PBT memerlukan model governans baru
 
 

SELEPAS seminggu setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara melaksanakan Pusat Setempat (One Stop Centre – OSC), bermula pada 16 Jun lalu, kita akan nampak satu sistem aliran kerja yang baru bagi mempermudahkan kelulusan sesuatu pemajuan, iaitu daripada proses yang selama ini mengambil masa sehingga 5 tahun kepada 4 bulan sahaja.

Ia satu daripada empat inisiatif baru yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 13 April lalu bagi menambahbaik sistem pentadbiran PBT supaya mengurangkan kerenah birokrasi dan sekaligus meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Tiga inisiatif baru yang lain ialah kaedah Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), Akta Bangunan dan Harta Bersama 2007 dan konsep Bina Kemudian Jual (BKJ).

Walaupun, keempat-empat inisiatif baru ini adalah langkah penting dalam memperkasa sistem penyampaian PBT, tetapi ia tidak memadai. Ini terutamanya kerana ia belum menjawab persoalan yang lebih besar, iaitu persoalan integriti.

Persoalan integriti menjadi lebih konkrit sejak Datuk Seri Abdullah menjadi Perdana Menteri. Ini ditandai, terutamanya dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pelaksanaan Pelan Integriti Negara (PIN).

Dalam konteks PBT, persoalan integriti melibatkan pengamalan budaya politik, pentadbiran dan kewangan yang sihat, beretika, matang dan demokratik serta pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan governans baik.

Langkah utama yang perlu dilakukan dalam meningkatkan integriti PBT ialah mewujudkan satu kerangka governans baru bagi PBT. Ini penting terutamanya memandangkan Yang Di-Pertua (YDP) atau Datuk Bandar dan Ahli-ahli Majlis tidak lagi dipilih melalui pilihan raya PBT, tetapi dilantik oleh kerajaan negeri.

Lazimnya, YDP atau Datuk Bandar dilantik di kalangan pegawai kerajaan, manakala Ahli Majlis pula di kalangan pemimpin parti-parti politik yang memerintah. Di samping itu, terdapat Ahli Majlis yang mewakili jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan.

Ini bermakna, sektor kerajaan atau awam adalah diwakili dalam struktur dan proses membuat keputusan PBT. Tetapi, kerangka governans baru melibatkan lebih daripada hanya satu sektor. Ia turut melibatkan dua lagi sektor, iaitu perniagaan dan masyarakat sivil (sivil society), tetapi mereka lazimnya tidak diwakili dalam Majlis PBT.

Sejarah membuktikan bahawa tidak ada sektor kerajaan/awam yang dapat menyediakan semua. Sebab itulah manusia mewujudkan sektor perniagaan dan masyarakat sivil.

Begitu juga dengan PBT. Tidak ada PBT yang didominasi hanya oleh sektor kerajaan/awam sahaja yang mampu menyediakan semua untuk komunitinya. Kerana itu, ia perlu meningkatkan peranan sektor perniagaan dan masyarakat sivil. Langkah yang wajar ialah melantik wakil perniagaan dan masyarakat sivil sebagai Ahli Majlis.

Ketiga-tiga sektor ini perlu bergerak bersama, iaitu dalam konsep rakan pembangunan, kalaupun tidak sebagai rakan kepemimpinan. Tetapi, mereka juga perlu memahami bahawa setiap satunya mempunyai budaya dan gaya kerja yang berbeza.

Disebabkan itu, mereka perlu mempunyai persefahaman tentang peraturan asas untuk membolehkan pendekatan ini diamalkan. Apabila persefahaman wujud, maka akan terjelma sinergi yang akan membuahkan manfaat yang amat ranum buat komuniti.

Kerangka governans baru adalah bertepatan dengan demokrasi. Ini kerana demokrasi tidak bermakna sekadar mengundi lima tahun sekali sahaja. Ia juga melibatkan partisipasi yang lebih menyeluruh dan meluas, seperti keluarga yang demokratik, partisipasi tempatan, partisipasi setiap kumpulan umur, partisipasi yang sensitif gender, serta perkongsian antara sektor kerajaan/awam, perniagaan dan masyarakat sivil.

