Kita biasa mendengar Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi berucap sebagai Perdana Menteri,
Pengerusi BN dan Presiden UMNO mengenai pelbagai
isu berkaitan ekonomi, politik, agama, pendidikan
dan kemasyarakatan.
Tetapi, ketika melancarkan program Satu Keluarga
Satu Kaunselor anjuran Biro Pembangunan Sosial
UMNO Malaysia di Seremban pada Ahad lalu,
beliau berucap lebih daripada itu.
Ucapan tanpa teks itu satu perkongsian seorang
ketua keluarga, suami dan ayah yang penyayang,
matang dan cemerlang dengan para hadirin yang
rata-ratanya adalah juga suami ataupun isteri
dan ayah ataupun ibu.
Antara lain, Datuk Seri Abdullah mengulas
kisah dalam al-Qur’an mengenai bagaimana
Luqman mendidik anaknya. Bahawa Luqman sentiasa
memanggil anaknya dengan frasa “Wahai
anak kesayanganku”. Memang cukup penting
bagi ibu bapa sentiasa memberikan kasih sayang
kepada anak dan memberitahu bahawa mereka
disayangi termasuk ketika marah sekalipun.
Semua akan berkata bahawa ibu bapa mana yang
tidak sayangkan anak. Tetapi, persoalannya
ialah adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi
anaknya dengan cara yang tepat?
Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan
kesilapan. Ada yang oleh kerana menganggap
cara ibu bapanya dahulu tidak betul dan kolot,
lalu terus menolak semuanya, sedangkan cara
dahulu itu tidak semuanya salah atau tidak
sesuai lagi.
Ada pula berganggapan cara didikan ibu bapa
dulu adalah betul, lalu terus menggunakan
semuanya, sedangkan mungkin ada di antaranya
tidak lagi bersesuaian dengan hari ini.
Manakala, ada pula yang oleh kerana ingin
mencari cara yang kontemporari, lalu dengan
mudahnya menggunakan cadangan-cadangan yang
dikemukakan oleh buku-buku atau penceramah-penceramah,
tanpa melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman
yang mendalam.
Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks
hubungannya dengan anak yang berada pada umur
remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan
yang sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan
oleh ibu bapanya. Adakalanya remaja membuat
pilihan pakaian dan muzik yang pelik, emosinya
berubah-ubah seperti pendulum, malahan mungkin
kurang menghormati ibu bapa.
Lazimnya, ibu bapa diingatkan supaya mengenali
dan memahami psikologi anak remajanya. Ibu
bapa diberitahu bahawa remaja sedang berada
dalam zaman transisi dan sedang bergelut untuk
berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh
kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil
memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya.
Ibu bapa dimaklumkan bahawa anak remajanya
sedang berada dalam paradoks.
Tetapi, ibu bapa jarang sekali diingatkan
untuk mengenali dan memahami paradoks yang
sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa
mereka sendiri sedang mencari keseimbangan
di antara memberikan kasih sayang dan menetapkan
sesuatu terhadap anak remajanya.
Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang tepat
ialah yang memberikan anak remajanya keseimbangan
di antara kebebasan dan disiplin. Jika terlalu
banyak disiplin, remaja akan memberontak.
Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan,
remaja akan dahagakan struktur tertentu dan
akan mencarinya sendiri dengan cara yang belum
tentu baik.
Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai
keputusan tentang anaknya, misalnya, dari
boleh atau tidak menonton tv, hinggalah kepada
boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau
perempuan.
Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan
itu semakin besar jumlah dan kepentingannya.
Ada keputusan yang perlu dibuat setiap hari,
manakala ada pula keputusan yang perlu dibuat
pada tempoh masa tertentu.
Semua keputusan itu penting, tetapi, menurut
Maryann Rosenthal (2006) dalam bukunya, Be
a parent, not a pushover, yang lebih penting
dan yang akan lebih mempengaruhi perlakuan
remaja untuk jangkamasa yang panjang ialah
gaya keibubapaan.
Justeru,selain perlu mengenali dan memahami
anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan
memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya,
ahli-ahli psikologi merumuskan bahawa terdapat
dua komponen utama dalam gaya keibubapaan.
Yang pertama ialah “responsif”,
iaitu sebanyak mana kebebasan akan diberikan.
Manakala yang kedua ialah “permintaan”,
iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju
akan ditentukan.
Dengan kata lain, ibu bapa berhadapan dengan
paradoks: di antara kasih sayang dan kepemimpinan.
Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak
anak remajanya, manakala kepemimpinan pula
ialah permintaannya terhadap keperluan masa
depan anak remajanya.
Pertembungan, dinamika dan keseimbangan di
antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan
gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan
gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu:
autoritarian, autoritatif, permisif dan tak-terlibat.
Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya
tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun
mereka pengasih dan penyayang, tetapi anak
remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir
tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang
didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat,
malahan cita-cita anak remajapun ditentukan
ibu bapa.
Remaja dibesarkan dalam suasana autoritarian
berkemungkinan besar akan berjaya dalam peperiksaan
dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi
yang kaku, rendah harga-diri, tiada kespontanan
dan terlalu bergantung kepada arahan pihak
berkuasa.
Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai
keseimbangan di antara responsif dan permintaan.
Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja
digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan,
ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala
tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya.
Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu
bapa memberikan panduan dan bimbingan.
Remaja dibesarkan dalam suasana autoritatif
berkemungkinan besar akan sama kejayaannya,
kalaupun tidak lebih, dengan yang dibesarkan
dalam suasana autoritarian. Bezanya ialah
yang ini akan memiliki peribadi bersepadu,
yakin, berdikari dan kreatif.
Ibu bapa permisif mempunyai responsif yang
amat tinggi tetapi permintaan yang amat rendah.
Ia seakan-akan lawan kepada autoritarian.
Mereka banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan,
dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan.
Gaya tidak terbabitt pula hampir tiada permintaan,
disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan
kebebasan penuh. Malahan, ia lebih merupakan
satu kecuaian keibubapaan.
Namun, walau apapun gaya keibubapaan yang
dimiliki, ia boleh dirosakkan dengan amat
mudah, sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal
marah. Jado ibu bapa perlu tahu bagaimana
menangani kemarahannya.
Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting,
iaitu: bilakah marah itu wajar?; bilakah marah
tidak diperlukan?; dan bilakah marah menjadi
masalah?
Inilah signifikannya program Satu Keluarga
Satu Kaunselor. Walaupun mungkin sukar melahirkan
seorang kaunselor profesional atau para-kaunselor
dalam setiap keluarga, namun program ini tetap
mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa
yang berilmu, berkemahiran dan seimbang dari
segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.