Mempertahan kestabilan negara
Tindakan tegas ikut ISA perlu untuk kekang kumpulan pelampau
 

LIMA orang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sejumlah orang kini disiasat berhubung perhimpunan dan perarakan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf). Segelintir peguam dan aktivis di ibu negara juga disiasat berhubung hasutan perkauman.

Dakwaan Bersih kononnya sistem pilihan raya kita penuh dengan masalah semakin terbukti salahnya dengan terbitnya laporan kajian TNS dan Gallup International pada 6 Disember lalu yang mendapati proses pilihan raya kita adalah paling bebas dan adil di Asia. 74 peratus responden menyatakan bahawa pilihan raya kita dijalankan secara bebas dan adil, manakala 69 peratus mengakui Malaysia ditadbir mengikut kemahuan rakyat.

Kedua-dua peratusan ini adalah yang paling tinggi dalam senarai 10 buah negara Asia dan melepasi purata dunia (47 peratus). Apa yang lebih menarik ialah responden Malaysia dalam kajian ini terdiri daripada penduduk bandar. Ini dengan jelasnya mematikan hujah pembangkang selama ini bahawa penduduk bandar rata-ratanya menyoal akan kebersihan sistem pilihan raya kita.

Hasil kajian itu juga membuktikan keadaan hak asasi kita adalah baik. Amalan demokrasi yang tinggi dan rakyat berpuas hati terhadap pentadbiran kerajaan adalah sebahagian daripada indikator hak asasi yang baik.Justeru, kita berasa pelik mengapa segelintir peguam dan aktivis beriya-iya benar mengadakan perhimpunan dan perarakan sempena Hari Hak Asasi Sedunia itu sedangkan Majlis Peguam telah terlebih dahulu membatalkannya dan menafikan terlibat dengannya.

Bertambah pelik lagi apabila Majlis Peguam mengkritik penahanan ke atas mereka yang berarak itu. Tahanan dibuat kerana tidak mematuhi arahan polis untuk bersurai. Bukankah jelas yang mereka melanggar undang-undang? Adakah Majlis Peguam menyatakan bahawa kita boleh melanggar undang-undang? Atau, adakah ia menyatakan bahawa kita boleh memilih undang-undang tertentu sahaja yang perlu dipatuhi?

Gelagat mereka ini adalah contoh yang dimaksudkan kata-kata hikmat Melayu “cerdik tak boleh dipakai”. Manakala Jonathan Caplan, seorang peguam, dalam artikelnya “Lawyers and Litigants: A Cult Reviewed” dalam buku Disabling Professions yang ditulis bersama intelektual terkenal, Ivan Illich dan lain-lain (terbit pertama kali pada 1977)) telah sejak dahulu lagi menyoal kedudukan sesetengah peguam yang dihormati oleh orang awam lebih daripada yang sepatutnya itu.

Kerana itu, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa walaupun mereka peguam, tetapi kalau menyalahi atau menentang undang-undang, sudah tentulah tindakan akan diambil terhadap mereka, adalah tepat sekali.

Jika tidak bersetuju dengan mana-mana undang-undang, maka, ada cara untuk meminda atau menukarnya, iaitu melalui dewan legislatif seperti Parlimen, iaitu dengan cara yang terhormat dan mengikut undang-undang. Tetapi, tindakan berhimpun secara haram di Parlimen pada 11 Disember lalu sedangkan polis telah mendapat perintah mahkamah yang melarang perhimpunan itu, bukan caranya.

Kita perlu mempertahankan perpaduan negara, kestabilan politik dan pentadbiran yang berkesinambungan, iaitu tiga perkara yang dinyatakan oleh Wakil Penyelaras Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Richard Leete (2005), sebagai faktor kritikal kejayaan kita selama ini. Justeru, apabila timbul perkara-perkara yang boleh menggugat kejayaan itu, maka, kerajaan perlu bertindak tegas.

Bertindak tegas, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak bermakna kita tidak demokratik. Ini kerana demokrasi juga bermakna melindungi rakyat daripada keburukan yang ditimbulkan minoriti, malahan oleh seseorang individupun.

Dalam Islam, ada prinsip menolak sebarang bentuk perlakuan yang boleh menimbulkan kemudaratan. Jika berlaku pertembungan antara kemudaratan yang lebih besar dengan kemudaratan yang lebih kecil, maka kemudaratan yang lebih besar perlu dihapuskan terlebih dahulu. Malahan, jika berlaku pertembungan antara kebaikan dan kemudaratan, maka menolak kemudaratan mestilah didahulukan daripada mengambil kebaikan.

