Dalam ucap utama pada Persidangan Antarabangsa
Nikkei Ke-13 mengenai Masa Depan Asia, di
Tokyo, Jepun, minggu lalu, Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan
bahawa kita tidak boleh lagi melakukan perkara-perkara
yang sama dan mengharapkan hasil-hasil yang
sama. Sebaliknya, kita perlu meningkatkan
pencapaian dengan berlipat kali ganda dan
perlu meneroka perkara-perkara baru.
Satu daripada kaedah melahirkan perkara baru
ialah melalui proses inovasi. Ia dinyatakan
dengan jelas dalam Teras Utama Ke-2 Misi Nasional,
iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan
inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama.
Dalam misi itu menyatakan pengetahuan, inovasi
dan modal insan yang berkualiti akan menjadi
penentu utama kejayaan masa depan Malaysia
sebagai sebuah ekonomi berasaskan ilmu (k-ekonomi).
Langkah utamanya ialah dengan menyediakan
persekitaran dan sistem inovasi yang menggalakkan
R&D berkualiti tinggi dan boleh dikomersilkan.
Selaras dengan Misi Nasional, Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK9) mengandungi pakej pengetahuan,
R&D, inovasi dan modal insan yang luas
dan komprehensif, iaitu elemen-elemen yang
diperlukan, malahan adalah pra-syarat bagi
memperkasa inovasi.
Selanjutnya, kerajaan serius memberikan penekanan
kepada pembinaan keupayaan sumber manusia,
mengukuhkan Sistem Inovasi Kebangsaan dan
menubuhkan Majlis Inovasi Kebangsaan bagi
memberi panduan dalam merangka dasar dan strategi
utama untuk merangsang budaya berinovasi di
negara ini.
Dalam tempoh RMK9, sasaran perbelanjaan R&D
negara adalah sebanyak 1.5% daripada KDNK;
bilangan penyelidik, saintis dan jurutera
akan ditambah untuk mencapai sasaran 50 orang
penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap
10,000 orang tenaga kerja; program National
Brain Gain dilaksanakan; pusat kecemerlangan
dalam bidang teknologi baru akan ditubuhkan;
kapasiti R&D universiti dan institusi
penyelidikan akan dipertingkat; dan pihak
swasta akan digalak untuk menyediakan lebih
banyak dana bagi R&D yang menjadi keutamaan
dan strategik.
Langkah meningkatkan kemampuan inovasi terdapat
dalam pelbagai sektor, seperti pembuatan dan
perkhidmatan berkaitan, ICT dan bioteknologi.
Sesungguhnya, pakej inovasi dalam RMK9 paling
komprehensif jika dibandingkan dengan rancangan
lima tahun sebelum ini. Tetapi, apabila dibandingkan
peruntukan R&D kita dengan negara lain,
maka kedudukan kita masih jauh di belakang.
Pada tahun 2006, 3 buah negara yang berbelanja
paling besar dalam R&D ialah US (US$330bilion),
China (US$136 bilion) dan Jepun (US$130 bilion).
Kita cuma RM (bukannya US$) 5 bilion sahaja.
Dari segi perbelanjaan R&D syarikat swasta
di US pula, lazimnya, nisbah R&D berbanding
pendapatannya ialah 3.5%. Bagi sebuah syarikat
teknologi tinggi seperti pembuat komputer,
ia adalah 7%. Tetapi, beberapa buah syarikat
ternamanya berbelanja lebih besar untuk R&D,
contohnya, Ericsson (24.9%), Novartis (15.1%)
dan Merck & Co (14.1%). Berapakah perbelanjaan
R&D oleh syarikat swasta kita?
Menurut Pengarah Emeritus Pusat Penyelidikan
Xerox Palo Alto, John Seely Brown (2006),
hari ini, kita berhadapan dengan 2 realiti.
Realiti pertama, ialah wujud cara-cara baru
yang mantap untuk keluar daripada sempadan
konvensional (sama ada dari segi negara atau
syarikat) dalam memperoleh idea-idea daripada
pelanggan dan pengguna.
Realiti kedua, ialah kebanyakan daripada
mereka yang benar-benar menginovasi tidak
menganggotai mana-mana organisasi yang khusus
dan tetap, tetapi adalah tersebar di seluruh
dunia dalam organisasi yang pelbagai dan anjal.
