Ketika berucap merasmikan kampus Akademi
Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi menggesa belia supaya mempertahankan
dan membangunkan jiwa, semangat dan seni budaya
kita kerana ia mencerminkan wajah banga Malaysia
dan adalah tonggak identiti kita.
Beliau mengingatkan bahawa jika tidak berhati-hati,
kita mungkin kehilangan identiti kita akibat
tenggelam dalam arus global.
Mengenai Aswara pula, beliau mahu akademi
itu membentuk generasi yang mempunyai ciri-ciri
bangsa Malaysia. Sesungguhnya pesanan Abdullah
tersebut amat signifikan dan tepat pada masanya.
Ini kerana akhir-akhir ini, seni dan budaya
sering dipinggirkan, kecuali oleh mereka yang
berkecimpung dan berminat dengan bidang ini.
Kadangkala, jika seni dan budaya diketengahkan
atau diarusperdanakan, masalahnya ialah ia
diangkat sedemikian rupa bukannya kerana falsafah
dan matlamat seni dan budaya, tetapi atas
sebab lain. Contohnya, ketika seni dan budaya
diletakkan satu bumbung dengan pelancongan,
maka ia diperlakukan tidak lebih daripada
sekadar sebagai produk pelancongan sahaja.
Ini adalah satu pelencongan yang trajis!
Budaya pula acap kali difahami sebagai sesuatu
yang sempit, yang diwakili oleh budaya rendah
(low culture) seperti seni persembahan sahaja,
manakala aspek-aspek budaya tinggi (high culture)
yang lebih luas seperti falsafah dan nilai-nilai
semakin dilupakan.
Namun, jika budaya dilihat dari segi seni
persembahan, ia masih dikira baik sekiranya
dilakukan dengan penghayatan yang betul. Tetapi,
dalam keadaan majoriti hari ini tidak didedahkan
dengan pendidikan seni dan budaya, maka kualiti
sesetengah seni persembahan hanya ditentukan
melalui undian sistem pesanan ringkas (SMS)
oleh mereka yang tidak mengapresiasi seni
budaya dengan ukuran estetika yang tepat.
Di samping itu, sebahagian daripada kita
seakan-akan sudah melupakan Dasar Kebudayaan
Kebangsaan yang diwujudkan sejak 1971 itu.
Antara matlamatnya ialah untuk membentuk identiti
bangsa Malaysia, iaitu antara perkara yang
diungkapkan Abdullah dalam ucapannya itu.
Masalahnya, walaupun dasar ini telah berusia
lebih 35 tahun, tetapi hakikatnya ialah ia
masih dilihat oleh sesetengah pihak sebagai
dasar kelas dua sahaja jika dibandingkan dengan
dasar-dasar tentang ekonomi, perniagaan dan
kewangan.
Mungkin kedudukan dan kewibawaan dasar ini
perlu dibetulkan. Mungkin ia telah tergelincir
dari matlamatnya asal, lalu memerlukan proses
penjajaran semula (re-alignment). Namun, pelaksanaan
dasar ini tidak boleh diletakkan di bahu sesuatu
kementerian atau agensi kerajaan sahaja. Ia
perlu kepada kerjasama antara pelbagai pihak,
iaitu pelbagai agensi kerajaan, kerajaan negeri
dan tempatan, perniagaan dan badan masyarakat
sivil.
Dasar ini sendiri perlu mempuyai perancangan
yang lebih sistematik dan praktikal. Pelaksanaanya
juga memerlukan pendekatan yang sesuai.
Disebabkan kebudayaan kebangsaan bukan rojak,
maka pelaksanaannya tidak boleh berbentuk
rojak. Oleh kerana kebudayaan kebangsaan adalah
berasaskan kontrak sosial rakyat pelbagai
budaya negara ini, maka pelaksanaannya tidak
boleh melanggar kontrak tersebut. Dan oleh
kerana kebudayaan kebangsaan adalah moral,
maka pelaksanaannya tidak boleh berbentuk
amoral.
Bagi menyahut seruan Abdullah itu, usaha
dan tenaga yang secukupnya perlu digembleng
untuk memperkasa jati diri budaya belia. Dalam
hal ini, pada akhir 1990-an, Akademi Penulis,
yang ditubuhkan Persatuan Penulis Nasional
(PENA), telah menggariskan 5 perkara yang
perlu menjadi misi dan visi jati diri budaya
belia.
