Pendidikan seiring patriotisme
Rakyat berjiwa 'pejuang' bantu negara capai kemajuan terbilang
 

Baru-baru ini, timbul masalah pengangkutan peserta-peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Ini bukan kali pertama masalah demikian berlaku. Kita berharap ia tidak akan berulang lagi. Ini kerana PLKN adalah program yang terlalu baik untuk dicalar dengan masalah sebegini.

PLKN adalah kemuncak langkah kerajaan dalam memupuk patriotisme di kalangan belia. Mengikut perancangan asalnya, program pertamanya, iaitu pada tahun 2004, adalah perintis. Kerana itu, hanya sebahagian sahaja daripada peserta yang layak menyertainya telah dipilih mengikutinya. Perancangannya ialah mulai tahun 2005, semua peserta yang layak menyertainya akan diwajibkan mengikutinya.

Tetapi, sehingga tahun ini, masih tidak semua peserta yang layak menyertainya telah dipilih untuk mengikutinya. Ini mungkin disebabkan kerana program ini menelan belanja yang amat besar. Ini juga menyebabkan kita harus memikirkan tentang apakah bentuk-bentuk program lain yang perlu diadakan bagi memupuk patriotisme di kalangan belia, terutamanya bagi mereka yang tidak terpilih menyertai PLKN.

Ketika mencetuskan gagasan Patriotisme Alaf Baru pada tahun 1999, iaitu sebelum idea PLKN muncul, dan juga sebelum patriotisme menjadi ungkapan yang dipopularkan semula, Majlis Belia Malaysia (MBM) melihatnya sebagai satu gagasan yang meliputi makna dan fokus patriotisme.

Makna patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal terhadap bangsa dan negara Malaysia. Tetapi, fokus atau bentuk patriotisme mungkin berubah mengikut masa dan keadaan.

Gagasan berkenaan lahir daripada dua langkah. Pertama, sebagai “langkah aksi” iaitu bagi mengisi rukun gerakan belia iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme, serta merangka haluan perjuangan MBM yang melangkah ke tahap 50 tahun keduanya, iaitu selepas menyambut ulangtahunnya yang ke-50 pada tahun 1998.

Kedua, sebagai “langkah reaksi” kepada peristiwa-peristiwa negatif yang berlaku di tengah-tengah dua krisis besar negara pada masa itu, iaitu kegawatan ekonomi dan perpecahan politik, serta sebagai menghadapi cabaran-cabaran alaf baru yang boleh menggugat patriotisme.

Dalam proses mengetengahkan gagasan patriotismenya itu, MBM menganggap persoalan asasnya ialah pendidikan kewarganegaraan. Dalam hal ini, MBM tidak berhajat untuk terlibat dalam polemik epistimologi. Namun, hakikatnya ialah konsep sosio-politikal seperti pendidikan kewarganegaraan tidak wujud dalam hampagas. Biasanya, ia mendapat pengertian yang lebih penuh dengan memeriksa tiga istilah yang berkaitan, iaitu nasionalisme, kesedaran sivik dan semangat patriotik.

Nasionalisme biasanya dikaitkan dengan ideologi politik. Dalam hal-hal tertentu, ia dihubungkan pula dengan asabiyyah (iaitu dalam pengertiannya yang sempit), militarism dan xenophobia.

Sebagai ideologi, ia memerlukan kefahaman yang menyeluruh lagi mengukuh atau penyatuan pemikiran yang menyebabkan berlakunya kepatuhan yang komprehensif di kalangan pengikutnya. Ia menawarkan satu bentuk kod perlakuan untuk kebanyakan situasi kehidupan. Sebagai ideologi, ia menekankan prinsip-prinsip tertentu.

Tetapi, nasionalisme dikritik hebat, sama ada dari sudut intelektual ataupun praktikal. Ideologi menjadikannya rigid, tidak pragmatik dan sering dilihat dengan prasangka. Manakala debat mengenai nasionalisme di negara ini telah sepi. Perbincangan mengenainya juga agak nipis. Kerana itu, menggunakannya sebagai pendekatan pendidikan kewarganegaraan bagi belia kini bukanlah langkah yang bijak.

Kesedaran sivik sebagai pendekatan pendidikan kewarganegaraan telah timbul akibat ketidakyakinan terhadap nasionalisme sebagai ideologi dan patriotik sebagai semangat. Pendekatan ini berkembang pesat di Barat dan digunakan secara formal di negara ini buat beberapa ketika.

Di sekolah rendah dan menengah, sivik pernah dijadikan satu mata pelajaran dari tahun 4 hingga tingkatan 5. Tetapi, ia jarang diajar secara serius. Murid-murid juga tidak berminat. Lalu, sejak sekian lamanya, sivik tidak lagi dijadikan mata pelajaran.

