5 Disember setiap tahun ialah
Hari Sukarelawan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB). Tetapi, oleh kerana semangat
kesukarelaan bukanlah isu yang panas dan para
sukarelawan bukanlah orang yang kaya atau berkuasa,
maka hari tersebut telah berlalu tanpa ramai
menyedari akan kewujudannya.
Meskipun demikian, kesukarelaan
belumlah mati atau pupus. Cuma, dalam keadaan-keadaan
tertentu, ia mungkin sedikit pudar. Kerana itu
ia perlu digilap dengan melaksanakan beberapa
langkah strategik yang komprehensif.
Langkah strategik pertama ialah
membudayakan kesukarelaan. Kita perlu merayakan
Hari Sukarelawan Antarabangsa, atau dengan mempunyai
Hari Sukarelawan Negara, pada setiap tahun dengan
cara yang bermakna dan bermanfaat di setiap
peringkat untuk mengingatkan dan meningkatkan
kesedaran, penghayatan dan amalan kesukarelaan
di kalangan masyarakat, terutamanya belia dan
pelajar.
Media massa perlu memperbanyakkan
liputan yang mempromosi kesukarelaan. Apa yang
menjadi masalah ialah lazimnya pihak media terlalu
menumpukan liputannya terhadap program yang
glamour atau dirasmikan tokoh politik yang besar,
sedangkan program kesukarelaan lazimnya tidak
dianjurkan dalam bentuk demikian.
Kerajaan perlu mengukur secara
saintifik bentuk, jenis dan keberkesanan sumbangan
kesukarelaan kepada negara, termasuk dari sudut
ekonomi. Di negara-negara di mana kerja kesukarelaan
telah dikaji secara emperikal, misalnya di United
Kingdom, Kanada dan Korea Selatan, sumbangannya
terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
dapat diukur secara kuantitatif dan dianggarkan
antara 8 hingga 14 peratus.
Perkara ini telah dicadangkan
sebelum ini, misalnya oleh Yayasan Salam Malaysia,
tetapi hingga sekarang belum nampak hitam putihnya.
Ia menjadi semakin penting hari ini kerana,
melalui Bajet 2007, kerajaan kini menggalakkan
pihak swasta melaksanakan kesukarelaan melalui
konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).
CSR tidak terhad dengan pihak
korporat mendermakan wang sahaja. Sebaliknya,
ia juga melibatkan tenaga sukarela yang disumbangkan
kaki tangannya. Nilai wang yang diderma ada
cara mengiranya. Tetapi, apakah caranya untuk
mengira nilai tenaga yang disumbangkan itu?
Di sinilah mendesaknya keperluan terhadap ukuran
tersebut.
Langkah kedua ialah meningkatkan
motivasi. Antara perkara yang sering dilakukan
ialah memberikan pengiktirafan terhadap kerja
sukarela, organisasi sukarela dan para sukarelawan,
iaitu dalam bentuk hadiah, sijil, anugerah,
bintang dan pingat.
Tetapi, pengiktirafan ini biarlah dibuat dengan
lebih meluas iaitu meliputi mereka yang benar-benar
bekerja. Elakkanlah daripada seolah-olah ia
diberikan kepada pemimpin kanan sahaja, sedangkan
ia mungkin sekadar mempengerusikan mesyuarat
dan menyampaikan ucapan yang nota mesyuarat
dan teks ucapan itu disediakan dari A sampai
Z oleh orang lain yang tidak pernah diberikan
sebarang pengiktirafan.
Kelulusan cuti tanpa rekod yang
dipohon oleh sukarelawan perlu dipermudahkan,
terutamanya di sektor swasta, manakala seniority
tidak tergugat jika bercuti lama untuk kerja
sukarela. Kesukarelaan perlu dikira secara positif
dalam kenaikan gaji dan pangkat serta peluang-peluang
melanjutkan pelajaran, mendapatkan biasiswa/penajaan,
mendapatkan pekerjaan, latihan dalam perkhidmatan
dan perubatan percuma.
Undang-undang dan peraturan-peraturan
tertentu yang mengekang kesukarelaan, misalnya
yang berkaitan dengan jumlah hari bekerja dalam
seminggu, kemudahan peminjaman kakitangan awam
ke sektor kesukarelaan dan sebagainya perlu
dinilai semula untuk menyediakan keadaan yang
lebih kondusif kepada kerja kesukarelaan.
