MAJLIS Perundingan Belia Negara (MPBN) ditubuhkan
pada 1972 sebagai institusi perundingan belia
yang rasmi di antara pihak kerajaan, yang
diketuai Kementerian Belia dan Sukan (KBS),
dengan pihak belia, yang diketuai Majlis Belia
Malaysia (MBM). Ia dipengerusikan Menteri
Belia dan Sukan.
Idea MPBN dicetuskan Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi yang pada masa
itu adalah Ketua Pengarah Belia (yang pertama).
Tugas utama MPBN ialah bertindak sebagai badan
penasihat kepada Menteri (KBS) dalam membuat
dasar-dasar tentang isu-isu yang berkaitan
dengan pembangunan belia.
Pentingnya kedudukan dan peranan MPBN digambarkan
dengan amat jelas oleh Perdana Menteri ketika
itu, Allahyarham Tun Abdul Razak, ketika merasmikan
penubuhannya, dengan menyatakan bahawa MPBN
adalah sebuah “Parlimen Belia”.
Selepas penubuhannya di peringkat persekutuan,
setiap negeri, walaupun ada yang amat liat,
telah menubuhkan Majlis Perundingan Belia
Negeri (MPBNegeri) dengan tugas yang sama
dengan MPBN, dengan disesuaikan mengikut keperluan
masing-masing.
Dalam sejarahnya, MPBN telah menunaikan tanggungjawabnya
membahaskan dan memperakukan dasar dan program
utama pembangunan belia, iaitu sebelum diangkat
ke Kabinet. Contohnya ialah Dasar Belia Negara,
Program Rakan Muda, Dasar Pembangunan Belia
Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional
dan Akta Belia.
Sekiranya tidak melalui proses MPBN, ia berkemungkinan
besar akan ditolak oleh gerakan belia. Contohnya
ialah Program Induk Belia Negara. Oleh kerana
Menteri pada masa itu telah mengumumkan pelaksanaannya
kepada khalayak tanpa terlebih dahulu melalui
proses MPBN, maka, dalam MPBN berikutnya,
bukan sahaja pelan itu ditolak, malahan beliau
dikritik hebat oleh MBM.
Tetapi, ini tidak bermakna yang Menteri wajib
membawa semua dasar dan program pembangunan
belia melalui proses MPBN. Terdapat juga beberapa
dasar, misalnya program pembangunan belia
dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9),
yang tidak melalui MPBN. Ini berlaku mungkin
kerana MPBN kurang berminat atau terlepas
pandang perkara itu.
Selepas genap usianya 35 tahun pada tahun
ini, maka ini adalah waktu yang sesuai untuk
MPBN melakukan muhasabah tentang prestasinya
selama ini, mengaplikasi pemikiran pembangunan
belia kontemporari, serta mencongak kedudukan
dan peranannya dalam pelaksanaan Misi Nasional
dan Rancangan Malaysia Kesembilan.
Kali kedua dan terakhir MPBN mengadakan agenda
khusus yang lengkap dengan kertas pembentangannya
bagi membahaskan tugas dan tangungjawabnya,
lalu meminda Perlembagaannya, ialah atas cadangan
MBM ketika Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
menjadi Menteri di KBS, iaitu pada tahun 1989.
Tiga penambahbaikan utama telah dilakukan
dalam persidangan tersebut. Pertama, ialah
menambah tiga tugas baru MPBN iaitu, bertindak
sebagai badan perunding dan penasihat bagi
pertubuhan belia dan MPBNegeri; menyelaras
perancangan semua pertubuhan belia dan MPBNegeri;
dan memantau pelaksanaan Dasar Belia Negara.
Kedua, meluaskan keahliannya kepada Pengerusi-pengerusi
MPBNegeri (lazimnya Exco Belia kerajaan negeri),
semua badan gabungan MBM dan menambah jumlah
ahli lantikan Menteri. Dan ketiga, ialah menambah
agenda tetap, iaitu dengan memasukkan ucapan
dasar Menteri, laporan kemajuan MPBNegeri
dan perbincangan tajuk khusus yang disediakan
kertas kerjanya.
Setakat ini, MPBN telah memenuhi sebahagian
daripada tuntutan partisipasi belia sebagai
rakan pembangunan, khususnya dalam membuat
keputusan, iaitu berlandaskan prinsip penghakupayaan
(empowerment) dan perwakilan.