Pendidikan kewarganegaraan kemudiannya diserapkan dalam mata pelajaran sejarah. Asumsinya ialah bahawa memasukkan nilai-nilai kewarganegaraan ke dalam mata pelajaran sejarah akan dapat memenuhi kekosongan akibat tiadanya lagi pendidikan sivik.

Tetapi, persoalannya ialah sejauh mana keberkesanan mata pelajaran sejarah dari segi mendidik belia untuk mencintai bangsa dan negara? Dengan penekanan yang berlebihan kepada sains dan teknologi kini, adakah belia benar-benar dimotivasi atau bermotivasi untuk belajar sejarah? Bagaimana dengan yang telah lama tidak belajar sejarah, iaitu belia yang telah lama meninggalkan sekolah?

Perkataan “patriotisme” berasal daripada bahasa Greek, iaitu “patriotes” yang bermakna rakan senegara dan “patrice” yang bermakna tanahair atau negara. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan kepada tanahair. Dalam bahasa Arab, ia diwakili oleh perkataan wataniah.

Walaupun patriotisme ada ketikanya iseiringkan dan disamakan dengan nasionalisme, tetapi kedua-duanya mempunyai kelainan tertentu. Patriotisme biasanya tidak berasaskan ideologi. Ia adalah suatu keterikatan primordial terhadap sesuatu wilayah atau masyarakat, suatu sentimen kepunyaan dan suatu perasaan seidentiti.

Memanglah secara sejarahnya patriotisme terhubung dengan etos masyarakat nasional moden. Ia juga kadangkalanya melibatkan tindak balas automatik seperti tanpa berfikir, yang membuatnya seakan-akan ideologi (nasionalisme). Tetapi, ia tidak menawarkan sesuatu kod perlakuan. Sebaliknya, ia adalah tingkah laku dan tindak balas yang umum sifatnya. Jika nasionalisme ialah superiority negara, maka patriotisme pula ialah cinta negara.

Patriotisme bukan ideologi, tetapi, ia juga bukan semata-mata semangat. Kalau semangatpun, ia bukan semangat yang tidak menentu. Ia semangat yang terdidik. Kerana itu, ia berada dalam satu kontinum di antara semangat dan ideologi. Ia adalah satu gagasan. Sebagai gagasan, ia perlu kepada kefahaman dan pendidikan.

Pendidikan patriotisme mempunyai dua objektif. Pertama, ialah meningkatkan semangat dan makna patriotime. Dan kedua, ialah menggalakkan belia menerjemahkan patriotisme ke dalam bentuk sumbangan konkrit terhadap kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Sumbangan itu tidak semestinya terhad dalam bentuk-bentuk tradisional. Ia juga perlu keluar dari kepompong stereotaip. Ia perlu kepada pendekatan-pendekatan dan bidang-bidang baru.

Perlu disedarkan bahawa semua perlu dan dapat menjadi patriot. Patriot bukan terhad kepada tentera sahaja, contohnya. Mendapat keputusan akademik terbaik di dunia, menjadi universiti terbaik di dunia, memenangi pertandingan bahas antarabangsa, memenangi hadiah Nobel, menjadi angkasawan negara, memimpin persatuan belia antarabangsa, memenangi pingat di sukan antarabangsa, mencipta barangan baru, dan banyak lagi – termasuk menjaga kebersihan negara dan segala kemudahan awamnya, adalah juga patriotik.

Memupuk patriotisme tidak semestinya melalui ceramah sahaja. Jika ceramahpun, janganlah cerita zaman dulu sahaja. Ceritalah perkara yang baru dan semasa. Begitu juga dengan lagu patriotik - perlu dipopularkan lagu patriotik rentak baru. Lagu patriotik tidak semestinya rentak march.

 
INTI PATI
 
  • Makna patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal terhadap bangsa dan negara tetapi, fokus atau bentuk patriotisme mungkin berubah mengikut masa dan keadaan.
  • Nasionalisme biasanya dikaitkan dengan ideologi politik, malah hal-hal tertentu, ia dihubungkan pula dengan asabiyyah (iaitu dalam pengertiannya yang sempit), militarisme dan 'xenophobia'.
  • Perkataan 'patriotisme' berasal daripada bahasa Greek, iaitu 'patriotes' yang bermakna rakan senegara dan 'patrice' yang bermakna tanah air atau negara. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan kepada tanah air.
  • Patriotisme bukan ideologi atau semangat semata-mata. Ia semangat yang terdidik yang berada dalam satu kontinum di antara semangat dan ideologi. Ia adalah satu gagasan. Sebagai gagasan, ia perlu kepada kefahaman dan pendidikan.