Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia
(MAYC) Pahang dan Kementerian Belia dan Sukan
(KBS) menganjurkan Seminar Kepemimpinan Pertubuhan
Belia Peringkat Negeri Pahang. Ia dituan rumah
oleh MAYC Temerloh dan dihadiri 300 orang peserta.
Satu daripada tajuk perbincangannya
ialah penghakupayaan belia. Kebetulannya, tahun
ini genap 10 tahun istilah “penghakupayaan
belia” digunakan dalam pemikiran gerakan
dan pembangunan belia di negara ini.
Ia bermula pada Oktober 1997
apabila Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia
(MBM) ketika itu diundang menyampaikan ucap
utama bertajuk “Youth Empowerment”
di Sesi Bersama Perundingan Strategi Baru Sumber
Pembangunan Manusia Pegawai-pegawai Kanan Negara-negara
Komanwel dan Mesyuarat Forum Belia Serantau
anjuran Program Belia Komanwel (CYP) Bagi Asia
di Kuala Lumpur.
Dalam menyediakan ucapan itu,
puas dicari tulisan tempatan tentang subjek
tersebut, tetapi tidak ditemui. Dalam tulisan
antarabangsa juga, ia sukar ditemui. Malahan,
buku yang diedit William D. Angel (1995), The
International Law of Youth Right yang dianggap
kitab pembangunan belia antarabangsa itupun
tidak menggunakan istilah itu.
Sehingga masa itu, istilah yang
lazim digunakan ialah “partisipasi belia”.
Partisipasi digunakan, contohnya, dalam tema
Tahun Belia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) 1985, iaitu “Partisipasi,
Pembangunan, Keamanan” dan dalam dokumen
PBB tahun 1995 bertajuk Program Belia Tahun
2000 Dan Selanjutnya.
Apabila “empowerment”
hendak diterjemahkan ke bahasa Malaysia, tidak
pula ditemui istilah yang tepat. Kerana mengelak
dari istilah “pemberdayaan” yang
digunakan di Indonesia, maka diciptalah istilah
baru, iaitu “penghakupayaan”.
Menurut Kamus Oxford, “empower”
(menghakupaya) bermakna “secara rasmi
memberikan kuasa; autoriti, lesen; menyerahkan
keupayaan atau kuasa yang diperlukan untuk sesuatu
tujuan atau tugas; upaya, permit”, manakala
“empowerment” pula bermakna “tindakan
menghakupayakan seseorang; keadaan empowered
(terhakupaya)”.
Penghakupayaan mula digunakan
sebagai istilah politik oleh aktivis pelajar
US pada dekad 60-an. Selepas itu, ia menjadi
istilah dunia perniagaan. Mills dan Friesen
(1995) menyifatkannya sebagai cara-gaya pengurusan.
Maknanya hampir dengan delegasi, walaupun ia
tidak serupa.
Mereka mendefinisinya sebagai
“autoriti orang bawah untuk membuat keputusan
dan bertindak”. Ia membayangkan ruang
yang luas bagi mereka yang terhakupaya untuk
bertindak dengan bebas dan dengan budi bicara
sendiri.
Menurut Blanchard, Carlos dan
Randolph (1996) pula, “penghakupayaan
membolehkan dioptimumkan kapasiti sumber manusia
yang kurang digunakan yang mesti digembleng
sekiranya organisasi ingin meneruskan kelangsungan
(survival) dalam dunia hari ini yang semakin
kompleks dan dinamik”.
Cara gaya pengurusan yang tradisional
di mana pengurus mengawal dan pekerja dikawal
tidak lagi efektif. Untuk berubah kepada paradigma
penghakupayaan memerlukan perubahan dalam beberapa
aspek organisasi.
Untuk mempraktikkan penghakupayaan,
struktur organisasi perlu lebih fleksibel dan
fungsi pengurusan perlu berubah dari set minda
arah-kawal kepada set minda tanggungjawab-sokongan
yang memungkinkan setiap anggota dapat menyumbangkan
yang terbaik kepada organisasi.
Di samping bersetuju dengan definisi
dan konsep yang diterima pakai dalam konteks
cara-gaya pengurusan, dalam ehwal pembangunan
belia, penghakupayaan perlu dilihat sebagai
falsafah atau konsep dan sebagai pendekatan
atau strategi yang membentuk landasan bagi membolehkan
kerangka belia sebagai rakan pembangunan beroperasi.