• Pertama: Mewujudkan belia Malaysia
yang kaya (dari segi kefahaman dan penghayatan),
perkasa (dari segi kreativiti dan ketrampilan)
dan bangga dengan jati diri budayanya (yang
terdiri daripada literasi dan amalan budaya)
sebagai akar patriotisme dan kehidupan dalam
masyarakat global dan perindustrian, serta
sebagai benteng apabila berhadapan dengan
pengaruh budaya asing dan negatif.
• Kedua: Melahirkan belia
yang menguasai literasi budaya, iaitu keseluruhan
unsur budaya yang terdiri dari item-item budaya
seperti kata-kata, watak dan sebagainya yang
diperkongsi oleh masyarakat.
• Ketiga: Melahirkan
belia yang memiliki daya apreasiasi, kreatif
dan berketrampilan dalam bidang-bidang seni
budaya masyarakat, sama ada yang tradisional
atau moden, dan sama ada di peringkat suku
kaum, tempatan atau kebangsaan; dan mengamalkannya
sebagai sebahagian dari cara hidupnya yang
memperkukuhkan jati diri budayanya.
• Keempat: Melahirkan
belia yang menguasai seni budaya akar umbinya
sendiri, di samping memahami dan menghormati
budaya-budaya lain dalam masyarakatnya yang
lebih luas di negara ini dan seterusnya mampu
berinteraksi secara sinergi di antara satu
sama lain dalam usahasama mengutuh dan mengukuh
jati diri budaya kebangsaan.
• Kelima: Menggalakkan
belia menjadi mereka yang profesional dalam
pelbagai bidang seni budaya tanah air.
Usaha dan tenaga ini perlu dimainkan oleh
semua pihak, terutamanya di peringkat akar
umbi. Ini amat penting, kerana bakat dan minat
seni budaya tidak muncul dengan tiba-tiba
atau terbit di atas angin. Sebaliknya, bakat
dan minat tersebut lahir dari peringkat akar
umbi, iaitu di kampung dan di daerah, serta
di sekolah dan di tempat kerja.
Dari segi lain, sekiranya universiti mempunyai
sistem persekolahan di seluruh negara untuk
membekalkan bakal pelajarnya, maka Aswara,
contohnya, sebagai universiti seni budaya,
memerlukan penggerak-penggerak seni budaya
di peringkat akar umbi untuk membekalkan bakal
pelajarnya.
Penggerak seni budaya akar umbi boleh jadi
dalam bentuk aktivis seni budaya, pertubuhan
atau institusi seni budaya, pemimpin tempatan
dan jabatan atau agensi kerajaan serta pihak
berkuasa tempatan (PBT).
Antara program seni budaya akar umbi yang
cukup berpotensi ialah Festival Temerloh yang
berlangsung selama 5 tahun berturut-turut,
iaitu dari tahun 2001 hingga 2005. Ia adalah
perkongsian bijak antara Majlis Perbandaran
Temerloh (MPT) sebagai penganjurnya dan Anggun
Performing Arts sebagai pengisi dan pengurus
programnya.
Kejayaan utama Festival Temerloh ialah mencungkil
belia yang berbakat dan membimbingnya hingga
melanjutkan pelajaran. Hingga kini, 2 orang
daripadanya telah lulus diploma dalam seni
persembahan dari Universiti Teknologi Mara
(UiTM), manakala 4 orang lagi sedang menuntut
di Aswara.
Bagi belia berbakat tetapi belum dapat melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi, sebuah
sekolah seni budaya telah dicadangkan untuk
ditubuhkan di Temerloh. Tempat dan frasarana
awal bagi sekolah itu telahpun dikenalpasti.
Ia boleh berperanan sebagai pembekal bakal
pelajar bagi UiTM, Aswara dan sebagainya.
Festival dan sekolah itu turut mendapat dokongan
wakil rakyat tempatan seperti Ahli Parlimen
Temerloh, Datuk Mohd Sarit Yusoh serta Exco
Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Undangan
Negeri kawasan Lanchang, Datuk Mohd Sharkar
Shamsuddin.
Malangnya, atas sebab tertentu, penganjuran
Festival Temerloh pada tahun berikutnya dan
penubuhan sekolah seni budaya itu telah tertangguh.
Kini, dengan semangat baru yang ditiupkan
oleh Abdullah itu, adalah diharapkan agar
kedua-dua buah program seni budaya peringkat
akar umbi itu dapat dihidupkan semula sebagai
sebahagian daripada usaha dan tenaga memperkukuh
jati diri budaya belia.