DALAM kesibukan Minggu Haluan
Siswa bagi mahasiswa baru dan interaksi mereka
dengan senior di universiti-universiti awam
sepanjang minggu lalu dan minggu ini yang padat
dengan pelbagai aktiviti itu, masih terdapat
beberapa pihak yang memahami aspirasi dan imaginasi
mahasiswa lalu menganjurkan aktiviti yang mendedahkan
mereka kepada gerakan perjuangan mahasiswa.
Antaranya ialah Kolej Tunku Kurshiah,
Universiti Malaya, yang menganjurkan sesi perbincangan
tentang mahasiswa dan kepemimpinan.
Umum mengharapkan mahasiswa akan
menjadi pemimpin, iaitu semasa belajar –
sebagai pemimpin mahasiswa; dan apabila tamat
belajar – sebagai pemimpin pelbagai lapangan,
sama ada dalam sektor politik/awam, perniagaan
atau masyarakat sivil.
Persoalannya ialah pemimpin yang
bagaimana? Jawapannya semestinyalah pemimpin
ilmuwan. Bagi kebanyakan orang, ini tidak perlu
dipersoalkan. Ini kerana mereka lulus universiti.
Tentulah berilmu. Masalahnya ialah satu-satunya
yang pasti ialah mereka lulus peperiksaan. Sama
ada mereka ilmuwan atau bukan, belum dapat dipastikan.
Semua akur bahawa kekuatan sebenar
bagi kepemimpinan ialah ilmu. Tetapi, kadang-kala
kekuatan ilmu diatasi oleh kekuatan mengampu.
Disebabkan itu, mahasiswa mesti menjadikan ilmu
sebagai teras kepemimpinan dalam ertikata yang
sebenar.
Oleh kerana zaman ini ialah zaman
k-ekonomi, iaitu ekonomi berasaskan ilmu, maka
persoalan ilmu lebih banyak dibincangkan daripada
biasa. Tetapi, lazimnya, ilmu dibincangkan lebih
dari sudut utilitarian dan kurang dari sudut
holistik. Ilmu dilayan seolah-olah ia hanyalah
satu faktor ekonomi dan bukan sebagai falsafah
atau asas peradaban. Bukan juga sebagai dasar
kepemimpinan. Ini sebenarnya adalah satu tragedi
– satu krisis ilmu.
Kecemerlangan kepemimpinan tidak
dapat dicapai atas landasan utilitarian semata-mata.
Landasan utilitarian akan hanya menghasilkan
dampak sementara dan kecemerlangan yang juga
sementara. Kerana itu, kefahaman dan penghayatan
yang lebih mendalam tentang ilmu dan budaya
ilmu adalah pra-syarat utama bagi kepemimpinan.
Menakrifkan ilmu agak sukar.
Sukar pula untuk takrifan itu disepakati semua.
Tambahan pula, tidak ramai yang berminat tentangnya.
Namun, untuk tidak mempunyai takrif yang tepat
atau menggunakan takrifan utilitarian semata-mata
adalah lebih buruk.
Menurut Syed Muhammad Naquib
Al Attas, ilmu ialah ketibaan sesuatu makna
hasil daripada maklumat yang benar ke dalam
diri seseorang.
Ini bermakna ilmu tidak sama dengan maklumat.
Oleh kerana tidak semua maklumat itu benar,
maka tidak semua maklumat itu ilmu. Kerana itu,
tidak semua yang dianggap ilmu itu sebenarnya
ilmu.
Dengan kata lain, terdapat perbezaan
di antara ilmu-yang-ilmu (knowledge-knowledge)
dengan ilmu-yang-bukan-ilmu (non-knowledge-knowledge).
Manakala maklumat yang tidak memberi makna juga
bukan ilmu dan tidak menjadikan pemiliknya ilmuwan.
Beliau sekadar pemilik atau penyimpan maklumat.
Ilmu adalah cerminan masyarakatnya.
Dalam bidang kepemimpinan, ilmu adalah cerminan
pemimpin. Walaupun belum ada kayu ukur ilmu
yang saintifik untuk menilai penghayatan ilmu
di kalangan kepemimpinan negara ini, namun beberapa
peristiwa di kalangannya dapat digunakan sebagai
ukuran sementara. Tiada rotan, akar berguna
juga.
Antara contoh klasik ialah tentang
sambutan 1 Januari 2000 sebagai detik bermulanya
milenium baru. Sebelum ketibaan tarikh tersebut,
banyak pandangan telah diutarakan oleh ilmuwan
dalam dan luar negara, yang menerangkan bahawa
tarikh sebenar bermulanya milenium baru ialah
1 Januari 2001. Tetapi, dunia, termasuk majoriti
rakyat negara ini, telah merayakannya pada tahun
2000.
