Semangat kesukarelaan masih utuh
Yayasan Salam wujud untuk semai tradisi khidmat komuniti di kalangan rakyat
 

Malam ini (28 Julai 2007) berlangsung Jamuan Ulang Tahun Ke-10 Yayasan Salam (Salam), iaitu sebuah badan masyarakat sivil (Civil Society Organisation - CSO) yang bermatlamat untuk mempromosi dan menjayakan kesukarelawanan di Malaysia.

Salam dilancarkan pada 1997 atas kesedaran bahawa kesukarelaan di negara ini berhadapan dengan beberapa isu. Dari satu segi, semangat kesukarelaan dikatakan hampir mati. Ada yang sinis mengatakan bahawa orang hanya akan menyumbangkan sesuatu secara sukarela sekiranya ada “4T”, iaitu baju-T, teh, tambang dan TV!

Dari segi lain, ada pula kekangan tertentu yang membantutkan kesukarelaan, iaitu kurangnya pengiktirafan, fasilitasi, jaringan dan promosi. Empat perkara ini kemudiannya menjadi teras utama sambutan Tahun Sukarelawan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2001.

Pada pertengahan dekad 90-an juga menyaksikan kelesuan sesetengah persatuan belia yang turut menggugat kesukarelaan di kalangan golongan ini, yang jika tidak ditangani, bakal menyukarkan lagi perkembangan kesukarelaan pada masa depan.

Namun, di sebalik segala isu itu, aktivis mendapati bahawa masih wujud insan-insan yang kaya semangat kesukarelaannya, sama ada atas nama atau kerana idealisme, altruisme, patriotisme, keprihatinan, pengalaman peribadi, ingin berbuat amal, mencari keredhaan Tuhan atau memenuhi keperluan psikologi.

Pada masa sama, ada golongan profesional yang sedia berbakti pada masa lapangnya tetapi tidak tahu bagaimana dan di mana hendak melakukannya. Mereka juga tidak berminat menyertai organisasi yang tidak pandai mengoptimumkan kemahirannya tetapi sebaliknya membosankan dengan terlalu banyak mesyuarat dan kerenah birokrasi.

Semua ini menyebabkan para pengasas Salam membuat keputusan bahawa sebuah CSO yang secara khusus memfokus kepada sukarelawan amat diperlukan. Mereka maklum bahawa kita tidak kering dengan CSO yang terlibat dengan kerja sukarela. Tetapi, CSO yang menumpu perhatian kepada kerja merekrut, melatih dan menempatkan sukarelawan belum wujud di negara ini.

Justeru, Salam lahir untuk menyemaikan tradisi khidmat komuniti di kalangan rakyat Malaysia melalui kegiatan sukarela dengan menyediakan tenaga sukarela serta peluang bagi mereka untuk hidup dan bekerja dengan golongan yang kurang bernasib baik dengan memberi bantuan, berkongsi ilmu dan kemahiran serta membina keupayaan dalam menuju sebuah masyarakat yang lebih adil dan saksama.

Dalam tempoh sedekad ini, Sukarelawan Salam yang berdaftar adalah 13,000 orang. Dari jumlah itu, 540 orang berbakti secara separuh-masa di dalam negara, 120 orang berbakti secara sepenuh-masa di dalam negara dan 30 orang berbakti di luar negara.

Mereka yang berbakti secara separuh-masa itu lazimnya bertugas pada masa lapang, misalnya pada hujung minggu, dan melakukan pelbagai jenis kerja di pelbagai jenis institusi dan organisasi di seluruh negara.

Mereka yang berbakti sepenuh-masa pula bertugas sebagai guru, koordinator, pembantu guru, tutor komputer, penolong koordinator program, pembantu program dan pembantu pustakawan di institusi-institusi seperti CSO, pusat kanak-kanak kurang upaya, pusat dalam komuniti (PDK), pusat aktiviti kanak-kanak (PAKK), pusat IT, klinik kesihatan, perpustakaan negeri dan daerah serta rumah panjang.

Manakala yang berbakti di luar negara bertugas sebagai jurulatih komputer, jurulatih belia, guru bahasa Inggeris, pengurus CSO dan penasihat IT di Sri Lanka, Timor Leste, Laos, Kemboja dan Vietnam.

