Kontrak sosial BN diterima pengundi
Ketidakserasian pakatan bukti pembangkang tidak boleh terajui kerajaan
 

SEPANJANG tiga pilihan raya kecil dalam tempoh 103 hari ini, iaitu bermula dengan hari penamaan calon di Batu Talam pada 16 Januari lalu, diikuti dengan Machap, hinggalah hari pembuangan undi di Ijok pada 28 April ini, pendirian BN adalah konsisten, iaitu bertanding sebagai menunaikan tanggungjawabnya selaku parti politik yang memahami makna demokrasi dan erti pilihan raya.

Dalam ketiga-tiga pilihan raya kecil tersebut, BN konsisten meletakkan calonnya mengikut siapa yang sepatutnya bertanding, iaitu calon Melayu dari UMNO di Batu Talam, calon Cina dari MCA di Machap dan calon India dari MIC di Ijok.

Tetapi, lain pula halnya dengan tiga buah parti pembangkang, iaitu Pas, DAP dan PKR. Di Batu Talam, Pas yang sepatutnya bertanding telah memboikotnya, dan ini disokong PKR. DAP tidak minat bertanding tetapi tidak memboikot.

Kedua-dua Presiden Pas dan PKR, Datuk Seri Abd Hadi Awang dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah membuat kenyataan bersama untuk menolak dan memboikot Batu Talam kerana meyakini kononnya pilihan raya yang dijalankan adalah sarat dengan penipuan, penyelewengan dan pembohongan kerana berlaku banyak kepincangan dan ketempangan dalam sistem pilihan raya kita. Tetapi, peliknya, Pas dan PKR berkempen senyap-senyap menyokong calon Bebas.

Di Machap, DAP telah bertanding. Pas dan PKR berkempen menyokong DAP. Tetapi, PKR lebih terbuka daripada Pas.

Kini, di Ijok, PKR bertanding. DAP menyokong. Tetapi, Pas dari awal-awal lagi telah memberikan syarat bahawa calon PKR mestilah Islam, dan jika tidak, Pas akan hanya membantu dalam hati sahaja.

Selepas pertaruhan pakatan pembangkang yang menggelar dirinya Barisan Alternatif gagal teruk dalam pilihan raya umum 2004, dan BN pula mencapai kemenangannya yang paling besar dalam sejarah, maka pakatan tersebut telah pecah. Kini, masing-masing dengan perbezaan masing-masing.

Jika Pas bertanding, DAP tidak akan secara terbuka menyokongnya. Ini kerana ia tidak bersetuju dengan pendirian Pas hendak mewujudkan negara Islam. DAP juga takut pengundi tradisinya, iaitu terutamanya kaum Cina, tidak akan menyokongnya pula. Yang akan menyokong Pas secara terbuka hanyalah PKR.

Jika DAP bertanding, Pas tidak akan menyokongnya secara terbuka kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya yang menentang pembentukan negara Islam, di samping tidak selesa dengan dasar DAP yang dianggap tidak menguntungkan orang Melayu. Yang akan menyokong DAP secara terbuka hanyalah PKR.

Dari segi kerjasama dalaman pula, PKR rapat dengan Pas dan ada sedikit persefahaman dengan DAP. Tetapi antara Pas dan DAP tidak ada kerjasama. Jadi, pakatan pembangkang telah terbelah dua, iaitu Pas-PKR dan PKR-DAP. Maknanya, tidak ada barisan alternatif untuk menggantikan BN.

Adakah di Ijok, iaitu di mana PKR bertanding, maka Pas dan DAP akan menyokong secara terbuka? Masalahnya, jika PKR meletakkan calon bukan Islam, Pas tidak akan menyokong secara terbuka. Yang akan menyokong PKR secara terbuka hanyalah DAP.

Selepas Batu Talam, setakat ini, Pas bernasib baik kerana belum ada pilihan raya kecil diadakan di kawasan kuatnya. Sekiranya ada pilihan raya kecil di kawasan kuatnya, maka Pas sudah tentu akan menyamai PKR, iaitu memungkiri pemboikotannya.

Persoalannya ialah, apakah bezanya antara Batu Talam, Machap dan Ijok? Jawabnya tidak ada perbezaan. Yang berbeza hanyalah pendirian Pas dan PKR yang lain padang lain temberang.

