aspek-aspek
seperti pasaran, normatif, produk, metodologi,
organisasi, kewangan dan pemilihan kaki tangan.
Manakala menurut Data Pendidikan Eropah 2005,
terdapat sebanyak 44 elemen autonomi yang
wujud di sekolah.
Di negara jiran kita juga wujud sekolah autonomi
dengan konsep masing-masing. Antara anak emasnya
ialah Raffles Girls College yang mempunyai
hubungan erat dengan Tunku Kurshiah College
(TKC). Di Thailand, Vajiravudh College diberikan
taraf autonomi seperti yang pernah diberikan
satu masa dulu kepada sekolah kembarnya di
Malaysia, iaitu The Malay College Kuala Kangsar
(MCKK).
Kini, kedua-dua TKC dan MCKK adalah antara
5 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dalam
program sekolah autonomi kita.
Hujah yang menyokong pelaksanaan sekolah
autonomi adalah memberangsangkan. Antaranya
ialah ia lebih demokratik kerana membolehkan
guru dan ibu bapa membuat keputusan di peringkat
sekolah; ia lebih relevan kerana keputusan
dibuat lebih dekat dengan tempat operasinya
dan ini melahirkan dasar dan tindakan yang
lebih sesuai; ia mengurangkan birokrasi kerana
keputusan dibuat dengan lebih cepat; ia lebih
bertanggungjawab kerana sekolah perlu memikul
sendiri keputusannya; dan ia mampu meningkatkan
sumbangan kewangan daripada ibu bapa dan komuniti.
Kebaikan itu sahaja tidak memadai untuk melahirkan
kecemerlangan yang diinginkan. Menjadikan
autonomi tidak secara automatis menjadikan
sekolah berkenaan meningkat kecemerlangannya.
Dari segi kesan sekolah autonomi terhadap
prestasi pelajar, terdapat dua pandangan.
Pandangan pertama mengatakan bahawa ia memberikan
kesan positif terhadap prestasi pelajar. Kajian
Institut Brookings di US (1990) menyatakan
bahawa faktor paling penting yang mempengaruhi
prestasi pelajar ialah organisasi sekolah,
dan ciri paling kuat yang mempengaruhi organisasi
sekolah ialah autonomi.
Sementara itu, kajian Elizabeth M. King et
al (2003) menyatakan bahawa walaupun belum
terdapat bukti penyebab (causation) antara
sekolah autonomi dengan peningkatan prestasi
pelajar, tetapi korelasinya memang wujud.
Memang wujud peningkatan prestasi pelajar
apabila sekolah diberikan autonomi, manakala
tidak ada sekolah autonomi yang mengalami
kemerosotan pretasi pelajarnya.
Dari segi penyertaan ibu bapa dan komuniti
dalam sekolah autonomi pula, menurut King,
ada baik buruknya. Partisipasi mereka dalam
kegiatan kokurikulum mendatangkan kesan baik,
tetapi partisipasi mereka dalam pengajaran
dan pembelajaran hanya akan mengganggu.
Menurut laporan Unesco (2005), untuk memastikan
kejayaan sekolah autonomi, terdapat sekurang-kurangnya
6 keperluan yang mesti dipenuhi.
Keperluan itu ialah, pengurusan sekolah mesti
mempunyai strategi untuk memperkasa kapasiti
dan kepemimpinannya; sekolah perlu mempunyai
maklumat tentang prestasinya untuk mengukur
kekuatan, kelemahan dan prioritinya; sekolah
memerlukan struktur yang terurus dan profesional;
kerajaan pusat perlu terus memainkan peranan
kritikal terutamanya dari segi pemantauan
prestasi sekolah; sekolah perlu mengawal sumber-sumber;
dan pengurusan sekolah mesti telus.
Berdasarkan pengalaman itu, perkara yang
paling penting buat masa ini ialah bagi setiap
sekolah autonomi kita menggubal kerangka dan
sistem governansnya.
Ketika membincangkan pelaksanaan sekolah
kluster minggu lalu, kolum ini telah mencadangkan
Model Prestasi Kluster Kecemerlangan (MPKK)
di mana satu daripada komponennya ialah autonomi.
Bagi pelaksanaan sekolah autonomi pula, satu
kerangka perlu diwujudkan – digelar
Kerangka Governans Sekolah Autonomi (KGSA).
KGSA mencakupi 5 aspek, iaitu: lembaga pengelola
sekolah, pihak-pihak berkepentingan, pengurusan
sekolah, guru-guru dan perundingan pelajar.
Antara lima aspek itu, yang paling mustahak
dari segi kepentingan, struktur dan peranannya,
dan ditambah lagi dengan prioritinya dalam
memulakan langkah pertama sebagai sekolah
autonomi, ialah penubuhan lembaga pengelola
sekolah.
Penubuhan lembaga pengelola dibenarkan oleh
Akta Pendidikan 1996. Seksyen 53 hingga 63
akta ini memperuntukkan soal-soal suratcara
pengelolaan, kuasa-kuasa Menteri, pengurusan
institusi pendidikan, perlantikan guru dan
pembubaran lembaga pengelola. Sekiranya peruntukan
tersebut tidak memadai, maka ia perlu ditambahbaik.
Lembaga pengelola mesti dibenarkan menggubal
sendiri terma rujukan yang jelas untuk dirinya
dan untuk setiap satu daripada empat aspek
lain itu.
Lembaga pengelola mesti diberikan kuasa membuat
dasar sekolah autonomi berkenaan, asalkan
ia tidak bertentangan dengan dasar-dasar Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM). Ia juga berperanan
sebagai penghubung di antara KPM dan sekolah.
Lembaga pengelola bertanggungjawab melantik
pengetua atau guru besar, melantik guru-guru
dan kaki tangan, mengambil pelajar, menentukan
kurikulum dan kokurikulum, menyediakan bajet
tahunan dan mencari sumber-sumber tambahan.
Lembaga pengelola dianggotai oleh semua pihak
berkepentingan, iaitu KPM, ibu bapa, alumni
dan pengetua atau guru besar. Ia boleh juga
melantik pihak-pihak lain seperti yayasan
sekolah, swasta, profesional, akademia dan
sebagainya.
Lembaga pengelola mendelegasikan kuasanya
kepada pengetua atau guru besar untuk memimpin
dan mengurus sekolah, manakala guru-guru dihakupayakan
(empowered) untuk tugasan pengajaran dan pembelajaran
serta pendidikan dan latihan.
Akhirnya, lembaga pengelola mesti memberi
peluang bersuara, yang selama ini dinafikan,
kepada konstituen utama sekolah, iaitu pelajar.