“Jangan hanya berharap kepada kerajaan
sahaja. Golongan profesional, akademik dan
lain-lain boleh membantu dengan memberikan
khidmat kepada rakyat”. Demikian, antara
lain, kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Dewan
Amal Islam Hadhari (DAMAI) pada 16 Februari
lalu.
DAMAI, yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zahid
Hamidi, bermatlamat mengukuhkan persefahaman
dan meningkatkan kerjasama pelbagai badan
Islam, melalui satu gagasan, bagi membangunkan
ummah untuk mencapai kecemerlangan.
Kenyataan Datuk Seri Abdullah tersebut ditujukan
kepada badan-badan belia, wanita, pengguna,
akademik, profesional, media dan lain-lain
yang merupakan sebahagian daripada jaringan
DAMAI.
Badan-badan ini lazimnya digelar “badan
bukan-kerajaan”, iaitu terjemahan daripada
bahasa Inggeris non-governmental organisation
(NGO). Tetapi, istilah ini kurang tepat. Di
samping NGO, istilah “badan bukan-keuntungan”
atau non-profit organisation (NPO) juga kurang
tepat.
Kedua-dua istilah tersebut kurang tepat kerana
tidak menerangkan sesuatu itu secara langsung,
tetapi sebaliknya menerangkannya secara songsang.
Ia tidak menerangkan “apakah sesuatu
itu”, tetapi sebaliknya menerangkan
“apakah yang sesuatu itu bukan”.
Istilah NGO dan NPO tidak menerangkan secara
langsung apakah jenis badan itu, tetapi hanya
mengatakan yang ia bukan badan kerajaan atau
bermotifkan keuntungan.
Menerangkan secara songsang ini umpama seorang
lelaki yang ketika memberitahu jantinanya
dalam borang tertentu dengan tidak mengatakan
yang beliau lelaki, tetapi sekadar menulis
yang beliau bukan perempuan.
Istilah lebih tepat ialah “badan masyarakat
sivil” atau sivil society organisation
(CSO). Ini kerana ia bersesuaian dengan pemikiran
kontemporari mengenai sistem bernegara. Bagaimanapun,
tulisan ini tidak bermaksud memberikan definisi
terperinci atau terlibat dalam polemik epistimologikal
tentang makna masyarakat sivil.
Kini, ada dua perspektif utama yang popular
tentang masyarakat sivil. Pertama, masyarakat
sivil sebagai satu bentuk masyarakat atau
tamadun diimpikan, iaitu seperti yang terkandung
dalam makna civility.
Kedua, ialah masyarakat sivil yang merujuk
kepada sektor bukan kerajaan atau perniagaan.
Perbincangan ini merujuk perspektif yang kedua
ini.
Istilah masyarakat sivil digunakan dalam konteks
kedudukan dan peranannya dalam sistem bernegara
hari ini. Dalam sistem bernegara moden, terdapat
tiga 3 sektor utama yang menggerakkannya.
Sektor pertama ialah kerajaan. Sektor kedua
ialah perniagaan atau swasta. Dan sektor ketiga
ialah masyarakat sivil yang dikenali juga
sebagai Sektor Ketiga atau istilah lain seperti
“rakyat”, “social enterprise”
dan sebagainya.
Masyarakat sivil ialah rakyat yang secara
kedudukan dan peranannya tidak tergolong dalam
kerajaan atau perniagaan. Setiap golongan
dalam masyarakat sivil ini mempunyai gerakannya
tersendiri yang diwakili oleh badan masing-masing.
Ada yang amat tersusun sehingga mempunyai
badan kebangsaan.
Contohnya, belia diwakili oleh Majlis Belia
Malaysia (MBM), wanita diwakili oleh Majlis
Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia
(NCWO) dan profesional diwakili oleh Balai
Ikhtisas Malaysia (BIM).
Ada beberapa isu penting yang mengaitkan
masyarakat sivil dan pembangunan. Masyarakat
sivil memanglah memerlukan pembangunan. Tetapi,
pada masa yang sama, usaha-usaha pembangunan
juga memerlukan masyarakat sivil memainkan
peranan.
Sebenarnya, masyarakat sivil mampu menjadi
“rakan pembangunan” yang berkesan.