Bagi Ijok, PKR mempunyai dua orang calon, iaitu Nallakarupan dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Kini, telah sah Khalid adalah calon PKR. Menurut Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Khalid dipilih kerana kelebihannya dari segi pengalaman.

Adakah ini alasan sebenar? Tidakkah alasan sebenarnya ialah, di samping mendapatkan sokongan terbuka Pas, memandangkan 51 peratus pengundi Ijok adalah Melayu, maka calon Melayu dipilih?

Sebaliknya, BN konsisten dengan kontrak sosial yang telah disepakatinya sesama parti-parti komponennya sejak dahulu. Memahami bahawa adalah amat sukar bagi calon mana-mana kaum minoriti untuk memenangi sesuatu kerusi pilihan raya, maka BN menyediakan kerusi tertentu kepada kaum minoriti tersebut untuk bertanding manakala kaum-kaum lain akan sepakat menyokongnya.

Dalam konteks ini, memandangkan Ijok mempunyai 28 peratus pengundi India, maka, kerusi ini diperuntukkan untuk calon India dari MIC. Bagi BN, matlamatnya bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya sahaja. Matlamatnya adalah lebih mulia, iaitu memenangi pilihan raya dengan pengagihan kerusi yang adil.

Pertandingan ini dikatakan sesetengah pihak sebagai perlawanan antara tokoh ternama, iaitu Khalid, 61, dengan orang baru, iaitu Parthiban, 38.

Khalid memanglah ada nama, tetapi beliau bukan orang Ijok dan dalam politik, beliau hanya mendapat tempat sejak dalam PKR sahaja. Dahulu, semasa dalam UMNO, beliau kalah dalam percubaannya menjadi Timbalan Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan.

Parthiban pula bukanlah orang baru di Ijok atau dalam politik. Graduan Universiti Malaya ini adalah anak tempatan, membesar dan pernah mengajar di Ijok, fasih berbahasa Melayu, ramai kawan daripada semua kaum, Naib Pengerusi Majlis Belia Daerah dan Setiausaha MIC Tanjung Karang.

Jika perkiraan PKR meletakkan Khalid ialah untuk memikat pengundi Melayu, maka ini adalah bercanggahan dengan kebanggaannya bahawa ia adalah parti yang terbuka kepada semua kaum.

Perkiraan memikat undi Melayu juga adalah bertembung dengan pemikiran PKR, terutama oleh Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang hendak menghentikan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

PKR mempunyai hujah tersendiri untuk berpendirian begitu. Hujah itu boleh dibahaskan kebenarannya. Ini kerana DEB tidak mempunyai kelemahan dari segi dasar. Sebaliknya, dasar DEBlah yang telah menyelamatkan orang Melayu dan Bumiputera, manakala orang bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang miskin dan memerlukan bantuan tetap juga dibantu dengan tidak mengira kaum, budaya atau agama.

Apa-apa kelemahan dalam pelaksanaannya sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa, termasuk atas cadangan daripada UMNO. Inilah juga antara intipati usul ekonomi Pemuda UMNO yang dibentangkan Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, di Perhimpunan Agung UMNO Malaysia pada tahun 2005 lalu.

Lanjutan daripada itu, kini menerusi Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kerajaan meneruskan pelbagai penambahbaikan terhadap DEB, termasuk isu governans, akauntibiliti, integriti dan sistem penyampaian.

Ijok memiliki semua infrastruktur utama yang diperlukan, seperti sekolah, klinik, balai polis, perpustakaan, masjid, tempat ibadat dan sebuah kawasan perindustrian baru, iaitu Kawasan Perindustrian Ijok 3. Misi Nasional dan RMK9 akan meningkatkannya lagi. Justeru, Ijok mesti meneruskan kesinambungan politiknya demi kesinambungan pembangunannya.

 
INTI PATI
 
  • Di Batu Talam, Pas dan PKR memboikot pilihan raya dengan alasan penyelewengan dan kepincangan SPR, manakala DAP tidak minat bertanding.
  • Di Machap, PKR dan Pas bantu kempen calon DAP, tetapi sokongan PKR lebih terbuka daripada Pas.
  • Pakatan kukuh BN dan patuh kepada kontrak sosial yang disepakati sesama parti komponen gagal ditiru pembangkang.
  • Pakatan BN bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi memenanginya dengan pengagihan kerusi yang adil.
  • Kesinambungan politik asas penting bagi pembangunan berterusan di Ijok.