TKC cemerlang pelbagai bidang
Pemilihan sekolah autonomi beri peluang kolej tentukan tahap keunggulan
 

Sabtu lalu, Kolej Tunku Kurshiah (TKC), iaitu sekolah berasrama penuh (SBP) yang pertama khusus untuk wanita, dan yang kedua tertua di negara ini, menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang atas kejayaan pelajarnya dalam PMR dan SPM 2006. Tetamu kehormatnya ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Menurut Hasnah Muhammad Ali (2000) dalam bukunya Warisan Puteri Melayu: Dari MGC Ke TKC (1947-1997), TKC, atau nama asalnya Malay Girls College (MGC), ditubuhkan pada 1947 sebagai seiring dengan The Malay College Kuala Kangsar (MCKK), yang ditubuhkan pada 1905 khusus untuk lelaki dan adalah SBP tertua.

Majlis Anugerah Cemerlang adalah acara tahunan TKC, yang sehingga 1994 dikenali sebagai Hari Ucapan. Hari Ucapan yang pertama, iaitu pada 1964, adalah amat bermakna kerana dirasmikan oleh Yang Maha Mulia Almarhum Tunku Puan Besar Kurshiah.

Ia amat bermakna kerana nama TKC menjunjung nama Baginda selaku Raja Permaisuri Agong pertama. Pertukaran nama sekolah ini berlaku selepas perpindahannya pada 1962 dari kampus asalnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, ke kampus Seremban sekarang.

Majlis Anugerah Cemerlangnya kali ini adalah juga amat bermakna. Ini kerana ia diadakan pada tahap perkembangannya yang amat strategik dan bersempena pula dengan ulangtahun beberapa mercu tanda yang membentuk tradisi keunggulannya.

Tahun ini, TKC menyambut ulangtahun ke-60 penubuhannya, ulangtahun ke-45 berada di kampusnya sekarang dan diikuti dengan nama barunya, serta ulangtahun ke-45 Persatuan Murid-murid Tua MGC/TKC didaftarkan secara rasmi dengan Abbasiah Amirin Willoughby sebagai Yang Di-Pertuanya yang pertama.

Tahun ini juga, TKC perlu membuat beberapa keputusan penting yang akan menentukan kesinambungan dan pelonjakan keunggulannya. Ini diperlukan terutamanya kerana ia dipilih sebagai salah sebuah perintis sekolah kluster yang diberikan autonomi.

Pemilihannya sebagai sekolah autonomi telah diduga. Ini kerana TKC memang terkenal dengan prestasi cemerlangnya. Ia bukan hanya cemerlang dalam akademik sahaja. Ini kerana TKC tidak ditubuhkan semata-semata untuk kecemerlangan akademik.

TKC ditubuhkan untuk kecemerlangan bersepadu dan seimbang, iaitu meliputi setiap bidang pengembangan pelajar, sama ada secara individu ataupun secara berkumpulan.

Sebagai contoh kecemerlangan individu, Majlis Anugerah Cemerlang kali ini memberikan Anugerah Pelajar Mithali SPM 2006 kepada Ainaa Kamila bt Baharuddin.

Ainaa tidak mendapat 1A dalam 26 mata pelajaran! Itu bukan cara TKC dan keilmuan.

Ainaa menduduki 12 mata pelajaran dan mendapat 1A bagi semuanya yang menjadikannya pelajar terbaik TKC. Beliau juga pelajar terbaik TKC untuk separuh daripada 12 mata pelajaran itu, iaitu Sejarah, Matematik Tambahan, Biologi, Prinsip Akaun, English for Science and Technology dan Bahasa Perancis.

Tetapi, Ainaa bukan ulat buku. Beliau Penolong Ketua Pengawas, ketua bahas Bahasa Inggeris, Naib Johan Tokoh Nilam Kebangsaan 2006, pemenang Pingat Emas Pertandingan Wind Orchestra SBP 2006 dan ketua rombongan TKC ke Raffles Girls College, Singapura. Dengan kata-kata lain, beliau all rounder.

Ainaa mesra dengan semua orang, disukai guru-guru dan kawan-kawannya, malahan ada pelajar junior menjadikannya idola.

Pada Seminar Sistem Rumah SBP Zon Selatan 2006, Ainaa dipilih untuk memberikan taklimat tentang sistem rumah yang dilaksanakan oleh TKC. Taklimat multi-media yang diberikannya begitu artikulatif sekali. Belum tentu guru-guru yang menghadiri seminar itu dapat menandinginya.

Sebagai sebuah sekolah pula, TKC cemerlang dalam pelbagai bidang. Kerana itu, adalah tidak menghairankan apabila untuk selama 5 tahun berturut-turut ini, ia dipilih sebagai SBP terbaik dalam kokurikulum.

