Mesyuarat Kabinet Rabu lalu memutuskan
untuk kerajaan melancarkan Program Kampung Angkat
dan Sukarelawan Mangsa Banjir bagi melibatkan
partisipasi secara langsung oleh sektor korporat
dan badan masyarakat sivil dalam usaha tambahan
membantu mangsa bencana itu.
Program yang dikendalikan secara
bersama oleh Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Penerangan
itu akan dimulakan di Johor, iaitu negeri yang
paling teruk di landa bencana itu, bulan lalu.
Keputusan Kabinet itu adalah
satu pengiktirafan yang istimewa oleh kerajaan
terhadap semangat kesukarelaan di negara ini.
Sebelum ini, kerajaan memang telah sedia mengiktiraf
kepentingan kesukarelaan dan peranan badan-badan
masyarakat sivil. Tetapi, keputusan terbaru
ini memberi pengarahan baru terhadap kesukarelaan.
Sukarela bermakna melakukan sesuatu
dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau
dikerah, dengan niat yang ikhlas atau setulus
kudus dan dengan tidak mengharapkan apa-apa
pulangan kepada diri sendiri.
Amalan sukarela adalah nilai
murni. Malah, sukarelawan dianggap suci. Kerana
itulah, setiap yang terlibat dalam kerja-kerja
kesukarelaan, sama ada secara individu ataupun
berkumpulan, sama ada secara sistematik ataupun
tidak, dan sama ada sumbangannya besar ataupun
kecil, ia dianggap sebagai kerja yang terpuji.
Kerja sukarela juga adalah satu
daripada nilai yang disanjung tinggi yang telah
memungkinkan manusia terus hidup secara bermasyarakat
dan berkongsi erti keberkawanan dan kemanusiaan
dalam maksudnya yang sebenar, dari dahulu hingga
sekarang, dan diyakini akan sampai bila-bilapun.
Sukarelawan yang sebahagiannya
belia, adalah insan-insan berbudi, yang sebahagiannya
tidak dikenali, kerana tidak diberi atau tidak
mencari publisiti, yang telah menaburkan dan
meninggalkan kesan abadi yang tidak terhitung
banyaknya di tengah-tengah kehidupan manusia,
sama ada sebagai pengongsi manfaat dan nikmat,
perintis perkhidmatan, penggerak kesedaran,
penyambung suara rakyat dan sebagainya.
Bangsa Malaysia kaya dengan tradisi
kesukarelaan. Antara lain, ia dicerminkan oleh
konsep gotong-royong. Gotong-royong dipraktikkan
dalam kehidupan bermasyarakat penyayang dan
prihatin, misalnya dalam membantu kerja-kerja
membuat kenduri-kendara, turun ke sawah untuk
menyemai dan menuai, menguruskan sakit pening
dan kematian, memindahkan rumah dan sebagainya.
Konsep gotong-royong dan bantu
membantu ini diperkukuhkan oleh sebahagian daripada
item budaya masyarakat, seperti yang dicerminkan
oleh peribahasa “yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing” dan “hati
gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.
Konsep gotong-royong mengakomodasi
setiap anggota dalam sesebuah masyarakat, iaitu
dengan memberikan peranan kepada semua orang,
dan masing-masing dengan gunanya, seperti yang
dapat dilihat dalam puisi berikut yang diambil
dari Hikayat Malim Deman:
Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta menghembus lesung,
Yang lumpuh pengalau ayam,
Yang pendek tinjau-meninjau,
Yang kurap memikul buluh.
Begitu sekali tradisi ini membudaya
dalam masyarakat negara ini, sehingga mereka
yang tidak bercampur dalam masyarakat diibaratkan
“seperti enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing”.
Kerja sukarela akhirnya menyerlah
dalam pelbagai bentuk: dari kerja-kerja sukarela
secara sendirian kepada secara berkumpulan;
dari organisasi tidak formal kepada organisasi
formal; dan dari peringkat kampung hingga ke
peringkat kebangsaan.
Bagaimanapun, sejak beberapa
dekad lalu, terdapat banyak pandangan yang melihat
bahawa kesukarelaan semakin hari semakin merosot.