Penghakupayaan belia berada dalam
satu kontinum, “dari peluang belia kepada
hak belia” dan “dari perundingan
tidak formal kepada partisipasi secara berstruktur
dan formal dalam proses membuat keputusan”.
Perspektif ini meliputi konsep-konsep lain seperti
“menjana kapasiti”, “hak asasi
belia”, “tanggungjawab belia”,
“autonomi”, “pembangunan partisipatif”
dan lain-lain.
Justeru, penghakupayaan belia
didefinisikan sebagai “membolehkan dan
mendapatkan belia untuk memahami dan bertindak
atas semua isu (seperti peribadi, keluarga,
sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa)
yang menyentuh dirinya dan sekitarnya”.
Ucap utama itu kemudiannya menjadi
sebahagian daripada kandungan buku bertajuk
Strengthening Youth Agenda: Implementation through
Empowerment yang diterbitkan MBM pada 1998.
Apabila Mesyuarat Menteri Belia
Komanwel bersidang di Kuala Lumpur pada tahun
yang sama, di mana satu daripada agendanya ialah
penggubalan Pelan Tindakan Penghakupayaan Belia
Komanwel, buku itu dijadikan rujukan untuk erti
empowerment.
Kebelakangan ini, penghakupayaan
semakin kerap digunakan dalam perbincangan pembangunan
belia, iaitu seperti yang tercatat dengan nyata
dalam dokumen rasmi kerajaan seperti Dasar Pembangunan
Belia Negara (1997), Pelan Tindakan Penghakupayaan
Belia Komanwel (1998), Deklarasi Lisbon Tentang
Dasar Dan Program Belia PBB (1998) dan Rancangan
Pembangunan Belia Negeri Sembilan 1 2006-2010.
Malangnya, walaupun telah sedekad digunakan,
tetapi ramai masih tidak pasti dengan makna
penghakupayaan belia yang sebenar. Amat mustahak
supaya maknanya benar-benar difahami. Ini kerana
telah timbul kekeliruan, hatta eksploitasi terhadap
konsep ini.
Antara kekeliruan itu ialah,
• Mengganggapnya sebagai
memberi tugasan orang lain kepada belia. Ini
bukan penghakupayaan belia, tetapi adalah pembuangan
(dumping).
• Melantik belia sebagai
wakil orang lain. Ini bukannya penghakupayaan
belia, tetapi adalah delegasi.
• Menyerahkan kuasa kepada
belia tanpa had atau kebertanggungjawaban. Ini
bukannya penghakupayaan belia, tetapi adalah
anarki.
• Mengundang belia untuk
membantu membuat keputusan orang lain. Ini bukannya
penghakupayaan belia, tetapi adalah pengurusan
partisipatif.
• Orang lain menggunakan
belia untuk memajukan sesuatu program atau objektif
tanpa belia mengetahui tentang apa yang disertainya.
Ini bukannya penghakupayaan belia, tetapi adalah
manipulasi.
• Belia terlibat tetapi
tidak dapat membuat keputusan tentang tujuan,
cara atau tahap keterlibatannya itu. Ini bukannya
penghakupayaan belia, tetapi adalah melepaskan
batuk di tangga (tokenism)
• Belia dibabitkan untuk
menjustifikasikan sesuatu program itu adalah
disertai belia. Ini bukannya penghakupayaan
belia, tetapi adalah kosmetik atau 'window dressing'.
Konsep ini perlu disebarluaskan
dan difahami. Penghakupayaan belia bukan bermakna
memberikan kuasa kepada belia. Sebaliknya, ia
adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme
dan idealisme belia melalui aktiviti, bakti
dan advokasi yang diamalkan gerakan perjuangan
belia.
Hanya dengan meningkatkan amalan
penghakupayaan belia, terutamanya dengan memastikan
tercatatnya istilah itu dalam dokumen kerajaan
benar-benar dilaksanakan dengan maknanya yang
tepat, barulah tiga permintaan asas belia –
belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya
diiktiraf dan belia mahu masalahnya diselesaikan
dengan cara yang berorientasi-belia dapat dipenuhi.