Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan
Negeri (DUN) Batu Talam esok tidak begitu
dinantikan. Ini kerana semua indikator menunjukkan
yang BN akan mengekalkan rekod memenanginya
setiap kali. Yang dinantikan ialah berjayakah
BN menambah majoritinya dan adakah calon bebas
hilang depositnya.
Ini berikutan pakatan pembangkang yang terdiri
dari Pas dan PKR memboikotnya. DAP pula tidak
berminat bertanding. Kerana itu, calon BN,
Abd Aziz Mat Kiram, 47, hanya ditentang oleh
calon bebas, Ng Chee Pang, 22.
Dalam kenyataannya bagi menerangkan mengapa
memboikot, Pas dan PKR menyenaraikan kepincangan
dan ketempangan yang didakwanya berlaku dalam
sistem pilihan raya kita.
Apapun alasan yang diberikan, alasannya yang
sebenar ialah pembangkang mengira bahawa Batu
Talam hanya membuang masa, tenaga dan wang
mereka. Ini kerana Pas, iaitu pemain utama
di kalangan pembangkang di sini, tidak pernah
menunjukkan prestasi yang baik, jauh sekali
untuk menang.
Pada pilihan raya umum lalu, Pas kalah dengan
majoriti 2,761 undi. Memandangkan besar kemungkinannya
ini adalah pilihan raya kecil yang terakhir
sebelum pilihan raya umum ke-12, dan rekodnya
dalam pilihan raya kecil tidak memberangsangkan,
maka Pas tidak mahu melangkah ke pilihan raya
umum itu dengan kekalahan yang lebih teruk
lagi. Jadi, memboikot adalah tidak lebih daripada
gimik dan helah politik semata-mata.
Persoalannya ialah adakah pakatan pembangkang
benar-benar memboikot Batu Talam? Pada peringkat
awal tempoh berkempen, tiada sebarang gerakan
dilakukan pakatan pembangkang. Tetapi, beberapa
hari menjelang hari membuang undi, beberapa
orang pemimpinnya mula berceramah.
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, contohnya,
tidak menyatakan supaya jangan keluar mengundi.
Beliau juga tidak berkempen bagi calon bebas,
tetapi berharap mereka keluar mengundi dan
kurangkan majoriti BN. Tetapi, di samping
itu, terdapat pula surat Pas yang menyatakan
wajib mengundi calon bebas. Ini menggelisahkan
dan mengelirukan pengundi.
Tindakan Pas yang secara terang-terangan
berkata boikot, tetapi dalam senyap-senyap
berkempen ini disifatkan Timbalan Pengerusi
BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai
talam dua muka dan penipuan.
Apabila keputusannya diumumkan nanti, apakah
agaknya reaksi pakatan pembangkang? Jika BN
menang dengan majoriti yang lebih kecil, mereka
mungkin mengatakan bahawa BN tidaklah sekuat
mana, hanya dengan calon bebas sahaja, majoriti
BN dapat dikurangkan. Kononnya, jika parti
pembangkang bertanding, maka majoriti BN akan
lebih kecil lagi.
Jika BN menang dengan majoriti lebih besar,
mereka mungkin mengatakan yang inilah bukti
bahawa sistem pilihan raya adalah tidak adil
dan menyebelahi BN. Kononnya, inilah sebabnya
mengapa mereka memboikotnya.
Walau apapun gelagat pakatan pembangkang,
pokoknya, mereka terlepas peluang untuk menggunakan
Batu Talam sebagai pentas bagi membuktikan
tuduhan-tuduhan yang dilemparkannya terhadap
kerajaan BN.
Dengan kata-kata lain, ini membuktikan kemantapan
kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
sehingga pembangkang ketandusan isu nasional
untuk dipentaskan. Memang pilihan raya kecil
ini tidak ada isu nasional. Yang ada hanyalah
beberapa isu tempatan yang kecil.
Tetapi, perkara-perkara tersebut telah diselesaikan
dengan berkesan oleh Menteri Besar Pahang,
Datuk Seri Adnan Yaakob.
Selepas Batu Talam, dan menjelang pilihan
raya umum akan datang, ada kemungkinan yang
pakatan pembangkang akan terus memainkan isu
boikot ini. Hakikatnya ialah tidak ada sistem
pilihan raya yang sempurna. Setiap satunya
mempunyai kekurangan dan kelemahan tertentu.
Arend Lijphart (1999) dalam bukunya Patterns
of Democracy membincangkan kajiannya terhadap
bentuk dan prestasi demokrasi di 36 buah negara
dari tahun 1945 hingga 1996. Dari sini, kita
dapat melihat bahawa sistem pilihan raya bukanlah
satu-satunya perkara yang menjamin demokrasi
diamalkan dengan baik.
