Memperkasa kokurikulum sekolah
PIBG mesti galak pelajar manfaat persatuan bentuk daya kepemimpinan
 

Dua tonggak utama pendidikan kita dalam zaman k-ekonomi ialah melahirkan individu yang pertamanya, kreatif dan inovatif dan keduanya, mempunyai perwatakan dan keperibadian unggul.

Dalam konteks ini, kokurikulum amat penting bagi pembangunan modal insan dan kekuatan bangsa yang mulia dan bermaruah kerana ia memupuk nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang menjadi pegangan diri, menjadikan pendidikan menyeronokkan, mengurangkan tekanan dan membina watak dan peribadi yang seimbang dan holistik.

Demikian dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika menutup Gala Kokurikulum Kebangsaan 2007 di Kuala Pilah, Khamis lalu (28 Jun).

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, semua pihak perlu bekerjasama mengangkat martabat kokurikulum sebagai elemen penting yang melengkapi sistem pendidikan negara, seperti terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, supaya negara tidak ketandusan pelajar yang akan menjadi pemimpin dinamik pada masa depan.

Ucapan kedua-dua pemimpin tersebut adalah penegasan semula tentang kepentingan, kedudukan dan peranan kokurikulum. Mesejnya bukanlah baru. Semua telah sedia maklum akan kebenarannya. Tetapi, penegasan semula begini amat mustahak kerana pelaksanaannya di sesetengah sekolah menengah, termasuk di sesetengah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), tidak seperti yang sepatutnya.

Mesej itu mesti diikuti dengan pelaksanaan yang lebih mantap di sekolah menengah iaitu dengan mewujudkan budaya kokurikulum yang kondusif.

Budaya kokurikulum yang kondusif penting kerana terdapat sekolah menengah, terutama akibat pengetuanya, yang jika tidak menghalang, tetapi sekurang-kurangnya ia tidak memotivasi kemajuan kokurikulum. Ini ditandai misalnya dengan tidak menyediakan peluang secukupnya, tidak atau kurang mengambil berat, membiarkan beberapa guru dan warden mengganggu aktiviti dan terlalu mementingkan peperiksaan.

Untuk memantapkan budaya korikulum yang kondusif, ada 11 perkara boleh diamalkan, iaitu:

• Harus bermula dengan sekolah meletakkan kokurikulum pada tempat benar.Perkara ini mesti dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan sekolah, iaitu pengetua, guru, ibu bapa, murid tua dan pelajar.

• Mesti wujud matlamat yang jelas, iaitu melahirkan pelajar berperibadi bersepadu dan unggul melalui kokurikulum yang sistematik dan profesional.

• Mesti ada objektif yang khusus, misalnya: meningkatkan penghayatan budaya kokurikulum yang sihat dan konsisten; memperkukuhkan pengurusan, kejurulatihan, penasihatan, kepemimpinan dan keanggotaan organisasi; meningkatkan kefahaman, komitmen dan profesionalisme; menjadikan pelajar mahir dalam satu bidang tertentu; dan memperbanyakkan kemenangan sekolah dalam pertandingan-pertandingan.

• Mesti ada organisasi kokurikulum yang sesuai. Dari segi persatuan/kelab, sekiranya terdapat permintaan, maka yang baru perlu ditubuhkan. Manakala sesetengah persatuan/kelab yang sedia ada perlu dipecahkan kepada organisasi-organisasi berasingan kerana keaktifan yang tinggi dan keperluan yang berbeza. Contohnya, Persatuan Debat wajar dipecahkan kepada dua, iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

• Keanggotaan perlu terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada yang berbakat sahaja. Dalam persatuan debat contohnya, keanggotaannya tidak boleh dihadkan kepada yang petah berdebat sahaja. Yang tidak petah juga boleh menjadi anggota.