Persidangan Pertama Menteri-menteri Belia
Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
di Lisbon pada tahun 1998 dan Mesyuarat Pertama
Majlis Antarabangsa Mengenai Dasar Belia Negara
di Vienna pada tahun 2000 memetik MPBN sebagai
antara amalan baik (best practice) yang perlu
diteladani.
Kini, beberapa penambahbaikan lagi perlu
dilakukan. Dari segi tugas, ia perlu ditambah
dengan bertindak memantau pelaksanaan Pelan
Tindakan Pembangunan Belia Nasional, Akta
Belia dan dasar-dasar lain yang berkaitan
dengan pembangunan belia.
Dari segi keahlian, perwakilan badan-badan
masyarakat sivil selain belia, seperti wanita,
profesional, akademia, pengguna dan media,
serta perwakilan sektor perniagaan perlu dinyatakan
dengan lebih jelas. Dengan cara ini, MPBN
akan benar-benar menjadi badan perundingan
yang dianggotai ketiga-tiga sektor bernegara
moden, iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat
sivil.
Persidangannya perlu menyediakan masa yang
secukupnya bagi membolehkan seramai mungkin
ahli berbahas. Para pembentang kertas dan
ahli-ahli perlu meningkatkan mutu perbahasan.
Jadual persidangan perlu diselaraskan supaya
diadakan selepas semua MPBNegeri telah bersidang.
MPBNegeri yang jarang bersidang perlu memperbaikinya.
Selain itu, MPBN perlu membudayakan konsep
perundingan belia hingga ke akar umbi. Pada
tahun 60-an, pernah wujud Persidangan Tetap
Belia Daerah (PTPD). Tetapi, sejak akhir 70-an,
ia tidak wujud lagi. Kerana itu, penubuhan
Majlis Perundingan Belia Daerah (MPBD), yang
telah dicadangkan beberapa kali sebelum ini,
termasuk oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Azalina Othman Said (walaupun beliau mencadangkan
penubuhannya di peringkat Kawasan Parlimen),
perlulah disegerakan.
Pada masa sama, masih ada kekurangan penyelarasan,
sama ada dari segi dasar ataupun program,
di kalangan pelbagai kementerian dan agensi
kerajaan yang terlibat dengan pembangunan
belia. Agensi kerajaan yang duduk dalam MPBN
lazimnya menghantar pegawai rendah dan jarang
melibatkan diri dalam perbahasan.
Ini menyebabkan sering berlaku pertindihan
dan perlumbaan yang tidak sihat dari segi
penganjuran program dan mendapatkan peserta.
Kesannya ialah pembaziran sumber, sedangkan
matlamat sebenar masih belum dicapai.
Sebelum ini, pernah dicadangkan, misalnya
oleh bekas Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan,
Datuk Mohd Noor Nordin Abdullah supaya MPBN
dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau timbalannya.
Tetapi, KBS lebih cenderung supaya ditubuhkan
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan
Belia.
Pengumuman berhubung penubuhan jawatankuasa
ini telah dibuat Menteri Belia dan Sukan sebelum
ini iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
pada 15 Mei 2000, manakala Datuk Azalina menyebutnya
pada 6 Mei 2004. Tetapi setakat ini belum
ada berita tentang kewujudannya.
Persoalan pengerusi MPBN dan Jawatankuasa
Kabinet tidak timbul jika Pelan Tindakan Pembangunan
Belia Nasional dan Akta Belia, sebagai contohnya,
memenuhi kerangka pembangunan belia secara
bersepadu dan antara bidang. Tetapi, kedua-duanya
masih belum keluar dari skop KBS.
Walaupun Dasar Pembangunan Belia Negara mempunyai
skop lebih luas, tetapi, ia dianggap orang
di luar KBS sebagai hanya melibatkan KBS.
Justeru, sebuah mekanisme penyelarasan yang
lebih mantap diperlukan dan perlulah disegerakan
kewujudannya.
Akhirnya, perundingan belia tidak wajar dihadkan
hanya kepada perwakilan dan badan-badan yang
menjadi ahli MPBN, MPBNegeri dan MPBD sahaja.
Ia perlu memberi peluang partisipasi yang
seluas-luasnya, termasuk kepada belia Malaysia
yang tidak berpersatuan dan yang berada di
luar negara.
Kaedahnya ialah dengan menubuhkan e-Perundingan
Belia (e-PB), iaitu forum perundingan belia
yang baru yang dilaksanakan secara online,
sebagai sebahagian daripada MPBN. Kepada semua
ahli dan jawatankuasa MPBN, saya mengucapkan
selamat bersidang, Khamis depan.