Tetapi, masyarakat sivil, terutamanya belia,
selalunya hanya dilihat sebagai “penerima
manfaat pembangunan” sahaja. Masyarakat
sivil, terutamanya belia, amat jarang diberi
peluang untuk terlibat sebagai rakan pembangunan,
terutamanya dalam struktur dan proses membuat
keputusan.
Dalam sistem bernegara hari ini, tidak ada
kerajaan yang dapat menyediakan semua. Begitu
juga, tidak ada perniagaan yang dapat menyediakan
semua. Dan walaubagaimana akrab sekalipun
kerjasama di antara kerajaan dan perniagaan,
mereka berdua sahaja masih tidak dapat menyediakan
semua. Manakala masyarakat sivil tidak berhasrat
menggantikan fungsi dan peranan kerajaan dan
perniagaan.
Garis bawah bagi kerajaan ialah undi. Manakala
garis bawah bagi perniagaan ialah untung.
Tetapi, terdapat terlalu banyak perkara dalam
kehidupan yang tidak ada kena mengena dengan
undi dan untung. Inilah relevannya masyarakat
sivil. Sebab itulah sejarah mencatatkan bahawa
pelbagai jenis dan bentuk CSO telah sentiasa
berakar, mekar dan segar pada sepanjang zaman.
Umumnya, CSO mempunyai 6 objektif yang generik
sifatnya yang dikongsi bersama. Objektif itu
ialah,
• Pertama: membantu mengadakan situasi
dan kondisi, melalui dasar dan program, yang
mendatangkan kesan-kesan positif.
• Kedua: membantu mengadakan
situasi dan kondisi, melalui dasar dan program,
yang menghalang dan memperbaiki kesan-kesan
negatif.
• Ketiga: membantu semasa
bencana dan kecemasan.
• Keempat: memperjuangkan
perkongsian nasib dan keberuntungan sosio-ekonomi
yang saksama.
• Kelima: memperjuangkan
hak asasi manusia, dan
• Keenam: menyediakan pemimpin pelapis.
Dalam sejarah kita, CSO telah memberikan sumbangan
yang amat besar dalam pelbagai bidang pembangunan.
Antaranya ialah bantuan yang diberikan ketika
berlaku kecemasan dan bencana, seperti yang
dihulurkan kepada mangsa banjir di Johor baru-baru
ini.
Mereka juga berusaha meningkatkan mutu pendidikan
dan latihan melalui kumpulan pengajian, kelas
bimbingan, sekolah swasta, taman didikan kanak-kanak
serta latihan kemahiran dan kepemimpinan;
dan menjalankan usaha-usaha kesedaran dan
pendidikan komuniti dalam pelbagai bidang
seperti pembangunan belia, alam sekitar, kepenggunaan
serta memerangi dadah, rokok dan HIV/AIDS.
CSO juga menganjurkan program pendidikan
agama, aktiviti sukan dan mengisi masa lapang,
meningkatkan kesedaran terhadap isu kemiskinan,
rasuah dan ketidakadilan sosial, serta berusaha
mempengaruhi keputusan tentang hak bersuara,
gaji dan cuti.
Di pentas antarabangsa pula, CSO kita menggerakkan
bantuan kemanusiaan seperti di Palestin, Selatan
Thailand, Selatan Filipina, Myanmar, Vietnam,
Bosnia, Kosova, Timor Timur, Iraq, Acheh dan
Sri Lanka.
Dalam konteks ini, sama ada melalui program-program
yang disenaraikan di atas, ataupun melalui
advokasi yang dilakukan melalui memorandum,
perwakilan dan sebagainya, CSO telah berjaya
mempengaruhi sebilangan keputusan kerajaan
yang berakhir dengan termaktubnya dasar, program
atau institusi yang khusus tentang perkara
atau isu tertentu.
Antara dasar, program dan institusi yang
dimaksudkan itu ialah Dasar Pembangunan Belia
Negara, Dasar Wanita Negara, Dasar Pengguna
Negara, biasiswa dan bantuan kewangan untuk
pelajar Melayu, Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia dan Bank Islam, serta kementerian
yang bertangggungjawab tentang belia, wanita,
pengguna dan alam sekitar.
Berdasarkan pengalaman ini, maka adalah imperatif
untuk CSO diiktiraf sebagai rakan pembangunan,
terutamanya dalam proses membuat keputusan.
Penggemblengan kekuatan sektor masyarakat
sivil bersama sektor perniagaan dan diketuai
oleh sektor kerajaan menjanjikan sinergi yang
hebat.