Kategori kerja awam kena relevan
Hubungan erat sektor kerajaan, masyarakat sivil bantu kecemerlangan prestasi
 

PADA 2 Ogos lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyuarakan perkara yang amat penting, yang tiada pegawai kanan kerajaan berani menyatakannya sebelum ini, iaitu kemungkinan kerajaan meniru sektor swasta dengan memperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi ‘melepaskan’ kakitangan awam yang tidak menunjukkan prestasi sepatutnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberikan reaksi positif terhadap perkara tersebut.

Selama ini, kakitangan awam yang melakukan kesalahan kelakuan dan tatatertib boleh diberhentikan. Tetapi, mereka yang tidak menunjukkan prestasi sepatutnya, malangnya, masih kekal dalam perkhidmatan.

Mohd Sidek juga menyarankan agar sektor awam belajar daripada sektor swasta berhubung pengambilan pelajar cemerlang untuk berkhidmat dalam organisasi masing-masing. Ini kerana tidak ramai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang baru mempunyai ijazah kelas pertama atau graduan universiti terkemuka.

Pandangan beliau ini amat penting dan perlu sokongan sepenuhnya. Ini kerana tidak ada maknanya merancang modal insan kelas pertama kalau masih terpaksa menyimpan mereka yang tidak menunjukkan prestasi sepatutnya. Mereka akan melambatkan atau membantutkan kerja.

Pada masa yang sama, Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang menjalankan kajian tentang keperluan guna tenaga negara, iaitu tentang jenis dan jumlah pekerjaan yang diperlukan sehingga tahun 2020 serta kemahiran yang berkaitan. Ini mengambilkira perubahan struktural yang berlaku dalam ekonomi, terutamanya dengan kemunculan golongan baru, iaitu k-pekerja (pekerja berasaskan ilmu).

Dari 2002 hingga 2006, kira-kira 10,500 orang pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib. Kumpulan yang paling ramai, iaitu 92 peratus, ialah pegawai sokongan.

Persoalannya, apakah tidak mungkin yang kumpulan ini menimbulkan banyak masalah kerana pada hakikatnya pekerjaan yang mereka lakukan itu sebenarnya tidak relevan lagi sehingga menyebabkan mereka jadi begitu bermasalah?

Tetapi, persoalan yang lebih penting ialah, adakah sektor awam perlu mengekalkan kategori pekerjaan yang ada kini? Ini kerana k-ekonomi hari ini memerlukan kategori pekerjaan yang baru, bukan sahaja bagi sektor awam, tetapi juga bagi sektor-sektor lain.

Kategori mengikut kumpulan pekerjaan utama kita hari ini, iaitu pegawai kanan dan pengurus; profesional; juruteknik dan profesional bersekutu; pekerja-pekerja perkeranian, perkhidmatan, kedai, jurujual, pertanian, perikanan dan pertukangan; operator loji, mesin dan pemasang; dan pekerjaan asas, mungkin tidak sesuai lagi.

Kita memerlukan kategori pekerjaan baru. Dalam konteks ini, tidak salah sekiranya kita melihat cadangan bekas Setiausaha Buruh Pentadbiran Clinton, Robert B. Reich (1992) dalam bukunya The Works of Nations, di mana beliau membariskan tiga jenis kategori pekerjaan yang baru yang sesuai dengan dunia hari ini, iaitu perkhidmatan simbolik-analitik, perkhidmatan personal (in-person) dan perkhidmatan produksi rutin.

Perkhidmatan simbolik-analitik merujuk memahami masalah, mencari penyelesaian dan merancang pelaksanaan. Ia dapat dikategorikan sebagai k-pekerja dan adalah yang paling mahal gajinya.

Contohnya penyelidik, saintis, jurutera, pegawai perhubungan awam, pegawai bank, peguam, pemaju hartanah, akauntan, konsultan, perancang strategik, pencari pekerja (headhunter), analis sistem, pegawai pengiklanan dan pemasaran, pengarah seni, arkitek, sinematografer, editor filem, perekacipta produksi, penerbit buku, penulis, editor, wartawan, ahli musik, penerbit tv dan filem serta profesor dan pensyarah.

