Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi menyatakan keperluan untuk memperluaskan
program penempatan mahasiswa cemerlang dan
pensyarah universiti kita di universiti terkemuka
antarabangsa dan tempohnya dipanjangkan bagi
membolehkan mereka mendapat pendedahan lebih
luas.
Langkah itu kata beliau dapat membantu menjana
nilai tambah dan menyumbang ke arah pembentukan
modal insan yang mampu merealisasikan matlamat
menjadikan Malaysia negara maju menjelang
2020.
Saranan Datuk Seri Abdullah menyentuh satu
aspek yang amat penting, iaitu pendedahan.
Dalam konteks ini, beliau melihatnya dari
sudut pendedahan antarabangsa. Pada masa ini,
terdapat lebih kurang 40 orang mahasiswa kita
mengikuti program penghantaran mahasiswa cemerlang.
Negara maju mengamalkan langkah serupa, malahan
lebih awal lagi. Antaranya ialah US, iaitu
contohnya melalui program biasiswa Rhodes
di mana mahasiswa cemerlangnya dihantar untuk
tempoh tertentu belajar di universiti luar
negara.
Antara tokoh yang pernah mengikuti program
tersebut ialah bekas Presiden Bill Clinton,
yang ketika menuntut di Universiti Yale, telah
dihantar ke Universiti Oxford. Di sana, beliau
bertemu seorang lagi mahasiswa US dalam program
sama, iaitu Robert B. Reich, yang kemudiannya
menjadi ahli ekonomi-politik terkenal dan
menghasilkan antara buku paling berpengaruh
di US pada dekad 90-an, iaitu The Work of
Nations.
Apabila Clinton menjadi Presiden, beliau
melantik Reich sebagai Setiausaha Buruh. Clinton
antara Presiden US yang paling memahami perasaan
Eropah, manakala Reich antara Setiausaha Buruh
yang paling tepat pemikirannya tentang bagaimana
memastikan setiap rakyat US punya tempat dalam
ekonomi global.
Agaknya, mereka belajar untuk bersikap demikian
hasil daripada pendedahan yang diperolehi
semasa berada di luar US waktu mahasiswanya
dahulu itu.
Pada masa sama, sejauh mana mahasiswa kita
yang belajar di luar negara menimba sebanyak
mungkin pendedahan ketika belajar di sana?
Soalan ini timbul kerana ada di kalangan mereka
yang selepas beberapa tahun belajar di luar
negara, tidak menunjukkan mereka terdedah
kepada sesuatu yang baik yang sepatutnya diraih
ketika di sana.
Apabila pulang ke tanah air, ada yang tidak
banyak berubah. Bahasa Inggeris atau Arabnya
atau bahasa lain, tidaklah lebih baik daripada
waktu perginya dahulu. Ada yang tidak memahami
budaya negara tempat mereka belajar, malah
ada yang tidak mengenali tokoh besar universiti
tempat mereka belajar! Justeru, kita perlu
memastikan bahawa pendedahan yang diharapkan
itu benar-benar didapatkan dan dimanfaatkan.
Kini, Datuk Seri Abdullah memberikan penekanan
terhadap modal insan, maka semua bercakap
dan berbuat tentang modal insan. Tetapi, tidak
semua melakukannya dengan serius atau melalui
proses yang teliti.
Antara yang melakukannya dengan pendekatan
yang baik ialah Kementerian Pelajaran, iaitu
melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) yang mengandungi pembangunan modal
insan sebagai salah satu daripada terasnya.
Semalam dan hari ini, berlansung seminar
yang khusus membincangkan modal insan dari
aspek budaya tinggi, kesukarelawanan, penguasaan
multilingual, kreativiti dan cintai alam sekitar
bagi Sekolah Berasrama Penuh.
Persoalan ini timbul kerana terdapat sebahagian
dari kita yang melihat modal insan hanya dari
sudut yang sempit, iaitu dari segi sumber
manusia sahaja, manakala terdapat pula yang
sekadar menjadikannya program bermotif kepentingan
politik peribadi, iaitu untuk menunjukkan
yang ia menyokong Datuk Seri Abdullah.