Kenyataan Datuk Seri Abdullah bahawa beliau sedia mengorbankan kebebasan awam demi kestabilan nasional adalah selaras dengan prinsip ini. Pokoknya, matlamat tidak menghalalkan cara. Tetapi, Hindraf menghalalkan apa cara sekalipun, termasuk menuduh berlakunya pembersihan etnik, orang India dibunuh dan kuil Hindu dirobohkan setiap hari di sini. Ia cuba mendapatkan sokongan di India. Tetapi, setakat ini, satu-satunya pihak di sana yang menyokongnya ialah Parti Hindu Nasionalis Bharatiya Janata (BJP).

Dalam konteks ini, komentar profesor undang-undang Universiti Yale, Amy Chua (2007) tentang BJP dalam bukunya Day of Empire adalah relevan. Menurutnya, pada sepanjang sejarah dunia, satu daripada faktor utama kejayaan sesebuah negara ialah toleransi.

Tetapi, dalam zaman pembangunan ekonomi India yang rancak hari ini, toleransi di sana tergugat oleh BJP yang mendapat kuasa pada 1998 hingga 2004 dan ingin menjadikan India sebuah negara Hindu. Politikus BJP seringkali melabelkan orang Islam di India sebagai “penceroboh” dan “orang asing” dan berjanji akan merobohkan masjid-masjid di seluruh India dan menggantikannya dengan kuil-kuil Hindu.

Menurut Chua, pada 2002, India mengalami masalah keganasan dan rusuhan agama yang terburuk yang mana lebih 2,000 orang Islam telah disembelih dengan kejam di utara negeri Gujarat. Rentetan kisahnya bermula kira-kira sedekad sebelumnya, apabila penganut Hindu merobohkan sebuah masjid di Ayodhah, merompak dan membakar kawasan sekelilingnya dalam satu rusuhan anti-Islam yang memuncak. Pada 2002 itu, puak militan Islam telah menyerang sebuah keretapi yang membawa penganut Hindu pulang dari Ayodhah, menyebabkan sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh.

Sebagai tindak balas, selama empat hari, orang awam penganut Hindu dan polis telah membunuh, merompak kedai-kedai, membakar rumah-rumah dan merogol secara berkumpulan gadis dan wanita Islam. Keganasan terhadap wanita Islam dilakukan secara zalim iaitu dengan memotong buah dada, dan dalam sesetengah kes, meragut keluar rahim daripada perut wanita yang mengandung sebelum membunuhnya.

Sekurang-kurangnya sebahagian daripada keganasan itu ditaja oleh kerajaan kerana pencerobohan tersebut diketuai oleh pegawai-pegawai polis dan National Volunteer Corps. Ia juga dilakukan dengan baik. Para perusuh mengenal pasti rumah orang Islam dengan menggunakan senarai alamat keluarga Islam dari cetakan komputer dan mengkoordinasi serangan dengan menggunakan telefon bimbit.

Menurut Chua lagi, kerajaan BJP menafikan yang serangan-serangan itu berlaku dan sebaliknya menyatakan bahawa kebanyakan daripada yang terbunuh itu sebagai “hilang” sekalipun kubur-kubur di mana mayat-mayat ditanam berkumpulan ditemui. Keganasan itu meninggalkan kesan di seluruh wilayah tersebut dan mengakibatkan lebih 100,000 orang Islam terpaksa hidup dalam khemah-khemah pelarian.

Sekiranya ISA terpaksa digunakan, ia mungkin menyebabkan pemimpin kita tidak popular. Tetapi, itu adalah perspektif daripada hanya sesetengah pihak yang kecil sahaja. Manakala daripada perspektif pihak yang lebih ramai, termasuk golongan majoriti senyap, ia adalah tindakan yang tepat dan terbaik, malahan satu-satunya tindakan yang ada, untuk mengelakkan daripada berlakunya kemudaratan yang lebih besar.

Kerajaan kita sentiasa mendengar suara rakyat yang rasional. Tetapi, kini, ia adalah permintaan yang bukan-bukan, penolakan terhadap fakta yang jelas, pengengkaran dan pelanggaran terbuka terhadap undang-undang dan perintah mahkamah, tuduhan, fitnah dan hasutan yang berniat jahat serta keghairahan sehingga berlakunya bibit-bibit keganasan. Ia melampau dan pelampau mesti dicegah dengan tegas.