Ada elemen demokrasi yang lain antaranya
pembentukan dan pengurusan eksekutif dan legislatif,
hubungan antara kerajaan pusat dan negeri,
sistem berparti, kewujudan badan masyarakat
sivil, keluhuran perlembagaan, kedudukan bank
pusat serta keselamatan dan keamanan.
Sistem pilihan raya, walaupun penting, tetapi
hanyalah satu daripada sebaris elemen yang
menjamin amalan demokrasi.
Dalam konteks negara kita, adakah sebaris
elemen tersebut sebegitu teruk sehingga mewajarkan
satu daripadanya, iaitu sistem pilihan raya,
menjadi elemen penentu hingga menjejaskan
kredibiliti dan maruah kerajaan BN, iaitu
seperti yang didakwa oleh pakatan pembangkang?
Jawapannya sudah tentulah tidak.
Kebanyakan orang percaya bahawa sistem pilihan
raya yang diamalkan Amerika Syarikat dan United
Kingdom adalah yang terbaik. Tetapi, menurut
Lijphart, sistem majoriti yang diamalkan di
kedua-dua buah negara tersebut tidaklah lebih
baik daripada sistem konsensus yang diamalkan,
contohnya, di Switzerland.
Sistem konsensus juga mampu menggalakkan
pertumbuhan ekonomi, mengawal inflasi dan
pengangguran serta menghadkan defisit bajet,
iaitu sama sahaja seperti yang dapat diberikan
sistem majoriti. Malahan, dalam hal ehwal
tertentu, seperti kesaksamaan politik, perwakilan
wanita, partisipasi rakyat dan hubungan rapat
antara dasar kerajaan dengan keinginan pengundi,
sistem konsensus ternyata lebih baik.
Yang penting ialah kita sentiasa memperbaiki
sistem pilihan raya yang ada. Dalam hal ini,
jika digunakan ukuran pembangkang (bila menang
sistem itu betul, tetapi bila kalah sistem
tidak betul), maka, sistem pada pilihan raya
umum tahun 1969lah yang paling baik. Tetapi,
lihatlah akibatnya – peristiwa berdarah
13 Mei!
JUsteru, ukuran yang paling tepat ialah yang
diberikan oleh pengundi. Pada pilihan raya
umum yang lalu, pengundi telah memberikan
kemenangan yang paling besar dalam sejarah
BN. Dengan kata-kata lain, pengundi menerima
baik sistem yang ada, yang telah melalui banyak
penambahbaikan.
Sistem yang digunakan di Batu Talam adalah
sama dengan yang digunakan pada pilihan raya
umum yang lalu itu. Soalnya ialah, jika pakatan
pembangkang menyertai pilihan raya umum yang
lalu, maka mengapa pula dengan tiba-tiba sahaja,
Batu Talam diboikot?
Antara pilihan raya umum 1999 dan yang lalu
sahaja, sebanyak 32 pindaan telah dibuat terhadap
Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan
Pilihan Raya 1954. Semuanya dengan tujuan
menjadikan sistem kita lebih adil dan saksama.
Tetapi, ini tidak bermakna bahawa ia tidak
perlu diperbaiki lagi. Penambahbaikan perlu
sentiasa dijalankan. Dalam hal ini, tidak
bermakna BN tidak ada apa-apa kritikan terhadap
sistem pilihan raya kini. Masalah daftar pengundi,
contohnya, turut dihadapi oleh BN. Tetapi,
ia tidak sebegitu teruk sehingga mewajarkan
pemboikotan.
Begitu juga halnya dengan beberapa perkara
lain dalam sistem pilihan raya ini. Pokoknya
ialah terdapat perbezaan antara BN yang melihatnya
dengan semangat muhasabah sebagai kekurangan
dan kelemahan yang boleh dibaiki dengan pembangkang
yang melihatnya sebagai penipuan dan penyelewengan
yang perlu diboikot.
Namun, tindakan pembangkang menuduh bahawa
sistem pilihan raya kita amatlah buruk sehingga
perlu diboikot, tidaklah menghairankan. Ini
kerana mereka selalu memperbesarkan sesuatu,
malahan sehingga memberinya gelaran yang bukan-bukan.
Contohnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah
digelar maha fir’aun. Manakala Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah digelar
gembala khinzir.
Kesimpulannya, esok, yang paling penting
ialah untuk pengundi Batu Talam keluar beramai-ramai
menunaikan tanggungjawab dalam meneruskan
amalan demokrasi kita.
Pilihan yang ada ialah antara calon bebas
yang tidak akan dapat berbuat apa-apa (kerana
beliau sendiri mengaku tidak punya matlamat)
atau calon BN yang akan meneruskan khidmat
cemerlang kerajaan hari ini.