Organisasi sukarela perlu diiktiraf
sebagai rakan pembangunan dan diikutsertakan
dalam semua struktur dan proses pembuatan keputusan
di semua peringkat. Perwakilannya perlu ditingkatkan
dalam institusi-institusi kerajaan, seperti
Dewan Negara, Jawatankuasa Pilihan Parlimen
dan Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.
Agensi kerajaan perlu menyemarakkan
pertumbuhan organisasi sukarela dengan membantunya
dari segi kewangan. Apa yang lebih penting lagi
ialah dengan menjadikan organisasi sukarela
sebagai kontraktor awam yang melaksanakan program
kerajaan. Yakinlah bahawa organisasi sukarela
mampu melaksanakan dengan lebih baik lagi dan
dengan kos yang jauh lebih rendah.
Langkah ketiga ialah meningkatkan
profesionalisme, sama ada dari segi organisasi,
mutu dan cara pemilihan kepemimpinan, pengurusan,
kewangan, pemasaran sosial, budaya kerja serta
pendidikan dan latihan para sukarelawan. Ini
melibatkan ilmu, kemahiran, isu-isu, pendekatan-pendekatan
dan teknik-teknik kerja sukarela yang terkini.
Sudah sampai masanya untuk kita
mempunyai sistem latihan kesukarelaan yang berakreditasi.
Biasiswa pembangunan kesukarelaan perlu diwujudkan
manakala R&D yang terancang, sistematik
dan berterusan tentang isu-isu kesukarelaan
perlu ditambah.
Langkah keempat ialah melentur
buluh dari rebungnya. Banyak program telah dijalankan
oleh organisasi sukarela, pertubuhan belia,
universiti dan sekolah. Ia perlu ditingkatkan
dan ditambahnilai, terutamanya dari segi kualiti
dan akreditasi. Pada masa yang sama, amalan
menghukum pelajar dengan menyuruhnya melakukan
kerja sukarela mesti dihentikan kerana ia memberikan
mesej yang salah tentang kesukarelaan.
Khusus bagi pelajar, antara kerja
sukarela yang mudah dilakukan, memberi manfaat
secara langsung dan kurang risiko tentangan
daripada ibu bapa ialah mengadakan kumpulan
pengajian akademik, kelas bimbingan rakan sebaya
dan sistem mentor di mana senior membimbing
junior.
Kini, kokurikulum diberi pemberatan
10 peratus dalam markah kemasukan ke IPTA. Ia
perlu diperluaskan kepada IPTS. Selanjutnya,
majikan perlu disyaratkan supaya mengambilkira
aspek kokurikulum dalam pengambilan graduan
sebagai pekerja.
Pada masa yang sama, pelajar
perlu diingatkan bahawa kesukarelaan tidak terhad
kepada kokurikulum, kemasukan ke universiti
dan mendapatkan pekerjaan semata-mata, tetapi
adalah satu nilai kehidupan dan kemanusiaan
yang amat tinggi lagi murni.
Kesukarelaan di kalangan pelajar
dapat ditambah nilai sekiranya universiti dan
sekolah tidak mengamalkan dasar tutup pintu
terhadap organisasi sukarela di luar pagarnya.
Oleh itu, beberapa seksyen dalam
Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membantutkan
kesukarelaan mahasiswa, contohnya, hendaklah
segera dipinda.
Di samping itu, aspek-aspek kesukarelaan
yang sering diabaikan kebanyakan pemimpin sekolah,
universiti dan kerajaan, iaitu konsep partisipasi
penuh, penghakupayaan, rakan pembangunan dan
perwakilan perlu dihidupkan dan dihayati.
Langkah kelima ialah menyinergi
sumber-sumber. Organisasi-organisasi sukarela
yang pelbagai dan besar jumlahnya itu perlu
menggembleng kekuatan mereka demi mengoptimumkan
sumber-sumber yang ada dan mengelakkan pembaziran.
Dari segi peruntukan kewangan,
contohnya, kecuali dalam kes amat memerlukan,
ia tidak harus digunakan untuk membina pusat
kegiatan kesukarelaan yang baru kerana yang
sedia wujudpun banyak yang menjadi gajah putih.
Sebaliknya, ia seharusnya disalurkan untuk memastikan
pusat yang sedia wujud adalah menarik dan menawan,
diuruskan secara profesional dan menawarkan
perkhidmatan yang kompetitif dan produktif.
Akhirnya, ialah kepemimpinan
melalui teladan. Sekiranya para pemimpin benar-benar
menghayati kesukarelaan, iaitu tidak menggunakan
kesukarelaan untuk mengiklankan diri semata-mata,
maka pengikut berkemungkinan besar akan turut
menghayatinya.