“Ahli Majlis Daerah bercuti
guna wang rakyat”.Demikian laporan media
tempatan tentang aduan yang dibangkitkan pada
sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas
Dewan Rakyat Tentang Integriti di Johor Bahru
pada 8 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa tersebut,
Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh menyatakan bahawa
pihaknya akan memanggil Yang Di-Pertua (YDP)
Majlis Daerah terbabit untuk menjawab dakwaan
berkenaan.Majlis Daerah ialah sebahagian daripada
144 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang
wujud kini, iaitu di samping Majlis Perbandaran
dan Majlis Bandaraya.
Ini bukanlah kali pertama aduan
sedemikian sampai kepada Jawatankuasa tersebut.
Ia juga telah acap kali didedahkan media, iaitu
cerita tentang lawatan sambil belajar yang dianjurkan
oleh sesetengah PBT. Ada yang melawat di dalam
negara, manakala ada juga yang melawat ke luar
negara. Contohnya banyak. Antaranya, pada tahun
lalu, sebuah Majlis Bandaraya dilaporkan membelanjakan
RM10.5 juta dalam tempoh 5 tahun untuk keluar
negara.
Lawatan sambil belajar tidak
salah. Tetapi, persoalannya ialah apakah yang
dipelajari? Contohnya, adakah wajar lawatan
dibuat ke negara yang mempunyai empat musim
untuk belajar tentang landskap, sedangkan kita
cuma ada satu musim sahaja?
Selepas sesuatu lawatan itu selesai,
adakah laporan dibentangkan tentang hasilnya?
Ini penting untuk memastikan bahawa lawatan
itu mencapai matlamatnya, iaitu dari segi pulangan
terhadap perbelanjaan besar yang telah digunakan
itu.
Sekiranya sesuatu lawatan itu
benar-benar wajar dan diperlukan, misalnya untuk
menghadiri persidangan atau seminar berkaitan
PBT (bukannya yang tiada kaitan), atau untuk
mempelajari sesuatu amalan terbaik yang relevan
(bukannya yang tidak relevan), maka tentulah
cukup sekadar menghantar beberapa orang yang
berkaitan sahaja.
Persoalannya ialah adakah wajar
semua 24 orang Ahli Majlis, seorang YDP dan
beberapa orang pegawai menyertainya? Wajarkah
isteri atau suami masing-masing menyertainya?
Wajarkah lawatan itu diselitkan dengan aktiviti
riadah seperti bermain golf dan sebagainya?
Wajarkah wang rakyat dibelanjakan untuk semua
itu?
Oleh kerana kebanyakan lawatan
itu tidak dapat dijustifikasikan sebagai wajar
dan perlu, maka tidak hairanlah sekiranya rakyat
melihatnya sebagai tidak lebih daripada bercuti
dengan menggunakan wang rakyat. Sekiranya PBT
terbabit mempunyai kewangan yang kukuhpun ia
tidak wajar, maka bayangkanlah betapa tidak
wajarnya lawatan itu bagi PBT yang kewangannya
defisit.
Sesetengah lawatan tersebut diselitkan
dengan Mesyuarat Penuh PBT. Alasannya, oleh
kerana semua Ahli Majlis telah sedia hadir,
maka diadakanlah mesyuarat itu. Manakala, ada
pula PBT yang sengaja mengadakan mesyuarat itu
di luar kawasan. Lalu, alang-alang telah keluar,
maka diadakanlah lawatan sambil belajar.
Maknanya, ada masanya lawatan
dijadikan alasan mengadakan mesyuarat, manakala
pada masa yang lain, mesyuarat pula dijadikan
alasan mengadakan lawatan. Masalahnya, kedua-dua
alasan itu adalah tidak benar atau dibenarkan.Sebenarnya,
mengadakan lawatan sambil belajar dan mengadakan
Mesyuarat Penuh di luar kawasan adalah dua perkara
yang berbeza.
Lawatan sambil belajar masih
boleh dijustifikasikan berdasarkan kewajaran
dan keperluannya, dan dengan syarat kedudukan
kewangan PBT berkenaan kukuh. Namun, ia tetap
tidak wajar untuk disertai oleh semua Ahli Majlis,
kecualilah jika mereka yang tidak berkaitan
dengan lawatan itu membayar sendiri perbelanjaannya.