Sehingga terdapat satu ungkapan sinis tentang
kesukarelaan, bahawa kesukarelaan hari ini dilambangkan
oleh 6T: topi, baju-T, teh, tambang, tetamu
dan TV!
Inilah antara faktor utama yang
menyebabkan Yayasan Salam ditubuhkan 10 tahun
yang lalu. Objektif utamanya ialah mempromosi
dan menjayakan kesukarelaan, terutamanya dengan
merekrut, melatih dan menempatkan sukarelawan
di institusi atau organisasi yang memerlukan.
Bermulalah satu konsep baru kesukarelaan
di negara ini, iaitu sukarelawan profesional
atau terlatih. Mereka tidak lagi semestinya
bekerja dalam satu kumpulan, tetapi mampu bekerja
secara individu. Mereka tidak hanya bekerja
ketika ada masa senggang, tetapi sanggup bekerja
sama ada secara separuh-masa atau sepenuh-masa.
Bagi yang bekerja sepenuh-masa,
sebahagiannya telah dihantar bertugas di luar
negara. Dalam hal ini, terdapat beberapa buah
badan masyarakat sivil negara ini yang telah
lebih awal menghantar sukarelawan ke luar negara.
Antaranya ialah Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM) dan Malaysian Sociological Research Institute
(MSRI). Tetapi, Yayasan Salam adalah organisasi
pertama, yang secara sistematik dan konsisten,
menghantar sukarelawan ke luar negara dalam
jumlah yang besar.
Tahun 2001 diisytiharkan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai “Tahun
Sukarelawan Antarabangsa”. Matlamatnya
ialahmenyelaras sumbangan penting sukarelawan
dan mengiktiraf pencapaiannya.
Secara khususnya, tahun tersebut mempunyai empat
objektif, iaitu pengiktirafan, fasilitasi, penjaringan
dan promosi.
Sambutan peringkat kebangsaan
telah dilancarkan Timbalan Perdana Menteri (ketika
itu), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam
satu majlis anjuran Yayasan Salam pada 10 Mac
2001. Pada hujung tahun yang sama, Datuk Seri
Abdullah telah mempengerusikan Forum Kesukarelaan
Kebangsaan yang juga dianjurkan Yayasan Salam.
Pada forum berkenaan, dengan
menujukan kenyataannya itu kepada Unit Perancangan
Ekonomi (EPU), bahawa telah tiba masanya untuk
kita memulakan satu sistem pengiraan yang membolehkan
kita mengkuantifikasi sumbangan kesukarelaan
terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),
iaitu seperti yang telah dilakukan beberapa
buah negara maju.
Sayangnya, hingga kini, kita
masih belum mendengar sebarang perkembangan
dari segi perkara ini.
Pada tahun berkenaan juga, antara
perkara utama yang dibincangkan ialah, pertamanya,
bagaimana meningkatkan peranan korporat dalam
kesukarelaan. Frasa yang digunakan ialah sukarelawan
korporat. Dan keduanya, bagaimana meningkatkan
kerjasama di antara ketiga-tiga sektor, iaitu
kerajaan, korporat dan badan masyarakat sivil
dalam kesukarelaan.
Dalam Bajet 2007, Datuk Seri
Abdullah telah membuat satu pengumuman yang
amat signifikan dari segi menyuburkan kesukarelaan,
iaitu berhubung dengan Tanggungjawab Sosial
Korporat (CSR). Untuk menggalakkan syarikat
menyertai CSR, potongan cukai ke atas sumbangan
korporat kepada pertubuhan kebajikan dinaikkan
daripada 5 peratus kepada 7 peratus.
Kini, dengan menaburkan bakti
membantu mangsa banjir, sektor korporat mendapat
peluang untuk memainkan peranan sebagai sukarelawan
korporat sambil memenuhi CSR manakala ia adalah
peluang meningkatkan kerjasama sebagai rakan
kongsi – di antara ketiga-tiga sektor,
iaitu kerajaan, korporat dan badan masyarakat
awam.