Dalam konteks ini, tidak salah kita belajar
daripada pengalaman US yang merupakan negara
terkehadapan dari segi modal insan kelas pertama
dalam bidang tertentu. Ini ditandai, contohnya,
oleh Universiti Harvard dan universiti-universiti
Ivy Leaguenya sebagai universiti terbaik di
dunia, pemenang hadiah Nobelnya yang paling
ramai setiap tahun, perbelanjaan R&Dnya
yang paling besar dan dominasinya dalam banyak
industri.
Ada banyak faktor yang menyebabkan US berada
di tempat itu. Satu daripadanya ialah kesediaannya
untuk berubah mengikut tuntutan dan keperluan.
Perubahan itu pula tidak dilakukan secara
sembrono, tetapi sebaliknya dibuat melalui
proses pemikiran, percambahan idea dan perdebatan
yang mendalam, meluas dan terbuka.
Akibat terkejut kerana Russia melancarkan
Sputnik pada 1957, maka US mengubah kedudukan
pendidikan menjadi sebahagian daripada dunia
pertahanannya.
Dekad 1960-an menyaksikan reformasi pendidikan
US dijalankan secara besar-besaran. Antara
buku yang berpengaruh ialah tulisan Jerome
Bruner (1960), The Process of Education. Antara
lain, US bertekad untuk memperbaiki mutu sains
dan matematik.
Pada dekad 1980-an, syarikat-syarikat besar
US merasa terancam akibat persaingan barangan
buatan Jepun. Orang Amerika tertanya-tanya
apakah masalah yang sedang dihadapi oleh ekonominya.
Satu daripada bidang yang dikaji ialah pendidikan.
Justeru, pada 1983, sebuah suruhanjaya kebangsaan
tentang sekolah US mengeluarkan laporan bertajuk
A Nation at Risk yang menyatakan bahawa berleluasa
mediocrity dalam sistem pendidikannya dan
mencadangkan pelbagai bentuk reformasi.
Pada 1987 pula, satu inisiatif reformasi
pendidikan digerakkan melalui Carnegie Forum
dan National Center on Education and the Economy,
lalu menghasilkan buku tulisan Ray Marshall
dan Marc Tucker (1992), Thinking for a Living
yang membincangkan soal mismatch antara keperluan
ekonomi dan sistem pendidikan.
Yang menariknya, pada 2005, Thomas H. Davenport,
iaitu antara sarjana utama bidang pengurusan
ilmu (knowledge management), menghasilkan
buku dengan judul yang sama, iaitu Thinking
for a Living juga, tetapi dengan fokus yang
lebih advance, iaitu tentang bagaimana hendak
mendapatkan prestasi dan hasil maksimum daripada
k-pekerja, iaitu pekerja berilmu.
Kini, apabila dunia pekerjaan Amerika digugat
oleh pekerja negara lain seperti China dan
India, maka bekas Presiden Universiti Harvard,
Derek Bok (2006) menulis Our Underachieving
Colleges. Beliau menyorot persoalan sejauhmanakah
mahasiswa belajar dan mengapa mereka perlu
belajar lebih banyak lagi.
Tetapi, modal insan tidak terhad hanya kepada
persoalan sumber manusia atau tenaga kerja
sahaja. Ia lebih daripada itu. Ia perlu dilihat
dari sudut yang holistik.
Di Amerika, apabila objektif modal insan
yang holistik tergugat, maka lahir kritik
di kalangan intelektualnya, misalnya, yang
paling popular, iaitu Allan Bloom (1987),
The Closing of the American Mind. Di samping
itu, terdapat buku Noam Chomsky dan Donald
Macedo, (2000), Chomsky on MisEducation, manakala
tulisan-tulisan lebih vokal oleh Ivan Illich,
Deschooling Society dan Paulo Freire, Pedagogy
of the Oppressed, menjadi bestsellers.
Tidak semua pemikiran US tentang pendidikan
dan modal insanya adalah betul. Tetapi, hakikatnya
ialah mereka berfikir dan menulis. Persoalannya
ialah, sejauhmanakah kita menghasilkan pemikiran
besar tentang pendidikan dan modal insan kita?