Tetapi, mengadakan Mesyuarat
Penuh di luar kawasan tidak dapat dijustifikasikan.
Ini kerana, menurut Seksyen 23 Akta Kerajaan
Tempatan 1976, Mesyuarat Penuh PBT hendaklah
terbuka kepada khalayak dan media, kecuali sekiranya
mesyuarat tersebut, iaitu melalui resolusi yang
dibuat semasa mesyuarat itu berjalan, memutuskan
sebaliknya.
Tetapi, apabila PBT mengadakan
mesyuarat itu di tempat yang jauh sehingga perlu
menaiki kapal terbang, maka ia boleh ditafsirkan
bahawa resolusi telah dibuat sebelum mesyuarat
berjalan untuk mengadakan mesyuarat itu secara
tertutup kerana ia telah menjadikan hampir mustahil
untuk khalayak dan media menghadirinya.
Pada masa yang sama, sejauhmanakah
Mesyuarat Penuh PBT yang diadakan di dalam kawasan
itu benar-benar terbuka? Adakah notis dikeluarkan
kepada khalayak dan media tentang tarikh, masa
dan tempat mesyuarat itu diadakan? Adakah bilik
mesyuarat itu menyediakan tempat duduk untuk
khalayak dan media?
Tahun lalu, misalnya ada kes
di mana dua orang yang ingin hadir menyaksikan
Mesyuarat Penuh sebuah Majlis Perbandaran di
Lembah Klang telah dihalang daripada menghadirinya
kerana didakwa tidak mendapat kebenaran daripada
YDP berkenaan.
Sebelum itu, mereka telahpun
menghantar surat kepada YDP menyatakan hasrat
untuk hadir, walaupun mereka tidak perlu berbuat
demikian. Ini kerana kebenaran menghadirinya
adalah dijamin oleh Seksyen 23 tersebut.
Sekiranya Majlis Perbandaran berkenaan mempunyai
peraturan bahawa kehadiran khalayak di Mesyuarat
Penuhnya mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran
YDP, maka peraturan tersebut adalah tidak betul.
YDP tidak diberikan kuasa untuk
menjadi penjaga pintu kepada Mesyuarat Penuhnya.
Mereka tidak boleh menentukan siapa boleh hadir
dan siapa tidak boleh hadir.
Prinsip keterbukaan ini dipanjangkan
lagi, misalnya oleh Seksyen 27 Akta yang sama,
yang memperuntukkan minit Mesyuarat Penuh PBT
hendaklah dibenarkan diperiksa oleh pembayar
cukai.
Tetapi, tahun lalu, seorang pembayar
cukai yang ingin memeriksa minit tersebut di
sebuah Majlis Perbandaran di pantai barat Semenanjung
telah diberitahu untuk mendapatkan arahan mahkamah
terlebih dahulu.
Persoalan ini sudah lama bermain di minda rakyat
dan sesetengah Ahli Majlis. Kerana itu, langkah
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
menggerakkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan
Rakyat Tentang Integriti adalah tepat.
Penubuhan jawatankuasa tersebut
selaras dengan pelancaran Pelan Integriti Negara
(PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM)
oleh Datuk Seri Abdullah pada April 2004.
Dalam konteks ini, PBT, iaitu
sebagai sebahagian daripada pentadbiran awam,
perlu meningkatkan integritinya. Menurut PIN,
agenda integriti pentadbiran awam ialah pertama,
pemantapan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban
dan governans terbaik, dan kedua, peningkatan
integriti jentera perkhidmatan awam.
Tindakan sesetengah PBT mengadakan
lawatan sambil belajar yang tidak wajar atau
perlu serta mengadakan Mesyuarat Penuh di luar
kawasan sehingga menyebabkannya tertutup adalah
berlawanan dengan agenda integriti tersebut.
Rakyat hari ini lebih berpendidikan,
prihatin, tahu hak dan peranannya serta kritikal
dan lantang bersuara. Mereka tahu banyak berhubung
PBT dan pihak berkausa itutiada pilihan lain
kecuali meningkatkan integritinya.