Perkhidmatan personal pula memerlukan penampilan diri yang menyenangkan. Ia kategori sedang bertambah pesat. Contohnya ialah jurujual, pekerja restoran dan hotel, atendan hospital, jururawat, pekerja taman asuhan kanak-kanak, pemandu teksi, setiausaha, peramugari/a, mekanik, tukang bersih dan pengawal keselamatan.

Perkhidmatan produksi rutin mengikut prosedur tetap dan kod peraturan. Ia kategori semakin mengecil. Contohnya ialah foreman, kerani dan ketua seksyen dalam barisan produksi kilang.

Pokoknya, sektor awam perlu mengambil dan melaksanakan amalan terbaik daripada mana-mana sumber. Di samping sektor swasta, sektor awam juga wajar belajar daripada sesetengah organisasi masyarakat sivil (CSO).

Tetapi, ini akan hanya dapat dilakukan sekiranya hubungan antara sektor awam dengan sektor masyarakat sivil diperbaiki terlebih dulu.

Berbanding hubungan antara sektor awam dengan sektor swasta yang akrab, hubungan antara sektor awam dengan sektor masyarakat sivil tidak begitu.

Dalam keadaan tertentu, hubungan antara sektor awam dan sektor masyarakat sivil dimendungi oleh sikap sektor awam yang dari atas ke bawah. Dalam konteks rakan pembangunan, terdapat tanda tanya, iaitu siapakah yang sebenarnya inginkan konsep rakan pembangunan yang tulin? Yang kelihatan lebih ingin menjadi rakan ialah sektor masyarakat sivil, manakala sektor awam lebih ingin menjadi tuan.

Ada sesetengah bidang di mana sektor awam dan masyarakat sivil bekerjasama. Contohnya ialah pembangunan belia, kepenggunaan dan alam sekitar.

Masalahnya ialah apabila berlaku pertembungan idea, mentang-mentanglah kerana sektor awam memiliki kuasa eksekutif, maka idea daripada masyarakat sivil yang lebih baik daripada idea sektor awam sering dipinggirkan.

Perlu diinsafi bahawa selalu kelihatan unsur takut yang selanjutnya terjelma dalam bentuk terlalu menjaga sempadan atau wilayah kuasa atau mempertahankan (defensive), malah penafian (denial) oleh sektor awam.

Unsur takut ini muncul mungkin akibat kekurangan ilmu dalam hal-hal dan isu-isu yang kompleks di mana pemimpin dan aktivis masyarakat sivil biasanya lebih berilmu daripada sesetengah pegawai dan kakitangan awam yang tidak mengkhusus dalam sesuatu bidang akibat berpindah-pindah di antara organisasi-oganisasi.

Keengganan atau kelemahan sektor awam memenuhi secara tulin konsep rakan pembangunan menyebabkan sesetengah anggota masyarakat sivil merasa shut out atau shut up, tersisih atau kecewa dan terpinggir hingga perkhidmatan yang diberikan kurang memuaskan. Manifestasi terakhirnya mungkin menjelma dalam bentuk penentangan dan pembangkangan atau anti-establishment.

Sesetengah bidang pembangunan negara lebih awal dipelopori oleh sektor masyarakat sivil sebelum sektor awam menubuhkan organisasi yang berkaitan. Dalam sejarahnya, gerakan masyarakat sivil telah memberikan pelbagai jenis sumbangan, sama ada dari segi aktiviti, bakti ataupun advokasi. Sektor awam boleh belajar daripada kekuatan mereka.

Antaranya ialah idealisme, aktivisme dan intelektualisme di kalangan kepemimpinan dan anggota; budaya merit, demokrasi dan keterbukaan; hubungan dan citra antarabangsa; pembangunan manusia berdaya sumber (bukannya sumber manusia); pemasaran sosial; doing more with less; pengurusan sukarela; dan pendekatan turun padang.

Semua pihak mesti berjiwa besar, berlapang dada, bersedia dan berani menggunakan keazaman politik untuk meningkatkan prestasi sektor awam.