Sistem pengawas atasi buli di sekolah
Program bersepadu mampu bendung tiga komponen faktor penyumbang
 

Rabu lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan kes seorang pelajar lelaki tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Shah Alam telah menikam hingga mencederakan dua orang pelajar setingkatan yang membulinya. Difahamkan beliau membawa pisau ke sekolah akibat tidak tahan lagi dibuli.

Membawa senjata ke sekolah adalah salah. Kesalahan mesti dihukum, tetapi sekiranya benar pelajar itu tidak tahan lagi dibuli, maka kita perlu berfikir lebih mendalam daripada sekadar melihat kesalahannya membawa senjata ke sekolah saja.

Janganlah kesalahan pelajar itu sahaja yang dipandang sedangkan kesalahan lain terlepas pandang.Apakah faktor yang menyebabkan beliau tidak tahan lagi? Adakah buli berluasa? Adakah sekolah mempunyai program menangani buli?

Adakah program itu lebih dari segi menyelesaikan buli setelah berlaku tetapi kurang dari segi mencegahnya? Adakah program itu bersepadu? Adakah pelajar diberi maklumat lengkap tentang buli? Adakah tindakan diambil dengan pantas, tegas dan bijaksana? Adakah kerahsiaan dan keselamatan pelapor dan pengadu kes buli terjamin?

Sekiranya kes tersebut terbukti timbul akibat kesalahan sekolah yang tidak cekap mencegah buli, iaitu sehingga pelajar itu tidak tahan lagi, maka, adakah pihak yang bertanggungjawab itu, contohnya pengetua, penolong kanan hal ehwal murid, guru disiplin atau warden turut dihukum?

Umumnya pihak sekolah berusaha bersungguh-sungguh mencegah dan menangani buli, terutamanya sejak Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Disiplin Di Sekolah pada 6 April 2004.

Apa yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah kecekapan dan keberkesanan sekolah dalam melaksanakannya. Ada beberapa kes buli memerlukan pemerhatian lebih teliti, iaitu sebelum ia merebak menjadi wabak.

Sebenarnya, buli di sekolah adalah masalah yang agak signifikan. Tetapi, oleh kerana ia jarang dilaporkan, kecuali apabila melibatkan kes besar, maka, belum wujud kefahaman mendalam tentang makna, jumlah dan jenisnya serta kaedah pencegahannya.

Dari segi definisi, seseorang pelajar dikira dibuli apabila dia secara berulangkali terdedah kepada perlakuan negatif oleh seorang atau lebih daripada seorang pelajar lain. Perlakuan negatif itu boleh jadi dalam bentuk keganasan fizikal, kekasaran lisan, perbuatan kasar, peras ugut, suruhan atau arahan tidak wajar, penyebaran khabar angin atau fitnah dan penyisihan yang disengajakan daripada kumpulan rakan sebaya.

Bagi mangsa, ketakutan, kepedihan dan kesakitan bukan sahaja dirasai semasa dibuli, tetapi juga apabila diancam untuk dibuli atau kemungkinan dibuli lagi pada masa akan datang. Selepas dibuli, mangsa menghadapi beberapa masalah besar, terutamanya dari segi psikologi, nilai diri, akademik dan perhubungan dengan orang lain.

Kajian di Ireland, Belanda, UK, Kanada, Norway, USA dan Australia (1993-1997) menganggarkan kejadian dibuli berulangkali (sekali seminggu atau lebih) melibatkan 4-13 peratus daripada pelajar sekolah. Manakala anggaran pelajar yang membuli berulangkali ialah antara 1-17 peratus.

Tetapi, apabila dikira kejadian buli yang berlaku sekali atau sesekali sahaja, maka angkanya agak besar, iaitu didapati 35 peratus daripada pelajar pernah dibuli, manakala 26 peratus pula pernah membuli.

Berdasarkan kes buli yang dilaporkan dan diceritakan di sekolah kita, dapat dirumuskan tiga komponen faktor yang menyebabkannya berlakunya. Faktor itu ialah ciri-ciri peribadi pembuli dan mangsa, ciri-ciri keluarga pembuli dan mangsa, serta persekitaran dan budaya sekolah.

Disebabkan itu, pendekatan bagi pencegahan buli perlu menggariskan strategi yang memfokus kepada ketiga-tiga komponen faktor tersebut.

Strategi yang memfokus kepada pembuli perlu menghukum pembuli; menggalakkan rakan sebaya, guru dan ibu bapa menunjukkan penolakan terhadap perlakuan buli; memberi maklumbalas tentang masalah yang ditanggung mangsa dan membantu pembuli mengembangkan empati terhadap mangsa; mengadakan penyelesaian konflik antara pembuli dan mangsa; dan memotivasi pembuli supaya berubah.

Strategi yang memfokus kepada mangsa pula perlu mengingatkan tentang kemungkinan dibuli; latihan mengelakkan dari keadaan kemungkinan dibuli; menggunakan pelbagai kaedah, termasuk drama, tentang cara menangani buli; menggalakkan pelajar memantau dan melaporkan kes buli; meningkatkan kemahiran, keyakinan dan nilai diri; mewujudkan kumpulan penyokong bagi mangsa; dan mendidik ibu bapa tentang buli.

Bagi strategi memfokus kepada persekitaran dan budaya sekolah perlu meningkatkan pemantauan disiplin oleh sekolah; menubuhkan mahkamah buli; dan melaksanakan program bersepadu pencegahan buli di sekolah.

Program bersepadu pencegahan buli di sekolah terdiri daripada pelbagai aspek. Tetapi, satu aspek yang selalu dipinggirkan ialah peranan pengawas yang sebenar. Ada sekolah menengah kita pernah mempunyai sistem pengawas yang amat baik pada satu masa dahulu, tetapi tidak lagi pada hari ini. Sistem pengawas yang kuat adalah salah satu cara yang berkesan bagi mencegah buli di sekolah.