PILIHAN RYA kecil Dewan Undangan
Negeri (DUN) Pahang kawasan Batu Talam sudah
berlalu dan calon Barisan Nasional (BN) diisytiharkan
menang besar. Dalam reaksinya terhadap keputusan
tersebut, Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi menyatakan bahawa pengundi Batu
Talam lebih bijak dan lebih memahami erti pilihan
raya.
Dalam nada sama, timbalannya,
Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa
ini adalah satu kemenangan moral yang besar
bagi amalan demokrasi dan sistem pilihan raya
kita.
Sebenarnya, pilihan raya diadakan bukanlah kerana
demi untuk mengadakan pilihan raya semata-mata,
atau dengan kata lain – pilihan raya untuk
pilihan raya. Sekiranya pilihan raya diadakan
untuk pilihan raya semata-mata, maka perkiraannya
ialah hanya untuk menang sahaja. Kalau dirasakan
ada kemungkinan untuk menang, maka bertandinglah.
Tetapi, kalau dirasakan tidak ada kemungkinan
untuk menang, maka tidak bertandinglah.
Pemikiran begini adalah cetek,
atau jika mengadaptasi kata-kata Datuk Seri
Abdullah tadi – adalah tidak bijak dan
tidak memahami erti pilihan raya. Tetapi, inilah
pemikiran pakatan pembangkang di Batu Talam
yang melakukan pemboikotan itu.
Sebaliknya, pilihan raya diadakan
adalah untuk matlamat yang lebih tinggi dan
luas. Menurut Donald L. Horowitz (2004), dalam
rencananya “Political goals and first-past-the-post”,
terdapat enam matlamat yang ingin dicapai oleh
sistem pilihan raya kita.
Matlamat itu ialah: keseimbangan
di antara jumlah kerusi dengan jumlah pengundi;
akauntabiliti terhadap pengundi; kerajaan yang
kukuh; penerimaan calon yang menang; kerjasama
di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama;
dan perjawatan bagi golongan minoriti.
Merujuk cadangan menukar sistem
yang ada kini, iaitu yang berasaskan sistem
first-past-the-post, kepada sistem lain, Horowitz
menyatakan bahawa apabila berbicara tentang
matlamat ingin dicapai, kita jangan berilusi
bahawa sistem pilihan raya akan memudahkan matlamat
diinginkan tercapai.
Walaupun sistem pilihan raya
membentuk dan menghadkan perlakuan politikus
dan pengundi, tetapi, sistem pilihan raya hanyalah
sebahagian kecil daripada perkara-perkara yang
memberi kesan terhadap segala perlakuan manusia,
termasuk perlakuan politiknya.
Perkara lain itu, seperti disebutkan
Arend Lijphart (1999) dalam bukunya Patterns
of Democracy, iaitu: pembentukan dan pengurusan
eksekutif dan legislatif, hubungan antara kerajaan
pusat dan negeri, sistem berparti, kewujudan
badan-badan masyarakat sivil, keluhuran perlembagaan,
kedudukan bank pusat serta keselamatan dan keamanan.
Kedua-dua Horowitz dan Lijphart
bersepandapat bahawa sistem pilihan raya bukanlah
segala-galanya. Malahan, menurut Horowitz, keajaiban
tidak berlaku akibat pertukaran sistem pilihan
raya.
Kita tidak perlu menukar sistem
pilihan raya yang sedia ada. Ini kerana sistem
yang sedia ada telah mencapai matlamatnya. Memanglah
kita belum mencapainya pada tahap yang sempurna
atau 100 peratus. Tetapi, hakikatnya ialah ia
telah berjaya membolehkan bangsa dan negara
kita tiba di persada yang cemerlang.
Justeru, cara dan pendekatan
yang bijaksana ialah menambahbaik sistem yang
sedia ada ini, (dan kita sentiasa menambahbaiknya
dari semasa ke semasa), dan bukannya untuk memboikotnya.
Dalam konteks ini, seperti juga
halnya dengan pengundi dalam pilihan raya umum
2004, pengundi Batu Talam telah menerima baik
kebijaksanaan ini.
Di samping menolak pemboikotan,
Batu Talam juga adalah bukti sokongan padu rakyat
terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah. Ini
tambah bermakna kerana dalam tempoh sepanjang
tahun lalu, beliau berhadapan dengan pelbagai
kritikan.
Pembabitan pemimpin kanan parti
komponen, dengan diketuai Datuk Seri Najib,
mengetuai jentera masing-masing membuktikan
bahawa perpaduan BN tetap mantap. Sesiapa yang
berkunjung ke pekan Cheroh akan melihat bilik-bilik
gerakan parti-parti komponen BN yang meriah.
Disebabkan hampir 80 peratus
pengundinya adalah Melayu, maka bilik gerakan
UMNO lebih banyak dan mewarnai setiap kawasan
Felda dan kampung tradisional.
Dari awal lagi, BN sedia maklum akan menang
dengan mudah. Tetapi, mereka tetap turun padang
untuk bekerja. Mesyuarat-mesyuarat penyelarasan
yang dipengerusikan Datuk Seri Adnan Yaakob
dihadiri dengan serius. Seolah-olah BN berlawan
dalam satu pertandingan yang sengit.
Pada pilihan raya kecil lain
sebelum ini, termasuk yang terbaru dan yang
menyaksikan pertandingan yang sengit, iaitu
di Pengkalan Pasir di mana BN menang dengan
majoriti yang kecil sahaja, pada hari membuang
undi, kebanyakan jentera BN dari luar Pengkalan
Pasir, dan terutamanya dari luar Kelantan, telah
mula pulang. Yang tinggal bekerja ialah jentera
tempatan dari Pengkalan Pasir sahaja.
Tetapi, di Batu Talam, jentera
BN dari luar Batu Talam, termasuk dari luar
Pahang, telah terus bekerja dan menunggu di
kawasan operasi masing-masing hinggalah tempoh
mengundi tamat pada jam 5 petang, malahan sebahagian
besarnya menunggu hingga keputusan diumumkan
pada jam 8.30 malam.
Bagi mereka, Batu Talam adalah
raptai pilihan raya umum akan datang. Ini cara
mereka menunjukkan sokongan untuk bersama-sama
Datuk Seri Abdullah bagi mengulangi kemenangan
besar pada pilihan raya umum yang lalu.
Seperti yang dijangka,
pilihan raya kecil itu memberikan kemenangan
dengan majoriti lebih.