Walaupun bukan pendebat, tetapi mereka boleh menimba ilmu dan kemahiran berkomunikasi di samping melaksanakan kerja pengurusan persatuan seperti penganjuran latihan dan pertandingan, membuat penyelidikan untuk pasukan, pengurusan acara, mencari dana, promosi dan sebagainya. Barisan kepemimpinannya juga boleh dianggotai oleh anggota yang bukan pendebat.

Badan beruniform perlu mempunyai organisasi yang hampir sama struktur, keanggotaan dan peranannya dengan persatuan/kelab. Ia akan memberi peluang partisipasi dan kepemimpinan kepada pelajar yang tidak mendapat pentauliahan pangkat. Ia juga memberi pendedahan tentang realiti pengurusan badan uniform di negara ini yang mempunyai dwi-anggota, iaitu terdapat kaki tangan beruniform dan awam.

Pasukan sukan juga perlu mempunyai amalan yang hampir sama dengan persatuan/kelab. Ia akan memberi lebih banyak peluang partisipasi kepada yang tidak terpilih memasuki pasukan sekolah kerana dapat belajar tentang sesuatu jenis sukan untuk kesihatan dan kecerdasan diri serta semangat kesukanan.

• Mesti ada guru penasihat organisasi kokurikulum yang komited.

• Mesti ada jurulatih yang baik. Sebaik-baik jurulatih adalah guru penasihatnya sendiri. Tetapi, sekiranya guru penasihat tidak mampu, maka mesti dicari jurulatih luar. Terdapat dua sumber yang tidak melibatkan kos, iaitu ibu bapa dan murid tua yang mahir dalam bidang berkaitan. Kalau tidak dapat daripada sumber ini, maka mestilah dicari jurulatih berbayar.

• Mesti ada penasihat teknikal di kalangan ibu bapa dan murid tua yang berkemahiran dan ia tidak melibatkan kewangan.

• Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Persatuan Murid Tua mesti keluar dari kerangka lama, iaitu tugas utamanya hanya mengumpulkan dana sahaja dan memulakan kerangka baru, iaitu meningkatkan kerja pengumpulan dana yang dibuat sekali sekala itu kepada penubuhan yayasan yang lebih konsisten serta melibatkan diri sebagai penasihat teknikal yang membantu guru dalam kokurikulum.

• Seboleh-bolehnya, semua urusan organisasi kokurikulum hendaklah dijalankan oleh pelajar dan bukannya oleh guru. Ia mesti dilaksanakan atas konsep penghakupayaan pelajar. Barulah partisipasi dan kepemimpinan pelajar menjadi realiti.

• Mesti ada persefahaman antara semua pihak yang terlibat.

Ketua penasihat bagi setiap bidang kokurikulum ialah pengetua yang adalah pembuat keputusan utama. Tetapi pengetua mesti menghormati nasihat daripada penasihat teknikal yang lebih arif daripadanya tentang bidang kokurikulum yang spesifik.

Guru penasihat, kecuali jika adalah juga jurulatih, adalah pengurus hal ehwal persatuan/kelab dan pasukan sekolah serta urusan luar gelanggang. Dalam perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan perkembangan di dalam gelanggang dan prestasi pasukan/pemain, nasihat jurulatih dan penasihat teknikal perlulah diperoleh.

Jurulatih bertanggungjawab terhadap pemilihan, latihan, pertandingan yang disertai dan prestasi pasukan/pemain. Jurulatih berbincang dengan penasihat teknikal dan melapor kepada guru penasihat.

Penasihat teknikal menasihati guru penasihat dalam pemilihan jurulatih, memantau prestasi pasukan/pemain sekolah dan menasihati jurulatih dalam perkara-perkara tertentu. Penasihat teknikal berurusan dengan pasukan/pemain melalui jurulatih dan tidak secara terus kepada pasukan/pemain.

Akhirnya, kerajaan mesti menyediakan motivasi setimpal dengan seruan meningkatkan martabat kokurikulum, iaitu kepada sekolah, pengetua, guru dan pelajar.