Hari ini (16 Jun), Majlis Perbandaran
Temerloh (MPT), seperti juga Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) lain, mula melaksanakan Pusat
Setempat (One Stop Centre - OSC) bagi memproses
cadangan pemajuan. Pusat Setempat adalah 1 daripada
4 inisiatif baru bagi menambahbaik sistem pentadbiran
PBT supaya mengurangkan kerenah birokrasi dan
sekaligus meningkatkan mutu sistem penyampaian
perkhidmatan kerajaan, terutamanya dalam urusan
pemajuan serta penyelenggaraan dan pengurusan
hartanah.
Tiga inisiatif baru yang lain
ialah pelaksanaan kaedah Perakuan Siap dan Pematuhan
(CCC) bagi menggantikan Perakuan Kelayakan Menduduki
(CFO); pelaksanaan Akta Bangunan dan Harta Bersama
2007; dan pelancaran konsep Bina Kemudian Jual
(BKJ).
Keempat-empat inisiatif baru
tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan
Persidangan Mempertingkatkan Sistem Penyampaian
Perkhidmatan Awam: Penambahbaikan Urusan Pemajuan
serta Penyelenggaraan dan Pengurusan Hartanah
pada 13 April lalu.
Pusat Setempat adalah satu sistem
aliran kerja yang baru bagi mempermudahkan kelulusan
sesuatu pemajuan, iaitu daripada proses yang
selama ini mengambil masa sehingga lima tahun
kepada empat bulan sahaja. Ini dapat dilakukan
dengan cara memproses permohonan cadangan pemajuan
secara serentak dan dengan memperluaskan fungsi
sedia ada kepada memproses permohonan kebenaran
merancang, permohonan pelan bangunan dan membuat
perakuan kepada permohonan pembangunan tanah.
Secara spesifiknya, Pusat Setempat
berfungsi untuk menyelaras dan memproses kebenaran
merancang, pelan bangunan dan permohonan pembangunan
tanah di bawah Sekyen 124A dan 204D Kanun Tanah
Negara; memaklumkan keputusan kelulusan bagi
permohonan kebenaran merancang dan pelan bangunan
kepada pemohon; membuat perakuan permohonan
tanah kepada Pejabat Tanah; dan menyelaras,
memproses permohonan dan memaklumkan keputusan
kelulusan bagi permohonan pelan tambahan dan
pindaan.
Ia juga berkait rapat dengan
urusan meluluskan cadangan pemajuan bagi projek
menggunakan BKJ, projek berimpak tinggi, projek
membabitkan pelaburan asing, projek pembangunan
kerajaan diberi kelulusan fast lane dan pelaksanaan
CCC.
Bagi melancarkan perjalanannya,
sebuah jawatankuasa baru ditubuhkan di setiap
PBT yang dinamakan Jawatankuasa Pusat Setempat.
Ia dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua (YDP)
dengan ahli-ahlinya terdiri daripada sejumlah
Ahli Majlis dan pegawai-pegawai pelbagai jabatan
teknikal.
Ada empat komponen pentadbiran
dan pembuatan keputusan yang terlibat, iaitu
PBT sendiri (Jabatan Perancangan, Jabatan Bangunan,
Jawatankuasa Pusat Setempat dan Mesyuarat Majlis
Penuh); Pejabat Tanah; jabatan teknikal (Jabatan
Kerja Raya, Jabatan Parit dan Saliran, Tenaga
Nasional Bhd, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan
Pertanian, Jabatan Penilaian dan lain-lain);
dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Di bawah hala cara baru ini,
keputusan cadangan pemajuan akan dibuat secara
kerjasama antara semua jabatan teknikal berkaitan
dan jika ada jabatan teknikal tertentu tidak
dapat membuat keputusan mengenai permohonan
tanpa alasan kukuh, maka ia akan diputuskan
dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat.
Sistem penyampaian PBT bermula
hari ini memanglah menjadikan komuniti sebagai
tumpuan. Tetapi, ia belum mencukupi. Untuk menjadikannya
lebih baik, ia perlu memberi hakupaya kepada
komuniti untuk bersuara dalam proses membuat
keputusan; memberi ruang kepada komuniti untuk
memantau dan mendisiplin penyampai perkhidmatan;
dan menambah insentif kepada penyampai perkhidmatan
yang bertugas dengan cemerlang.
Justeru, PBT perlu mewujudkan
satu kerangka baru sistem penyampaian yang dapat
memperkukuhkan interaksi antara penerima perkhidmatan
(komuniti), penyampai perkhidmatan (pegawai
dan kaki tangan PBT serta jabatan-jabatan berkaitan)
dan pembuat keputusan (YDP dan Ahli-ahli Majlis).
Perkara utama dalam kerangka
baru itu ialah interaksi antara komuniti dengan
pembuat keputusan, di mana komuniti perlu diberikan
lebih ruang untuk turut serta. Masalahnya ialah
umum melihat partisipasi komuniti hanya dari
sudut sempit seperti membayar cukai dan menyertai
program dan kegiatan anjuran PBT saja.
Berbalik kepada Pusat Setempat,
bagi MPT, pelancarannya hari ini bertepatan
dengan genap sebulan ia menerima YDP baru, iaitu
Haji Zulkifly Yaacob, 43. Ia juga satu mercu
tanda penting sempena ulang tahunnya yang ke-10,
iaitu sejak mendapat taraf perbandaran pada
1997.