Di samping membina sukarelawan, Salam juga berusaha memupuk semangat kesukarelaan, terutamanya di kalangan belia, melalui program seperti Minggu Sukarelawan, Khemah Kerja Sukarelawan dan Penghargaan Sukarelawan.

Salam juga mempunyai program khusus seperti e-Inisiatif Salam untuk merapatkan jurang digital di mana sebanyak 9 buah kelab IT telah ditubuhkan di 9 buah negeri dan bakal menjadi 14 buah menjelang akhir tahun ini serta Rumah Nur Salam untuk perlindungan kanak-kanak di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Apabila berlaku bencana, Salam turut menghantarkan sukarelawannya, contohnya membantu mangsa tsunami di Acheh, Sri Lanka dan Kuala Muda, membantu mangsa gempa bumi di Iran dan Pakistan dan membantu mangsa banjir di Johor.

Terbaru, Salam antara CSO tempatan yang pertama melibatkan diri dan menawarkan khidmatnya kepada sektor perniagaan bagi melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility – CSR).

Dari segi advokasi, pada 2001, Salam menganjurkan Forum Kesukarelaan Kebangsaan dengan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Objektif forum itu ialah untuk memperkasa semangat kesukarelaan, terutamanya di kalangan belia; meningkatkan peluang bagi sukarelawan memberikan bakti melalui program yang lebih baik kuantiti, kualiti dan pengurusan sukarelawannya; untuk memperkasa kapasiti sektor kesukarelaan; untuk mempromosi kerjasama antara sesama organisasi sukarela di samping dengan kerajaan, media dan sektor perniagaan supaya terdapat usaha yang lebih bersepadu; dan untuk meningkatkan pengiktirafan kerajaan terhadap sukarelawan dan organisasi sukarela.

Dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-50 ini, sayugia diingat bahawa hidup dan bebasnya organisasi sukarela sebenarnya boleh membayangkan tahap amalan demokrasi dalam sesebuah negara.

Lazimnya di negara yang kerajaannya bersifat autokrasi, organisasi sukarela tidak digalakkan untuk bergerak dengan bebas. Jika terdapat organisasi sukarela yang aktif, maka ia berkemungkinan besar adalah yang pandai mengampu atau yang memang ditubuhkan oleh elemen-elemen kerajaan tersebut untuk menjadi ejennya.

Pada masa sama, keaktifan kerja sukarela boleh membayangkan tahap kesedaran politik masyarakat di sesebuah negara. Ini terutamanya apabila kerja kesukarelaan melibatkan unsur-unsur gerakan dan perjuangan. Masyarakat yang tidak celik politik atau rendah kesedaran politiknya akan sukar memahami kerja sukarela yang berorientasi advokasi.

Oleh kerana organisasi kesukarelaan biasanya lebih dekat dengan denyut nadi rakyat, maka kerajaan wajar membawanya berpartisipasi dalam proses membuat keputusan, iaitu dengan mengamalkan konsep perundingan dalam governans negara.

Tetapi, amalan perundingan hanya akan dapat berkembang dan memanfaatkan jika terdapat suasana yang kondusif, kemerdekaan berfikir, kebebasan bersuara dan sikap terbuka, dan bukannya dalam suasana takut berbeza pendapat dengan seseorang yang lebih berkuasa.

Dalam konteks ini, pada seminar sempena pelancaran Salam 10 tahun lalu, terdapat cadangan agar ditubuhkan Majlis Perundingan Kesukarelaan Kebangsaan. Matlamatnya ialah untuk menjadi tumpuan berpusat (focal point) bagi kesukarelaan di negara ini.

Ia dicadangkan dianggotai oleh tiga pihak, iaitu: agensi-agensi kerajaan, gabungan kebangsaan organisasi sukarela dan gabungan kebangsaan sektor perniagaan. Ia harus dipengerusikan oleh Perdana Menteri, atau wakilnya (iaitu Timbalannya – sahaja) dan bersidang sekali setahun. Tetapi, cadangan itu didiamkan sahaja.

Kini, Salam berusaha menganjurkan Konvensyen Kesukarelaan Kebangsaan untuk mengkaji hasil Forum pada 2001 itu dan bagi mendapatkan hasil daripada Majlis Perundingan yang tak menjadi itu.