Untuk berjaya, kita mesti bijak mencari jalan
bagaimana menggunakan aset ilmu yang dimiliki
mereka ini, yang mungkin melihat dunia daripada
perspektif yang berlainan daripada kita dan
mungkin menggunakan peralatan dan kaedah yang
asing kepada kita.
Disebabkan itu, Henry Chesbrough (2006) dalam
bukunya Open Innovation, menyatakan kita perlu
mengamalkan dasar dan paradigma inovasi lebih
terbuka. Pada abad ke-21 ini, faktor-faktor
yang mempengaruhi inovasi telah berubah berikutan
munculnya 4 faktor yang baru.
Faktor pertama, ialah kemunculan lebih ramai
penyelidik, saintis dan jurutera. Isunya bukannya
jumlahnya. Tetapi, isunya ialah – dengan
kemajuan ICT yang bertembung dengan globalisasi
dan liberalisasi – mereka yang ramai
ini amat mobile, iaitu mereka dengan mudah
dan cepatnya boleh bergerak (sama ada secara
fizikal ataupun secara virtual) dari satu
tempat ke tempat yang lain yang menyebabkan
mereka dapat memecahkan tembok-tembok makmal,
syarikat, organisasi dan negara.
Faktor kedua, ialah kemunculan Venture Capital
(VC) yang mengkhusus dalam mencetuskan syarikat-syarikat
kecil yang mengkomersilkan R&D orang lain
hingga menyebabkan syarikat-syarikat kecil
itu menjadi syarikat-syarikat besar. Syarikat-syarikat
besar yang baru ini mampu bersaing, malahan
mengalahkan syarikat-syarikat besar dalam
industri berkenaan, yang telah berbelanja
lebih besar dari segi R&Dnya.
Faktor ketiga, ialah tempoh masa yang diperlukan
bagi membawa sesuatu inovasi dari tahap ciptaan
hingga sampai ke pasaran adalah bertambah
pendek atau cepat. Ini menjadikan hayat simpanannya
(shelf life) bertambah pendek.
Faktor keempat, pengguna bertambah bijak.
Mereka tidak semestinya taat kepada sesuatu
produk atau sesuatu jenama. Oleh itu, dalam
melaksanakan dasar-dasar dan langkah-langkah
inovasi dalam Misi Nasional dan RMK9, kita
perlu lebih terbuka.
Dalam paradigma lama, kita perlu menggaji
orang yang paling bijak supaya berada di dalam
organisasi kita dan bekerja untuk kita. Untuk
membawa barangan dan perkhidmatan yang baru
ke pasaran, kita mesti menginovasi dan melahirkannya
sendiri.
Jika kita menginovasinya sendiri, maka kitalah
yang pertama akan membawanya ke pasaran. Organisasi
yang pertama membawa sesuatu inovasi ke pasaran,
maka dialah yang akan menang.
Jika kita mengetuai sesuatu industri dari
segi perbelanjaan R&D, maka kita yang
menginovasi sesuatu yang paling baik, dan
seterusnya akan menguasai pasarannya. Kita
mesti mengawal harta intelek supaya pesaing
tidak mendapat keuntungan daripada idea kita.
Tetapi, dalam paradigma baru, kita tidak
semestinya mempunyai seramai mungkin orang
yang paling bijak bekerja untuk kita. Sebaliknya,
kita perlu bekerja bersama mereka, termasuk
jika mereka berada di luar negara atau organisasi
kita.
R&D di luar negara boleh menggerakkan
nilai signifikan. R&D dalaman kita perlu
mendapatkan sebahagian daripada nilai itu.
Untuk mendapatkan keuntungan, kita tidak semestinya
mesti memulakan R&Dnya. Begitu juga, membina
model perniagaan yang menguntungkan bagi inovasi
kita adalah lebih baik daripada produk kita
sampai paling awal di pasaran.
Kita juga perlu mengaut keuntungan daripada
orang menggunakan harta intelek kita dan perlu
membeli harta intelek orang lain apabila bersesuaian
dengan model perniagaan kita (bukannya bersesuaian
dengan R&D kita). Apa yang penting ialah
menggunakan idea dalaman dan luaran dengan
sebaik-baiknya. Apa yang penting kita perlu
berinovasi dalam berinovasi.