Ini pendirian sederhana yang berhikmah, yang mengetengahkan peranan perniagaan dan masyarakat sivil, komuniti dan setiap sub-komuniti, konsep partisipasi dan rakan pembangunan serta penghakupayaan, iaitu suatu ruang yang lebih besar dan segar daripada sekadar kerajaan dengan “K” huruf besar (government with capital G).

Pada masa sama, internet kini menjadi katalis baru dalam pendemokrasian maklumat dan ilmu di seluruh dunia. Ia menyediakan komuniti dengan saluran komunikasi dan penyiaran bagi membolehkan suara mereka didengar dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan kehidupannya.

Komuniti yang terhakupaya oleh capaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta oleh maklumat dan ilmu yang relevan, semakin hari semakin mendesak supaya struktur dan proses governans yang diamalkan kini diubah.

Di samping itu, ada juga faktor-faktor kontemporari yang lain seperti perkembangan dunia tanpa sempadan, globalisasi dan liberalisasi yang turut menuntut agar kerajaan menilai semula kedudukan, peranan dan fungsinya.

Politik sebagai institusi terpenting bagi kerajaan juga mulai berubah. Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi aplikasi internet sebagai pentas baru politik yang sedang merubah peraturan dan cara gaya berpolitik.

Malah, konsep negara juga sudah mula berubah. Menurut Christopher Person (2004), dalam bukunya The Modern State, negara-negara hari ini adalah tertakluk kepada proses perubahan yang berterusan dari segi aktiviti dan fungsinya serta berhadapan dengan kemungkinan diganti oleh kuasa-kuasa yang lain.

United Nations Development Programme (1997) menakrifkan governans sebagai langkah pihak berkuasa ekonomi, politik dan pentadbiran untuk menguruskan hal ehwal negaranya pada setiap peringkat.

Ia merangkumi mekanisme, proses dan institusi yang membolehkan rakyat dan kumpulan-kumpulan untuk menyuarakan kepentingannya, melaksanakan hak undang-undangnya, menunaikan tanggungjawabnya dan menyelesaikan perbezaan-perbezaannya.

Manakala World Conference on Governance di Manila (1999) mendefinisikan governans sebagai satu sistem yang telus, berpertanggungjawaban, adil, saksama, demokratik, partisipatif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Pokoknya, zaman hari ini memerlukan model governans yang baru, iaitu yang mengikutsertakan semua sektor sebagai rakan pembangunan.

Bagi PBT, maksud governans baru ialah transformasi daripada kerangka kini yang didominasi oleh sektor kerajaan/awam sahaja kepada kerangka baru di mana wujud sinergi antara ketiga-tiga sektor kerajaan/awam, perniagaan dan masyarakat sivil.

Dalam keadaan pilihan raya PBT tidak diadakan dan perwakilan sektor perniagaan dan masyarakat sivil tidak dilantik sebagai Ahli Majlis, maka sekurang-kurangnya PBT perlu meningkatkan partisipasi komunitinya untuk bersuara dan berpartisipasi dalam proses membuat keputusan dengan menubuhkan Jawatankuasa Partisipasi Komuniti.

Objektif jawatankuasa ini ialah pertama, untuk mendapatkan pandangan dan pendapat komuniti tentang dasar dan program PBT dan kedua, untuk mendengar aduan komuniti tentang pelaksanaan dan kelemahan PBT.

Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh perwakilan setiap sub-komuniti – yang ditentukan mereka sendiri dan bukannya oleh pihak lain – seperti pelajar, belia, wanita, warga emas, orang kurang upaya, pendidik, pekerja, peniaga, petani, profesional, sukarelawan, tokoh agama, budayawan dan sebagainya serta beberapa orang Ahli Majlis dan dipengerusikan oleh YDP/Datuk Bandar atau salah seorang daripada Ahli Majlis itu.