Pengetua Cemerlang TKC, Tengku Azuan Tengku Mohamed, sebagai sekolah autonomi, ia memfokus kecemerlangan dalam tiga kebitaraan (niche areas).

Pertama, kepemimpinan pelajar. Ia melibatkan terutamanya para pengawas, ketua rumah, pemimpin persatuan dan kelab, ketua kelas dan sebagainya. Tetapi, ia tidak bersifat eksklusif. Sebaliknya, ia bersifat inklusif dan melibatkan semua pelajar.

Ia dilakukan menerusi sistem rumah yang komprehensif, kursus kepemimpinan Kouzer & Posner, santapan minda, modul kepemimpinan diri efektif, pengantarabangsaan dan sekolah berkembar dengan Akashi Nishi, Jepun dan Raffles Girls College, Singapura, dan menghantar pelajar menghadiri seminar kepemimpinan di luar negara.

Antara pemimpin peringkat nasional yang dilahirkan TKC ialah Datuk Seri Rosmah Mansur, Datuk Dr Mazlan Othman, Datuk Rafiah Salim, Datuk Prof Dr Nik Safiah Karim, Datuk Dr Norlaily Abu Bakar, Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Ilani Ishak dan Prof Dr Adibah Kamarulzaman.

Kedua, ialah penguasaan bahasa Inggeris. Ini dilakukan terutamanya melalui pertandingan drama bahasa Inggeris antara tingkatan yang merupakan acara tahunan utama dan melibatkan hampir setiap pelajar sehingga menjadi satu budaya.

Pelajar menulis sendiri skrip, memilih pengarah, pelakon, pereka set, pengurus pentas dan peralatan serta melakukan semuanya secara satu pasukan. Hasilnya, mereka telah melahirkan produksi-produksi asli yang bermutu tinggi.

Sebagai mengiktiraf kekuatan TKC dalam bidang ini, maka ia diberi penghormatan menjadi tuan rumah pertama Pertandingan Drama Bahasa Inggeris SBP yang diadakan buat pertama kalinya Mei ini.

Ketiga, ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini meliputi program Taman Teknologi, Unit R&D Guru, Eksplorasi Kerjaya dan pertandingan robotik.

Walaupun bidang ini masih baru, tetapi prestasinya amat membanggakan. Pada 2006, TKC memenangi Anugerah Inovasi Negara dan Johan Pertandingan Formula 1 Sekolah Negeri Sembilan, manakala minggu lalu, ia memenangi Pertandingan Inovasi SBP 2007.

Satu daripada kekuatan TKC pada masa lalu ialah ia diberikan keistimewaan tertentu yang selaras dengan hakikat ia diserahkan dengan pelajar terbaik. Malangnya, selepas itu, keadaan tersebut tidak berlaku lagi.

Akibatnya, TKC terpaksa berjuang dalam paradoks – ditekan supaya menjadi sekolah paling cemerlang tetapi dilayan sebagai sekolah biasa sahaja.

Mujurlah TKC, terutamanya apabila dipimpin oleh pengetua yang adalah murid tuanya, seperti Tengku Azuan, bersama Persatuan Murid Tua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tidak pernah menyerah kalah lalu tetap mampu meneruskan keunggulannya.

Kini, sebagai sekolah autonomi, TKC berpeluang menentukan sendiri bidang dan tahap keunggulan yang diingininya. Untuk itu, ia memerlukan kerangka governans yang sesuai.

Kolum ini pernah menggariskan Kerangka Governans Sekolah Autonomi (KGSA) yang mencakupi 5 aspek, iaitu: lembaga pengelola sekolah, pihak-pihak berkepentingan, kepemimpinan sekolah, guru-guru dan perundingan pelajar.

Dalam hal ini, TKC pernah mempunyai Jawatankuasa Penasihat. Pengerusinya ialah Timbalan Pengarah Pelajaran manakala ahli-ahlinya termasuk wakil negeri-negeri yang dilantik oleh Raja-Raja Melayu.

 
INTI PATI
 
  • TKC terkenal dengan prestasi cemerlang meliputi setiap bidang pengembangan pelajar, sama ada secara individu atau berkumpulan.
  • TKC dipilih sebagai SBP terbaik dalam kokurikulum untuk tempoh lima tahun berturut-turut.
  • TKC memfokus kecemerlangan dalam tiga kebitaraan (niche areas) iaitu kepemimpinan pelajar, penguasaan bahasa Inggeris dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
  • Pada 2006, TKC memenangi Anugerah Inovasi Negara dan Johan Pertandingan Formula 1 Sekolah Negeri Sembilan, manakala minggu lalu, ia memenangi Pertandingan Inovasi SBP 2007.
  • Sebagai sekolah autonomi, TKC berpeluang menentukan sendiri bidang dan tahap keunggulan yang diingini.