Mengapakah kesilapan ini berlaku?
Jawapan yang tepat tidak ada. Mungkin ramai
pemimpin yang kurang ilmu ingin mengambil kesempatan
untuk menggunakan milenium baru sebagai tema
ucapan mereka, kerana mereka selalunya kekurangan
modal baru untuk diucapkan, maka merekapun tergesa-gesa
menyambutnya setahun lebih awal.
Masalah kita ialah pendapat ilmuwan
jarang diambil kira. Pandangan yang selalu didengar
ialah daripada para penyokong dan pegawai. Masalahnya,
yang satu selalunya mengampu, manakala yang
satu lagi selalunya takut untuk tidak bersetuju.
Di samping itu, pemimpin yang
mengetepikan pandangan ilmuwan itu tidak pula
gigih melakukan penyelidikan sendiri atau menyediakan
dana yang secukupnya untuk melaksanakan penyelidikan
dan pembangunan (R&D), manakala keputusan
serta tindakan yang dilaksanakan oleh pemimpin
itu tidak pula lebih baik daripada pandangan
ilmuwan yang diketepikan itu.
Anehnya, beberapa waktu kemudian,
pandangan ilmuwan yang dahulunya diketepikan
itu digunakan pula oleh pemimpin yang sama.
Yang buruknya, apabila ini berlaku, lazimnya,
sedikitpun tidak diberikan penghargaan atau
pengiktirafan kepada ilmuwan yang berkenaan.
Tidak ada ucapan terima kasih.
Pensyarah tidak digalakkan bercakap
kepada media, malah ketika masalah jerebu satu
masa dahulu, mereka dilarang sama sekali. Pemimpin
mahasiswa dilarang bercakap kepada media, malah
ada yang diambil tindakan disiplin kerana berbuat
demikian. Memanglah pensyarah dan pemimpin mahasiswa
dibenarkan bercakap kepada media sekiranya mendapatkan
kelulusan universiti terlebih dahulu, tetapi
bukankah peraturan ini pelik sedangkan pemimpin
yang tidak masuk universiti bebas bercakap kepada
media?
Iklim begini tidak sihat bagi
pengembangan dan kemajuan kepemimpinan berilmu.
Iklimya perlu terbuka. Apa yang penting ialah
pandangan yang benar. Kebenaran adalah disiplin
dan prinsip ilmu. Pandangan yang benar, walaupun
berbeza dan pahit, perlu diterimapakai. Tidak
kira siapa yang menyampaikannya. Yang di bawah
sedia menyampaikan. Yang di atas sedia menerima.
Begitu juga sebaliknya.
Iklim budaya ilmu yang lebih
kondusif perlu diwujudkan, di mana semua dapat
dan dibolehkan untuk memberikan pandangan –
tanpa ragu atau ampu. Inilah tradisi dan budaya
ilmu yang perlu diwarisi dan digerakkan oleh
semua pihak.
Pepatah lama amat memahami hal
ini, misalnya:
Jika ingin tahu tingginya
pokok, tanyalah pada helang;
Jika ingin tahu luasnya padang, tanyalah pada
belalang;
Jika ingin tahu dalamnya hutan, tanyalah pada
puyuh.
Masalahnya ialah, kebijaksanaan
itu selalu dilupakan, lalu belalang dianggap
helang dan cacing dianggap naga.
Justeru, mahasiswa perlu memastikan dirinya
menjadi k-pemimpin, iaitu pemimpin berilmu yang
menghayati budaya ilmu. Dalam konteks ini, Wan
Mohd Noor Wan Daud menggariskan tiga prinsip
budaya ilmu, iaitu: ilmu dan ilmuwan diletakkan
di tempat yang paling tinggi; setiap orang sentiasa
menuntut, mengembang dan memajukan ilmu; dan
setiap keputusan dan tindakan adalah berdasarkan
ilmu.
Mahasiswa yang berpegang kepada
kepemimpinan berilmu perlu memastikan yang dirinya
adalah ilmuwan sejati dan bukannya mengaku ilmuwan
tetapi berperangai seperti ayam Belanda –
berketak sekampung apabila seekor terkejut;
atau menjadi pahlawan kuda kepang – mengangguk
apabila ditunggang orang lain.
Semoga mahasiswa digalakkan dan
mampu menjadi k-pemimpin bagi menentukan haluan
mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.